Biar Mati Anak Jangan Mati ‘Adat’

On 24/03/2007, in BUKU: Aku Terima Nikahnya, by Abu Saif | 11,475 views | Print Print | Email Email |

sirih.jpg

“Biar mati anak, jangan mati adat”

Keras benar bunyi pepatah itu. Sehingga menyakitkan jiwa Melayu Baru bawa jelek benar pemikiran orang dulu, sanggup mati anak semata-mata mahu mempertahankan adat.

Saya sudah menulis sedikit sebelum ini tentang maksud adat pada peribahasa itu. Kita tidak boleh memahami bahasa dahulu dengan pemikiran hari ini. Bahasa lama perlu difikir cara lama.

Orang Melayu membungkus agama dan adat, di dalam satu peti emas yang dianggap sebagai jati dan harga diri. Agama dan tatasusila adat Melayu, berfungsi untuk membentuk sebuah kehidupan yang sopan, berseni dalam berakhlak supaya cantik dipandang, sedap didengar dan manis dirasa.

Maka jika kita bertemu dengan watikah bertulis sebagai ‘Hukum Adat’, janganlah terus dihumban ke tepi bahawa adat itu adalah budaya resam yang merosak agama. Adat itulah agama, pada bahasa Melayu Lama.

BERBIN DAN BINTIKAN EMAK

Saya masih ingat, perbualan dengan arwah Opah, sekitar 20 tahun lalu. Opah bukan hafizah, tetapi Opah mengajar saya mengaji sambil dia menggoreng ikan. Jika saya nakal melompat ayat, opah menegur sambil mengetuk sudip di kuali.

“Opah, kenapa masa talqin, nama orang disebut dengan bin atau binti emak?”, saya bertanya kepada Opah selepas habis semuka mengaji Quran.

“Bukan semua orang ada ayah. Takkan nak malukan si mati di depan kuburnya”, kata opah sambil membetulkan telekung putihnya.

Saya terdiam.

Hari ini saya memikirkannya kembali. Ketepikan seketika soal sunnah atau tidak bertalqin cara orang di Malaysia, tetapi saya amat tersentuh dengan jawapan opah. Apabila si mati dibahasakan di sisi pengebumiannya dengan berbin atau berbintikan ibu, terhindarlah aib si mati, jika ada. Tidak semua orang jelas bapanya, namun semua kita beribu dengan perempuan yang ada nama.

Begitulah berhalusnya masyarakat kita. Menerima beralas, menolak berlapik.

TEPUNG TAWAR

Fikiran ini muncul apabila pagi tadi saya berbual dengan abang kepada Divesh Kumar Danial Kakulai, calon peserta di dalam rancangan ‘Cari Menantu’ di TV9. Kami berbual tentang satu aspek perkahwinan bangsa Melayu, iaitu soal menepung tawar.

Mahu tidak mahu, pelbagai fatwa telah dikeluarkan tentang soal menepung tawar. Bukan hanya di Malaysia, malah Brunei Darussalam yang kuat berpegang dengan adat istiadat Melayu sendiri pun, berfatwa pada tahun 2003 menegahnya.

Menepung tawar, merenjis bunga mawar dan menabur beras itu, ada signifikasi agama Hindu di sebaliknya. Ia bukan sekadar budaya, ia agama. Tentu sahaja bagi Danial dan abangnya, lebih faham tentang erti di sebalik ‘amalan’ itu.
Fatwa tetap fatwa, hukum tetap hukum.

Namun usaha untuk menjernihkan antara agama dan adat, jauh lebih sukar dari yang dijangka. Walaupun nyata bersalahan dengan agama, mencabut adat yang asing dari Islam, tidak semudah mencabut kemuncup yang lekat di kain. Akarnya dalam mendasar, batangnya tajam berduri.

Mencabutnya dengan tergesa-gesa hanya mengundang luka. Khususnya adat yang bersangkut dengan maruah keluarga.

Adat itu jadi lebih rumit, apabila ia bersangkut dengan perkahwinan.

Ramai generasi celik Islam hari ini mahukan perkahwinan yang bertepatan dengan Sunnah. Jauh dari bid’ah dan ringkas perjalanan dan belanja. Namun apa pula kata orang tua-tua?

Saya pernah bertanya kepada orang tua, “mengapa tidak diringkas-ringkaskan sahaja walimah sanak saudara?”

Jawab pakcik saya, “ringkas-ringkas itu agama, tetapi jangan sampai menimbulkan tanda tanya”.

“Tanda tanya yang bagaimana?”, saya kurang jelas.

“Ringkas kadang-kadang dilihat seperti tergesa-gesa. Bagai ada yang tidak kena”, itu komen pakcik saya.

Saya faham apa yang dimaksudkannya. Ketika dua keluarga baru mahu menyatu saudara, soal maruah dan harga diri amat penting. Jangan dicemar.

Mahu tidak mahu, benci atau suka, begitulah orang Melayu. Orangnya bercakap halus, kekadang tidak didengar, sering pula jadi di belakang. Maka orang tua-tua kita amat enggan menanggung rumah yang telah siap, namun pahat masih berbunyi.

Pengalaman saya dan isteri, ketika mahu berumahtangga, sedikit sebanyak ada pengalaman yang boleh dikongsi. Setelah cinta kami terbit di medan dakwah, perkahwinan itulah model kefahaman kami terhadapnya. Rumahtangga mahu dibina, bermula dengan langkah yang bersih dari perkara yang tidak diingini.

BERSANDING

Tentu sahaja, isu paling utama adalah soal bersanding.

Majlis pernikahan saya berlangsung di rumah pengantin perempuan, dinikahkan sendiri oleh bapa mertua. Namun di sisi sebelah kanan, ada pelamin yang tersedia. Saya sudah memahaminya, namun rombongan yang mengikut saya sedikit teruja.

