“Apa harapan ustaz selepas menyelesaikan pembentangan Summer Camp kali ini?”, tanya ‘SangPelangi‘ kepada saya.
Saya sedang berdiri di dalam bulatan. Peserta-peserta Summer Camp IPIJ 2008 sedang bersalam-salaman dan berpeluk-pelukan tanda perpisahan.
“Mengharapkan sebuah Malaysia yang lebih baik 10 tahun akan datang”, saya menjawab.
Ia adalah ungkapan yang sangat biasa, tetapi saya melafazkannya dengan seribu makna dan harapan.
AGENDA 2008
Summer Camp IPIJ 2008 yang berlangsung di Ibaraki, Jepun baru-baru ini adalah sebahagian daripada AGENDA 2008 saya. Sejurus selesai menyempurnakan pengisian PUISI 2007 di Ireland, modul “APA ERTI SAYA MENJADI MUSLIM” telah saya angkat sebagai agenda 2008. Tahun ini adalah tahun saya menyebar luaskan fikrah mengertikan semula ISLAM dan MUSLIM seoptimum mungkin.
Negeri Matahari Terbit ini adalah negara yang penting untuk melengkapkan pendedahan kepada saya tentang alam dan manusia. Untuk memahami worldview dari kalangan pelbagai latar belakang manusia. Namun ia terlalu mustahil untuk dicapai. Jepun terlalu jauh dari jangkauan fikiran saya. Ia seakan sebuah dunia lain, dengan adat budaya, amalan, fikiran yang berlainan dari dunia seluruhnya.
Tambahan pula dengan kos yang mahal, tidak terkata.
Teringat pula subjek Pengurusan yang saya ambil semasa belajar di Jordan dahulu. Antara silibus kami, ialah mengenal pasti perbezaan ‘mazhab pengurusan Barat’ dengan ‘mazhab pengurusan Jepun’. Semua negara dan komuniti sana dinamakan sebagai Barat, manakala Jepun adalah Jepun, bukan Timur. Ia adalah sebuah entiti dengan identiti yang unik.
Jepun tidak mampu menjadi impian saya.
PELUANG YANG TAK TERDUGA

‘Jambatan’ penghubung saya dan IPIJ
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya dikurniakan baginya jalan keluar, dan direzekikan baginya dari sumber yang tidak disangka-sangka…” [Al-Thalaq : 2-3]
Namun siapa sangka…
Terima kasih kepada IPIJ yang telah sudi menjemput saya sebagai tenaga penceramah Summer Camp IPIJ 2008 baru-baru ini. Ia bukan sahaja menjadi peluang untuk saya berkongsi idea tentang AGENDA 2008, malah saya turut mendapat input yang pelbagai tentang Jepun. Input yang penting ke arah menambah cambah fikiran dan kefahaman saya tentang manusia.
Terima kasih juga kepada warga IPIJ yang bukan sahaja ‘menerima’ dari saya, tetapi turut mengajar saya tentang Jepun, tentang adat budaya, tentang cara berfikir, falsafah mereka… malah turut menyenaraikan buku dan filem yang perlu untuk saya… agar beroleh tambahan nilai dalam kefahaman, agar terus dan lebih memberi.
Jepun itu unik pada negaranya, pada warganya, dan pada warga Malaysia di sana.
ISTIMEWANYA JEPUN
Jika di akhir kurun ke 19, Muhammad Abduh mengungkapkan bahawa “saya ke Paris lantas bertemu dengan Islam tanpa Muslim, pulang ke Kaherah lalu bertemu dengan Muslim tanpa Islam”, maka saya mengulangi ungkapan yang sama tatkala berkunjung ke bumi Sakura, Jepun.

Tatkala ramai yang lena, sebahagian warga SC08 melakukan SOUJI sebagai rutin kebersihan
Keistimewaan yang saya saksikan di Jepun, tidak lari dari segala tanggapan yang kita sedia tahu mengenainya. Kebersihan yang sangat optimum, disiplin tinggi mereka ketika bekerja, ketepatan masa keretapi dan manusia yang berjanji, serta kelakuan mereka yang sangat suka bertelanjang semasa mandi! Aduh, serba serbinya penuh kejutan. Bukan terkejut mengetahui, tetapi terkejut mengalami.
Saya memerlukan sedikit masa untuk mencernakan terjemahan pengalaman saya mengamati Jepun, kotaraya Tokyo dan manusianya. Insya Allah akan saya cuba ungkapkan dalam sedikit masa lagi.
MALAYSIA DI JEPUN
Namun satu keunikan pasti tentang pengalaman seminggu saya di Jepun, adalah keunikan warga Malaysia di sana. Inilah sesuatu yang amat saya hargai.

