UJIAN: Antara Berani dan Bijaksana

On 03/03/2008, in Cabaran Islam, Majalah SOLUSI, by Abu Saif | 6,429 views | Print Print | Email Email |

023.jpg

“Syabas Ustaz kerana berani menyatakan pendirian. Jangan takut diugut. Jangan takut kehilangan rezeki!”, pujuk pembaca.

“Ayuh semua, gunakan amanah ilmu yang Allah berikan kepadamu untuk menentang kebatilan. Apa ditakut pada gertakan manusia!”, semangat seorang lagii.

Semenjak menulis dengan bahasa yang lebih telus, saya semakin kerap menerima saranan sedemikian rupa. Seolah-olah selama ini saya tidak telus kerana tidak tulus. Kerana saya takut atau pengecut.

Lalu kecerahan pendirian saya disambut dengan tepuk-tepuk bahu agar terus berani dan jangan lagi takut.

“Kalau takut dengan ujian, jangan cakap soal perjuangan!”, komen pejuang reformasi pula.

ANALISA KAKU

Ia adalah analisa yang kaku, berkemungkinan dibaca dari buku. Bahawa sesuatu yang bernama perjuangan akan berdepan dengan ujian. Manakala ujian itu pula memang menakutkan. Hilang punca rezeki, kena buang negeri, kehilangan kepentingan diri, malah syahid… cita-cita yang dicari!

Itulah hafalan skema Tarbiyyah terhadap ujian bagi sebuah perjuangan. Seolah-olah perjuangan hanya teruji dengan ujian satu warna.

WARNA BIASA

Pandangan bahawa ujian muncul dalam bentuk ketakutan dan ancaman tidaklah salah. Bahkan Allah SWT sendiri sudah mengingatkan:

albaqarah155.JPG

Demi sesungguhnya! Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar [Al-Baqarah 2 : 155]

Kita belajar dari al-Quran bahawa perjuangan diiringi ujian. Segala musibah yang menguji adalah bukti kezaliman kaum durhaka yang dihadapi, dan mengangkat darjat pejuang yang diuji.

Dibuang kerja…

Diugut dan diancam…

Dipenjara…

Dibunuh…

Lalu kita menyeru manusia dengan bahasa berani. Bahawa keengganan menyahut panggilan perjuangan, mesti kerana TAKUT kepada ujian-ujian itu tadi.

Inilah yang saya katakan sebagai kefahaman yang kaku.

027.jpg

UJIAN YANG ‘TIADA KENA MENGENA’ DENGAN PERJUANGAN

Terkena penyakit yang mengaibkan.

Suami atau isteri seorang pejuang berkelakuan curang.

Anak ditangkap kerana menagih dadah.

Bagaimanakah semua ini boleh dibaca sebagai ujian terhadap perjuangan, jika segala musibah itu datang bukan kerana perjuangan? Bagaimanakah seorang pejuang yang lantang memperjuangkan Islam, tiba-tiba terkena penyakit kulit yang hodoh? Atau menjadi mangsa AIDS akibat suami yang berkelakuan sumbang di belakang, dan memindahkan sakitnya kepada isteri, seorang mujahidah?

Terlalu keji untuk membayangkannya…

Bagaimanakah kita boleh menterjemahkan ujian terhadap perjuangan, jika bencana yang datang adalah kegagalan rumahtangga? Pejuang menyeru agar masyarakat meninggalkan pergaulan bebas, memilih pasangan hidup yang baik-baik, tetapi kemudian diuji oleh Allah dengan rumahtangganya sendiri musnah akibat perbuatan buruk si suami atau isteri?

Apakah itu masih dianggap ujian terhadap perjuangan?

Apakah kita masih kuat upaya untuk bertemu dengan masyarakat dan meneruskan perjuangan, dalam keadaan diri memikul beban ujian yang mengaibkan itu?