Keesokan pagi, sebelum bertolak ke rumah pengantin perempuan, saya menerima panggilan telefon dari seorang penduduk kampung.

“Assalamualaikum ustaz. Hai, ustaz berceramah sana sini, tapi semalam nampak macam ada pelamin aje! Apa hal?”, tanya beliau.

Tentu sahaja fikiran saya amat terganggu dengan panggilan itu. Hanya tinggal sejengkal sebelum saya masuk ke alam baru. Saya perlukan sepenuh keyakinan diri untuk hari ini, tetapi ada pula ‘panggilan nakal’ seperti itu. Tak supporting sungguh!

Saya kuatkan semangat dan fokus kembali kepada apa yang saya boleh kawal. Saya malah isteri, tidak berupaya untuk menentukan sesuatu yang dikongsi bersama dengan keluarga. Maka kami berjanji untuk mengawal dan mempertahankan diri, sebaik yang kami terdaya.

Setibanya di rumah pengantin perempuan, dengan iringan kompang, saya melangkah antara debar dan tenang. Saya rasa berdebar kerana terlalu ramai mata yang memerhati dan mereka akan memerhatikan saya duduk di kerusi yang dinamakan pelamin. Namun saya tenang, kerana saya faham apa yang sedang berlaku pada masa itu.

hari1.jpg
Langkah antara debar dan tenang

Fikiran saya terkenang kembali kepada penjelasan ibu mertua saya beberapa hari sebelumnya.

“Kalau sekadar buat meja makan beradat, takkanlah tetamu dan menantu terus ke meja makan sahaja. Tentulah masuk ke rumah dulu. Jika tidak masuk rumah, sedih pula si tuan rumah. Dan oleh kerana sudah masuk ke rumah, kita elokkanlah sedikit kerusi tempat anak menantu nak duduk. Itu sahaja. Bukan nak menunjuk atau apa-apa”, bersungguh-sungguh emak mertua saya memberikan penjelasan.

Terharu…

Kalau nak diikutkan, tidak perlu pun emak jelaskan kepada saya. Saya mahu mengahwini anaknya, dia berhak untuk menentukan apa sahaja. Tetapi dalam keluarga tidak begitu. Kasih sayang bukan soal siapa betul siapa salah. Kasih sayang ialah soal siapa menang siapa kalah. Dan tiada siapa mampu mengalahkan kasih sayang ibu kepada anak menantu.

Anak hanya belajar menghargai kasih sayang ibu bapanya apabila akal sudah hidup di kepala, namun ibu bapa sudah menyayangi anak sebelum lahir ia ke dunia.

Ibu mertua saya sudah membahasakan dirinya emak, pada hari pertama saya datang merisik. Tiada siapa yang boleh mengalahkan kasih saya emak mertua saya kepada anak-anak, sekalian menantu dan cucu-cucunya.

Kerana itu, emak masih cuba memujuk saya, dan siapalah saya untuk berkeras kepala semasa menyusun tapak untuk bertandang menyertai keluarganya.

Saya hargai penjelasan emak dan ia sudah cukup lapang buat hati saya.

Saya melangkah, disatukan dengan isteri di depan rumah, dan kami melangkah masuk ke rumah.

“Cepat, cepat! Jangan nak lama-lama. Duduk sekejap sahaja!”, kata ipar-ipar saya semasa kami berdua didudukkan di atas kerusi berhias.

Saya sebenarnya tenang sahaja. Mungkin mereka yang bimbang saya ‘meletup’ kerana tahu saya tidak begitu menyukai upacara ini.

Duduk seketika, ahli keluarga mengambil gambar dan kami bangun semula menuju meja santap untuk makan bersama.

Seperti kata abang Danial di dalam rancangan ‘Cari Menantu’ semalam, seorang pengantin bukan hanya berkahwin dengan pasangannya. Pengantin turut berkahwin dengan keluarga pasangannya. Maka soal mengambil hati dan menyesuaikan diri dengan keluarga dan sensitiviti mereka, adalah sebahagian daripada tanggungjawab berumahtangga.

hari2.jpg
Di rumah pengantin lelaki, majlis lebih ringkas

Atas prinsip proaktif, fokuslah pada apa yang kita mampu mengawal dan mengubahnya. Maafkan percanggahan yang ada. Maafkanlah kebiasaan yang ada dan cubalah untuk minimumkan apa-apa yang agama tidak suka. Namun, kuatkan azam kukuhkan keyakinan agar generasi kita yang tersepit di antara adat dan agama ini, tidak mengulanginya ketika hari kita menyambut menantu.

Jika anak-anak muda yang idealistik dengan kefahaman Islamnya, dan mahu bertegang leher menjelang hari perkahwinan, saya tiada upaya untuk berbuat apa-apa. Terpulanglah kepada mereka. Namun bagi yang sedar dengan realiti, bahawa cara kita dan bakal isteri memahami Islam mungkin berbeza daripada apa yang difahami oleh generasi ibu bapa, lantas mahu teliti dan berhalus dalam menentukan sikap dan tindakan, maka artikel saya ini adalah perkongsian pengalaman untuk dimanfaatkan bersama.

Tentu sahaja contoh ini bukan contoh yang terbaik. Namun dengan keupayaan semasa itu, saya telah mencuba yang terbaik.

Kita harus ingat bahawa rumahtangga bukanlah hal sehari dua. “Oh, aku sudah bernikah. Maka dia adalah isteriku dan aku berhak sepenuh ke atasnya!” Jangan sekali-kali berfikir begitu.

Berumahtangga bukan hanya menggabungkan dua insan, malah ia mempersaudarakan dua keluarga. Di dalam sebuah keluarga, ada pelbagai peringkat dan tahap seseorang di dalam menilai dan melihat Islam.

