
Kenangan bersama Dr. Abdul Aziz Hanafi ketika mengunjungi kota London (1999)
“Hari ini ustaz free. Ustaz nak pergi jalan-jalan ke mana? Kami boleh bawakan”, saya memberitahu Ustaz Dr. Abdul Aziz Hanafi yang bermalam di rumah kami di High Street Kensington.
Ketika itu Dr. Abdul Aziz Hanafi baru sahaja pulang ke Malaysia selepas perkhidmatan panjangnya sebagai pensyarah di sebuah universiti di Brunei Darussalam. Kami menjemputnya sebagai tetamu Perhimpunan Musim Sejuk 1999.
“Tak ada program?”, tanya Ustaz Aziz seakan terkejut.
“Permintaan banyak ustaz. Tapi kami tolak semua. Kami nak bagi masa untuk ustaz buat apa-apa yang ustaz hajatkan. Sama ada ustaz nak rehat, atau nak jalan ke mana-mana, ustaz just beritahu kami”, Nasreel memberi penjelasan.
“Iye? Alhamdulillah”, balas Ustaz Aziz. Wajahnya sungguh cerita dan penuh gembira. Seperti tidak menyangka yang dia akan ada peluang seperti ini.
“Ana tak ada nak ke mana-mana sangat. Cuma, di London ni ada tak kedai buku Arab? Ana nak ke kedai buku Arab, dan kedai runcit Arab. Itu sahaja”, kata Ustaz Aziz.
“Hah, ustaz. Amacam?”, Nasreel bertanya saya, yang hari itu menjadi ustaz kecil dengan kehadiran ustaz besar, tokoh yang kami kasihi, Dr. Aziz Hanafi.
“Oh, tak ada masalah. Ada dua tiga kedai ana boleh bawa ustaz. Cuma dari segi pengangkutan, ustaz nak naik teksi atau naik keretapi Underground?”, saya mahu mengoptimumkan hari ini untuk menceriakan Ustaz Aziz yang exhausted selepas begitu banyak sesi ceramah yang telah diisinya.
“Elok kita naik Underground. Kali terakhir ana naik Underground, masa belajar di Mesir dulu”, balasnya.
“Ok, settt!”, kata Nasreel. Bersetuju dengan perancangan kami.
Saya dan Nasreel menemani Ustaz Dr. Abdul Aziz Hanafi ke kedai buku di Westbound Grove dan Baker’s Street. Ada lagi dua tiga kedai buku yang lebih baik di Zon 3 dan Zon 4 London tetapi Ustaz Aziz sendiri agak kepenatan. Namun wajahnya sungguh ceria. Bukan sahaja dengan buku-buku yang dibelinya, malah peluang merasai ‘kehidupan orang London’ ketika menggunakan kenderaan awam dan menyertai hiruk pikuk pagi itu di Kota London.
Semasa di Westbound Grove, Ustaz Aziz juga singgah ke kedai runcit Arab.
“Hari ini, ana hendak antum semua berehat. Ana nak masak!”, kata Ustaz Aziz.
“Eh, jangan macam tu ustaz. Penat ustaz nanti”, kami terkejut.
“Tak apa. Ana pun bukan nak masak yang berat-berat. Hanya nak melepaskan rindu!”, katanya kepada kami.
Melepaskan rindu?
Rupa-rupanya Ustaz Aziz teringin hendak makan kacang foul mudammas, yang dicicah bersama roti ‘ish. Macam di Mesir dulu.

Di dalam perjalanan pulang, kami singgah bersolat Jumaat di Malaysia Hall di Bryanston Square. Selepas solat Jumaat, orang Malaysia seperti biasa sibuk dengan urusan kerja, berkejar-kejar mahu masuk ke pejabat semula. Tetapi saya dan Nasreel bersama Ustaz Dr. Aziz Hanafi diserbu oleh warga Brunei.
“Eh ustaz! Bagaimana ustaz ada di sini. Kami sungguh terharu dapat ketemu ustaz di sini”, kata salah seorang warga Brunei yang kelihatannya seperti VIP itu.
