Maafkan Saya Wahai Penghantar Email

On 04/02/2008, in Pengumuman, by Abu Saif | 3,224 views | Print Print | Email Email |

email_icon.gif

Maafkan saya.

Maafkan saya wahai penghantar email kerana hampir tidak ada satu pun email yang saya balas. Puas saya membelek inbox sebentar tadi dan sekira-kiranya lebih 200 email yang belum saya balas. Sebahagiannya saya tandakan dengan ‘bintang’ kerana berhasrat untuk membalas, tetapi nampaknya bintang-bintang itu sahaja sudah mencecah lebih 100.

Email itu pelbagai…

Ada email masalah jodoh dan rumahtangga.

Ada email masalah kekeliruan tentang isu semasa.

Ada email meminta penjelasan tentang hukum.

Ada yang mahu berbincang tentang masalah akademik.

Ada email masalah dengan rakan sebilik

Dan entah apa lagi….

Saya membaca setiap satu email itu. Jarang sekali saya mensesiakan susah payah penulis email menaip. Namun, ada juga email yang saya terus hantar ke tong sampah. Sebahagiannya saya tandakan sebagai spam.

FORWARD EMAIL UNTUK MENGISI MASA LAPANG

Di antara email yang dikategorikan seperti itu ialah artikel yang di’forward‘ kepada saya oleh mereka yang mempunyai hobi sebegini. Terutamanya artikel yang telah 10 kali dikemukakan dari satu penerima ke satu penerima, tanpa sebarang modifikasi, hingga saya perlu turun sekaki ke bawah untuk membaca isi sebenarnya. Biasanya saya akan membalas email ini dengan mesej ringkas “harap keluarkan saya dari senarai penerima email bulk dari saudara / saudari”. Jika penghantar masih terus melakukannya, maka saya terpaksa mendidik GMAIL untuk terus menghantar email beliau ke ruang SPAM tanpa perlu menyusahkan hidup saya.

Manakala email lain, biasanya saya baca dan ada kalanya ia mencorakkan warna mood saya bagi hari tersebut. Tetapi saya amat jarang membalasnya. Saya yakin ia mengecewakan ramai penghantar email, dan anda berhak untuk kecewa.

SUAP MENYUAP

Tetapi sebahagian daripada penghantar email memang patut kecewa dan saya yakin mereka akan terus hidup dalam kekecewaan jika tidak berubah sikap.

Sikap lagi…

Setelah membaca artikel saya, ada pembaca yang teringatkan sesuatu lalu meminta saya memberikan penyelesaian kepada masalahnya.

Misalnya…

Saya menulis artikel CINTA SONGSANG berkenaan masalah lelaki yang jatuh hati kepada lelaki, lantas saya cadangkan beberapa penyelesaian kepada masalah ini. Tiba-tiba saya diminta supaya menyelesaikan masalah seorang pembaca perempuan yang jatuh hati dengan seorang perempuan, dan dia gagal memanfaatkan artikel saya kerana saya menulis tentang GAY sedangkan beliau berdepan dengan masalah LESBIAN.

Sedangkan jika otaknya digerakkan sedikit untuk mencerna apa yang telah pun saya tulis, maka jarak antara dirinya dan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi, hanya sedepa. Tetapi dek kerana malas berfikir dan berkelakuan seperti anak burung yang mahu disuap mulutnya satu persatu, mereka menyusahkan hidup sendiri dan hidup saya dengan soalan yang tidak layak ditanya kepada sesiapa.

BELAJAR MENCARI UNTUK HIDUP BERISI

Saya berikan contoh bagaimana saya tidak menyusahkan sesiapa selagi tidak perlu.

Saya disoal oleh seorang kakitangan IJN tentang hukum zakat EPF. Saya yang kurang arif dengan urusan muamalat mengetahui bahawa tempat terbaik untuk saya mendapatkan maklumat ini ialah di http://www.e-zakat.com.my. Saya mengetahui bahawa zakat EPF mempunyai kedudukan yang sama dengan zakat wang simpanan. Tetapi adakah zakat dikenakan berdasarkan simpanan, atau hanya dikenakan zakat jika kita membuat pengeluaran. Saya kurang pasti pendapat yang manakah diguna pakai oleh sistem yang ada di negara kita.