Jangan pula kerana mahu membuang adat, kita turut membuang adab.

Janganlah pula pada hari kita “menyambut mertua”, kita hilang pertimbangan. Jangan kerana menegakkan agama, kita hilang budi bahasa. Jangan ketika masih di rumah ‘orang’ kita masuk berjalan tempang.

Tunggulah hari kita “menyambut menantu”. Segala kesulitan yang kita hadapi dalam menekuni kesulitan belenggu antara adat dan agama, jadikan ia sebagai suatu teladan. Kita adalah generasi jambatan antara zaman adat dan zaman syariat. Tersepit dan keliru, adalah habuan untuk generasi ini. Namun belajarlah untuk menelitinya. Agar tiba hari kita mengatur perkahwinan suatu hari nanti, anak-anak kitalah generasi yang dapat menikmati Islam yang ringkas, namun kekal indah di dalam syariat Allah.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Related posts:

  1. Biar Pun Atas Nama Anak Yatim “Nak, beli madu ni nak. Bagus madu ni”, kata pakcik...
  2. Jangan Remehkan Keselamatan Anak-anak Imad semasa diberi nebulizer di Wad Kecemasan (A&E) untuk membuka...
  3. Desa Mati, Kota Sesak Separuh Mati Rumah Mak Yang di Bota Kiri “Semua kosong!”, saya terkasima....
  4. Jangan Mangsakan Anak Muridku Bersama pelajar-pelajar Malaysia dan Singapura yang setia membantu saya menjalankan...
  5. Dosa Kita Mengatasi Kesalahan Anak-anak “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada...

 

46 Responses to “Biar Mati Anak Jangan Mati ‘Adat’”

  1. nameless says:

    assalamualaikum..

    diri ini ‘tiadanama’ ,
    tapi artikel ini sangat bermakna,
    buat pencinta sunnah agama,
    moga ALLAH mudahkan langkahnya…

    -bertindak dlm circle of influence..itukah mesejnya?

  2. LJ says:

    ustaz , tersenyum saya membaca entry ustaz ni, bukan apa saya dulu memang nekad tak nak kawin di tanahair sebab nak elakkan adat yang tak sekepala dengan saya tapi kini bila tiba giliran anak bujang saya nak meminang bunga di taman, saya rasa kena jugak masukkan adat melayu sedikit dalam proses pra/post perkahwinan tapi anak saya pula nampak macam menentang ….taktaulah mungkin naluri ibu ingin juga lihat ‘adat yang cantik’ diambilkira…..

  3. taqeyyabella says:

    emm… kat mesir ramai kengkawan yang buat walimah yang diatur keadaannya sehingga tetamu lelaki tak dapat lihat sama sekali tetamu perempuan dan pengantin perempuan begitu juga sebaliknya.

    Semoga perkahwinan jadi penyebab persatuan, silaturrahim dan dakwah bukan ajang menunjuk-nunjuk, maksiat dan permusuhan.

    Doakan kami “bujang-bujang” abad ini dapat melakukan pernikahan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

  4. syarief says:

    toleransi dengan adat. saya fikir tak ramai mampu menilai sehebat abu saif terhadap apa yang perlu ditoleransi. betapa di sini, kesinambungan ilmu dan hikmah itu perlu digarap. ilmu ditimba demi kefahaman tentang pernikahan yang sunnah yang sahih. hikmah disalut agar mampu mempraktikkannya di hari kejadian kelak.

    apabila ada yang menyatakan zaman ini bagaikan zaman transisi. saya mendoakan agar transisi akan berlaku semaksimum mungkin. dan agama tidak lagi disadur adat. agar kelak, sunnah tepacak sebagai panduan agung yang praktis, pembangkit harmoni umat islam di malaysia.

    aktifkan diri menuntut ilmu. memahami kehendak syariat. latih juga diri praktikal hikmah. supaya mesej diterima mad’u. dengan lapang hati dan jiwa.

    allahu a’lam

  5. elbaritii says:

    Bersanding, apakah yang haramnya pada sebuah persandingan? Apakah sebab ianya diharamkan?

    Arak, diharamkan bukan kerana namanya, atau botolnya, atau pancutan gasnya…

    Jika kita meneropong amalan persandingan, apakah yang diharamkan itu kerana duduk bersebelahan? Kerana tangan diriba? Kerana dilihat ramai orang? Kerana membuka aurat? Kerana ingin memperkenalkan anak menantu? Kerana ditepung tawar, direnjis limau? Kerana dikipas pengapit? Kerana diraja seharikan? Atau kerana tujuannya?

    Cuba kita lihat satu persatu situasi di atas, tetapi berlaku di luar majlis tersebut?

    Maka yang jelas haramnya ialah:-
    1. Membuka aurat
    2. Amalan merenjis limau dan ditepung tawar ( bersalaman bukan mahram )
    3. Tujuan yang salah, walau apa amalan sekalipun, seperti menunjuk2.

    Jika persandingan dilakukan tanpa ketiga2 perkara di atas? Apa pula hukumnya?

    Tambahan pula jika ada yang menegaskan bersanding dengan tujuan mengambil matlamat “iklan nikah” dan memberi peluang untuk ucapan tahniah oleh rakan2 dan sanak saudara…

    Mmmm sori ustaz, merepek kat komentar nih…boring nih. :)

  6. elbaritii says:

    Tapi saya tak bersanding. Alhamdulillah, mak ayah mertua ada kefahaman. Pernah ikut usrah zaman muda mereka.

    Namun, jangan sekali-kali ditiadakan pelamin perkahwinan. Hilang serinya sebuah majlis percantuman dua insan, dua jiwa dan dua keluarga tanpa pelamin, walaupun seringkas mana.