Jangan bermain-main dengan ujian. Tidak semua ujian ada unsur heroic di dalamnya. Bukan semua ujian datang dari Taghut yang ditentang. Ujian boleh datang, dari punca yang tidak disangka-sangka, yang tiada kena mengena dengan perjuangan.

TELADAN KISAH AYYUB ALAYHI ‘AL-SALAM

Ayyub ‘alayhi al-Salaam bukan mangsa makar golongan al-Mala’. Tetapi ujian yang dihadapinya adalah ujian yang terlalu semulajadi. Ujian yang jarang dikaitkan dengan perjuangan.

Beliau diuji dengan penyakit yang menimpa tubuh badan. Penyakit yang bukan sahaja menjadikan fizikal baginda derita menanggungnya, bahkan ia membawa pula kepada kehilangan harta benda dan ahli keluarga.

shaad41.JPG

Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayyub ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: ” Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan (hasutannya semasa Aku ditimpa) penyakit tubuh badan dan azab penderitaan” [Shaad 38: 41]

Qatadah Rahimahullah menjelaskan bahawa kalimah Nusb itu bermaksud penyakit yang menimpa jasad, manakala ‘Adzaab pula memberikan makna kehilangan harta dan ahli keluarga (Tafsir al-Thabari Taqrib wa Tahdzib 6: 405 – 406]

Namun Allah SWT menjelaskan bahawa Ayyub ‘alayhi al-Salam itu adalah HAMBA-NYA. Itulah ‘alasan’ yang sudah cukup untuk menjelaskan betapa Allah SWT Maha Berkehendak, Bebas mengenakan apa sahaja ujian ke atas orang-orang yang beriman. Kerana kita semua ini HAMBA.

Hamba itu tidak berhak untuk menentukan perlakuan tuannya. Hamba ini bebas disuruh, boleh duji malah sentiasa bersedia untuk apa sahaja. Dia kehilangan diri kerana segala-galanya adalah ketentuan tuannya. Apatah lagi hamba kepada Tuan yang Maha Tuan, iaitu Allah SWT.

Selayaknya kita diuji… bukan dengan ujian yang kita persiapkan diri terhadapnya, tetapi ujian yang tidak disangka-sangka. Terserah kepada-Nya.

Ujian adalah cara Allah meningkatkan imej kita di hadapan Dia, bukan status kita di sisi manusia.

886068-002.jpg

UJIAN PERIBADI

Anda sebagai pelajar yang berjuang bimbang digantung biasiswa, tetapi anda diuji dengan gagal dalam peperiksaan, atau diuji dengan keluarga yang memusuhi Islam.

Anda sebagai pekerja yang berjuang bimbang dibuang kerja, tetapi anda diuji dengan anak yang terpengaruh dengan rakan sebaya hingga menjadi pelesit bangsa.

Apakah anda masih ada muka untuk istiqamah di jalan perjuangan ini, andaikata ujian yang datang bukan kerana anda berjuang?

Syaitan akan membisikkan rasa aib, malu, rendah diri, kecewa… sebagaimana syaitan membisikkan perkara yang sama. Kerana itu Ayyub ‘alayhi al-Salam berkata seperti yang terakam di dalam al-Quran, ” Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan (hasutannya semasa Aku ditimpa) penyakit tubuh badan dan azab penderitaan”.

UJIAN YANG BUKAN KEHILANGAN PERIBADI

Pejuang yang lari dari perjuangan kerana mencari kemewahan hidup, serahkan sahaja mereka untuk diuruskan oleh Allah SWT.

Namun bukan semua pejuang yang tidak memakai baju pejuang jenama kita, terus dengan mudah dilabelkan mereka sebagai penakut, pengecut atau gerun dengan kehilangan kemewahan diri.

“Hai, takkan takut hilang glamer kot!”, bahasa orang sekarang menyindir sesama pejuang.

“Rezeki boleh dicari di mana-mana bro. Come on laa!”, seru rakan kepada ‘pendakwah bebas’ agar tidak terus bergerak bebas dengan gelaran pendakwah bebas itu.

