Iman Bukan Warisan

On 03/05/2008, in BUKU: MURABBI CINTA, Teladan Hidup, by Abu Saif | 6,290 views | Print Print | Email Email |

masjidpasirputeh.JPG
Masjid Kampung Pasir Puteh di sebelah rumah saya

“Saya ni tuan-tuan, menumpang pahala dan kesyukuran kalau apa yang saya ajar ni bermanfaat untuk tuan-tuan dan anak-anak semua. Anak saya tak menjadi belaka!”, kata Ustaz Ali.

Masjid jadi hening.

Saya dapat melihat ada titis hiba yang mengalir dari mata Ustaz. Pipinya yang kusam dimakan usia, terusik dengan linangan air mata yang mengandungi seribu makna.

Saya ketika itu masih kecil. Belum pun melangkah ke sekolah menengah. Tetapi saya masih dapat mengingati secara jelas peristiwa malam itu apabila Ustaz Ali dijemput berceramah di masjid bersebelahan rumah saya.

Apa yang menimbulkan sebak di hati sekalian yang hadir, adalah sesuatu yang sedia diketahui semua hadirin. Ustaz Ali adalah seorang penceramah yang tersohor. Anak-anaknya juga berkongsi kemasyhuran yang sama, tetapi dengan sebab yang sangat berbeza. Ustaz Ali adalah ayah kepada beberapa orang artis pujaan seluruh negara. Sebut sahaja nama mereka, tentu sekali sekalian jelata mengetahuinya.

Maka biarlah saya simpan nama anak-anak Ustaz Ali, kerana apa yang ingin saya kongsikan di dalam coretan kali ini adalah teladan mengenainya.

MULIA KETURUNAN

Kita tidak dapat berbuat apa-apa, jika ada ilmuan agama yang sibuk mengajar orang lain tetapi melupakan ahli keluarga sendiri. Bak kata pepatah Melayu, “monyet di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”. Tiada siapa yang patut disalahkan, jika diri sendiri yang mengabaikan amanah Allah terbesar itu.

Tetapi kita tidak harus lupa, bahawa hidayah adalah mutlaknya milik Allah.

Seorang ibu dan bapa, dengan segala ketinggian ilmu dan hikmah yang ada padanya, boleh sahaja mendapat kurniaan keturunan yang baik-baik seperti Ibrahim beranakkan Ishak, Ishak pula beranakkan Yaaqub dan Yaaqub pula beranakkan Yusuf, ‘alayhim al-solaat wa al-salaam. Tetapi tidak semua bapa dikurniakan zuriat seperti zuriat Ibrahim. Dan ada juga anak yang mulia, berbapakan bapa seperti bapa Ibrahim.

KEPELBAGAIAN UJIAN

Ujian Allah bukan hanya pada derita yang ditanggung kesan perjuangan. Atau dalam bahasa hari ini, ujian itu tidak semestinya datang dalam bentuk penjara, bukan digam, bukan ditukar tempat kerja atau dibuang kerja. Tetapi ujian datang pada pelbagai bentuk yang kadang-kadang tidak mengangkat keperwiraan pejuang itu. Boleh sahaja seorang pejuang diuji dengan sakit yang memalukan atau ahli keluarga yang mensesiakan perjuangannya, tidak berkongsi nilai yang sama, atau mungkin sahaja memusuhi perjuangannya.

Ada kisah Nuh ‘alayhi al-Salaam dengan isteri dan anaknya.

Malah ada kenangan pada sirah Ibrahim ‘alayhi al-Salaam dengan bapanya.

Dan Ustaz Ali diuji dengan bebanan jiwa, duduk di pentas seperti anak-anaknya, tetapi beliau dan mereka menyeru kepada seruan yang nyata berbeza. Tentu sahaja menyayat hati. Tersentuh dengan keluhan yang amat dalam, luahan Ustaz Ali malam itu… hingga lekat dalam kenangan seorang anak muda seperti saya, lebih 20 tahun yang lalu.

CAKAP BERLAPIK

Kerana sebab yang sama, saya yang kini seorang suami dan bapa, sentiasa beringat-ingat. Bersederhana di dalam percakapan dan tidak songsang dalam menghukum manusia atas perlakuan mereka dengan sewenang-wenang.

“Huh, orang yang macam itu, patut dicampak ke kandang buaya di zoo aje. Menyusahkan alam!”, komen seorang pendakwah tentang penagih-penagih dadah yang dilabel sebagai sampah masyarakat.