    Pengalaman saya, kami abadikan majlis mulia itu di situ dengan dimasukkan ke dalam kepingan-kepingan memori.

  7. saifulislam says:

    Secara jujur, setiap kali saya menulis artikel, saya cuba berhati-hati memilih perkataan. hampir setiap perkataan, ada sebab saya memilihnya. sebenarnya, sangat banyak isu yang saya selitkan di dalam artikel di atas. harap sahabat janganlah hanya tumpu pada satu dua benda, ikut mana yang kita nak kata sahaja.

    Adalah tidak mudah untuk saya menulis berkenaan dengan tajuk ini kerana ia membabitkan diri saya, isteri dan keluarga. kerana itu, saya memilih dengan teliti setiap perkataan agar ia diletakkan dalam bahasa muhasabah dan menilai, bukan bahasa menghukum dan berkhayal dengan teori.

    Tidak perlu dibangkitkan soal hukum di sini. hal membabitkan persandingan, atau menepung tawar, atau bertabarruj dan lain-lain, semuanya telah sama sedia difahami. matlamat artikel saya bukan untuk memberitahu hukum yang semua orang sudah sedia tahu. tetapi saya mahu berkongsi pandangan, andaikata ada di kalangan kita, khususnya adik-adik yang belum berkahwin, jika bimbangkan hal-hal yang bersangkutan dengan hukum, pada hari perkahwinan, maka bijaksanalah dalam tindakan.

    Dalam suasana majlis perkahwinan, jika pengantin lelaki tiba di rumah pengantin perempuan, dan didapati isterinya disolek berlebihan, takkanlah pengantin lelaki mahu ‘bertindak’ marah, mengamuk, memasamkan muka dan ‘jadi perwira budak-budak’ di dalam majlis. lupakah pada keterbukaan nabi saw untuk membiarkan sahaja si badwi yang sedang kencing di masjid nabi, menghabiskan ‘urusannya’ itu, sebelum dakwah boleh dilaksanakan.

    Usahakanlah sebelum majlis perkahwinan untuk mengatur sebaik mungkin. akan tetapi jika ada perubahan last minute, terimalah seadanya dengan tenang. dakwah kita kepada diri sendiri, isteri, suami dan keluarga, nak dibuat sepanjang hayat. Bukannya sehari dua. Maka pada hari pertama kita disatukan, sikap yang tenang dan matang, amat penting.

    Secara jujur, apa yang saya catatkan ini adalah sesuatu yang amat peribadi. Bukan mudah membuka ruang untuk majlis perkahwinan sendiri dikritik sewenang-wenangnya, terutamanya oleh orang yang belum berkahwin dan asyik berteori. Saya yakin, bagi mereka yang telah berkahwin dan mengalami apa yang saya ceritakan, tahu betapa BESARnya ujian di ambang majlis perkahwinan.

    Kita ada kekangan financial, kita ada tekanan emosi, ada kerisauan terhadap 1001 perkara… walaupun Islam mengizinkan poligami, tetapi memandangkan betapa hebatnya cabaran semasa mahu mendirikan rumahtangga, ramai yang kata.. Alhamdulillah bersyukur dan berpadalah dengan apa yang ada :) (Saya bergurau sahaja..)

    Dan jangan lupa, tujuan saya menulis artikel ini juga adalah kerana concern dengan keluhan Brother Shah Kirit tentang majlis perkahwinan adik kesayangannya Danial Kakulai yang bakal dilangsungkan bersama TV9 dalam rancangan “Cari Menantu” hujung bulan ini. Tulisan saya adalah untuk menghulurkan secebis sokongan moral kepada Bro. Shah, bahawa cabaran perkahwinan antara ‘saudara baru’ dengan seorang Muslimah, bukan hanya pada mendamaikan dua agama, tetapi juga pada adat dan agama… yang sama rumit, sama memeningkan.

    SELAMAT PENGANTIN BARU DANIAL KAKULAI DAN ADAWIYAH, Semoga Allah menghimpunkan kalian berdua di dalam kebaikan dan dikurniakan kesejahteraan yang berkekalan…

  8. imad_hukm says:

    terima kasih ustz…guide line yg TERSUSUN bg mereka2 yg mahu mengambil teladan (susah jugak ek?- pening2)

  9. yanti says:

    alhamdulillah..this is soooo a good guideline 4me..jzkk ustaz..

  10. Kak Ija says:

    Assalamualaikum,

    Bagi pihak ustaz, erti hidup pada memberi bagi pihak pengunjung web nih, niatnya adalah untuk membetulkan sikap dalam berdakwah dan mentarbiah, terutama terhadap golongan yang lebih berusia dari kita. Contoh ustaz ni memang cukup menarik, bakal keluarga pasangan yang akan terus kita jalinkan silaturrahim.
    Point kedua ustaz adalah sikap kita terhadap ilmu Islam yang membawa pandangan dan pendekatan kita terhadap Islam. Bukan perkara yang mudah untuk memahami kesyumulan Islam dengan artikel-artikel di sana-sini yang bermutu tetapi penerimaan dan pencernaan tidak mengikut maratib (hierarchy) ilmu Islam.
    (Alamak, ni komen untuk artikel lain, terkeluar tajuk ke?)
    Walaubagaimanapun, syabas kepada yang berusaha memahami Islam dengan bersungguh2, semua dipermudahkan Allah.