Mereka ini tersalah sifir.

Sangkanya pertimbangan seorang pendakwah hanyalah soal makan minum dan keselesaan hidup semata.

Dia lupa bahawa dalam perjuangan bukan hanya BERANI yang menjadi bekal, malah CERDIK dan bijaksana juga sebahagian daripada senjata.

Berani membuta tuli, jangan disangka hero kerana di sisi Islam dia itu mungkin seorang yang dungu dan membinasakan perjuangan dengan keberaniannya.

UJIAN ERA MILENIUM

Di era kehidupan milenium ini, perjuangan menjadi lebih rumit. Kerumitan itu menjadikan kita lebih tercabar untuk mengaitkan rupa bentuk gambarannya di dalam al-Quran, dengan realiti yang semakin berbeza.

Jika di era turunnya al-Quran, pencuri yang dihukum hudud didefinisikan sebagai penjenayah yang mencuri dengan tangan, hari ini pencuri mencuri dengan keyboard. Bagaimanakah pensabitan hudud hendak dilakukan ke atas kecurian seperti ini? Ia memerlukan kepada kefahaman yang dinamik dan ketelitian yang mendalam terhadap apa yang hendak direalisasikan daripada hukuman itu.

compas.jpg

Begitulah juga dalam soal ujian.

Jika di era turunnya al-Quran, jihad itu banyak manifestasinya adalah di dalam peperangan di medan pertempuran. Hari ini musuh mungkin bersarang di dalam kepala dan muncul dalam bentuk yang halus tetapi tetap merbahaya. Maka berkewajipanlah bagi pejuang untuk menganalisa tabiat jalan dakwahnya, agar prinsip amar makruf dan nahi munkar terus berjalan seiringan dengan ujian yang ‘menghiasinya’.

KEHILANGAN PELUANG DAKWAH

Pertimbangan pendakwah bukan hanya pada ujian peribadi, kesakitan, kerugian atau ketakutan. Perjuangan bukan hanya teruji dengan hal-hal yang sedemikian itu.

Perjuangan juga berdepan dengan ruang-ruang bergerak yang semakin disempitkan. Ia bukan disempitkan oleh kongkongan dan akta zalim semata-mata, tetapi disempitkan juga oleh prejudis dan sumbatan minda yang amat kompleks.

Perjuangan mempertahankan keadilan dan hak kemanusiaan, dilabel sebagai pembangkang.

Pembangkang dilabel sebagai penjenayah dan mengganggu ketenteraman awam.

Sekurang-kurangnya itu adalah mazhab politik Malaysia hari ini. Fasiliti kelas satu, minda beku dan biru.

Label pembangkang menjadikan orang telah pun lari, sebelum kita sempat memperkenalkan diri.

Inilah kerisauan terbesar pejuang era milenium.

Prinsip-prinsip dan kepercayaan diri terhadap kebenaran, keadilan, kejujuran, ada masanya perlu diterjemahkan sebagai prinsip dan pendirian politik. Namun apabila pendirian itu menyebabkan kita perlu berdiri di bulatan politik yang membangkang, bulatan itu mengecilkan ruang dakwah kita.

“Jangan jemput dia sebab dia orang belah sana!”, kata seorang pegawai sumber manusia.

“Dia tu, kalau kita sediakan mikrofon, mesti dia nak suruh kita masuk parti dia!”, tegas seorang pengerusi sebuah badan makruf.

Biar pun seorang pendakwah bersikap profesional dalam mengasingkan mesej politik dari mesej dakwahnya, ia tidak sempat untuk dihargai kerana telah tertolak mentah akibat prejudis dan gangguan mental masyarakat. Inilah yang menjadi kerungsingan pendakwah.

TIDAK CUKUPKAH DENGAN KUASA POLITIK?

Bagaimanakah kita mampu mengajak orang kepada memperjuang dan memenangkan Islam, jika orang itu sendiri pun tidak nampak apakah perlunya dia kepada Islam?