Lalu saya membaca muka depan e-zakat dan saya klik k-zakat. Saya tidak bertemu dengan perkataan EPF atau KWSP. Lalu saya klik FAQ dan berjumpa dengan penjelasan tentang KWSP, tetapi maklumat itu tidak memadai.

e-zakat.jpg

Saya ternampak enjin carian di atas sebelah kanan e-zakat. Lalu saya taip kata kunci “KWSP” dan Alhamdulillah saya bertemu dengan apa yang dicari.

Tetapi apa yang lebih penting, saya tidak terus menelefon LZS atau mengisi borang pertanyaan. Biar pun perkhidmatan itu sedia digunakan, saya yakin jawapan kepada soalan saya tidaklah terlalu ganjil dan pasti sudah berjawab. Oleh kerana saya luangkan sedikit masa mencari, saya mendapat pelbagai maklumat tambahan selain isu KWSP tersebut dan saya menjadi ‘lebih pandai dari 10 minit yang lalu’.

Ya! Anda tidak perlu genius dan pandai untuk menjadi rajin. Tetapi kalau mahu menjadi pandai, belajar-belajarlah untuk rajin dan beritahu diri bahawa MALAS itu adalah DOSA.

JADUAL YANG TERSIA

Saya juga membuat kerja ‘tidak cerdik’ dengan menulis jadual program saya di blog ini. Saya katakan tidak cerdik kerana, hidup dalam keadaan ramai orang tahu kita di mana, bukanlah suatu kehidupan yang menarik.

Tetapi saya lakukan juga dengan harapan, mereka yang mahu menjemput saya berceramah, atau mahu mengadakan pertemuan dengan saya, meneliti tarikh tersebut. Tetapi mereka yang mengenali saya melalui saifulislam.com sendiri pun tidak memanfaatkan jadual saya itu.

“Maaf, 16 Februari saya di Kota Bharu. Jadual saya ada di saifulislam.com”, antara contoh sms bosan yang terpaksa saya hantar.

Selain email, saya juga menerima antara 20 hingga ke 50 sms dalam sehari. Oleh kerana saya sayangkan nombor telefon saya ketika ini, maka saya terpaksa bertahan. Tetapi saya menyedari yang nombor telefon bimbit saya berpindah dari seorang ke seorang dan tidak keterlaluan jika saya katakan, mental saya sedikit terganggu dengan torture sms sebegini, di samping email yang begitu banyak.

Saya tidak mampu membalas sms dan email yang banyak itu.

Persoalan-persoalan hidup saya sendiri pun terlalu banyak yang belum berjawab, yang memerlukan campur tangan saya. Terasa hiruk pikuk kepala saya dan entah berapa kali saya terpaksa menulis artikel sebegini lalu dianggap poyo oleh sesetengah mereka yang dungu dan lemah kefahaman.

Namun, apa yang mampu saya lakukan hanyalah mendoakan kesejahteraan, keselamatan, penyelesaian dan bantuan kepada setiap mereka yang menghubungi saya.

Alhamdulillah, semenjak saya menebalkan muka memperincikan beberapa perkara di halaman EMAIL ME (dahulunya ditulis sebagai CONTACT), saya menerima email yang lebih mempercepatkan urusan berkaitan dengan ceramah.

Maafkan saya…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Related posts:

  1. Saya Tidak Suka Buku Ustaz Sebab… Begitu banyak pandangan dikongsi bersama oleh pembaca selepas saya siarkan...
  2. Maaf Saya Tidak Suka Buku Ustaz! Ketika saya kehilangan momentum menulis, ada sahaja benda menarik yang...
  3. Apa Yang Anda Percaya Wahai Da’ie? Salah satu kelas kami di UIAM Selesai sudah satu lagi...
  4. Saya Sahih Sebab Rujukan Saya Sahih Saya sahih sebab rujukan saya sahih! Ini merupakan salah satu...
  5. Maafkan Kami Urdun Maafkan kami Urdun Engkau teduhkan kami dalam kelana ilmu Meneguk...