  11. ain melaka says:

    assalmualaikum ustaz, alhamdulillah…

    terima kasih bebanyak2….ustaz….ini membuat saya lebih rasional dalam hal di atas….maklum saja lah…akak saya akan berkahwin….dan hal di atas pasti berlaku…dan sudah pastinya saya ‘akan meletup’ dan ‘terluka’ akhirnya……

    artikel ustaz menyebabkan saya lebih rasional , terima kasih ustaz….

    saya bertambah yakin, Allah sentiasa memberi jalan keluar setiap masalah saya……Dia sentiasa memandang saya…cuma kekadang saya saja yang lalai ‘mengaut keredhaanNya’ermmm

  12. minny says:

    assalamulaikum ustaz,
    saye ade hal untuk ditanyekan..berkaitan dengan perkahwinan, adat. memang normal untuk kite rase suke dan jatuh cinte. dan cinta tu kan satu perasaan yg mbahagiakan.mencintai adalah memberi, tidak tamak, berkongsi,….pendek kate satu bende yg murni. tapi bile kite mencintai, kita rase jugak memerlukan dan menginginkan org itu dekat disamping. jadi bagaimana nak menghalang cinta yang tulus tu dari terdorong pade keinginan yg membawa pula pade maksiat. lebih2 lagi jika tak boleh kawin memandangkan kebiasaan, habis study baru boleh kawin. kerana cinta sepatutnye memperkukuh agama dan bukan merobek2 mengotorinya kan.. ‘maksiat’ yg saye katekan bukanlah sekronik penzinaan.. tetapi seperti rase2 macam nak pegang tangan atau bermanje, yg masih haram bg org yg belum berkahwin tetapi serupa ibadah bg org yg sudah. jadi bagaimanakah wahai ustaz?

  13. saifulislam says:

    assalamualaikum semua.

    untuk komen minny (12) harap dapat baca kedua-dua artikel pada bulan september 2006 iaitu Erti Sebuah Perkahwinan dan yang keduanya Menguruskan Fikiran Tentang Perkahwinan.

  14. husna1399 says:

    assalamu’alaikum..

    AlhamdulilLah, best baca artikel nih.. syukran Ustaz, sangat2 membantu agar bersikap dengan lebih rasional dan berhikmah..

    Memang tak sangka Danial itu adik Brother Shah Kirit.. Mabruk ‘alaikuma..

  15. Abu MZ says:

    Alam Minangkabau bukan sekadar tanah adat (yang dilihat punya banyak tentangan dengan hukum syariat). Namun usaha pengislahan telah berjalan sejak kurun ke 18 lagi apabila ulama-ulama berusaha untuk menjadikan adat minang ‘syariat complient’. Merekalah yang telah meminda kata-kata perbilangan dari ‘Biar mati anak….Jangan Mati adat’ kepada ‘Adat bersendi hukum…Hukum bersendi Kitabullah’

    Tanah adat Minangkabau juga adalah medan jihad utama di dalam sejarah penentangan penjajahan Belanda.

  16. ubai_upm says:

    takut la nak kawen…adei. Tapi kene kawen gak…huhuhu

  17. shiha says:

    Salam… erm.. tatkala sebelum sampai hari akad, niat di hati untuk redha dgn segala apa yg bakal berlaku. Tak sangka, dugaan yg melanda benar-benar mencabar minda. Sampai kawan2 yg hadir pun turut sebak. Namun setitis air mata pun tak mengalir, di atas nekad redha tadi. Bukan salah sesiapa. Redha segalanya. Alhamdulillah akhirnya selamat..

    Namun dugaan selepas berkahwin lebih besar rupanya.. macam tsunami besarnya..

    Jadi, kalau hari berkahwin yang satu hari tu saja sudah takut dan risau… macam mana agaknya nak menempuh alam perkahwinan yg jauh lebih mencabar dan panjang tu? Hmm.. peringatan untuk diri sendiri sebenarnya..

    Terima kasih ustaz… coretan ustaz ni mengingatkan saya dgn memori silam ;)

  18. wewr says:

    hm…hm…
    Menyelam ke lubuk ilmu Islam dan adat ni, menjadikan saya sering tertanya-tanya, apakah akan berlaku dalam majlis perkahwinan saya nanti….
    Antara kata-kata orang luar dan kata-kata kita dan keluarga..
    Antara kata-kata ilmu dan kata-kata adat…
    Antara reformasi dan anarki
    Antara diri dan Tuhan!

  19. saifulislam says:

    utamakanlah pandangan Allah, daripada pandangan manusia… jika kita tahu apa pertimbangan kita di sisi Allah… pedulikan sahaja kata-kata manusia… yang dijadikan Allah satu mulut dua telinga, tetapi lebih banyak bercakap dari mendengar…

  20. aye says:

    Syukran Ustaz, insya’Allah boleh dijadikan panduan buat ana yg akan melangkah ke gerbang perkahwinan tak tau bile lg……hehe…..
    Tp, reality masyarakat kampung ana akan buat ala kadar je…. tiada rengis2…just skadar duduk dipelamin dan ambil ganbar…. tak pernah lg laa buat mcm yusri dan era atau DK dan DS….. hehe..

  21. aye says:

    Syukran Ustaz, insya’Allah boleh dijadikan panduan buat ana yg akan melangkah ke gerbang perkahwinan tak tau bile lg……hehe…..
    Tp, reality masyarakat kampung ana akan buat ala kadar je…. tiada renjis2…just skadar duduk dipelamin dan ambil ganbar…. tak pernah lg laa buat mcm yusri dan era atau DK dan DS….. hehe..

  22. zaki says:

    Mungkin zaman sekarang, bersanding lebih boleh diterima. Orang bersanding pakai tudung, tidak lagi janggal.

    tapi tahun 70-an, wajib perempuan bukak tudung kalau naik pelamin. maka, seperti ibu saya, menentang utk bersanding, bukan kerana isu sanding, tetapi kerana perlu membuka tudung dan aurat.

    bagi saya, pergi balik kepada kenapa salah bersanding. adakah bersanding yang salah, atau isu2 lain? jika bersanding yang salah, maka salahlah ia. tapi jika isu2 lain, kalau dibetulkan, maka tak salah lah bersanding..