Bagaimanakah kita mampu mengajak orang untuk kembali kepada hukum agama, jika agama itu sendiri dipandang oleh orang itu sebagai punca masalah hidupnya?

Maka tidak semua ‘antena’ masyarakat dapat menangkap gelombang politik dan perjuangan.

Ramai yang memerlukan kepada perkara yang lebih asas untuk mengembalikan signifikasinya agama kepada diri. Maka ruang dakwah di masjid, surau, apatah lagi ceramah umum, tidak akan sekali-kali menemukan kita dengan golongan ini. Mereka tidak akan datang, malah tidak pernah terfikir untuk datang.

Jika ada tok guru yang sombong dengan formula “ilmu itu didatangi dan bukan mendatangi”, dakwah tidak mampu bersikap begitu. Dakwah harus datang, dakwah perlu proaktif. Dakwah perlu mencari ruang dan memanfaatkan ruang. Khususnya di era kebejatan minda hari ini, dakwah dan politik terpisah oleh prejudis manusia, prejudis sistem, dan prejudis rejim yang sudah terlalu lama berkuasa.

UJIAN PERLU DIPELAJARI

Justeru, ujian di sepanjang jalan perjuangan ini perlu dipelajari dan diteladani. Ia tidak muncul secara skema mengikut skrip yang dihafal dalam manhaj Tarbiyah yang diberi.

Pendakwah harus sentiasa peka dan mengenalpasti, apakah ujian yang sedang dihadapinya, lantas bertindak sesuai dengan ujian itu.

al-mulk2.JPG

Dia itulah yang telah menjadikan kematian dan kehidupan (kamu) sebagai ujian untuk menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun [Al-Mulk 67 : 2]

Kehidupan dan kematian telah dijadikan Allah memang sebagai medan ujian buat kita. Namun kejayaan adalah untuk mereka yang memahami bentuk ujian yang datang, dan seterusnya bertindak sesuai dengan ujian yang dihadapinya itu.

Setelah wujud keberanian, bijaksanalah dalam menekuninya!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Related posts:

  1. Berani Hidup vs. Berani Mati Pagi ini saya ke Angkasapuri. Biar pun Selangor bercuti, tetapi...
  2. Sinar Iman di Sebalik Ujian “Di mana saya nak cari kekuatan, kecuali dari yang Maha...
  3. Ujian Kehidupan di Perantauan Galway, pemandangan dari udara “Sakit sangat dah ni. Bengkak pun...
  4. Antara Kak Nor dan Encik M – Update Saya tersentak apabila membaca sebuah artikel yang disiarkan di ruangan...
  5. Memahami Dialog Antara Agama (Interfaith) Tenaga di Balik Tabir IYEP Berdiri dari kiri: Saifulislam.Com, Maria...

 

31 Responses to “UJIAN: Antara Berani dan Bijaksana”

  1. abuamiir says:

    setuju .. tu pun selalu saya duk fikir.. “aku ni keluar malam malam buatnya keluarga sendiri diuji…tak terurus ish….”

  2. Abu Saif says:

    sungguh bagai dikata. terima kasih atas ziarah, abu amiir

  3. hisham79 says:

    Salam,
    Jazakallah Ustaz kerana sekali lagi membuka dimensi baru pemikiran terhadap konsep ujian…
    Berat kepala membacanya, sesak dada memikirkannya…
    Betul nukilan ustaz kali ini bahawa ujian itu akan datang bukan dalam bentuk yang kita sukai dan bukan dalam bentuk yang kita harapkan dan pastinya dalam bentuk yang kita tidak pernah tergambar…mungkin bukan dengan ISA, mungkin bukan dengan dibuang kerja dan mungkin bukan dengan pertarungan di medan jihad qital…tetapi mungkin dalam bentuk ibu sendiri yang menjadi penentang kuat kepada seruan dakwah,atau isteri yang tidak faham dakwah atau kesempitan hidup akibat beban hutang yang tidak disangka-sangka…disaat ini lah perlu kepada tawakkal yang bijaksana bagi menghadapi ujian-ujian kehidupan…