 

26 Responses to “Maafkan Saya Wahai Penghantar Email”

  1. yusMMU says:

    Assalamualaikom ustaz..
    Tidak mengapa,saya sudah berbincang hal yang ditanya dengan beberapa orang yang mahir.Maafkan sya jika email saya antara email yang ‘mencorakkan warna mood’ yang tidak baik untuk ustaz. :)
    Alhamdulilah,buku doa yang saya kata “rasa tidak diluluskan oleh PTS”,alhamdulilah sudah diluluskan dan bakal terbit pada bulan Jun ini.Alhamdulilah….

  2. abdullah says:

    Peringatan kepada saya sendiri dan kalau boleh, peringatan juga buat kita semua, untuk menilik kembali 3 artikel Ustaz Abu Saif di bawah:

    1. Telephonophobia: Kenapalah Tak Angkat Telefon?
    http://saifulislam.com/?p=290

    2. Bukan Memperkecilkan Harapan dan Permintaan
    http://saifulislam.com/?p=309

    3. Antara Harapan dan Keinginan
    http://saifulislam.com/?p=1278

    Janganlah kita buat ustaz macam kita punye “kuli”. Kalau ada masalah tanyalah/rujuklah kepada tempatnya. Kita kena belajar mencari, mencari dan mencari. Jangan tunggu di”beri” aja. Ustaz bukannya 24jam free. Ustaz juga ada tanggungjawab ustaz.

    Ayuh kawan-kawan! Seek first to understand! :) Insya-Allah.

  3. Dahsyat demand kepada orang yang memilih berbakti dijalan Allah. Kadang kala tak terjangkau dek kemampuan diri.

    Bayangkan jadi AJK surau didesak dimasukkan tanggungjawab menyeru sekalian muslim dalam qaryah untuk kesurau sebagai job scope AJK. AJK diminta buat lawatan rumah kerumah mengenal pasti apa masalah org tu tak kesurau. Peh, macam la AJK tu tak de kerja lain. Manja betul kesurau pun nak dipujuk.

  4. Abu Saif says:

    Sebab tu la Abu Fatihah pun banyak senyap je kebelakangan ni kot. stress dengan surau :)

  5. ssxclnt says:

    salam ustaz..
    sy harap ustaz trus bersabar dgn dugaan yg mcm ni.
    biase la ustaz,manusia mmg byk ragam.
    buat kerja2 islam mmg selalu diuji….
    apepun sy harap ustaz terus b’sabar dn teruskn usaha ustaz!
    MAY ALLAH BLESS

  6. Abu Saif says:

    seperti biasa, apabila saya menulis artikel sebegini, ia bukanlah untuk mengadu, meminta simpati, yang diistilahkan bebudak sekarang sebagai POYO tu. saya tidak perlu dipujuk-pujuk dan ditenteramkan.

    apa yang saya mahu beritahu hanya:

    1. saya minta maaf kerana tidak membalas email. bukan tidak baca tetapi tidak balas

    2. saya mahu pembaca belajar berusaha menyelesaikan masalah dan bukan sentiasa bersikap lemah, tidak berdaya, masalah besar cicak pun nak minta buaya selesaikan kerana malas berfikir.

    itu sahaja. saya dah Tam Spider tidak sependapat sebab “KU TAK RELA DIPUJUK” :)

  7. abdullah says:

    masalah besar cicak pun nak minta buaya selesaikan kerana malas berfikir.

    Ustaz jangan jadi buaya sudah la :D

  8. Abu Saif says:

    Tanda-tanda awal sudah ada, Abdullah. Sekarang ni tengah pilih versi mana. Buaya tembaga, buaya darat, bujang senang atau yang mana satu… dari ala-ala herbivor, saya terasa macam sudah berubah menjadi karnivor yang mempunyai niat untuk mengganas.

  9. almiebonzer says:

    Salam wm wbrt.