Ya, mudah untuk beliau berkata begitu. Bagaimana jika penagih yang mahu dicampak ke kandang buaya itu anaknya sendiri? Sewenang itukah dia menyebutnya?

Berhati-hati…

Kami semua tahu tentang perihal anak-anak Ustaz Ali ketika itu. Bukan sahaja kami, bahkan seluruh negara. Mereka bukan sahaja artis yang popular dengan lagu dan persembahan yang hebat, tetapi juga dengan pelbagai masalah sosial yang menyedihkan.

TIDAK SINIS

Tetapi semua itu tidak menjadikan saya, jemaah di masjid dan semua yang mengenalinya sinis atau memperlekeh Ustaz Ali. Nasihatnya adalah nasihat, berguna dan bermakna pada isi kandungannya. Biar pun anak-anak Ustaz Ali sendiri seakan-akan memandang sepi segala hikmah yang keluar dari mulut ayahanda mereka.

Tetapi kita selalu lupa. Pemikiran songsang kita sering menghukum dengan cara yang berbeza. Kita tidak menilai kebaikan pada kebaikan itu sendiri dengan iman, ilmu dan akal kurniaan Tuhan, sebaliknya kita suka melihat peribadi. Suka mengintai apa yang tidak berkenaan dan tiada keperluan.

Saya masih ingat, seorang pakar motivasi terkenal dihebahkan kisah betapa rumahtangganya retak. Lalu mulalah masyarakat berkata-kata, “huh, nak nasihat orang. Rumah sendiri pun tak tentu hala!”. Saya tidak pasti, apakah ada manusia yang duduk sekapal dengan Nuh ‘alayhi al-Salaam, bercakap dengan bahasa sebegini tatkala anak dan isteri baginda ditelan banjir besar dalam kekufuran. Apakah ada sesiapa di kapal itu yang goyah keyakinannya terhadap seruan Nuh, tatkala ajarannya ditolak oleh manusia yang paling rapat dengan baginda?

DILEMA AKU TERIMA NIKAHNYA

Inilah yang menjadi pertimbangan saya, semasa buku AKU TERIMA NIKAHNYA dilancarkan.

Saya tahu, buku itu bakal terjual ke sebuah masyarakat yang akan menyelak lembaran buku tersebut sambil menyelak kehidupan saya dan keluarga. Rumahtangga saya jadi pertaruhan.Publisiti yang serba sedikit kesan dari buku itu menjadi suatu beban yang berat ke atas diri saya dan keluarga, terutamanya Ummu Saif sendiri.

mask.jpg

Mungkin kerana itu, mereka yang menerima publisiti lazim disebut sebagai personaliti. Baik artis, mahu pun ustaz dan orang agama. Personaliti itu adalah perkataan yang terbit dari kalimah Latin, Persona yang memberikan makna Topeng. Personaliti itu seumpama manusia yang memakai topeng, muncul di khalayak dengan diri yang berbeza dari dirinya yang sebenar. Itulah sisi buruk menjadi personaliti.

Mudah-mudahan saya tidak tergolong dalam kumpulan manusia yang dianggap personaliti, kerana saya tidak mahu hidup dengan topeng yang memalsukan realiti.

Apa yang saya ungkapkan di dalam koleksi artikel AKU TERIMA NIKAHNYA, adalah coretan peribadi yang ditulis sebagai usaha untuk mencari tafsiran positif terhadap pelbagai ujian yang datang di sepanjang kehidupan saya selama ini. Sebagaimana al-Quran menampilkan pelbagai cerita dengan ibrah, begitulah falsafah saya, berkongsi cerita untuk menzahirkan ibrah.

MENCARI CERITA SENDIRI

Buku itu bukan ditulis untuk pembaca membaca cerita kehidupan saya, tetapi cerita saya itu adalah medium untuk pembaca mencari cerita mereka sendiri, mencipta cerita sendiri dan jika ada upaya, merakam cerita mereka untuk memanjangkan teladan.

Segala pandangan yang saya kongsikan di dalam buku itu, bukanlah suatu nasihat muktamad yang bertindak sebagai penentu. Ia adalah suatu perkongsian, usaha untuk merungkai beberapa persoalan yang menyulitkan terjemahan Islam dari teori kepada amali. Maka, terimalah nasihat itu seadanya.