  4. Abu Saif says:

    sesak lagi jiwa yang menukilkannya

  5. pelangi says:

    bukan mudah bernafas dlm jiwa hamba…UJIAN itu sudah pasti ada. Kehidupan pada alaf ini memberikan banyak definisi pada ujian. Org yg bijaksana dan berani hidup, akan berlapang dada mempelajari ujian2 itu.

  6. Amin Ahmad says:

    Alhamdulillah, inilah ustaz pertama yang dapat menterjemah apa yang sering saya fikirkan.

    Selalu juga saya ingatkan kawan-kawan bahawa perjuangan selalunya digagalkan oleh ‘perkara yang kita paling sayang’.

    Saya tak tahu ada atau tidak pelan jangka panjang sejauh satu generasi untuk membina perjuangan.

    Berani juga perlukan kebijaksanaan dan kebijaksanaan juga memerlukan keberanian.. :)

  7. Ummu Saifullah says:

    Assalamualaikum,

    Ujian yang maha berat ialah keselesaan hidup. Selesa dengan rumah berjuta ringgit, kereta mewah, keseronokan tinggal dirumah bersama anak-anak dan isteri sehingga lupa perjuangan. Ini ialah realiti yang berlaku kepada kebanyakan pelajar yang aktif di kampus dalam dan luar negara. Gaji berpuluh ribu ringgit sebulan dan jawatan yang tinggi melalai manusia dari perjuangan.

  8. mr_muslim says:

    assalamualaikum semua.. kupasan ust tntg ujian mmg membuka minda.. ada saja yg mengaku dirinya berjuang utk agama Allah, ttp anak dan keluarga dibiarkan x terurus.. ada jua yang hendak Islam itu dijulan tinggi, tetapi yg diperjuangkan hanya sebahagian kecil drpd gugusan besar Islam yg patut dijulang.. malah lebih sayang lagi bile dilaungkan soal perjuangan Islam, ttp prioriti tidak bijak diteliti sebelum membuka langkah di tengah medan juang.. berdakwah bukan macam masak mee segera, panaskan air, tunggu dua minit dan masak!!

    maka kesimpulannya, analisalah ujian disekeliling anda dan gunekan akal utk mencari penyelesaian mengikut aturan yg berpatutan dgn sunnatullah.. bukan dgn terburu-buru mengejar kemenangan, lantas dibelakangkan seasas-asas perkara utk mengejar yg besar katanye.. wallahua’lam..

  9. Moderator says:

    Dengan Izin Tuan Punya Blog:

    LIPUTAN TERKINI : Foto-Foto KEMPEN BARISAN NASIONAL CALON PARLIMEN TITIWANGSA – Dato’ Aziz Jamaluddin (DEWAN DATO’ KERAMAT : 3 Mac, 8.30pm – 9pm)

    FOTO-FOTO EKSKLUSIF HANYA DARIPADA:

    http://theindiestory.blogspot.com/

    Wassalam.

  10. iskandar says:

    terima kasih ustaz atas ingatan. Benar ujian boleh datang dalam pelbagai bentuk yang tidak disangka. Kuncinya jangan merasakan diri kita telah baik

  11. zaki says:

    ujian itu pelbagai rupa bentuk. sabar kuncinya.

    *enjoy reading blog ustaz…thanks.

  12. Kak Ija says:

    Kaji kembali syariatullah dan sunnatullah, apabila kita diuji, yakinlah ianya kehendak Allah. Tetapi strategi untuk mengatasi sentiasa perlu dicari.

    Akak fikir pembaca setia SIO dapat memahami strategi berkempen kita perlu bijaksana, bukan menjerit tidak tentu hala. Kita di pihak yang terpinggir, akhlak buruk perlu disingkir, jadi perlu berhubung dengan hati bukan ‘money’.

