Di Mana Janji Kita?

On 25/11/2007, in BUKU: Aku Terima Nikahnya, by Abu Saif | 6,698 views | Print Print | Email Email |

taman01.JPG
Saiful Islam sibuk memberi swan makan

“Balik Malaysia nanti, kita kena pastikan yang sebulan sekali kita kena pergi taman macam ini”, saya masih ingat pada perbualan saya dan isteri petang itu di belakang Hospital Naas.

Suasana musim panas di Naas sungguh nyaman. Ramai sungguh pasangan yang membawa anak-anak mereka bersiar di sekitar tasik kecil itu.

NAAS

Hospital Naas terletak di County Kildare, Ireland. Ia merupakan lokasi kerja terakhir isteri saya sebelum kami pulang ke Malaysia pada Julai 2004.

taman02.JPG
Rutin kami di taman berhampiran Hospital Naas, Co. Kildare

Saif yang baru mencecah usia dua tahun, asyik membaling roti kepada burung undan yang jinak di tasik itu. Petang terasa begitu nyaman bagi kami. Angin dingin bertiup lembut, mentari pula kemerah-merahan merangkak senja. Syukur dengan musim panas yang memberikan siang lebih panjang untuk kami.

Banyak masa untuk bersiar di taman.

Itu rutin biasa saya sekeluarga. Tepat jam 5, saya akan keluar rumah, menyorong Saiful Islam di dalam stroller menuju ke hospital untuk menjemput Ummu Saif yang habis waktu kerja. Sering juga kami singgah ke tasik di belakang hospital, sebelum tiba senja dan malam. Rumah kami hanya 10 minit berjalan kaki.

naas09.JPG
Kejiranan rumah kami di Naas

“Nyah dulu pun masa duduk di UK selalu bawa anak-anak dia ke taman. Banyak gambar mereka semasa di UK, diambil di taman belaka”, kata Ummu Saif, merujuk kepada kakaknya yang lama bermastautin di UK hampir dua dekad lalu. Kakak Ummu Saif adalah isteri kepada Raja Ahmad Aminullah, biras saya, seorang penulis dan seniman yang mempengerusikan Yayasan Kesenian Perak.

“Tentu sahaja. Kalau di London, boleh dikatakan setiap blok rumah, ada taman di hadapannya. Kagum juga abang dengan kesungguhan orang kota London mengekalkan taman mereka”, saya membalas.

“Tetapi bila balik Malaysia, tak ada dah!”, pintasnya mematikan lamunan saya.

Saya terdiam. Ada sedikit perasaan gundah kerana terpaksa mengiyakan kenyataan itu.

Saya tahu di Malaysia suasananya tidak begitu. Menyorong anak-anak ke taman, belum lagi menjadi aktiviti yang melata di kalangan masyarakat. Tetapi saya bukan bimbang kepada trend, sebaliknya khuatirkan peluang untuk berbuat demikian.

Lama saya merantau, rumah dan taman jarang dipisahkan.

BUJANG DI LONDON

Semasa masih bujang dan tinggal di kawasan High Street Kensington, London, tentu sahaja taman yang dekat dengan kediaman saya adalah Kensington Garden, lokasi istana Lady Diana dan salah satu taman tersohor di ibu kota Britain itu.

Masih segar di ingatan saya, gelagat tupai-tupai di taman itu yang berani datang menjamah makanan di telapak tangan, semasa saya duduk mengambil angin di hadapan Royal Albert Hall yang megah itu. Mungkin kerana terlalu asyik dengan pemandangan sekitar, saya telah dilanggar oleh sebuah kereta semasa berbasikal di pinggir kawasan itu!

Malah saya tidak melepaskan peluang membawa keluarga melawat Regent’s Park apabila emak dan abang saya berkunjung ke UK. Taman ini juga memberikan pelbagai nostalgia, khususnya kerana ia bersebelahan masjid terpenting di London. Circle Yusuf Islam dan pendakwah-pendakwah lain rancak mengisi program masjid ini.

taman09.JPG
Bersama keluarga di Regent’s Park London

Taman bersebelahan, amat sesuai untuk rehat petang selepas Asar berjemaah di Regent’s Mosque itu.

Terhibur juga hati melihat kawan-kawan bertelagah dengan seorang English apabila bola digunakan petang itu, dibaham oleh anjing lelaki itu yang kegeraman. Macam-macam kenangan saya dan rakan-rakan dengan para teman di Hyde Park London, selain pengalaman kami mengikuti siri debat di Speakers’ Corner. Taman berhampiran stesyen Marble Arch itu bukan sahaja indah dengan pemandangan alamnya, bahkan terangsang oleh tradisi ‘kebebasan bercakap’ yang dikekalkan di situ.

speakerscorner.JPG
Satu pagi di Speakers’ Corner

Mahu bercakap tentang Islam?