Jika ada yang mahu memuji, pujilah Allah yang dari-Nya datang segala kebaikan itu. Moga terhindar kita semua dari penyakit ‘ain yang sering berlaku apabila manusia mengagumi sesuatu tanpa memuji Allah. Dan jika ada yang tidak kena, gantilah keji dan caci dengan nasihat dan teguran kerana ia lebih membantu dan membina.

Namun apa yang penting, saya masih bermujahadah di gelanggang berumahtangga dan perjuangan. Belum tentu hujungnya bagaimana. Mudah-mudahan berakhir dengan husnul khatimah sebaik-baik kesudahan.

JOHN GRAY DAN PENCERAIANNYA

Di atas dasar itu juga, saya berharap agar saranan saya supaya buku Men Are From Mars, Women Are From Venus dan Why Mars and Venus Collide yang ditulis oleh John Gray, dibaca dengan tidak mempertaruhkan kehidupan peribadi penulisnya. Pepatah Melayu juga sudah mengajar, “yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan”.

Pandangan-pandangan bekas isteri John Gray, Barbara De Angelis yang kontras dengan falsafah John Gray di dalam bukunya tidak harus dijadikan isu kerana nukilan John Gray di dalam tulisannya, adalah hasil teladan dan sempadan yang dikaji oleh John selepas bercerai dengan Barbara De Angelis dan kemudiannya berumahtangga dengan Bonnie Gray yang kekal hingga ke hari ini. Penceraian John Gray dengan Barbara De Angelis malah boleh diteladani sebagai satu contoh betapa penceraian mungkin penyelesaian terbaik dalam keadaan-keadaan tertentu.

Kerana penceraian yang pahit itu, John Gray berjaya mencari ‘kebaikan’ yang kemudiannya dikongsi bersama kita.

Saya bukan pembela John Gray dan saya tiada apa-apa kepentingan mengenainya. Namun saya ingin membetulkan salah tanggap kita yang sering mempertimbangan kesahihan nasihat secara peribadi dan bukannya dengan rasional akal yang dikurniakan Allah.

Apa yang baik kekal baik jika ia nasihat yang baik lagi berguna.

Kerana pandangan yang menolak prinsip ini, akan mengheret kita kepada konflik Ustaz Ali, juga sirah para Anbiya yang telah terlebih awal mendahului.

“Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa. Ia tak dapat dijual dibeli. Ia tiada di tepian pantai… – RAIHAN”

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Kota Bharu, Kelantan Darul Naim

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Related posts:

  1. Sinar Iman di Sebalik Ujian “Di mana saya nak cari kekuatan, kecuali dari yang Maha...
  2. Dialog Gen-Y: Antara Iman dan Kufur “Susah betul saya nak datang program ini, ustaz” kata Salina....
  3. Alam Tercemar Bila Iman Terhakis Galway yang indah, kerana menjaga alam milik Allah “Ini amaran...
  4. Moga Kalian Dewasa Dengan Iman II Kenangan bersama wartawan British Satelite News ketika rakaman dokumentari “Education...
  5. Bukan Memperkecilkan Harapan dan Permintaan “Ustaz tolonglah sahabat saya ini. Keadaannya sudah terlalu teruk. Dia...

 

37 Responses to “Iman Bukan Warisan”

  1. hanekaseyo says:

    Assalamualaikum,semoga ustaz sekeluarga sihat,insyaAllah.

    Syukran jaziilan.Semoga ustaz di beri kekuatan untuk melaksanakan segala amanah di atas muka bumi ini,insyaAllah.

  2. Ummu Aniq says:

    Salam.
    Memang iman bukan diwarisi daripada seorang ibu atau bapa tetapi ia adalah pilihan Allah S.W.T kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dia berhak dan berkuasa untuk memuliakan manusia dan Dia juga berhak dan berkuasa untuk menghina manusia. (Surah Ali-Imran : 26)
    Ngeri rasanya nak bayangkan kalau kita berbuih-buih mulut bagi nasihat kepada anak murid tetapi anak sendiri…hancur! Na’uzubillahi min zalik…
    Sebab itulah apabila akak melangkah keluar dari rumah menuju ke sekolah, dalam hati sentiasa berdoa agar usaha yang akak lakukan untuk anak-anak murid dibalas oleh Allah S.W.T dengan memberi kemuliaan akhlak kepada anak-anak…

  3. Ustaz Samarahan says:

    moga-moga pertaruhan itu mampu menyedarkan jiwa masyrakat yang lain..berapa ramai org harini hanya baca novel dan terawang2 mengatakan akulah watal dalam novel itu..lebih baik baca bahan yang realitinya mmg berlaku…

  4. abdbaith47 says:

    ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com
    Kota Bharu, Kelantan Darul Naim???