    “Persoalan-persoalan hidup saya sendiri pun terlalu banyak yang belum berjawab, yang memerlukan campur tangan saya. Terasa hiruk pikuk kepala saya dan entah berapa kali saya terpaksa menulis artikel sebegini lalu dianggap poyo oleh sesetengah mereka yang dungu dan lemah kefahaman.”

    Saya tak anggap ustaz poyo sebab saya follow artikel/perkembangan ustaz melalui website ni dari dulu lagi, dan tahu tahap kesibukan ustaz semakin meningkat dibandingkan dulu.
    Saya rasa ramai pembaca/pengikut setia website ni pun rasa camtu (faham situasi ustaz). Mungkin ada sedikit masalah sedikit bg pembaca2 baru bila disound akibat tanya soalan yg pernah dijawab, soalan remeh temeh, dan soalan apa-apa lagi..
    Pembaca setia website ni ramai yg dah di”brainwash” ustaz sehingga jadi proaktif, maka tak buat kesilapan seperti yang ustaz nyatakan..

    Wallahualam

  10. ummizulfa says:

    Salam,

    Ustaz, I cannot agree more dengan kenyataan ustaz yang ramai orang sekarang yang sangat malas untuk mencari maklumat…walaupun dengan hanya memetik mouse komputer..

    Contoh yang paling dekat, anak saya darjah 4 sangat tidak berusaha untuk melihat kamus jika ada perkataan english yang tidak diketahui maknanya walaupun telah berkali-kali digalakkan…

    student saya yang sepatutnya yang “cream of the cream” juga akan bertanya soalan-soalan yang boleh didapati dengan satu klik sahaja di internet…sampai nak tanya nama pengarah hospital kat sebelah fakulti pun kena datang cari saya….

    So, I sort of understand what you have gone thru…..

    From the sound of it…I can sense the greates boredom you are facing now….
    Probably what you should do is clearing all your messages in your inbox and feel good about it (am I making any sense to you?)

    Dan kepada kita semua…. mungkin kita perlu bagi ustaz sedikit ruang untuk bernafas dan mula mencari sendiri dengan bantuan artikel ustaz sebagai trigger….

    Allahu’alam

  11. Abu Saif says:

    terima kasih almiebonzer… terima kasih kerana memahami dan terima kasih kerana terus setia berkunjung dan tidak merajuk akibat brainwash saya :)

    terima kasih juga kepada ummizulfa. greatest boredom is the best description of what I am now. email belum berani nak delete semua. tapi sms sudah beberapa kali. oleh kerana banyak sangat sms yang belum selesai, saya ‘bunuh diri’ dengan memadam kesemuanya. tengok-tengok, eh kehidupan jadi lebih tenang…!

    genuine atau tidak ketenangan itu, tak penting :)

  12. Azri Bohari says:

    Aslm wbt.. tak pa Ust.. take ur time.. semoga Allah mempermudahkan urusan. Just nak bagitau, kami komited menjemput ust ke kota kinabalu! (29 July – 2 Ogos 2008) kalau diizinkan Allah.. =)

    Azri Bohari
    Kem Eksplorasi Minda 2008 – Borneo

  13. farhan says:

    mungkin penanya2 tu dah nekad betul2 nak tuntut ilmu dari ustaz.
    tak nak cari ustaz lain dah utk tanya soalan.sumber2 di internet pula tak diyakini mereka

  14. Abu Saif says:

    dalam hidup ini, kita tidaklah terlalu naive hingga tiada panduan dalam berbaik sangka. tentu sahaja lambakan email itu boleh dilihat secara positif.

    1. mereka memberikan kepercayaan kepada saya

    2. mereka bertanya, dan tidak buat tindakan ikut suka

    3. mereka memberikan respond, dan tidak hanya membaca, dan berlalu pergi.

    semua itu well justified dan saya menghargainya. sebab itu saya tak delete, masih simpan, bintang-bintang lagi dengan niat nak membalas. namun segelintir sahaja yang menulis email kerana sikap-sikap negatif seperti yang saya ceritakan. pokoknya, saya tidak mampu membalas email yang tertangguh itu…

  15. diZZYana says:

    betul, dalam tenang perlu adil.. dalam marah pun kita perlu adil… pada saya, teguran ustaz tu memang perlu, semoga setiap pembaca faham bahawa kemarahan atau teguran ustaz tu dalam lingkungan keadilan.. adil pada diri ustaz sendiri… adil kepada masa ustaz.. semoga teguran itu akan memberi lebih banyak ruang kepada ustaz dalam mengoptimumkan masa melaksanakan perkara yang lebih bermanfaat… teringat saya satu ungkapan yang best “masa itu terlalu berharga, oleh itu gunakanlah ia untuk perkara yang benar-benar berharga..”