Mahu bercakap tentang Israel?

Mahu bercakap tentang UFO mendarat di belakang rumah?

Hadirin berpindah dari seorang pengucap ke seorang pengucap yang lain. Mereka sahaja yang mengadilinya.

Biar pun Speakers’ Corner sering lucu oleh gelagat manusia pelik di situ, saya juga melihat besarnya impak pentas itu kepada penyebaran dakwah Islam.

Taman bukan sebarang taman.

BELFAST

Apabila saya berpindah ke Belfast dan seterusnya mendirikan rumahtangga, kediaman kami masih juga dekat dengan taman.

Biar pun Wellington Park Avenue adalah jenis stereotype rumah British yang berbatu merah tanpa laman dan tiada pagar, tetapi Botanic Garden tetap menjanjikan dingin dan tenang jiwa. Saya dan isteri selalu benar bersiar-siar sambil bercerita tentang persiapan menyambut anak sulung yang bakal lahir tidak lama lagi.

taman06.jpg
Silent Valley

Malah ada banyak juga taman-taman lain, termasuk Silent Valley yang indah dan damai… jauh dari hiruk pikuk kehidupan kota. Empangan di tengah lembah yang sunyi itu, sesuai dengan namanya, memberikan kita kepekaan pada mendengar desiran angin, ombak tasik yang berbisik dan sesekali unggas melintas di depan mata.

BERJALAN KAKI

Sesuai juga dengan cuaca dan budaya tempatan, ke mana sahaja kami pergi, selalunya destinasi dituju dengan berjalan kaki. Setakat 30 minit berjalan kaki, jarang sekali kenderaan dipilih sebagai pengangkutan.

Kadang-kadang ke kawasan universiti, tetapi selalu juga kami sekadar mahu ke kedai runcit Asia bagi membeli keperluan harian. Peluang itu kami gunakan untuk menyusul jalan-jalan di celah taman yang indah dan damai itu.

taman08.JPG
Ummu Saif dan bonda saya mengambil angin di City of Belfast International Rose Garden

GALWAY

Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Galway adalah bandar yang paling mendamaikan. Bukan sahaja ia hijau dengan taman, Galway dilimpahi nikmat dengan banyaknya sungai dan alur jernih yang membelah segenap sudut bandarnya di pinggir Lautan Atlantik itu.

Jika kena musimnya, kita jadi asyik melihat gelagat pemancing berdiri di sungai-sungai, cuba menangkap salmon yang sedang bertarung menongkah arus naik ke hulu dari muara sungai.

taman04.JPG
Mengambil angin petang di pinggir Sungai Corrib, Galway

DUBLIN

Walaupun saya sekeluarga tidak lama menetap di Dublin, seperti biasa kami tidak melepaskan peluang untuk mencari taman.

Selain Stephen’s Green yang kekal hijau di celah hiruk pikuk kota Dublin, tumpuan kami sudah tentu ke Pheonix Park, iaitu salah sebuah taman terbesar di Eropah yang luasnya lebih 1700 ekar! Apa yang paling menarik di Pheonix Park ini adalah rusa liar yang begitu banyak berkeliaran… pemandangan yang amat sukar untuk dilihat di tempat lain.

Pheonix Park juga menempatkan Dublin Zoo, salah sebuah zoo tertua di dunia yang hingga ke hari ini, masih menjadi tarikan utama pelancong dan penduduk tempatan di ibu kota Irish itu.

Namun, taman yang paling menarik di Dublin, sudah tentu Powerscourt yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem The Count of Monte Cristo pada tahun 2002.

powerscourt.JPG
Sepetang saya dan keluarga di Powerscourt Dublin

Meluangkan masa berjalan-jalan di taman seperti itu sememangnya aktiviti yang penuh makna. Sihat untuk akal, sihat untuk jiwa dan juga iman di dada.

Masakan tidak, rendang pohon hijau dan bunga-bungaan yang mekar, tentu sahaja membekalkan udara yang segar dan bersih untuk santapan tubuh dan badan kami.

Tetapi tenang itu bukan hanya datang dari udara segar dan pemandangan yang indah. Ia lebih dari sekadar realiti yang maaddi (material).