  23. wewr says:

    Mungkin bukan zat bersanding pada asalnya tu yang menjadikannya salah. Tapi unsur2 luar yang akhirnya menjadi sebati dengan istilah sanding.

    Isu-isu dalam sanding adalah,
    1) Tabarruj
    2) Buka aurat
    3) Zinatul mar’ah liman la yastahiqqun nazar ilaiha – Menghias wanita untuk sesiapa yang tak boleh melihatnya.
    4) Adat Hindiah – tepung tawar, renjis itu ini, tabur itu ini, dan lain-lain yang bersangkutan.
    5) dan lain-lain yang mungkin ana tertinggal, terlupa sebut.

    Tapi pada ana, kalau semua unsur di atas tidak ada, maka, sanding yang bukan sanding (dicantas sifat asalnya itu), tidak menjadi kesalahan. Dan tidak pula diwajibkan. Mungkin ketika itulah baru boleh meraikan adat.

    Adat yang bersalahan dengan syariat, akan terbatal. Ini baru betul. Bukan undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan negara terbatal dengan sendirinya.

  24. saifulislam says:

    Saya rasa, selagi kita mengulang bab mana yang harus dan tidak harus dalam sebuah majlis perkahwinan, maka selagi itulah artikel saya gagal mencapai maksudnya. Apa yang ingin saya ketengahkan ialah bagaimana sepatutnya kita berdepan dengan situasi di mana ada pertentangan agama yang berlaku nak dihadapi secara praktikal.

    Mungkin ada terfikir, susah2 nak elak bersanding dll, baik aku kahwin dengan anak yatim piatu sahaja. Well, option itu ada, tetapi di alam realiti tak mudah berlaku. Maka dalam keadaan sebuah keluarga, soal mempertahankan syariat dan mengelak diri dari adat2 yang bertentangan… memerlukan kombinasi hukum dan hikmah.

    Inilah yang saya harapkan daripada perbincangan antum. Iaitu bagaimana nak bertindak secara praktikal dan berhikmah. Clarification hukum boleh dibuat di artikel atau halaman yang fokus kepada hukum.

  25. Learner says:

    assalamualaikum. sy hanya ingin meluahkan apa yg bermain difikiran sy selama ni. sy msh belum berkahwin dan bila sampai masanya nnt, sy ingin berkahwin tanpa adat2 yg ‘bertentangan dgn agama’. tp sy x pasti adakah benar2 hati sy x nak berkahwin berkahwin tanpa adat2 yg ‘bertentangan dgn agama’ kerana sy cintakan agama atau takut dikritik oleh golongan ‘bijak pandai’ agama’. mungkin sy belum menemui ‘ilmu ikhlas’ seperti dalam filem ‘kiamat sudah dekat’. diharap ustaz dan rakan2 yg lain sentiasa mendoakan saya supaya cpt2 menemui “ilmu ikhlas” tersebut..

  26. Muadzafri says:

    Assalamualaikum,
    Sy pernah mengalami situasi sebegini. Mmg masa awal2 plan mcm2. Siap bagi keterangan dgn isteri, dah konfirm dgn isteri, settle lak dgn famili.. suma faham. Tgk2 masa hari majlis, bukan sahaja ada pelamin, siap ada main tepung tawar.. naik pening kepala, tgk2 rupa2nya sedara-mara, makcik-pakcik suma yg aturkan benda. So jalan je la. Takkan lak nak mengamuk or lari dari majlis.

    Seperti yg ustaz sampaikan, kita nak dakwah masa panjang dan bila berkahwin bukan dgn isteri sahaja tapi dgn familinya sekali. Mungkin awal2 dpt fahamkan isteri, tp kemudian2 dapat fahamkan famili dia, dan seterusnya.

    saya juga pernah terdetik malah banyak kali mengkritik dalam hati pada member2 kawin yg faham benda2 nih tapi masa majlis ada jugak upacara2 mcm ni, tapi dah kena kat btg hidung sendiri baru tahu.. So mungkin masa majlis terkantoi, tp lepas majlis kita ada masa yg jauh lagi panjang utk dakwah. Cuba bayangkan kita buat hal masa majlis, lari ke mangamuk ke protes, so mcm mana kita nak dakwah pada keluarga sebelah isteri kita yg kurang faham ni kelak? ini apa yg saya paham le dari apa yg ustaz nak sampaikan.

  27. saifulislam says:

    exactly. mabrook

  28. wewr says:

    Komen no 26 mengingatkan saya terhadap seorang kawan saya. Dia begitu melenting melihat kenduri kahwin seorang senior saya. Sampai bergaduh kami malam tu…Tapi senior tu tak tahulah…

    Bila tiba kenduri dia, sama saja berlaku sebagaimana yang dia tak suka tu. Oh…

    Apa yang kita cakap, Allah akan uji kita. Betulkan ust?

  29. shaabana says:

    aslm..kdng2 bile teringt psl kawin ni, sy takut..mmg kawin itu sekali je seumur hidup n mmg sume orng klu bleh nak buat yg hebat, yg terbaik..tp bg saya yg terbaik itulah yg menurut quran n sunnah..n sy dh ckp kat famili sy since sekrng, alhamdulillah diorng mcm bleh terima..tp xtau la ape nk jd masa depan..hrp2 sy dpt kawin dgn orng phm sunnah.. :)
    btw, tahniah kat danial n adwiyah, smg ini dpt menjdi anjakan paradigma utk berdakwah..