  16. saif himself says:

    Bila baca cite ni, makin kagum saya kat sume ustaz2 yang turun padang dan pikul sume2 tanggungan umat yang menggunung tu. Teringat kisah para sahabat, keje2 yg bukan job scope khalifah pun dibuatnya juga macam hantar susu malam2 kat rumah orang2 miskin setiap hari sampai tak diketahui siapa yg hantar sehingga beliau wafat. Lebih dikagumi… Baginda Rasulullah sendiri yang antara rutin hariannya menyuap Yahudi peminta sedekah yang hari-hari dok menghina baginda sendiri. Diharap kita yang menggalas pelbagai tanggungan kerja masyarakat kini dapat mengambil iktibar kisah baginda waktu tengah ‘handle’ para VVIP Quraisy yang difikirkan priority pada ketika itu dan didatangi sibuta bertanyakan perkara remeh kpd Baginda S.A.W. Kita mungkin merasakan perkara itu remeh atau banyak option or channel lain, namun impact tindakan kita terhadap mad’u yang mungkin baru nak berjinak amat menjadi kerisauan. Memang ‘macam tak cerdik’ kalau sume nak kena layan tapi takut Tuhan tak berapa berkenan kalau tak layan. Dan saya diberitahu, kayu ukur Tuhan bukan terhadap berapa besar peranan yang berjaya dimainkan tetapi lebih kepada kepayahan yang dialami. Tolong doakan peranan kecildan amalan tak seberapa kami diterima Tuhan ye ustaz. (ni pun nak suruh ustaz buat ke… sindri doa takleh?)
    Wallahu a’lam.

  17. Abu Saif says:

    Bila saif himself komen sedemikian, rasanya saya kena rephrase balik apa yang saya sebutkan… bahawa saya bukan bermaksud memilih, memperlekeh usaha-usaha melayan benda kecil kerana sibuk dengan benda besar. that is never the case.

    masalah saya ialah:

    1. TAK MAMPU nak layan benda kecil yang banyak tu

    2. TAK LALU nak layan benda mengarut yang banyak tu.

    Saya juga tak rasa Rasulullah SAW gembira dengan sikap malas berfikir kita as described in the article

  18. nick says:

    ‘Malas’ ini seakan satu penyakit yang telah menimpa ramai orang…
    termasuk saya sendiri…(alhamdulillah sedang cube untuk membuangnye..)

    Bila kerajinan untuk explore and find answers dah makin kurang…
    Bila rasa tak perlu bazir masa sendiri to solve problems(tapi bazir masa org lain untuk selesaikan masalak kita tak pe..)
    Bila rase tak perlu ambil tahu hal orang, asal hal kita settle…

    this happens when people become more selfish…it’s not a new sindrom…but it’s getting worst…

    ‘Dumping’ your problem to others in hope of finding ‘fast’ solutions…when the brain is just too lazy or incapable of thinking…

    wassalam…

  19. Amin Ahmad says:

    Tak silap fenomena Ad da’fu wa kasl fit-takfir (betulkan jika salah ya – kelemahan dan kemalasan berfikir) ini pernah diungkapkan Al-Marhum Malek Ben Nabi kan ustaz?

  20. jbguy says:

    Krisis yang abu saif hadapi adalah manifestasi gaya pemikiran masyarakat, apatahlagi msykt Muslim. Malas berfikir. Hobinya disuap. Kerjanya meminta. Hidupnya bertongkat.

    Minda mee maggi, semua nak segera. Tapi hanya mahu rendam dua minit.