SUATU PERBANDINGAN

Pengalaman duduk di tengah bangunan yang hebat penuh sejarah juga kemodenan, tidak sama dengan nyaman diri semasa duduk di taman. Ketika kita duduk mengadap bangunan hebat seperti Westminster di London atau KLCC di Kuala Lumpur, kita masih dikelilingi oleh ciptaan Allah kerana bangunan itu dibina oleh manusia yang dicipta oleh-Nya. Namun ketika di taman, suasananya nyata berbeza. Kita dikeliling oleh ciptaan Allah yang dicipta dengan ‘tangan’-Nya sendiri. Ciptaan langsung oleh-Nya, pada rupa pada susunan.

Kita tenang dengan alam semulajadi kerana ia ciptaan langsung Allah… justeru membawa kita dekat kepada-Nya. Jika mendekati ciptaan langsung Allah itu mengundang tenang, apatah lagi jika kita mendekati-Nya terus pada zikir dan fikir yang langsung.

Ahh… inilah ubat sakit jiwa dan sakit perasaan paling mujarab. Membawa diri pulang ke asal, yang asalnya dekat dengan Dia.

Kerana itu kami bertekad untuk meneruskan aktiviti berkunjung ke taman.

Balik Malaysia nanti, sebulan sekali, kalau boleh seminggu sekali, bawalah isteri, suami dan khususnya anak-anak bersiar-siar di taman.

Itu janji kami sebelum mengunci pintu rumah di Naas, dan menuju ke lapangan terbang Dublin dengan lambaian perpisahan kepada perjalanan 11 tahun di perantauan.

london005.jpg
London 1999

DI MANA JANJI KITA?

Ya, inilah soalan saya kepada Ummu Saif dan soalan beliau kepada saya.

Melihat anak-anak terkurung di dalam rumah tingkat 11 bak sarang merpati, saya rasa terkilan, bahawa damai yang dikecap sebagai sebahagian hidup kami semasa di Ireland dulu, janjinya tinggal janji. Bukanlah rumah kami tidak berjiran dengan taman. Siapa di Kuala Lumpur yang tidak kenal dengan Tasik Permaisuri?

Tambahan pula selepas Erra Fazira dan Yusri KRU pernah melangsungkan sambutan perkahwinan mereka di taman ini.

Tetapi cabarannya bukan pada mencari sebuah taman. Sulitnya adalah pada masa dan kesempatan. Keluar pagi balik malam, suasana kerja mencuri masa pergi begitu sahaja. Hujung minggu pula terpaksa dibahagi antara kerja Ummu Saif di hospital, dengan jadual ceramah dan mesyuarat yang perlu saya hadiri.

Allah sahaja yang tahu betapa terkilannya saya jika ceramah Sabtu atau Ahad, dihadiri oleh peserta yang acuh tidak acuh, kerana mereka tidak tahu betapa mahalnya setiap hujung minggu saya untuk anak-anak membesar damai dengan ibu, bapa dan Allah Pencipta melalui damai taman dan alam sekitar sentuhan-Nya.

Sedih melihat anak-anak berlari mengelilingi meja rumah, kerana sepatutnya mereka berkejar-kejaran di sebuah taman.

bosan.jpg
Keceriaan, atau tunjuk perasaan? Sulit saya menafsirkan

Di mana janji kita? Untuk berdamai di taman… mendekati Dia pada ciptaan langsung-Nya yang kaya itu.

Pandangan saya terkurung dalam catatan diari di sisi jendela besi…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Related posts:

  1. Kita Dapat Apa Yang Kita Beri Kadang-kadang saya rasa tersinggung apabila permintaan saya tidak dihargai. Saya...
  2. Mana Pintu Mana Tingkap? (Kemaskini) “Gajah ini bentuknya panjang. Macam batang buluh. Tapi lembut sedikit...
  3. Di Bumi Itu Janji-Nya Buatmu… Sekeping gambar jadi kenangan. Ustaz Arman di kanan saya Terlalu...
  4. Di Mana Damai Desa Apakah masih ada desa di usia dewasaku? “Apa yang kamu...
  5. Ramadhan: Di Mana Bumi Dipijak… “Macam mana ni ustaz. Saya nak puasa ikut mana?” sms...

 

34 Responses to “Di Mana Janji Kita?”

  1. ImKoyube says:

    assalamualaikum ustaz..moga sihat & ceria sentiasa..
    walaupun di tempat saya(leicester), macam2 taman ada dan berhampiran dgn umah dan uni,namun jarang berkesempatan ke sane..namun,siapa-lah saya dibandingkan dgn ustaz yg super busy tu..^_^

    sememangnya artikel ustaz kali ni menyebabkan saya berfikir sejenak..insyaAllah akan dtg akan cube peruntukkan masa di taman2 leicester..teringat masa spring tahun lepas..lepak kat taman ngan kwn2 dan ustaz2 sambil stadi dan dgr tazkirah..mmg syok..^_^

    dgn melihat keindahan alam ciptaan Allah,insyaAllah ia boleh mmbantu kita utk mengenal siapa itu Tuhan kita..