  30. Kak Ija says:

    Assalamualaikum,

    I think more than 40 comments has been deleted. But, alhamdulillah there are quite a few who got the message. Well, ustaz target is 1 or 2 person perday is good enough.
    Tolerance and principle, how do youngsters strike a balance? Obviously they have to be ready for it. InsyaAllah

  31. [...] Misalnya artikel Erti Sebuah Perkahwinan dan Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat. [...]

  32. fkhir says:

    Teringat dulu pernah terbaca kisah Saiful al-Nazzar Abu Bakar al-Baqilani

    Beliau diarahkan sebagai duta ke sebuah negara kafir. Adatnya dalam negara tersebut setiap orang yang ingin mengadap raja mereka perlu ruku’ sebagai tanda memuliakan raja. Sebagai seorang Islam al-Baqilani sudah tentu tidak akan tunduk kerana ia bertentangan dengan thawabit (yang tak boleh berubah) dalam agama Islam; haram ruku’ atau sujud kepada manusia. Kelakuan al-Baqilani ini sudah tentu menimbulkan rasa kurang senang bagi pembesar negara. Tetapi apa kan daya, seorang duta ada kekebalannya yang sendiri.

    Bagi memaksa al-Baqilani untuk ruku’ , maka di buat helah. Untuk kali berikutnya, al-Baqilani diminta untuk masuk melalui pintu yang lain. Pintu itu berhadapan dengan si raja dan dibuat rendah dengan harapan al-Baqilani akan terpaksa tunduk ruku’ masuk ke dewan pengadapan. Sememangnya al-Baqilani tunduk ruku’ masuk ke dewan tersebut tetapi…..

    beliau masuk dalam keadaan membelakangkan raja. Maka yang masuk dulu adalah…….beliau..

    Kadang-kadang kita perlu terus kekal dengan thawabit tetapi dengan cara yang tidak menimbulkan kekeruhan. Itu yang terbaik…Cuma tak semua orang dapat macam tu!!
    Allahumma saddid khutuwati fi dunya wa al-akhirah.

  33. [...] Akhirnya, jangan lupa untuk berbincang secara baik apakah expectation masing-masing menjelang hari perkahwinan. Jangan pula tiba-tiba pengantin lelaki bersilat pulut menentang pelamin, kerana tidak berbincang dengan baik untuk persediaan diri. Semuanya telah saya perkatakan di dalam artikel BIAR MATI ANAK JANGAN MATI ADAT. [...]

  34. melur says:

    salam..
    saya dilahirkan di dalam suasana bandar dan setiap kali majlis kahwin diadakan,persandingan adalah suatu kelaziman dan budaya..pada saya,bersanding atau tidak itu bukan persoalnnya..yang penting betapa besarnya hati keluarga mertua menerima kita..dan kita menjalankan walimatul urus ini adalah mengikut kemampuan, budaya dan suasana persekitaran..kalau keluarga mertua boleh menerima perkahwinan tanpa persandingan,senanglah begitu..tapi jikalau kita risau bantahan kita terhadap persandingn akan melukakn hati pihak tersebut, ikutkan sahaja asalkn tidak keterlaluan..
    islam itu mudah..sederhana..dan sempurna..kena ingat tu..

  35. [...] ke Saifulislam.com aku tidak ingat bila. Rasanya artikel pertama beliau yang aku baca adalah “Biar mati anak jangan mati adat“, iaitu berkaitan dengan Hukum dan Adat, yang mengupas mengenai penerimaan adat-adat melayu [...]

  36. [...] nice article..thanks for this brother..i take from here.. http://saifulislam.com/?p=126 [...]

  37. menj says:

    Menarik membaca pengalaman Ustaz ni. Dakwah perlu dibuat secara halus, bukan dipaksa.

  38. [...] Akhirnya, jangan lupa untuk berbincang secara baik apakah expectation masing-masing menjelang hari perkahwinan. Jangan pula tiba-tiba pengantin lelaki bersilat pulut menentang pelamin, kerana tidak berbincang dengan baik untuk persediaan diri. Semuanya telah saya perkatakan di dalam artikel BIAR MATI ANAK JANGAN MATI ADAT. [...]

  39. afah says:

    Salam.
    Jazakallah ustaz… entry menarik yg sangat bermanfaat kpd para daie utk lebih ‘fleksible’ berpijak di bumi nyata dan bukannya ‘robotik’ kepada teori semata!

    Dulu ana tidak berapa peduli kepada entry2 yg menyentuh bab nikah-kahwin. Tapi kini, apabila tinggal beberapa bulan sahaja lagi bakal bergelar isteri orang, memang tercari-cari bahan bacaan sebegini, yg benar-benar praktikal utk dijadikan panduan dan amal.
    Memang sukar untuk puaskan hati semua orang, nak jaga hati semua pihak… Antara nak raikan adat, jaga hubungan persaudaraan dan ‘kejar’ sunnah dalam beramal. Sungguh, ilmu dan hikmah menjadi pertimbangan.Kita hanya mampu merancang sehabis baik berlandaskan ilmu dan fikrah yg kita miliki.

    Di pihak ana sendiri pun menghadapi kesukaran dalam ‘meraikan’ pandangan saudara-mara terdekat yg sememangnya rapat. Menjadi perintis pemecah tradisi yg menebal sejak turun temurun memang bukan perkara mudah. Silap langkah, famili sendiri bakal menjadi bahan fitnah dan cemuhan orang kampung. Baru saja sebut plan tak nak sanding, pak2 dan mak2 saudara semua dah berkerut dahi. Mereka kata ‘kahwin koboi’!!!

    Berdebar juga menanti ‘hari bersejarah’ tu. Tidak hanya kerana bakal menempuh alam baru dan anugerah amanah baru, bahkan juga apa rupa jadinya majlis ana itu nanti? Lebih-lebih lagi bila mak2 saudara nanti yang akan menjadi teraju majlis tersebut… hanya kepada Allah tempat bergantung harap.
    Doakan ana.