Begitu ramai warga Brunei mengerumuni Ustaz Dr. Aziz Hanafi kerana beliau lama tinggal dan berbakti di sana.
Hasil pertemuan tengah hari itu, Ustaz Aziz menerima jemputan makan malam bersama pembesar-pembesar Brunei dan saya masih berasa lucu melihat orang Malaysia terpinga-pinga kehairanan melihat warga Brunei mengerumuni seorang tokoh yang tidak mereka kenali.
Dari Bryanston Square, kami memilih untuk menaiki black cab London yang terkenal itu. Untuk memberikan pengalaman kepada Ustaz Aziz. Underground pun sudah, black cab pun merasa. Kami puas, Ustaz Aziz juga kepuasan. Jelas kelihatan di wajahnya.
Setibanya kami di rumah, Ustaz Aziz terus menuju ke dapur dan memulakan misinya memasak kacang foul secara istimewa. Kami hanya berdiri di dapur membantu Ustaz Aziz menyediakan bawang-bawang, membasuh bekas dan sebagainya. Sambil memasak, pelbagai kisah yang dikongsi bersama, khususnya tentang suka duka beliau semasa belajar di Mesir.
“Pernah di suatu ketika, ana dan isteri hanya mampu makan bawang dengan roti keras sahaja”, katanya. Suara Ustaz Aziz berbau sedih.
Kami juga sebak dengan pelbagai cerita ustaz. Ternyata, perkongsian cerita ustaz lebih meninggalkan bekas kepada diri kami, berbanding ceramah formal yang telah disampaikan. ‘Cerita’, ada kuasa luar biasa mengenainya.
Biar pun Dr. Abdul Aziz Hanafi hanya bermalam di rumah kami selama 1 hari 2 malam, ia merupakan pengalaman yang sungguh bermakna. Tetapi saya berasa puas kerana dalam banyak-banyak benda di sepanjang keberadaan Dr. Abdul Aziz Hanafi di UK, beliau amat-amat menghargai peluang yang kami berikan kepadanya untuk “menjadi manusia biasa” di London. Menjadi manusia, dan bukannya robot.
TERBAIK ATAU BAGAIMANA
Jika dulu, saya sering resah melihat kehadiran tetamu jemputan dari jauh. Atas nama mengoptimumkan kehadirannya, para tetamu ini dilayan ‘sebaik mungkin’ tetapi hakikatnya ia mungkin sebaliknya.
Tentu sahaja, penceramah yang dijemput, biar setinggi atau serendah mana sekali pun statusnya, bersedia untuk ‘dipergunakan’ semaksima mungkin. Beliau juga sedar yang pihak penganjur telah berbelanja besar untuk menjemput mereka. Lantas mereka yang menerima sahaja sebarang bentuk plan yang disediakan untuknya.
Tetapi pihak penganjurlah yang sepatutnya lebih bertimbang rasa. Memberi ruang kepada tetamu yang datang dari jauh itu untuk menghirup sedikit udara segar dan pemandangan sekitar yang diperlukannya sebagai seorang manusia.
Terutamanya AJK Protokol yang biasanya menjadi body guard tetamu ini.

Memasak 4 ekor kambing dan ratusan ekor ayam, untuk 600 peserta selama 3 hari amat meletihkan. Lawatan mengejut Tuan Guru ke dapur menceriakan kami juga Tuan Guru sendiri
“Ana dulu semasa zaman belajar, sering juga jadi tukang masak macam antum”, kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz kepada kami yang menjadi petugas masak di dapur.
Saya gembira melihat anak-anak buah yang menjadi AJK memasak di dapur, khusyuk mendengar kisah Tuan Guru yang melakukan ‘kunjungan hormat’ kepada kami di dapur. Hilang rasa penat ‘bergaduh dengan kambing’ di dapur semenjak sehari dua yang lalu.
“Maaf Tuan Guru, kami ditugaskan untuk menjemput Tuan Guru berehat”, tiba-tiba AJK protokol menjengah ke dapur.