  2. Abu Saif says:

    wsalam wbt Imran :)

    Baguslah begitu. Cuma kalau ke taman di UK pada musim panas, hati-hatilah sikit ye …

  3. Pak Din says:

    Pada saya Ustaz, tidak timbul perbezaan ketara antara melihat hasil kerja Allah dengan hasil kerja mahluk. Melihat keindahan dan kepintaran hasil kerja mahluk, sentiasa mengingatkan saya juga kepada Allah. Kepintaran mahluk melaksanakan sesuatu adalah lambang kepada kehalusan senicipta Allah, di mana berdasarkan ‘Laa hawla walaa quwata illa bil Lah’ kita tidak nampak perbuatan manusia dapat melaksanakan sesuatu, melainkan ada kehadiranNya bersama. Begitu juga sebagaimana kita berwakil selepas berikhtiar, kepada Allah dalam segalanya, sehinggakan adanya kita tidak layak dirujuk wujud pada zat.

  4. drF says:

    salam ustaz,
    nanti bila PUISI 2007, jemput ke rumah kami di Celbridge, Co Kidare. Historical town dan dekat dgn salmon leap bridge….boleh bersiar-siar..

  5. almiebonzer says:

    Salam wm wbrt
    Teringat dulu saya merungut-rungut sebab ada budak-budak kecil main lari-lari dan bising-bising semasa ustaz bagi ceramah.
    Then, barulah tahu, mereka tu anak ustaz..huhuhu

  6. syarief says:

    rasa nak pegi taman lak pagi ni..
    dapat pusing2 dan menikmati laman uia pun jadi la..
    kadang2 saya lebih merasakan ketenangan bila melarikan pandangan saya ke langit di mana2 sekalipun..
    dari pagi sehingga petang, saya mesti akan ambil masa singkat untuk merenung langit dan memerhatikan segala pergerakan dan apa sahaja yang terlihat.. indah lagi menyenangkan
    subhanAllah..

  7. ashamah@arrantisi says:

    Salam….

    Bestnya kalau ada taman mcm kat Europe, mesti cantik mcm dalam gambar yang usz postkan. Mesti terancang tamannya. Teringat subjek final exam ari itu berkenaan pengurusan Taman, huhuhu…Dalam maju2 mereka pun, taman mereka mendamaikan berbanding taman-taman kita yang agak kurang terancang.

    Kalu dapat peluang sambung belajar kat Europe, first skali nak pi tamanlah macam tu…hehehe(terpengaruh dengan artikel ini).

  8. ashamah@arrantisi says:

    Hapi bile baca and tengok taman cuma kesian juga dengan ustaz and adik saif, naurah dan Imad kos selalu terpaksa ustaz tinggal demi tugas. Tidak tahu la saya pun nanti jika sesibuk ustaz, mampu ke tersenyum depan anak2 macam ustaz.

  9. raudhah says:

    salam,

    ustaz, di taman pemandangannya memang indah, Maha Suci Allah yg menciptakan semuanya…masyaAllah….tp kadang2 keindahan tu dicemari oleh pasangan2 yg sakan bercinta yg bukan muhrim, saling “bertaut-tautan”….rasa sakit mata tengok….nak buat dek je, kadang tak boleh coz memane pergi mesti ada….hmmm mcmane ye?

  10. taqeyyabella says:

    Sangat setuju dengan pandangan ust. Bagi mereka yang hidup berpisah kerana sekolah menengah di luar negara, peluang berjalan-jalan di taman, pantai, air terjun atau yang sebagainya adalah sebuah kesempatan untuk mengeratkan hubungan sehingga hubungan keluarga tidak sekedar hubungan kering tanpa nilai.

    Kesyukuran yang tak terhingga selalu diungkap kepada yang Maha Esa kerana dengan memori yang sedikit tapi penuh makna ini dapat menjadikan kualiti hubungan sangat tinggi dibanding mereka yang tinggal sebumbung 24jam sehari akan tetapi tidak dihiasi ikatan sekuat kami yang hidup terpisah sejak kecil.