    Ustaz ada datang buat program di kelantan ke selepas program “Tentang Cinta” tu?

    • Abu Saif says:

      Saya sedang berada di Kota Bharu hingga last flight Air Asia malam ni. Mengendalikan program motivasi untuk pelajar-pelajar Maahad Muhammadi dari 3 cawangan. Program dibuat di PUTIK. Saya menginap di Sutera Inn. Program campur Maahad lil Banin dan Banat, tapi macam biasa le, banat lagi ramai…. :)

      • CikGuMaWaRMaSs says:

        Salam..ya Allah ust, gembiranya ust p k klate..jupo dengan adik2 junior sy..maahad lilbanat..xsempat sy brsm2 ust. smoga kdatangan ust,membawa seribu hikmat kerana walaupun maahad muhammadi adalah salah sebuah agama yg terkemuka,hebat dr ilmunya dan pentarbiyahanny namun zaman mereka sekarang adalah penuh pancaroba..ttp ramai yg mudh trsungkur,ada yang hanya belajar untuk peperiksaan n sijil sahaja tapi bukan dihayati..moga ia tidak menjd barah u masyarakat..
        k..syukran ust

  5. abdbaith47 says:

    ustaz ada program kat PUTIK rupanya. Program tu untuk pelajar Maahad Muhammadi Lilbanin atau Maahad Muhammadi Lilbanat?

  6. abdbaith47 says:

    Program tu melibatkan semua pelajar Maahad Muhammadi ke? Sebab ana pun salah seorang pelajar Maahad (tingkatan Enam Bawah).

  7. durratulzahirah says:

    sangat setuju dengan ustaz,:iman tak dapat diwarisi”,hanya rahmat n hidayah Allah sahaja yang dapat membantu kita

  8. drmuthiah says:

    salam
    ke hadapan ustaz Hasrizal
    jzkk ustaz..saya cukup terkesan dgn entry kali ini..mgkin krn ia mnyentuh hal family, hubungan ayah-ibu-anak-suami-isteri..

    yg pastinya segala cerita kini akan lebih realistik,bermakna dan mengandungi pelbagai hikmah andai dibanding dan dilihat dari kaca mata seerah..

    akhirul kalam, moga ustaz terus istiqamah..menyumbang idea dan menulis untuk dikongsi bersama kami..

  9. ACTH says:

    Assalamualaikum w.b.t.

    “Dengarlah apa yang dipekatakan, bukannya melihat siapa yang berkata” iaitu bukannya menilai orang yang berkata secara peribadinya seperti kata ustaz.Bila seorang pencuri mansihati orang lain supaya jangan mencuri, apa yang diperkatakannya itu pada hakikatnya adalah benar meskipun dia adalah seorang pencuri. Hendaklah kita mengambil nasihatnya bukannya sibuk menghujahkan peribadi si penasihat. Itulah tandanya orang yang menggunakan akal fikirannya dalam mencari kebaikan.
    Wallahua’lam.

    • Leokid says:

      teringat kisah syaitan yang memberi nasihat mengenai fadhilat ayat kursi tu.

      heheh.

      syaitan itu jahat. tapi tak semestinya apa yang dia bgtau tu tak betul. =p

  10. ryna zynnirah says:

    assalamualaikum ustad
    mengalir air mata ana bc entry ni

    ntahlah, mcm terkena batang hidung sendiri jer
    susahkan nk jumpa 1 family yg all perfect
    dari segi ilmu dan amalan agama

    kita xleh jd baik sorang2
    kalo kita sayang family kita
    kita kena tegur n bgtahu ilmu yg sebenar

    berapa beratnya nak buka mulut , terutamanay nak tegur parents
    Hanya Allah sj yg mampu membantu

    mcm jd naqibah , bg tazkirah kpd adik2 usrah
    dalam diam, Allah menguji apa yg diperkatakan Naqibah… MasyaAllah…

    • salam,

      setuju dngn pendapat ryna, susah nak jumpa keluarga yg perfect ahli keluarganya dngn amalan ajaran Islam..tp itulah dia ujian yg kita kena hadapi..saya percaya, ujian yg kita lalui itu ada ganjarannya jika kita lalui dgn penuh kesabaran..