Pasukan memasak yang komited (Perhimpunan Musim Sejuk 1998)
Geram betul saya pada masa itu. Biar pun menyediakan masa berehat itu dilihat sebagai ‘layanan kelas satu’ bagi Tuan Guru, tetapi biarlah beliau memilih caranya sendiri untuk meluangkan masa. Waktu percuma untuk beliau sendiri memilih aktiviti yang benar-benar merehatkan ‘emosi’nya.
Sehingga saya secara tidak sedar tersemai penyakit ‘anti AJK Protokol’ disebabkan oleh idea-idea seperti ini.
GILIRAN SAYA
Itu cerita lama.
Kini saya juga sering menerima jemputan mengisi program. Banyak juga destinasi yang saya tuju buat pertama kali. Sama ada di luar negara, mahu pun di dalam negara.

Semasa menerima jemputan ceramah pertama di Oxford, saya ‘mengangkut’ warga London untuk turut serta agar pemergian tidak hanya sekadar berceramah, tetapi lawatan ukhuwwah yang lebih manis dikenang
Malah semasa bermastautin di UK sendiri pun, amat kerap saya hadir ke lokasi program tetapi hanya mengenali dinding dewan ceramah, bangku dan secebis pemandangan dari tingkap dewan. Sebahagian daripada lokasi itu adalah tempat yang sangat terkemuka, hingga pelancong datang dari segenap pelusuk dunia.
Saya juga pernah ke situ.
Tetapi hakikatnya saya hanya kenal dewan program.
Demi mengambil peluang, meluaskan pandangan, menambahkan bahan fikir dan zikir saya, serta menambahkan lagi bahan menulis, maka saya sedaya upaya cuba mencelikkan mata dan menghayati pemandangan di sekitar kiri dan kanan jalan semasa di dalam kereta, bas atau keretapi, kerana itu mungkin satu-satunya peluang saya mengenali persekitaran.
Misalnya semasa saya ke Dublin, mungkin lawatan saya yang keempat untuk mengisi program di Dublin, barulah saya berpeluang menjenguk bagaimanakah rupa bandar Dublin dan O Connel Street. Sebelum itu, saya hanya kenal stesyen keretapi, lapangan terbang, stesyen bas, Masjid Dublin di South Circular Road dan Masjid Clonskeagh.
Itu dari segi peluang melihat kiri dan kanan.
Hari ini, jika saya hadir ke satu-satu tempat hanya untuk berceramah tanpa ada peluang melawat kawasan sekitar, saya akan memujuk diri bahawa saya hadir untuk BEKERJA dan ada baiknya tiada sebarang kenangan yang saya bawa balik dari tempat program kerana itu lebih melegakan isteri dan anak-anak saya yang kerap kali ditinggalkan.
Agar pemergian saya kekal dengan format kerja dan tiada ‘keseronokan sampingan’ daripadanya.
KEPADATAN JADUAL
Dari satu sudut yang lain, ketidak sempatan saya untuk menghayati persekitaran, menggambarkan jadual yang perlu dipatuhi sebagai penceramah jemputan. Bermula dari kapal terbang mencecah landasan, atau kepala keretapi mencecah terminal, saya mula mengisi ceramah dan terus berceramah selagi ada ruang, di samping ceramah kecil-kecilan kepada peserta yang bertanya soalan di sekitar waktu senggang.
Ada sedikit kegerunan terhadap jadual sedemikian dan tidak saya nafikan, ada juga rasa bimbang diserang Myocardial Infarction (M.I) atau serangan jantung disebabkan oleh keletihan yang ‘tidak disedari’.
Setiap kali saya hadir ke program sebegini, saya akan ‘bertawassul‘ dengan ‘amal soleh’ saya melayan Dr. Abdul Aziz Hanafi, hampir 10 tahun yang lalu, agar common sense tidak luput dari pertimbangan kita semua.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010) Related posts:
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor











Tertawa akak baca pernyataan ini. Suami akak pun macam tu, tapi kurang pasti apa alasannya. Kali ke4 dia ke India barulah berusaha pergi melihat Taj Mahal itu pun kerana tidak tahan disoal setelah kembali ke Malaysia. Pergi Holland beberapa kali tetapi bila akak tanya mengenai perkampungan kincir angin, dia kata “Tu kena naik teksi”. Begitulah juga dengan outstation dia ke Sweden, China, Amsterdam dll, dia sentiasa tidak tahu mengenai tempat2 yang menarik di negara2 tersebut.