  11. Ibnu Alwi says:

    Salam..

    saya rasa, dalam gambar terakhir Saif tunjuk perasaan secara sinis tu Ustaz..huhu..Naurah pun buat sign `peace` hippy,mcm tgh buat demo :D

  12. saifuddin says:

    Tapi kan Pak Din, antara hasil kerja Allah dengan tangan-Nya sendiri dengan hasil kerja Allah melalui tangan makhluk menimbulkan perasaan yang berbeza. Walaupun pada hakikat kedua-duanya kembali kepada Allah.

    Apabila melihat kepada binaan-binaan atau gajet-gajet yang canggih, timbul dalam perasaan kita kekaguman. Sekiranya kekaguman itu disandari iman, nescaya mengingatkan kita juga kepada Allah. Namun sekiranya tiada iman, akan timbul kebongkakan seperti kaum Nabi Hud yang mampu mentarah gunung untuk membina bangunan.

    Tapi, apabila melihat hasil kerja tangan Allah, ia mendatangkan ketenangan yang luar biasa ke dalam perasaan. Kajian mengatakan persekitaran yang hijau dapat mengurangkan keletihan. Bukan sahaja terhad pada ciptaan di bumi, malah melihat langit juga mendatangkan ketenangan. Sebab itu syurga digambarkan mempunyai banyak taman. Taman itu memberi ketenangan.

    Cadangan saya, ustaz pindah ke rumah yang ada halaman yang besar. Trend orang kaya-kaya ada halaman rumah yang besar bukannya untuk menunjuk-nunjuk, tapi untuk ketenangan selepas penat seharian bekerja. (orang dulu-dulu tak payah taman-taman, sekeliling dah memang hutan)

  13. Abu Saif says:

    Cadangan saya, ustaz pindah ke rumah yang ada halaman yang besar. Trend orang kaya-kaya ada halaman rumah yang besar bukannya untuk menunjuk-nunjuk, tapi untuk ketenangan selepas penat seharian bekerja. (orang dulu-dulu tak payah taman-taman, sekeliling dah memang hutan)

    HOHOHO…. cadangan termahal abad ini… untuk rumah yang ada halaman besar, saya perlu bersedia membayar ansuran at least RM2000 sebulan. Anak-anak kunyah buku le jawabnya untuk breakfast, lunch and dinner :D

  14. Campden Grove says:

    Oh, nak cadangkan ustaz balik bina rumah di Ipoh ataupun salah sebuah kawasan di Perak nun… ataupun bandar Ipoh sudah dimakan pembangunan pesat yang buta tuli tidak terancang juga bak ibukota?

  15. KNizam says:

    bestnyer dapat berjalan2 di sana. sungguh indah. ditemani dengan anak2 yang comel2 belaka. bila la saya boleh berkesempatan ke sana ek?

  16. ibn yaacob says:

    tp ustaz kalo gi taman tasek titiwangsa,kurang sesuai nk bwk anak2…banyak benor belangkasnya…

  17. Pak Din says:

    Saiffuddin, tang “hakikat kedua-duanya kembali kepada Allah” tu yang Pak Din paling minat. Tetapi tang cadangan Ustaz pindah ke rumah bertaman besar itu, akan menjadi lebih menarik kalau dicadangkan nama bank yang dapat memberikan pinjaman tanpa riba’ dan tanpa beban. Kalau jumpa beritahu tau! he he

  18. An-Naas-i says:

    Assalamu’alaikum
    Teringat swan jinak di tasik Naas depan rumah tu. Setiap hari ana kepenatan pulang kerja selepas memandu sejauh 20 batu dari Dublin; apalbila masuk selekoh depan tasik tu, rasa tenang menyimbah dan membawa kepenatan bersama alunan air tasik. Di sambut oleh kawanan swan yg ramah.
    Kenangan Naas tidak dapat dilupai….

  19. Abu Saif says:

    Waalaikum al-salaam An-Naas-i,

    Setelah berpindah jauh, An-Naas-i masih menggunakan gelaran nama yang merujuk kepada Naas. Tentu besar makna Naas dalam hidup.. :) Memang pun akhi.

    Walaupun ana duduk merata dan banyak nostalgia di tempat lain, Naas ni special. Mungkin sebab bandarnya yang kecil comel, kita merayau dah hampir ke setiap sudutnya. Di Naas juga tak banyak bangunan tinggi. So dongak ke depan nampak langit, tunduk ke bawah indah hijaunya… Rindu betul ana dengan suasana di Naas.