Wakil Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo
Saya mengagumi sikap kakitangan Kedutaan Besar Malaysia yang sering turun mendampingi pelajar. Sesungguhnya pendekatan sebegini akan menjadi manfaat yang besar kepada kedua belah pihak kerana kedua-duanya saling memerlukan. Tahniah dan terima kasih kepada rombongan kedutaan yang berkunjung ke Ibaraki pada hari pertama berlangsungnya program.

Ceramah kasual lebih banyak berbanding formal
Keduanya, saya simpulkan bahawa program kali ini adalah hari-hari yang paling banyak soalan di dalam hidup saya. Sepanjang berlangsungnya sesi kuliah, saya banyak menerima soalan yang bagus daripada peserta. Malah ketika rehat, makan, dan segala detik yang mendatang, sentiasa sahaja ada peserta dan AJK yang duduk bersama, berbual, bersoal jawab hinggalah ke minit-minit akhir saya di Lapangan Terbang Narita sebelum pulang ke Malaysia.
Terima kasih kepada warga Summer Camp IPIJ 2008 atas soalan yang banyak dan berkualiti. Terasa benar saya di’Haji Google’kan selama seminggu itu.
Semua ini adalah tanda yang jelas bahawa kalian memproses. Kalian berfikir… justeru Summer Camp IPIJ 2008 menjadi titik mula kepada dimensi mengertikan ISLAM dan MUSLIM yang segar, kerana kalian telah menggarap mekanisma terpenting usaha TAJDID, iaitu BERFIKIR DALAM BERAGAMA.
Syariatullah dan Sunnatullah dalam beragama. Input, Proses dan Output dalam mengatur paradigma, serta menggali Sejarah untuk melihat Arah… kesemua ini adalah himpunan sari pati AGENDA 2008 saya.
Semoga setiap saat yang ditempuh oleh warga Summer Camp IPIJ 2008, menjadikan pengorbanan semua pihak berbaloi. Kos perjalanan di Jepun sangat mahal. Pelajar tidak harus ke sana sini kecuali dengan hasil tinggi. Justeru saya mencuba yang terbaik agar segala kesusahan mereka berbayar.

Bersama salah seorang wakil peserta Korea Selatan
Bukan sekadar pelajar yang datang dari kawasan sejauh pulau Hokkaido atau negeri selatan Pulau Kyushu, malah 4 pengembara ilmu dari Seoul, Korea Selatan. Mereka belayar di Laut Jepun lebih 19 jam dari Pusan ke Osaka, kemudian menaiki bas ke Ibaraki… moga semua itu menjadi sebahagian daripada amal soleh yang kekal manfaatnya selama-lama.
Harapan saya juga agar segala catatan manis pada ukhuwwah dan cambahan fikrah di sepanjang SC08, menjadi bekal impian saya untuk melihat Malaysia yang lebih baik 10 tahun akan datang… agenda besar yang ditunaikan dengan segala mujahadah kita semua, terutamanya segala duka dan linangan air mata isteri dan anak-anak saya yang terpaksa meminjamkan saya seketika demi semua ini.
DI SEBALIK TABIR
Terasa remuk hati apabila Ummu Saif memberitahu yang anak-anak sampai mencium baju saya untuk melepaskan rindu. Baju ‘busuk’ yang sengaja tidak dibasuh, dibiarkan bergantung di bilik kerana itulah ubat rindu semua kepada saya tatkala bermusafir ke empat penjuru bumi demi PERUBAHAN yang dicita-citakan. 2008 ini adalah tahun yang besar buat ahli keluarga saya, pengorbanan mereka tidak pernah lekang dari diri biar di mana pun saya berada… kerana merekalah THE BURNING DESIRE saya.
Tahun 2008 adalah tahun pencetusan momentum tersebut, dan agenda ini akan selesai dengan siri jaulah terakhir saya di India pada Februari 2009. Tahun 2009, akan saya berikan buat Ummu Saif yang bakal menduduki tahun akhir pengajian Master Klinikal beliau, dan masa untuk saya kembali ke ‘circle of influence’ saya di dalam sebuah keluarga, masyarakat, negeri dan negara.
Percayalah wahai isteri dan anak-anakku, segala keperitan yang sementara ini adalah demi kemanisan yang kekal abadi. Aku berkelana di empat penjuru Bumi demi mendidik anak bangsaku, kerana merekalah yang bakal memimpin masa depan anak-anak kita. Aku impikan Malaysia yang lebih baik di suatu masa, biar pun masa yang itu, aku tiada lagi untuk menyaksikannya. Kuhantarkan anak-anakku ke masa hadapan, dengan pelaburan hari ini mendidik anak bangsaku.
Dan bangsaku adalah bangsa Islam…
Yang mengerti makna ISLAM dan MUSLIM mereka.