      Rasulullah kita antara contoh terdekat selain drp kisah keluarga Nabi Nuh alaihissalam. Jika kita lihat sejarah perjuangan Rasulullah, betapa ramai manusia yg memeluk Islam bila didakwah Baginda, ttpi Baginda diuji dngn kekafiran bapa saudaranya Abi Talib dan Abu Lahab..Bayangkan sampai tahap Abu lahab dan isterinya dilaknat Allah dalam surah al-Lahab..
      tetapi, adakah ia menjadikan Rasulullah berputus asa drp menyampaikan dakwah kepada manusia lain disebabkan Baginda rasa malu dek kekafiran ahli keluarganya? jawapannya tidak..sebab mmg tugas seorang Rasul adalah utk membimbing manusia mengenal Allah dan seterusnya melaksanakan tugas sebagai hambaNya, dan soal nak berubah atau menerima ajaran Islam itu oleh yg didakwah adalah antara dia dngan Allah.

      Dan bila para Rasul dah tiada, maka menjadi tugas manusia yg menerima taufik dan hidayah Allah inilah untuk meneruskan tugas2 menyampaikan ajaran Islam. Sedangkan Rasulullah menerima ujian2 sebegitu ( ahli keluarga menentang dan tidak menerima dakwahnya) dlm hidupnya, inikan pula kita manusia biasa.

      mmg sukar untuk kita tegur ahli keluarga sendiri terutama ibu bapa dan adik beradik sbb takut putus silaturrahim atau disindir “alah, macamlah baik sangat”. maklumlah ahli keluarga kita paling tahu akan kelemahan akhlak kitakan? kalau guna kekerasan, takut gaduh besar. kalau tak tegur, kita pun tanggung dosa sama. pendek kata, dlm dilema dibuatnya.

      tapi saya percaya, salah satu cara terbaik dlm berdakwah pada ahli keluarga sendiri ialah kita sendiri menjadi uswatun hasanah atau contoh yg baik. kata org, dakwah menerusi akhlak ..dismping dengan teguran2 dngn cara yg baik, terutama bila org tu lebih tua drp kita..insyaAllah, lambat laun usaha kita itu akan berhasil. dan tidak lupa kita sendiri tidak putus doa semoga Allah memberi taufik dan hidayah pada mereka yg kita sayangi.

  11. irshadian says:

    Allah uji melalui kata2 kita…itu yang sangat takut..jadi saya melihat kepada penyelesaiannya ialah kata-kata selaras dengan perbuatan

  12. Genevieve says:

    April bloggers bring May offers

    The bloggers blogging for autism awareness community has been extended. BlogNetNews.com has provided a way for us to continue blogging in very readable format that will also help raise money.

    I’m posting this spammy-message because you are one of the original bloggers from April. To read more about how this works, or to opt out, please read this post here.

    Thanks!

    Genevieve

  13. Pak Din says:

    Cantik sungguh tajuk yang diberian.

    Iman itu bukan warisan. Percaya itu bukan pusaka. Warisan atau pusakan yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan.

    AlQuran mengariskan panduan adanya 3 tahap nafsu. Setiap satu melahirkan iman yang berbeza, termaksuklah yang tak beriman ataupun rasa beriman tetapi tak beriman.

    Lantaran itu tidak wajar dipersalah pemikir awal memanjangkan adanya 7 tahap iman bersandarkan kepada adanya 3 jenis nafsu unutk kebanyakan manusia.

    Bermula dengan iman, Muslim diharap tidak duduk ditakuk lama, sejak dari datuk nenek hingga sekarang. Dari iman warisan atau iman ikut, perlu ditingkatkan kepada iman ilmu, yang kemudiannya ke iman yakin dan seterusnya sehingga yang tertinggi.

    Persoalannya bagaimana iman boleh meningkat kalau akal yang diberikan Allah tidak memmainkan perana utama dalam penimbaan ilmu mencari peningkatan iman? Tertalu ramai Muslim secara tidak sedar mengenepikan ilmu yang perlu diutamakan dengan menyibukkan diri pada ilmu (atau lebih tepat lagi pengetahuan) yang berkisar hal-hal kemanusiaan sahaja… atau ke mahlukaan sahaja?

    Antara ilmu dan pengetahuan ada perbezaan ketara. Tidak layak ilmu dirujuk untuk pekara-pekara yang melibatkan mahluk. Cara mahluk menjalankan kerja. Cara manusia menyibukkan diri melalui kehidupan di dunia setiap hari. Itu semua pengetahuan sahaja. Ilmu sebenar adalah apabila kita mengkaji cara kerja Haliq, pembentuk mahluk.