    Masih ingat kedai sayur kat simpang masuk Naas tu. Seronok cium bau marmalade home made, dan bangga tengok barang-barang Abang Man mula dijual di kedai tu. Abang Man letak sekartun kicap Adabi di kedai tu, ana yang beli separuh daripadanya :)

    Tak jauh dari rumah kita, jalan lengkok-lengkok belakang rumah ana, kita dah sampai ke puncak Wicklow yang hebat… terutamanya kalau sisa salji masih ada. Lorong-lorong kecil di celah gunung, semuanya jadi anak sungai mengalirkan salji cair ke bawah.

    Dan apabila kita turut perjalanan anak sungai itu, sampailah kita ke Glendalough yang indah dan banyak cerita sejarah… khususnya dalam subjek Medieval Europe yang ana belajar semester lepas.

    Paling seronok, ialah kerana kita sekeluarga menjadi wakil keluarga Melayu di Naas…. sering berbalas kunjungan. Dan aha, sembang tentang IT sampai jam 2 pagi. Jumaat pula, ana dapat berkhutbah di masjid comel seberang rumah anta.

    Kemuncak penginapan kami di Naas, ialah jamuan perpisahan dengan BBQ di belakang rumah ana… laman yang luas. Terasa berkat rumah kerana saban minggu ada sahaja program yang kita buat. Pintu tengah sering berlipat untuk convert ruang tamu jadi dewan program.

    Dan semestinya white chocolate bar yang murah, halal dan sedap dari ALDI di Newsbridge…

    An-Naas-i exactly dah berhijrah ke mana sekarang ni?

  20. ibnuirlanda says:

    janji saya untuk bersama jalan perjuangan ini..
    ada juga yang bertanya jalan teladan mana pula yang kita susuri? mufti oh mufti..
    jalan teladan yang dipilih oleh kerajaan negeri a.k.a majikannya tidak pula di komentar-siniskan

  21. saifuddin says:

    Pak Din, setelah penat saya menggoogle, apa yang saya dapat jumpa cumalah kad kredit tanpa riba’. Setakat ni tiada lagi bank tanpa riba’. Tapi ada ke orang guna kad kredit beli rumah?

    Saya tertarik dengan satu iklan tentang laptop (tak ingat bila dan di mana). Iklan tersebut menunjukkan seorang lelaki geekhead yang sedang berdating di taman bersama teman wanitanya sambil menggunakan laptop. Apa yang kelakar, lelaki itu langsung tidak mengendahkan teman wanitanya kerana sangat asyik dengan laptop tersebut.

    Walaupun sekadar iklan, hakikatnya ia berlaku di dunia realiti. Di Korea, remaja menghabiskan 17 jam di depan komputer/internet. Sehinggakan kerajaan Korea terpaksa menganjurkan satu program seakan camping untuk menangani gejala tidak sihat ini.

    Kita juga pasti mengetahui iklan Petronas berkenaan kemerdekaan. Dua warga tua yang lama terpisah, seorang Melayu dan seorang lagi Cina yang tanpa dirancang bertemu di hospital. Kedua-duanya rancak berborak kisah lama tapi sebaliknya berlaku pada cucu mereka. Masing-masing asyik bermain handphone. Rambut saja sama.

    Poinnya, manusia lebih tertarik dengan hasil kerja Allah melalui tangan makhluk daripada hasil kerja Allah dengan tangan Allah. (Hubungan sosial sesama manusia juga secara psikologi dapat membawa ketenangan. Bukankah manusia hasil kerja Allah?)

    Golongan seperti ustaz juga mungkin tak terlepas dari penyakit ini.

    Pada pandangan saya, daripada ustaz menghabiskan 2-3 jam untuk menulis artikel tentang keluarga lebih baik ustaz manfaatkan masa itu untuk keluarga ustaz sendiri (sekiranya ustaz menaip artikel di rumah). Lagipun, takkan para pembaca nak spoonfed setiap masa. Siapalah kami ni dibandingkan dengan darah daging ustaz sendiri. Dalam peribahasa Melayu ada berkata, “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan…”

  22. Abu Saif says:

    Pada pandangan saya, daripada ustaz menghabiskan 2-3 jam untuk menulis artikel tentang keluarga lebih baik ustaz manfaatkan masa itu untuk keluarga ustaz sendiri (sekiranya ustaz menaip artikel di rumah). Lagipun, takkan para pembaca nak spoonfed setiap masa. Siapalah kami ni dibandingkan dengan darah daging ustaz sendiri. Dalam peribahasa Melayu ada berkata, “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan…”

    Dalam sehari ada 24 jam. Memperuntukkan beberapa jam itu untuk saifulislam.com, tidak saya definisikan sebagai ‘main komputer’ bak kata ramai orang generasi umur saya. Ia adalah sebahagian daripada output dakwah… dan tidaklah mencuri masa untuk anak-anak. Letih juga kalau sampai 6 jam sehari nak bergomol dan bergusti dengan anak-anak.