Tetapi ustaz memang perlu diberi peluang melihat keindahan alam, dapat juga pembaca Saifulislam berkongsi cerita selain intipati ceramah (vested interest ke ni?). Jadi penganjur2 sekelian, ambillah iktibar dari artikel2 ustaz ni, dah banyak rasanya “hint”nya. Soal bayaran, cenderahati dsbnya. Tak susahkan, “common sense” yang dinyatakan.
Besar India tu, Kak Ija. Kalau ke Bangalore nak cerita tentang Taj Mahal, jenuh jugak, kan.
Anyway, key word artikel ni senang je.”Seek First to Understand, Then to be Understood”. Mungkin saya seorang ustaz dan sering berceramah, maka tak susah untuk saya faham apa yang boleh menceriakan Ustaz Aziz Hanafi..
Teringat kenangan bersama seorang Imam di Jepun ini.
Ketika pulang dari membeli belah, kami dikejar anjing.
Kasihan kami.. Hahaha..
Rindunya kenangan lama..
Ya, Dr Abdul Aziz Hanafi orang Perlis. Ustaz yang tidak dikenali di Malaysia tetapi cukup besar namanya di luar negara.
Salam ustaz,
Beruntung sungguh ibu ustaz mendapat anak seperti ustaz, dr aziz dan ustaz2 lain. Saya berdoa supaya kami dikurniakan anak yang soleh dan menyenangkan hati seperti ustaz. Terasa hina dan rugilah hidup yang berpuluh-puluh tahun didunia ini kalau tidak meninggalkan zuriat yang soleh.
Benar ustaz, suami akak spend RM300 naik teksi semata2 nak tengok Taj Mahal tu, mahal la plak.
Harapannya, yang tidak pernah jadi ustaz pun bolehlah juga cuba2 memahami, kan. Termasuklah memahami pengorbanan keluarga yang ditinggalkan…
off topic = The Renowned Azizs’ that we have
= Dr. Aziz Hanafi, Tuan Guru Nik Aziz, Prof. Aziz Bari, Prof Diraja Ungku Aziz, Aziz Ishak
Dr Azizi Hanafi cukup hebat orangnya.. pemimpin sepertinya amat gemarkan buku-buku..
Jangan terkejut pemimpin seperti Hj Mohamad Sabu (Mat Sabu) juga amat menggemari buku, teringat kunjungan beliau ke London awal 1994 atas jemputan Muslim Parliament UK di Westminster.
Semasa singgah di Birmingham selepas menjelajah Sheffield, Nottingham, L’boro dsb utk berceramah.. pertama yang beliau tanya ialah dimana kedai buku.. Kebetulan ada kedai buku yang besar berhampiran universiti tempat pengajian Dr Syed Azman, Dr Badrul Amin & rakan seangkatan..
Habis satu persatu buku-buku di kedai tersebut dibelek Mat Sabu.. kebanyakannya yang menarik pernah atau telah habis dibaca.. Orangnya mungkin dilihat `lekeh’ dari kaca mata rakyat yang tidak mengenali beliau.. namun pembacaan beliau amat luas.
Gembira membaca nama Ustaz Abd Aziz disini. Terkenangkan kelas Tarbiyatulaulud yang dibimbingnya di Masjid Bangsar ditahun ’88 yang tak khatam apabila beliau berpindah ke Brunei.
Saya doakan Ustaz mendapat kelapangan dan diberi kemudahan dalam perjuangan.
teringat saya pernah jadi MC waktu Dr Aziz dtg lawatan 2 hari kat tempat kitorang presiden univ jadikan dia tetamu kehormat dan mereka terkejut sikapnya yg mmg low profile..yang paling tak boleh lupa bila dia ceritakan kisah hidup dia yang terlalu susah sambil teresak esak menagis mengenangkan kesusahan mak ayah dia yang tidak ada duit tapi nak bagi dia belajar ke mesir..sehinggakan dlm majlis tu saya rasakan semua org mengalirkan air mata..