  21. Abu Uwais says:

    Saya bersangka baik yang sebahagian dari peng’email’ ustaz datang dari yang baru kenal saifulislam a.k.a ustaz hasrizal. saya mohon mencadang ustaz buat satu column untuk beginner di saifulislam ni. agar dapat memberi TAHU macam mana nak ber’dot com’ di saifulislam ni, dan dapat mencetus MAHU mencari sendiri apa yang MAMPU….cadangan saje?

  22. Kak Ija says:

    Ummizulfa, I think we have a lot of common interest…or common problem, dari isu anak darjah 4 sampai le isu students tu.

    Nick, you are right esp point “Bila rasa tak perlu bazir masa sendiri to solve problems(tapi bazir masa org lain untuk selesaikan masalak kita tak pe..)”

    Abu Uwais, I agree with you. New generation ni tak boleh baca2 panjang, jadi mungkin kena letak “Panduan Bertandang Ke Saifulislam”. Rasa2nya ummu saif pun boleh tolong buat drafnya.

    Akak tak setuju jika pembaca hanya refer kepada ustaz sahaja untuk masalah2 fiqh. Macam cerita kawan ustaz yg hanya baca risalah tulisan Badiuzzaman Said Nursi (maaf kalau nama ni tak tepat)

  23. irshadian says:

    apa yang saya dapat fikir ialah jangan malas fikir, benda mudah pun nak tanya, banyakkan berusaha dan menyelidik, jangan spoon feeding je. takut gak nak bagi komen. kot2 tsalah cakap

  24. Ummusaif says:

    Ustaz mmg ‘allergik’ kalau org tanya pada dia soalan2 berikut:

    1. hukum/fatwa
    esp yg dah ada fatwa yg jelas mengenainya dan mudah di’google’kan.

    2. soalan nikah kahwin or hubungan
    esp kalau ustaz sudah pun menulis artikel ttgnya.

    3. soalan yg panjang jela yg ditanya di tempat yg kecil ie di shoutbox

    4. ‘trick’ question
    dah tahu jawapan tapi saja nak tanya pendapat ustaz!

    5. soalan putar belit

    6. soalan masalah peribadi
    ustaz tak mampu nak jadi kaunselor ‘rakan sebaya’ utk semua org.

    7. mintak tolong carikan jodoh!

    8. minta ustaz komen pendapat mereka.
    Tapi ini bergantung kepada how wise their points are..

    9. Sarcastic comments/questions.

    Ini sahaja yg saya blh fikirkan setakat ini. Maybe ustaz sendiri blh menambah..

  25. saif himself says:

    Risau dengar ustaz tertekan dengannya. Kagum mengetahui ustaz masih melayaninya. Jika dgn tulisan yg diberi tak dapat memujuk jiwa (walau tak rela dipujuk) atau menambahkan lagi tekanan, saya rasa boleh sampai tahap wajib ustaz abai-deletekan. Macam memudaratkan nampak gayanya jika diteruskan. Saya tak rasa tindakan drastik memadam kesemuanya itu dikatakan ‘bunuh diri’ jika ia menyebabkan boleh terbunuhnya fikiran normal. Tension. Cogito ergo sum. No point ustaz layan jika masa yg sama tanggungjawab ustaz terhadap diri sendiri terabai. Mental bertambah stress. Mafhum hadis, tidak masuk syurga orang stress. Kan?

  26. saif himself says:

    ‘Bunuh diri’ dengan memadam kesemuanya?. Kalau sampai ketahap terganggu mental, saya rasa boleh sampai tahap wajib untuk ustaz mengabai-delete kan segala yang boleh membunuh fikiran normal tu. Itu lebih ‘membunuh diri’. Cogito ergo sum. Tapi lebih afdhal, kami doakan ustaz dapat menanganinya dengan perasaan yang tenang, berhikmah.. dan senyum. And also not too focus on the problem, but look for the solution all the time. (ustaz ada apperentice tak? ingatkan nak apply. hmm.. tu pun kalau layak.)
    The point is… Taknak la stress2.
    Mafhum hadis, Tidak masuk syurga orang yang stress. Kan?

Leave a Reply