    Anyway, terima kasih untuk peringatan ini…

  23. insyirah says:

    Salam..

    Saya dah lama baca ANIS, tp baru2 ni bukak website ustaz.finally.
    Terasa kerdil diri saya dari sehari ke sehari membaca article ustaz.
    walaupun umur dah meningkat, anak dah bertambah, tapi kadangkala pemikiran terlalu singkat, terlalu sempit.
    Most of the time masih dengan perkara2 remeh..

    Rupanya niat di hati suami dan saya untuk make a point bawa anak2 ke taman, bukanlah remeh sangat.
    banyak faedahnya yang tersirat (tapi dah disuratkan oleh ustaz)
    Semoga lebih ramai insan2 seperti ustaz yang sanggup meluangkan masa untuk berdakwah..
    Terima kasih banyak..
    moga Allah sentiasa memberkati dan merahmati hidup ustaz dengan kebahagiaan dicelah2 kesibukan.
    moga Allah juga sentiasa berikan petunjuk dan hidayah kepada kami yang lain, agar kami temui kebahagiaan di jalan Allah.
    Amin

  24. Pak Din says:

    Saifuddin, Serius ke ni kad kredit tanpa riba’ dan beban, maknanya beli 100, bayar 10 bulan x 10, + reasonable management fee? Saya pakai kad yang bayar dulu baru belanja! bebas dari kerisauan.

    Dalam isu hasil kerja Allah itu, point saya begini. Kita rasa ada perbezaan hasil kerja Allah dari hasil kerja mahluk Allah, pada permulaannya. Selepas itu kita rasa ada beza pula hasil kerja mahluk Allah. Kenapa? Terlalau ramai yang mengatakan merasakan ‘dekat’ dengan Allah di Baitullah berbanding bila balik ke ‘bait-ul-lah’ – masjid) di tempat tinggal mereka. Tak begitu teruk bagi pengalaman pertama, tetapi kalau tidak dapat dihayati perasaan yang sama selepas pengalaman pertama, di Baitullah dan bait-ul-lah, mesti ada yang kurang. Pandangan saya aja.

    Saya kurang setuju cadangan Ustaz mengurangkan masa dengan komputernya, kerana kita yang rugi bukan Ustaz.

  25. An-Naas-i says:

    Ya, benar Ustaz. Sebelum berpindah ke Naas, ana telah tinggal di KL, London, Dublin- kota yang penuh dgn kesibukan. Di Naas, isteri pula dapat kerja depan rumah, ana berstukur kerana anak2 gembira dapat melihat ibunya dari pintu rumah sampai masuk pintu tempat kerja. Bila oncall, sempat balik menjenguk anak2. Biar pun sebentar tapi besar kesannya pada sanubari mereka.
    Banjaran Wicklow, tasik Blessington dan Glandelough serta pekan Hollywood memang tempat kami bermain. Semasa berpindah dulu, ana bimbang tiada siapa yg akan berkunjung kerana jauh. Tetapi Alhamdulillah, ramai sahabat-handai dapat bertandang dan berkongsi keindahan alam ciptaan Allah di bumi Naas dan sekitarnya.
    Tapi satu perkara yg sampai sekarang membuatkan ana tersenyum sendirian bila mengenangkannya- kita sejiran lebih kerap berjumpa di Dublin 20 batu jauhnya dari rumah kita yg sepelaung saja jauhnya. Semuanya berkat dakwah dan tugas2 MEMBERI.
    Kami sekeluarga sudah berpindah hampir sedikit ke tanahair- di UK. Insya Allah, kalau tiada halangan, kami mungkin mengikuti jejak enta sekeluarga. Hmmmm……

  26. hanekaseyo says:

    Assalamualaikum,
    Ustaz,teruskanlah alunan pena dakwah.
    jangan sesekali mengalah,ustaz.
    saya senantiasa mendoakan sifulislam,
    semoga menjadi wacana minda,
    untuk membajai pemikiran insan-insan
    yang senantiasa tagihkan mutiara…
    syukran jaziilan.