Salam perjuangan buat anak Malaysia di bumi Jepun… salam perjuangan buat anak Muslim di bumi Sakura sana…
Sesungguhnya…
Di akhir pertemuan, jangan diucap Selamat Tinggal
Bahkan ucaplah Hingga Bertemu Lagi
Seandainya tidak di bumi Tuhan
Mudah-mudahan di Syurga-Nya nanti..
Seeru ‘ala Barakatillah…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Tokyo Narita International Airport, Japan
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010) Related posts:
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor















Pengalaman yg menarik. Tahniah ustaz.
Semoga setiap individu yang menghadiri training ustaz akan menyebarluaskan dengan mempamerkan akhlak yang terserlah sebelum terungkap. Kemudian menghebohkan kepada empat penjuru BUMI pula, kalau tidak sekarang selepas tamat pengajian dan akhirnya bersinergi dengan baik di alam berkeluarga.
Pelajar Jepun melihat dan mengalami sendiri bagaimana tanpa AKIDAH yang TEPAT masyarakat Jepun mempunyai matlamat yang JELAS. Memang pasti ada kelemahannya kerana tujuan mereka sekadar di sini jadi kalau kecewa boleh sampai bunuh diri.
YAKINILAH MASA DEPAN ADALAH UNTUK ISLAM.(terima kasih ustaz kerana mengingatkan buku yg akak dah khatam hampir 20 tahun yg lalu sampai kdg2 ragu juga, benarkah kenyataan ini bila melihat “sua rasa” persekitaran)
Terima kasih Kak Ija.
Jepun adalah bumi promosi Islam dengan kualiti, bukan retorik dan idea basi. Akhlaq dan kecemerlangan jua aset yang valid sepanjang zaman
Salam…I wonder apa yang ada dalam beg kertas tu ustaz…emm maybe ole-ole buat ummusaif…syabas…demi untuk masa hadapan anak bangsa Malaysia…
Wsalam…
Di dalam beg itu adalah ‘rahsia’ saya untuk isteri dan anak-anak
salam.
Saya dan semua warga IPIJ terutamanya berasa amat bertuah dan berterima kasih diatas kesudian ust. untuk berkongsi ilmu dan pengalamn hidup bersama kami.
Memori bersama di SummerCamp akan terus diingat dan diharapkan dapat menjadi landasan kearah sesuatu yang lebih baik dimasa hadapan.
Sehingga berjumpa lagi.All the best ye ustaz!
Salam.~peace~ (dengan gaya yang comel.hehe.)
Wsalam.
Comel macam ini ke?
Hehehe….take care bro. Terima kasih kerana sudi hadir dan bonus anta yang menceriakan kami semua…
Haha.. Apalah Idris ni.. ada ke patut dia ajak ustaz jadi comel macam dia? Kalau ustaz nak tahu, peace “bengkok” tu trend baru. Idris yang cipta kot. Hihihi..
Sepanjang 5 tahun mengenali Idris,ke’comel’annya semakin menjadi-jadi.Sabar jelah..hihi
to Idris:mula peace bengkok sebab jari tak boleh bengkok dulu,sekarang jari dah elok,masih bengkok lagi ker?Istiqamah sungguh..
Kpd adik2/anak2 yg belajar di Jepun tu, bila balik di Msia, bekerjalah kamu macam org Jepun bekerja, dan sambunglah tugas dakwah ustaz tu nanti di persekitaran tempat keja nanti (of course x ketinggalan keluarga kamu) dan di mana2 jua yg kamu mampu (jgn tak buat lansung).
Kpd ustaz, semuga target ustaz diperkenankanNya. Teruskan.. Amin.
Salam
“Kalian berfikir… justeru Summer Camp IPIJ 2008 menjadi titik mula kepada dimensi mengertikan ISLAM dan MUSLIM yang segar, kerana kalian telah menggarap mekanisma terpenting usaha TAJDID, iaitu BERFIKIR DALAM BERAGAMA.”
Syabas Ustaz!
Beberapa kali ke Jepun (bukan hanya Tokyo) dan paling lama sebulan, membuatkan saya sangat setuju dengan penukaran Paris menjadi Tokyo di dalam kata-kata Muhammad Abduh.
Wa ‘alaikum al-Salaam Pak Din…
Terima kasih atas perkongsian. Tokyo menambah keyakinan saya bahawa tiada nilai dalam beragama tanpa AKHLAQ, tiada nilai berakhlaq tanpa AGAMA…
Salam, ustazz… Ana teringin sangat nak pergi kuliah ustaz, nak meneguk, tak banyak sikit pon jadi lah ilmu ustaz tuh. Yang jauh sana (bumi sakura) dah dapat skit manfaat dari ilmu ustaz. Ana yang dekat sinih (Malaysia-Tanjung Malim-Upsi) masih tak berpeluang menuntut dan bersemuka dengan ustaz..