  13. dar says:

    Assalammualaikum wbt,
    Alhamdulilah, tajuk yang ustaz tulis hari ini seperti menjawap persoalan yang saya sedang hadapi.

    Bahkan banyak penulisan ustaz telah menyedarkan saya secara tidak langsung.

    Alhamdulilah.

  14. Abu Musab says:

    Alhamdulillah, ustaz telah menjawab sedikit persoalan yang timbul difikiran saya apabila membaca artikel ustaz yang bertajuk AKU MANUSIA PERCAYA.
    Agak terkejut bila dapat tahu ustaz berceramah di pentas politik. Daripada komen pembaca, ramai menganggap ustaz BERANI. Tapi perasaan saya sepintas lalu ketika tu, lebih merasakan ustaz “KURANG BIJAKSANA” berbanding rasa ustaz “berani” . Itu sepintas lalu….

    Antara TAKUT dan BIJAKSANA .
    Dan antara BERANI dan BODOH.
    Terlalu luas grey area nya.

    Saya ada kenal seorang ustaz pensyarah yang nak pergi taman melewar pun tak sanggup. Kalau nak jemput dia bagi ceramah atau tamrin, jgn buat di tmn melewar.. dia tak dtg. Adakah ini takut atau Bijaksana? Bukan saya nak menilai dirinya, tapi saya confuse jika saya berada disituasinya, adakah saya patut ikut jejak langkahnya atau tidak.

    Ada ustaz pensyarah yang nak tunggu title profesor, tak sanggup pegang apa2 jawatan dalam jamaah, walaupun jawatan yang bersifat underground, hatta nak mintak organize program tertutup pun tak sanggup. Adakah ini takut atau bijak?

    Ustaz MAZA yg dilihat agak berubah ‘tune’ terhadap kerajaan, tapi membolehkan beliau menjadi mufti dan dengan jawatan itu ruang lingkup dakwah beliau lebih meluas (abaikan dulu ‘fikrah’ nya). Bila baca artikelnya sejak jadi mufti, ada yang menyebelahi kerajaan dan ada juga yang mengecam kerajaan. Adakah ini satu kebijaksanaan atau bagaimana?

    Lihat pula Dato’ Ismail Kamus, Allahyarham Ishak Baharom, Dr Haron Din yang semasa dalam kerajaan dulu, tidak begitu jelas pendirian politik mereka. Adakah masa itu kita nak kata mereka ni penakut? Tapi lihatlah hasilnya bila mereka ni masuk PAS secara terbuka. Kemasukan mereka dalam PAS dalam keadaan tgh ‘glamour’ tu memberi keuntungan pada PAS. Tapi dalam masa yang sama, ruang dakwah kian terbatas (org umno tak nak dengar cakap mereka dan mrk pun susah nak masuk tv)

    Begitu juga dengan ustaz Syamsuri yang orang PAS pernah kecam beliau kerana berceramah di pentas umno. Adakah ini kebijaksanaan? atau bagaimana?

    Setakat ini, saya buat kesimpulan sendiri, jgn mudah menilai orang lain. Sebaliknya nilai lah diri sendiri. Kerana terlalu banyak sudut yang perlu diteliti dan hanya yang punya badan lebih mengerti.

    Termasuklah juga dalam hal ustaz abu saif. Saya tarik balik anggapan ustaz KURANG BIJAKSANA.

  15. dhuat says:

    Saya memang suka entry ini.

  16. zacharias says:

    Biarlah sahabat yang kerja swasta tunjuk berani. biarlah para pensyarah yang panjang akal duduk di dalam, dan merangka strategi. Saya rasa jemaah sekarang lebih matang. Kalau cikgu sekolah sekadar nak duduk dalam bilik gerakan, tiada siapa yang akan kata dia takut. masing-masing perlu hormat boundary setiap orang.