  27. aye says:

    “Pada pandangan saya, daripada ustaz menghabiskan 2-3 jam untuk menulis artikel tentang keluarga lebih baik ustaz manfaatkan masa itu untuk keluarga ustaz sendiri (sekiranya ustaz menaip artikel di rumah). Lagipun, takkan para pembaca nak spoonfed setiap masa. Siapalah kami ni dibandingkan dengan darah daging ustaz sendiri. Dalam peribahasa Melayu ada berkata, “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan…”

    sy membangkang pandangan ini…. tak sangka akhi saifuddin tergamak… :-(

  28. ummu saif says:

    “Pada pandangan saya, daripada ustaz menghabiskan 2-3 jam untuk menulis artikel tentang keluarga lebih baik ustaz manfaatkan masa itu untuk keluarga ustaz sendiri (sekiranya ustaz menaip artikel di rumah). Lagipun, takkan para pembaca nak spoonfed setiap masa. Siapalah kami ni dibandingkan dengan darah daging ustaz sendiri. Dalam peribahasa Melayu ada berkata, “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan…”

    Insya Allah, ini akan kami jadikan peringatan bersama. Cuma, kadang2 saya rasa saya banyak memahami hati suami saya melalui tulisan beliau. Dan ada masanya, saya mendapat kesedaran melalui tulisan beliau (sekiranya saya ada buat kesilapan). Ingat, bukan semua suami pandai meluahkan perasaan. Ada yg suka pendamkan perasaan. alhamdulillah, I’ve a unique way to assess his feelings, knowledge, etc.

  29. saifuddin says:

    “sy membangkang pandangan ini…. tak sangka akhi saifuddin tergamak…”

    Ya, saya memang tergamak.

    Saya lihat para pembaca melayan ustaz seolah-olah ustaz adalah BOT yang beroperasi 24/7. Hakikatnya ustaz juga seorang manusia yang ada isteri, anak, tanggungjawab, masalah dll.

  30. Abu Saif says:

    Saya lihat para pembaca melayan ustaz seolah-olah ustaz adalah BOT yang beroperasi 24/7. Hakikatnya ustaz juga seorang manusia yang ada isteri, anak, tanggungjawab, masalah dll.

    Dalam bab ni, saya sokong saifuddin dengan tapak tangan dan nyiru seluas-luasnya

  31. Pak Din says:

    Saya melihat 2-3 jam sehari bagi Ustaz adalah dari bahagian kerja Ustaz. Maksudnya kalau orang lain boleh bekerja, contoh 7am-7pm (termasuk jam) maka 50% dari masanya adalah tidak bersama keluarga. Oleh kerana Ustaz seorang pendakwah, dan berdakwah melalui web, saya kita 2-3 jan (10%) berinteraksi dengan komnputer untuk mengeluar dan menyuratkan idea, adalah masih terlalu sedikit dibanding dengan kebanyakan orang lain yang mungkin menghabiskan masa 40-60% bekerja (maknanya 2-3 jam bersama keluarga). Kalau orang yang bekerja ini, kemudian balik ke rumah menghabiskan masa 2-3j di komputer mungkin itu perlu kepada pembetulan jadual.

  32. ummi zulfa says:

    to ummu saif, saya bersetuju dengan pandangan itu… dan beruntunglah ummu saif kerana dapat membaca hati suami dengan tulisannya kerana lelaki memang jarang yang pandai meluahkan perasaannya kepada ‘their other half’…
    kepada isteri kepada suami yang bukan penulis memang besar cabarannya untuk memahami hati suami esp kepada suami yang bukan hobinya bercakap…
    teringat kepada satu kata-kata dari seorang motivator terkenal.. PEREMPUAN.. HATINYA DI MULUT, LELAKI…. MULUTNYA DI HATI…
    Wallahu’alam

  33. Assalamualaikum,

    Saya telah memetik artikel ini untuk dimasukkan ke dalam laman blog Bintulu Iqra’ Center. Mohon dihalalkan.

    Ustaz boleh lawatinya di bintulu-iqracenter.blogspot.com

    Sedikit usaha kami di Bintulu.

  34. ummiecuie says:

    asslamualaikum..

    Kita sebagai manusia yang sering lalai n lemah seharusnya sentiasa ‘diingati’ selalu..sekiranya tiada siapa yang mampu ‘mengingati’, adakah kita mampu untuk menjalankan tanggungjawap sebagai insan yang ‘mengingati’ itu? Saya percaya, setiap detik, saat yang ust luangkan disini, akan mendapat ganjaran yg setimpal dengannya daripada ALLAH…INSYAALLAH…

    Terima kasih ust atas segala panduan n peringatan yang ust berikan..

    Saya doakan agar ust juga keluarga ust sentiasa dilindungi dan dirahmati oleh-NYA di dunia n akhirat…Juga doakan saya agar tabah dalam mengharungi liku2 hidup yang penuh dengan dugaan ALLAH ini…

    Terima kasih..

Leave a Reply