Urban Legend Budak Izzuddin: Tragedi 1991

“Tebalnya sampul surat kali ini” saya membelek-belek surat yang diterima.

Selama berada di Sekolah Menengah Agama Persekutuan di Labu, Negeri Sembilan, sahabat saya sering menghantar surat. Mungkin sepucuk sebulan. Memori saya samar-samar mengenainya.

Namun ingatan saya jelas mengenai surat kali ini.

Februari 1991.

Fazrin (almarhum) menulis kepada saya tentang kejadian aneh yang berlaku di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh. Sekolah yang saya tinggalkan dengan rasa berbelah bagi apabila menerima tawaran ke SMAP Labu semasa itu.

Kata Fazrin, situasi di sekolah membingungkan, dan menakutkan. Dua orang pelajar sekolah kami telah kembali ke rahmatullah, lemas di Pantai Bachok, Kelantan. Manakala sekolah pula diganggu dengan makhluk halus.

Selalunya ‘cerita hantu’ di asrama ini terjadi secara individu.

Aku nampak, aku pernah dengar, kata orang…

Tetapi kali ini ia dialami dan disaksikan seisi sekolah.

Mengapa kalian perlu dapatkan e-book Urban Legend Budak Izzuddin?

Posted by Ahmad Khariri Al-Hadi on Rabu, 10 Jun 2020

Tragedi yang berlaku di Kelantan, gangguan di sekolah, dan tangkapan ke atas seorang pelajar Tingkatan 2, kesemuanya ada kait mengait antara satu sama lain.

Surat tersebut juga saya baca bersama Remy, Farid dan Adil. Kami berempat adalah pelajar Sekolah Izzuddin Shah yang menyambung pelajaran ke SMAP Labu.

Selepas menerima surat itu, saya menunggu peluang cuti sekolah dan terus pulang ke Ipoh. Bertemu kawan-kawan dan cuba memahami apa yang berlaku. Tidak lama selepas kejadian itu, saya nekad meninggalkan SMAP Labu dan kembali bersekolah di Sekolah Izzuddin Shah, sekitar Mei 1991.

Apa yang Fazrin tulis, apa yang kawan-kawan cerita semasa saya pulang ke Ipoh, apa yang almarhum Ustaz Zamri, pengetua sekolah kami ceritakan kepada saya, semuanya tersimpan rapi di di dalam memori.

Namun dek kerana saya tidak berada di Sekolah Izzuddin Shah ketika itu, saya hanya mengetahui mengenai tragedi berkenaan melalui penceritaan orang lain. Kurang pasti mana yang benar, apakah ada yang ditokok tambah, dan baru sahaja Ramadan baru-baru ini usai tarawih, saya duduk bersama anak-anak berbual mengenai kejadian tersebut.

Kisah ini lebih daripada sekadar sebuah ‘urban legend’.

Di dalam konteks saya membesarkan anak-anak di negeri asing ini, kisah ini saya kongsikan bersama budak-budak di rumah ini ketika berbual mengenai Allah, Malaikat, Syaitan, Jin, seperti yang ada di dalam ajaran Islam, menghapuskan misteri kebingungan yang menjadi perencah filem horror Barat seawal The Exorcist (1973), hinggalah ke era The Conjuring, Insidious, Annabelle dan The Nun.

Jangan sampai keimanan kepada ghaibiyyāt kita, terpaut pada filem Hollywood.

Tragedi kematian dua sahabat kami di sekolah, sekolah diganggu oleh syaitan, pelajar dirasuk, usaha ‘memagar’ sekolah… semuanya teradun sempurna namun penuh luka, kerana ia bukan sebuah filem.

Ia tragedi yang benar-benar berlaku.

Suatu ketika dahulu.

Apa yang mengikat memori saya kepada tragedi itu, adalah salinan Buku Tahunan sekolah, tahun 1991, yang masih saya simpan hingga ke hari ini:

Malam tadi saya menerima sebuah mesej di DM Instagram. Penghantar mesej berkenaan memaklumkan kepada saya sebuah ebook telah diterbitkan mengenai tragedi ini.

Sungguh mengejutkan.

Perasaan saya bercampur aduk antara gembira, terharu, sedih dan macam-macam lagilah emosi yang menjengah. Gembira kerana akhirnya sahabat-sahabat yang terlibat sendiri dengan kejadian hampir 30 tahun yang lalu, bertindak membukukan sendiri pengalaman mereka. Ia peluang saya untuk meneliti apa yang saya ingat, dengan apa yang dicoretkan.

Terharu dan sedih kerana kenangan itu hakikatnya adalah sebuah tragedi.

Saya segera membeli ebook berkenaan, dan habis membacanya sekali harung. Boleh dikatakan 90% daripada apa yang tercatat, adalah sama dengan apa yang ingatan diri saya yang semakin tua ini ada. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang mengusahakan ebook ini. Serta anakanda yang menghubungi saya di Instagram memaklumkan tentang penerbitan buku ini.

Semoga Allah merahmati sahabat-sahabat kita yang telah pergi mendahului. Demikian juga guru-guru kita.

Guru-guru Sekolah Izzuddin Shah tahun 1991

Tidak dilupakan sahabat yang saya kasihi setulus hati, almarhum Fazrin Pahmi yang pergi terlalu awal meninggalkan satu lubang di hati saya hingga ke hari ini.

Jika para sahabat pembaca berminat mengetahui akan kejadian tersebut, dapatkanlah ebook berkenaan. Saya juga bermohon agar ebook yang dimuat turun, dijaga soal hak ciptanya. Selain amanah harta intelek, ia juga sebagai tanda hormat dan sokongan kita kepada para penulis buku berkenaan.

Hasrizal
Oulu Finland

Check Also

Hidup Berpendirian, Jangan Peduli Apa Orang Kata

“You know, I am your dad and I am supporting your idea to become an …

One comment

  1. Adilatul Sakinah Abdul Hai

    Kisah misteri seperti kisah sebenar ini memang banyak berlaku di mana-mana asrama… terutama sekolah agama. Tetapi apa yang berlaku di SIS berabad tahun yang lalu adalah kisah yang benar-benar pelik, negeri, seram dan sangat menyayat hati.

    Apapun, semoga kita sentiasa dilindungi oleh Allah dengan rahmatNya. Pengajaran yang sangat bermakna di sebalik kisah sebenar ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.