Salam,
Boleh tak saper perkenal ataupun bagitau sape dr aziz hanafi sebenarnya????
asm…Pasti Dr Aziz Hanafi tersenyum membaca lembaran ini, masa tu turut mengiringi Dr Aziz di Birm…orgnya cukup ramah dan “fatherly” ..berjumpa 2/3 kali di Malaysia kat Kolej Darul Ulum , Pokok Sena sekembali dr Brunei pd tahun 1998, bertanding di Parlimen Arau pd tahun 1999..very knowledgeable ULAMA’ …Ist Class Al Azhar/PHD…agak kurang sihat >> hospitalised lama kat HKL awal 2000s….masih di KIDU tapi bukan lagi sebagai Pengarah KIDU
Pengalaman manis di HSK dan London 92-2000′……kini di WhiteSand , Kelate
baca artikel ust ni teringat saya masa jadi driver Dr Aziz ke MARSAH JB untuk mesyuarat Ikatan Kolej Berkembar Azhar IKBA. memang pengalaman manis bagi saya dapat bermusafir dengan seorang ulamak. macam2 pengalaman yang dapat saya ambil waktu bersama beliau. Seorang yang sangat tawaduk dan sangat dihormati apa yang dapat saya lihat ketika tu. dalam keadaan beliau yang uzur pada waktu tu, beliau tetap gagahkan diri dalam menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan. semoga ALLAH panjangkan umur Dr kami amiin………
Trima Kasih Saiful Islam krana menyentuh kehidupan DR ABD AZIZ HANAFi.. Dia seorang GURU dan BAPA bagi kami… MOGA KESIHATAN BABA SEMAKIN BAIK,AMEN..anak kalian..Yamany
tak kenal maka tak cinta…moga kita diberi kekuatan untuk terus mengangkat Ulamak di tempat yang selayaknya.. moga kita dapat mencotohi Rasulullah SAW, Para Sahabat dan Para Ulamak dalam berdakwah..insyaAllah… HAYAKUMULLAHU
Assalamualaikum,
mmg menyentuh hati membaca kisah dr ustaz Aziz Hanafi, boleh dikatakan dia seorang ulama yang banyak ilmu yang dalam menyampaikan setiap kali ceramahnya disiarkan melalui tv dan radio Brunei.
Allah akan sentiasa mengangkat darjat orang yang berilmu, setiap makhluk pasti mendoakan untuknya dan walaupun mungkin hanya sedikit yg mengenalinya di bumi tapi para malaikat dan Allah pasti mencintai dan sangat mengenalinya.
Setiap ilmu yang baik hendaklah diamalkan dan dikukuhkan dengan iman dan takwa serta dilaksanakan dgn penuh keikhlasan.
Semoga ustaz dan anda sekalian sentiasa dalam keadaan tenang dan bahagia. Amin…
entahlah…rasanya orang kedah perlis ni agak kurang cer dik,tak reti nak hargai tokoh ulama’ ini…kuliah dr.aziz di tmn serindit ada la dlm 15 org,di menara zakat tiap2 jumaat pagi,buleh la gagah sikit dalam 100 org,di masjid pelubang,masjid muttaqin ada kot 40 org,surau tmn suria pun boleh la…
aku pun heran sungguh dgn org sini…tak reti hargai,mungkin kot sbb dr.aziz ni agak kurang senang dgn sikap pas kedah yg terlalu terbuka dgn puak syiah yg tak berpa ekoq pun di kedah ni…tp mmg aku kecewa laa…alhamdulillah la sbb dr.aziz ni ambik sunnah perjuangan nabi noh kot…klu tok2 guru lain menyebai dah…tapi memang aku tabik spring kat dr.aziz hanafi
rumah dia d tmn mahsuri tanah merah jitra
Salam saya nak ikut serta tolong lahhhh….saya
kuliah maghrib tentang sirah nabi mohd saw di MPIK kodiang setiap hari sabtu malam ahad. yuran RM20 sebulan
bila ustaz jadi imam, dia terpaksa guna kerusi