  40. pawie says:

    adat nie rasenye blh diciptakan….tapi kalo anak tu dah sah Anugerah Allah ,rezeki drpd Allah untuk manusia yang ditugaskan untuk jadi khalifah dimuka bumi nie,kalo dah takde anak nanti pun susah jugak takde pewaris…so adat kalo mati pun mungkin org blh renew adat tue….tapi kalo mati anak nak kene buat anak balik…blh buat anak balik takpe,kalo langsung pastu dah tak blh nak buat anak (zuriat terhenti atau mandul) kan susah….tgk russia dan negara2 bekas SOVIET…konon2 guna adat komunis…alih2…bile adat komunis tak dipersetujui negara2 lain….mana pergi adat komunis yg ade…so adat nie pada saya cuma acuan untuk harga diri dan jati diri masyarakat n bangsa shj…ade tak bangsa lain yg kate ..rela korbankan anak untuk adat….kalo yg korbankan anak untuk agama cth kisah Nabi Ibrahim A.s dan Nabi Ismail A.S kerana tuntutan agama dan perintah Allah..nie tak ,biar anak mati takpe asal yg ditegakkan adalah adat….itu jelah kot ulasan saya….

  41. pawie says:

    mungkin tak de kene-mengena sbb …sy tgk byk kisahnye pasal rumah tangga,harta n lain2….o.k takpe tak jadi masalah cuma ulasan shj….

  42. Di says:

    syukran ustaz..penjelasan yg jelas. saya pn pening bila fikirkan bagaimana nak mengelakkan bersolek dan bersanding..

  43. bingung says:

    Assalamualaikum Ustaz,

    Artikel yang sangat menarik dan bermanfaat, Insyallah.

    Boleh tumpang tanya tentang adat-adat melayu yang masih dipraktikkan oleh masyarakat Melayu Islam dalam majlis perkahwinan.

    Kuda kepang, renjis merenjis air mawar, silat dan duduk atas pelamin. Inilah yang diinginkan oleh bakal ibu mertua.

    Bagaimanakah saya boleh memberitahu bakal ibu mertua saya bahawa ini semua adat resam yang tidak boleh dilakukan dan apakah sebab-sebab yang harus saya berikan kepadanya.

    Seumpamanya, kuda kepang sekarang bukan macam dahulu – ia sudah jadi aktiviti untuk meriahkan majlis dan orang yang joget kuda kepang tidaklah memanggil orang halus atau “spirits”.
    Hukum kuda kepang masih haramkan?

  44. akira says:

    alhamdulillah…trma ksh ustaz…atas entri ini..btl2 membantu saya..

  45. sufrimahmud says:

    Assalamu’alaikum ya Ustaz,

    Satu artikel yang sungguh menarik untuk dibaca, apatah lagi menceritakan tentang adat resam masyarakat Melayu yang sudah berakar umbi sejak sekian lama. Terukir senyuman kecil tatkala membaca ‘bisikan hati’ ustaz ketika majlis walimah ustaz tersebut, teringat pula kenangan bergelar ‘raja sehari’ saya sendiri beberapa bulan yang lepas.

    Memang benar, andai kita yang ‘bertegas’ untuk menegakkan sunnah dalam majlis2 seumpama itu, maka hendaklah kita lakukan dengan cara yang berhikmah. Emosi dan tindakan kita kenalah dikawal dengan kebijaksanaan. Akan menjadi sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah andai kita ‘meletup’ tatkala majlis sedang berlangsung, disaksikan pula oleh ratusan mata-mata manusia yang hadir.

    Sekadar berkongsi pengalaman saya sendiri, suka saya ingin berkongsi cerita tentang majlis walimah saya pada bulan Februari yang lepas. Beberapa bulan sebelum hari pernikahan dan “persandingan”, saya dan ibu serta ayah berbincang dengan penuh “intensif” tentang atur cara majlis.

    Saya yang sejak dahulu tidak suka dengan adat persandingan, tepung tawar, dan sebagainya, memang sejak sekian lama memberitahu ibu agar tidak melakukan bid’ah2 yang terlarang dalam majlis perkahwinan saya. Saya ingin menegakkan sunnah dan ingin orang ramai lihat sendiri tentang tata cara perkahwinan menurut lunas-lunas Islam.

    Tetapi apakan daya, saya ini hanyalah insan yang lemah. apa yang mampu saya lakukan ialah:

    1. tidak mengadakan barzanji/marhaban ketika majlis.

    2. tidak apa tepung tawar dan beras kuning, tapi pelamin dan mawar renjis tetap ada. Duduk atas pelamin pun sekejap je, tak sampai 5 minit :)

    Tetapi saya puas dan bersyukur, kerana, kaum keluarga tidak ada yang merungut atau “complaint’ itu dan ini. Mereka menerima baik saranan dan cadangan saya agar tidak dibuat adat2 Melayu yang begitu (iaitu yang berasal daripada agama lain dan ada unsur2 khurafat).

    Natijahnya, dakwah untuk mematikan bid’ah dan khurafat adalah dakwah yang perluakan kesabaran, kerana ia memakan masa.

    Sebagaimana ‘tua’nya amalan tersebut, maka begitu jugalah masa yang akan diambil untuk kita hapuskannya.

    Perbincangan dan penerangan kepada ahli keluarga amat penting dalam mengendalikan majlis2 begini. Kita perlu tegas, tapi dalam tegas kena berlemah lembut, apatah lagi apabila berhadapan dengan ibu bapa kita.

    Insya Allah, andai kita tetap sabar dan istiqomah, dan bertawakal kepada Allah, pasti Allah akan mengurniakan kejayaan.

    Wallahu a’lam.

Leave a Reply