  14. mujahid says:

    sy tersentak ble bc artikel ustaz ni.. sblm ni sy slalu menghukum sseorang hasil dr pandangan mata yang mengelirukan.. bleh x ustaz tip utk sy ubah persepsi sy.. contohnya, ble sy lihat sseorg y tak pakai tudung, pandangan sy trus jd negatif terhadap die..bagaimana ya ustaz???

    • shiha says:

      Salam..
      Maaf ye menyampuk. Sentiasalah berlapang dada. Yang dibenci adalah “perbuatan” orang itu, dan bukannya “diri” orang itu. Belajarlah untuk membezakan keduanya. Wallahuaklam.

    • Abu Saif says:

      Tips ada banyak dan pelbagai.

      Tetapi selalunya jika kita banyak bergaul, berkawan dan ‘bersama’ dengan pelbagai jenis orang termasuk yang bertudung dan tak bertudung, sikap belas dan mahu membantu perubahan itu akan jadi lebih dominan.

      Tetapi kalau kita berkawan dengan orang yang sama macam kita je, misalnya pelajar berjubah bertudung labuh kawan dengan pelajar berjubah bertudung labuh je, atau geng-geng dakwah kawan dengan geng-geng dakwah je, maka hal seperti inilah yang selalunya mudah menyebabkan kita pandang slek (err) dengan orang yang tak macam kita.

      Fikirkan juga yang kita ni tiada jaminan untuk mati dalam husnul khatimah…

      • salam,

        maaf mencelah.

        setuju sgt2 dngn pendapat ustaz abu saif tu..antara masalah utama org yg bertudung labuh or org jemaah ni, maaf cakaplah mudah berpandangan negatif pd org lain terutama melihat mereka tidak memakai tudung tu.

        kalau kita menutup aurat dgn sempurna spt yg digariskan oleh hukum syara’, patut lebih rasa merendah diri dan bersyukur kerana mendapat hidayah utk menutup aurat dngn sempurna. dan tidak putus doa supaya kita mati dlm keadaan aurat ditutup dgn sempurna.

        Dan sikap kita trhdp org tidak bertudung tu hendaklah ada rasa simpati krn mrk tidak bertudung dan seterusnya mendoakan mrk supaya dibuka pintu hati utk menutup aurat dgn sempurna. jgn duk pandang hina kt grup cam depa ni, takut2 nanti Allah palingkan hati kita, kita pula yg dedahkan aurat satu hari nanti.

        jangan fikir semua orang tau hukum tutup aurat tu wajib. dan jangan fikir semudah itu org utk menutup aurat kerana ada mrk tidak berlatar belakangkan agama dngn sempurna. ada yg separuh hati bersedia tp tak bersedia menutup aurat sepenuhnya, tu yg kita boleh nampak pakai selendang tp jambul rambut masih nampak. ada yg tak dpt ilmu yg betul maksud tutup aurat sempurna macamana, tu yg pakai tudung tp jarang hingga nampak rambut tu panjang pendek terutama kalua tak pakai serkup.ada yg pakai tudung, tp aurat lengan nampak, pakai kain belah sampai peha..pendek kata, ini disebabkan tahap ilmu masing2. ada gak yg tau maksud tutup aurat sempurna tu camner, tp hatinya belum ebtul2 bersedia dan terbuka utk melaksanakannya secara fizikal dan mental.

        pada kita yg dah sedia bertudung labuh ni mcm nampak senang aje nak buat tu, tp percayalah, tidak semudah itu pada org lain..tu sbb kita kena ada rasa bersyukur bila Allah beri kita hidayah tutup aurat ngan sempurna.

        tak payah tgk org lain, tgk dlm kaum kerabat kita sendiri, ada yg bertudung, ada yg tak bertudung. ni berlaku dlm ahli keluarga ana sendiri. tp bila bergaul dngn mrk yg tidak bertudung tu, kita akan taulah sbb2 mrk tidak bertudung. dlm hal ni, kita susah nak paksa mrk sbb mrk hanyalah pangkat sepupu ke, dua tiga pupu ke, pangkat mak sedara ke..hatta adik beradik perempuan sendiri pun blm tentu dpt tutup aurat sempurna cam kita..naknya mereka dah dewasa..jadi, kita yg menutup aurat sempurna nilah kena tunjukkan teladan yg baik..

        jgn sampai tak bertegur sapa sbb tgk aurat depa tak tutup sempurna..percayalah, kita bersikap baik pada mrk, mrk akan lebih hormat pada kita dan insyaAllah, dakwah ‘senyap’ kita tu akan berhasil juga wlwpun makan masa bertahun lamanya..

        cukup setuju dngn pendapat ustaz yg kita ni tiada jaminan utk husnul khatimah.