  17. ummizulfa says:

    Jazakallah Ustaz…

    Saya rasa ramai yang cerah mata dan fikiran bila dapat menghayati cetusan fikiran ustaz ini.

    Saya percaya ramai yang ingin berkhidmat (berjuang) selalu rasa ter’ugut’ dengan kata-kata berkaitan dengan ujian ini.
    Tidak keluar nanti dikata takut/tak yakin dengan perjuanang/tak ikut sunnah berjuang, kalau terlalu ke depan mungkin rasa kurang bijaksana, tapi disukai oleh orang yang hard core.
    Akhirnya mengambil keputusan beruzlah…dan lama-kelamaan mungkin teranut mazhab ‘aku tidak pedulisma’.

    Yang pasti , semua orang ada tempatnya masing-masingnya.
    Cuma perlu bijaksana mengaturnya

    Allahu’alam

  18. einour says:

    suke entry ni..jazakallah ustaz…

  19. aa says:

    saya suka entri ini. saya copy ye

  20. abrar says:

    syukran ustaz..entri yang dimasukkan menusuk kalbu ini.terima kasih ustaz kerana menjernihkan perkara yang kian bergelodak di pemikiran para pejuang.salam menulis.

    Dari hati ke blog

  21. shiha says:

    Salam..

    Dalam banyak – banyak ujian, ujian di dalam diri adalah lebih besar dan menakutkan. Kerana ianya tidak nampak dan hanya berlegar di ruang fikiran. Bukan berbentuk ujian fizikal dan material, tapi berbentuk mental dan spiritual. Berjihad di zaman ini bukan lagi berjuang di medan perang atau politik semata, tapi di medan minda dan nafsu. Keikhlasan kita hanyalah pada Allah taala.

    Wasalam.

  22. Abu Saif says:

    Apa yang Abu Musab sebutkan (#14) adalah exactly apa yang nak saya tuliskan. Tetapi tidak sesuai saya masukkan dalam artikel kerana terlalu spesifik. Namun, itulah isunya. Dan nama-nama itulah yang menjadi bahan penilaian saya.

    Namun, saya ambil peluang untuk sekali naik ke pentas demi untuk belajar satu bahasa yang perlu saya pelajari. Feedback dari hadirin, mengatakan saya agak akademik untuk orang di flat, dan saya sendiri kepala ligat berfikir mencari perkataan yang betul di sepanjang ucapan saya malam itu. Ia menjadi suatu pengalaman yang sangat berharga bagi saya dan saya sedar betapa saya perlu lebih mengasah ‘kepintaran politik’ kerana jelasnya malam itu, biar pun saya ada beberapa idea, kejayaan idea banyak dipengaruhi oleh kepandaian memilih bahasa. Itulah seni politik, dan seni manusia.

    Akan tetapi, saya tidak naik sebagai calon, tetapi lebih kepada student. Pelajar yang mahu belajar lagi realiti.

    Buat masa ini, pendirian saya masih tetap seperti apa yang saya nukilkan di dalam artikel SAYA BUKAN AHLI POLITIK, TETAPI…

    Terima kasih atas ketulusan Abu Musab berkongsi pandangan

  23. alqasam says:

    salam Ustaz,

    Satu tulisan yang menyeluruh, praktikal dan kupasan yang menarik.

    Dalam banyak perkara andai ditimbang dengan neraca qawaed syara’ pasti akan mengesakan lagi kelancaran dakwah dan mesej Islam itu sendiri. Bagi contoh-contoh yang kita dah lihat timbangan maslahahnya tentu berbeza-beza dengan situasi masing-masing. Mungkin tidakpopular di khalayak umum, namun dapat mengesankan lagi tarbiyah internal begitu sebaliknya.

    Setiap penggerak Islam ada bahagian masing melihat kepada maslahah di khalayak dan kondisi dakwah yang praktikal dalam melihat kepada ‘uruf masing-masing. Yang muhimnya, kita faham erti ikhlas dan tidak takut pada manusia dan menyampaikan kebenaran. Proses memahamkan manusia tentang Allah dan kebenaran berbeza-beza uslubnya sesuai dengan keadaan masing-masing.

    InshAllah pejuang sebenar tidak akan pernah hilang cintanya kepada kebenaran. Kebenaran itu yang lebih kita cintai.

    Ana sangat suka tulisan ini ustaz. Semoga Allah beri kita kekuatan dalam mendepani ujian yang jelas berbeza maqam dan keadaanya.

    p/s: Oh ya, cuma di mana ya entri yang mengumpulan himpunan tulisan2 berkaitan pilihanraya?

  24. abu dzahin says:

    Salam
    jazakallah ustaz…
    biarpun ana lambat membaca dan meneliti tulisan ini, namun ana rasa cukup bertuah kerana masih berpeluang membacanya.
    itulah indahnya sebuah jama’ah..kadang2 kita terpinga2 bila ditimpa pelbagai ujian..ujian yang datang dari pelbagai sudut..rakan2 seperjuangan juga kadang2 mnyesakkan dada dengan pelbagai rungutan, gesaan, pandang negatif dengan trek yang kita lalui… mahalnya nilai sebuah perjuangan…harga yang perlu dibayar untuk sebuah kemenangan… tulisan ustaz menyejukkan kembali hati yang mungkin membara dengan rungutan2 yang tak tentu pasal..

    jzakallah ustaz

  25. aye says:

    Komen/wawancara SS Dr Maza dlm tv3 mlm tadi bagi ana betul2 tidak bijaksana…. “jangan menilai calon pada seban”…hmm :-)

  26. dhuat says:

    Kadang-kadang, adalah perlu untuk kita ‘beraksi dalam diam’ :)

    Diam berisi itu bijaksana juga…

  27. abimuslih says:

    Askm,
    Ustaz dan rakan-rakan, artikel ni sangat menarik.
    Membuka persepsi tentang ruang perjuangan yang luas. Bersungguh dalam berjuang bukan semestinya diukur dengan ‘berani mendedahkan warna politik’ semata.
    Bahkan ‘berani’ itu pun amat luas. Contohnya, ‘berani’ mencegah mungkar, yang kadang-kadang tiada calit politiknya.
    Berani pula perlu strategi. Tindakan berstrategi ni la kadang-kadang ditafsirkan orang sebagai ‘pengecut’.
    Lantak la apa manusia nak kata. Yang penting kita bersungguh-sungguh dan berani mengikut strategi jangka panjang dan pendek.
    Cuma seperkara lagi. sama ada kita bersungguh atas warna politik, atau tidak, jangan lupa ikatan jamaah. Sekurang-kurangnya kita berusrah lah. Itu yang terbaik.

  28. naaj says:

    good job ustaz.really love this entry.
    sungguh membekas dalam hati…untuk renungan dan refleksi diri.
    apakah perjuangan selama ini hanya ‘syok’ sendiri…atau ada kesannya…

  29. Pak_Din says:

    Syabas Ustaz kerana berani menyatakan pendirian dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian melalui proses berniaga dengan Tuahan, bukan seperti kebanyakaan arus perdana yang mengharapkan makan gaji (dan kemudian termakan budi). Setuju benar sarananan Kak Ija (hi Kak Ija) makar perlu sentiada disesuaikan denga Sunnah dan Syariah Allah.

  30. [...] #29 Pak_Din Says: March 9th, 2008 at 8:56 am [...]

  31. warga prihatin. says:

    asal berkata politik,mesti mgenai warna parti,logo parti..

    asal berkata ttg pkembangan islam di malaysia, mesti nak ckp psl mcm mana parti/jemaah itu berkembang..

    asal berkata ttg pejuang islam, lihat kpd serbannya, berkopiah atau tidak..

    aduhai sahabat2ku..
    shift your paradigm.

Leave a Reply