  15. salam, ustaz. macamana kita nak membimbing seseorang yang hendak bertaubat daripada bercouple ye????

  16. Kak Ija says:

    Ustaz,

    Another heavy stuff?…sesak nafas menghadapi kemungkinannya.

    Anak sulung akak perempuan berumur 10 tahun setelah gagal disuruh mentelaah pelajaran . Kami pun soal dia tentang cita2, setelah beberapa profesyen yg disebut kami terangkan bhw keputusan SPM perlu cemerlang. Akhirnya dia jawab nak jadi pelakun.

    Adeh, baru 1 Mei lepas kami adakan kenduri khatam Quran untuk dia…

  17. mujahid says:

    time kasih atas nasihat y diberikan..moga sy dpt manfaatkannya..insyaAllah..
    tp timbul persoalan lain dalam fikiran sy…adakah kte mesti bertoleansi sekiranya pemimpin sendiri y xamalkan islam??contohnya y ade skg..bersalaman bkn muhrim, pegang situ, pegang sini..

  18. Abu Saif says:

    Kalau pemimpin, lainlah ceritanya. Apatah lagi pemimpin yang anak ulama dan ada degree dari Universiti Malaya. Bekerja keraslah supaya orang Kepala Batas tukar undi… tu cara paling efektif.

  19. kokmi says:

    saya terkesan dengan apa yg dibincangkan disini. seringkali saya memperingatkan diri saya juga adik-adik yang sangat bangat saya kasihi agar meneladani perkara baik bukan menilai membelek siapa yang memberi ucap kebaikan tersebut.malangnya seringkali taguran saya dianggap sebagai satu bebelan(membebel) sudahnya saya disuruh diam dan jangan membebel.kesannya ke atas saya… saya kurang bercakap dan bercakap hanya perlu, (dan banyak perkara yang terpendam dan cuma bermain dikotak fikiran sahaja) kerana bimbang bila terlebih perkataan jadi bebelan. saya sedih, saya menangis dan semua itu saya kongsikan dengan DIA. Apa yang dapat saya simpulkan, remaja hari ini mudah dan sangat terdorong meniru yang negative dari mengambil kebaikan yang sepatutnya diteladani..Moga-moga Allah pelihara iman saya dan anda semua..
    p/s:terima kasih ustaz kerana MEMBERI. segala yang baik dan segala pujian hanya untukNYA.

  20. Sa'adah says:

    salam wrt.

    betul tu leokid.. setuju sangat. syaitan tu jahat. tapi tak semestinya apa yang dia bagitahu tu tak betul… cuma kita sebagai hamba tidak mahu mengkaji apa hikmah di sebalik kejadian yang berlaku… ;-)

  21. Sa'adah says:

    Iman tak dapat diwarisi oleh seorang ayah yang bertaqwa… ia tak dapat di jual beli… walau apapun caranya jua.. engkau mendaki gunung yang tinggi.. engkau merentas lautan api.. ia tetap tidak dimiliki.. jika tidak kembali pada Allah…

  22. kaklong syikin says:

    salam kokmi,

    mungkin juga kalau kita nak menegur tu tgk peribadi org yg nak ditegur tu camner. maksud saya, ada org boleh ditegur secara keras, ada org kena ditegur secara berlapik, ada org kena cara bergurau senda..kalau kita tau baca body language depa, mudahlah sikit.

    tp tulah, bukan sekali kita cakap depa terus ikut, benda ni makan masa bertahun. saya cakap ni berdasarkan pengalaman sendiri. pendek kata, kerja dakwah tugas kita, tp soal hati nak berubah, antara dia dengan Allah.

    yg penting pendekatan kita pada dia camner, samaada dia makin jauh drp kita atau makin dekat dngan kita. dan ada gak yg langsung tak mo terima teguran drp adik beradik sendiri, tp mau terima teguran org luar.

    jadi, kalau kita dah cakap sekali dua tak dengar tu, nak buat cmner, pnjt aje doa moga Allah beri dia petunjuk utk berubah. dlm masa yg sama, kita eratkan lagi kasih sayang kita dngn dia.

  23. patriotnisa says:

    Salam.

    “Kita tidak menilai kebaikan pada kebaikan itu sendiri dengan iman, ilmu dan akal kurniaan Tuhan, sebaliknya kita suka melihat peribadi.”

    Ana dah lama tak berkesempatan mencapai internet merenung dan bermuhasabah dengan tulisan² ustaz. Alhamdulillah, hari ini banyak yang ana dapat. Jzkk ust. Ya, artikel ini kemuncak kepada muhasabah ana hari ini.

    “Ujian Allah bukan hanya pada derita yang ditanggung kesan perjuangan.”

    Baru kini ana dapat merasainya. Syukur ya Allah atas nikmat merasai peluang jatuh bangun dalam perjuangan..

    Semoga kita semua istiqomah dan terus bermuhasabah, kerana itulah tanda iman kita masih bersuara!

  24. aye says:

    Salam ustaz, saya rasa artikel kali menjadi ‘ancaman’ buat saya yang bujang ni..:-( seram sejuk dibuatnya.. afuan

  25. Azzam says:

    salam wasilah…

    jzkk ustaz. satu lagi entry yang cukup mendefinasikan realiti kehidupan. berkaitan dengan dilema pendakwah kerana “diuji dengan sakit yang memalukan atau ahli keluarga yang mensesiakan perjuangannya,..”, di bumi bawah bayu ini adalah satu cabaran yang amat berat untuk dipikul.

    saya spesifikkan untuk pendakwah yang berasal daripada suku kadazandusun (termasuk saya). tanggapan umum (maaf untuk saya nyatakan, khususnya yang berasal daripada semenanjung) yang salah terhadap suku ini (kadazandusun = kristian) seolah-olah sebagai musuh kerana bakal ‘memurtadkan’ mereka, menyukarkan lagi usaha murni pendakwah tempatan. saya berkongsi permasalahan ini setelah berkali-kali mendapat tempias yang sama setelah memperkenalkan diri sebagai suku pribumi tulen sabah.

    saya tidak nafikan peratusan muslim bagi masyarakat suku kadazandusun amatlah sedikit berbanding non-muslim. dan bagi yang muslim pula, kesedaran untuk mengamalkan Islam sebagai cara hidup amat kurang (termasuk kerabat saya sediri). cuma apa yang saya ingin nyatakan adalah tanggapan dan sikap sebahagian besar ‘born muslim’ daripada tanah seberang(tidak terkecuali kepada pendokong dakwah) telah menyepitkan skop dakwah mereka sendiri dan menyukarkan pendakwah tempatan.

    namun demikian, saya amat bersyukur kepada Allah kerana dengan adanya usaha daripada gerakan-gerakan Islam, khususnya daripada PAS sendiri, saya telah dapat melihat sinar-sinar baru Islam yang bakal menerangi bumi sabah.

    asif ustaz sebab ambil ruang sikit. untuk renungan dan muhasabah bersama..

    ‘Islam untuk semua’

  26. hanif says:

    salam,
    di akhir zaman yg jauh dari zaman Nabi saw ni, ulama lah yg jadi contoh.tk

  27. ila says:

    Salam

    Allah, tersentuh sgguh hati saya baca artikel ni. moga2 saya tak mengalirkan air mata ayahbonda atas sebab ke’takmenjadi’an saya.

    • Pak Din says:

      Salam

      Selalunya yang merasakan tak menjadi itu yang mempunyai lebih potensi untuk menjadi, berbanding dari yang sekuat tin kosong. Syabas di atas kebolehan merendahkan diri. Saya pasti jasad Ila menjadi, mungkin sedikit roh yang tercemar oleh darah muda?

  28. cujie says:

    Salam,
    Saya setuju bila ustaz menulis ttg komen orang terhadap John Gray dgn melihat kepada kegagalan perkahwinannya (malah ada jugak cerita2 tak sahih yang kata dia nih gay..which i think is not true coz yg menuduh tu langsung xleh bagi bukti sahih). Baca buku dia tanpa melihat siapa sebenarnya adalah lebih baik sbb apa yg disampaikan tu panduan yg amat baik.

    p/s – ada tak terjemahan dlm bahasa melayu? coz sy rasa rugi kalau x dpt dibaca oleh sesiapa yg x dpt berapa faham bahasa inggeris

Leave a Reply