Semoga peluangnya akan tiba, InsyaAllah… ^^
Wsalam wbt cikgu.
Sudah hampir 5 kali UPSI menjemput saya. Ada yang terpaksa ditolak awal-awal kerana tak kena tarikh, ada yang saya sudah setuju tetapi penganjur terpaksa batalkan atas pelbagai faktor.
Bumi Sakura menerima kunjungan saya kerana mereka merancang program ini seawal satu tahun dari tarikh majlis perasmian. Man jadda wajada kata orang kampung saya
Salam..ust, memang kami terpaksa berusaha bersungguh-sungguh nk jemput ust..kami di UPSI amat menanti khadiran ust di sini..semester lalu saya tidak berjaya bawa ust k UPSI mahupun KHAR..insyaAllah, u sidang ini saya akan berusaha untuk bawa ust k sini..Man Jadda Wa Jada..semoga ada sinar yg menanti..
Salam
Sepanjang seminggu ustaz berada di Jepun adalah sesuatu yang amat berharga buat kami.Ketika ‘dayung’ sudah ditangan,ustaz mengajar kami cara men’dayung’ yang sebaiknya dan mencetuskan kemahuan dan kesanggupan di hati kami.Sekarang terserah kepada kami untuk menjana kemampuan untuk melayarkan ‘sampan’ menempuh cabaran yang mendatang.Ber’dayung’ dan be’layar’ menuju destinasi keredhaan Allah.
Kenangan yang tidak ingin dilupakan.Semoga bersua lagi.
Jazakallahu khairan kathira.
p/s:sekadar menjadi pemerhati PBB ketika ustaz bercakap berbahasa Turki.. (^_^)/
Wsalam wbt.
Baru dapat rasakan ‘kebingungan’ Ummu Saif semasa membawanya ke Turki dulu. Rasa hopeless sangat sebab tak faham apa langsung. Orang gelak, ustaz sengih-sengih je. Mujur kita ke kedai kebab tu. Boleh ustaz pula bercakap dan giliran antum pula tersengih-sengih.
Maaf sebab tak berjaya menggunakan bahasa turki ustaz untuk minta diskaun
salam, memang rezeki ust dpt ke jepun dan belajar serta mengajar byk benda di sana.
seronoknya, ana selalu teringin ke jepun bukan semata2 melancong tapi ingin mengenali org di sana.
pada pendapat ust, sekiranya diberi peluang berdakwah kpd mereka (org jepun) bagaimana penerimaan mereka terhadap Islam?
Seperti ungkapan ustaz:
“Jika di akhir kurun ke 19, Muhammad Abduh mengungkapkan bahawa “saya ke Paris lantas bertemu dengan Islam tanpa Muslim, pulang ke Kaherah lalu bertemu dengan Muslim tanpa Islam”, maka saya mengulangi ungkapan yang sama tatkala berkunjung ke bumi Sakura, Jepun.”Setelah merenung sedutkata itu, mungkin kita boleh memikirkan apakah plan dan strategi terbaik untuk berdakwah kepada orang Jepun ini.
Plan A
Akhlak orang Jepun, memang tertulis sama dalam ajaran Islam seadanya (contoh menepati masa, soal kebersihan dll). Jadi, strategi memberi contoh akhlak terbaik sebagai cerminan itu sendiri adalah satu cabaran besar buat kita. Maka, kita perlu
lebihMega akhlak dari orang Jepun.Plan B
Walaupun rata-rata mereka tidak mempercayai agama, bahkan mencela agama sebagai racun pemikiran manusia; sebahagian orang Jepun masih memegang kepercayaan karut contohnya menggantung tangkal ketika menghadapi exam. (boleh baca ulasan lanjut oleh Bro Jimi kita).
Bermakna, masih punya ruang-ruang kecil yang boleh dilihat sebagai harapan besar untuk kita resapkan kalimah syahadah suci ke dalam hati mereka.
Hmm.. sekadar perkongsian pendapat peribadi dari saya.
Terima kasih atas perkongsian.
Dengan ribuan OTAKU yang mati membunuh diri, mungkin kunci untuk memperkenalkan Islam, adalah dengan menawarkan makna diri dan kebahagiaan yang dicari.
Namun sejauh mana hidup kita bermakna dan bahagia dengan Islam? Faaqid al-syai’ laa yu’theeh…
Assalamualaikum ustaz .
Sampaikan salam dan ucapan terima kasih saya kepada kak muna ,yob,naurah dan imad.Tanpa pengorbanan mereka,kami tidak mungkin dapat belajar apa ertinya hidup sebagai seorang muslim di bumi jepun ,korea malaysia dan satu dunia.
Menjawab balik persoalan saya pada ustaz,bagaimana pula dengan sesetangah orang jepun yang tak pula menggunakan input aqidah,tapi menghasilkan output akhlak yang begitu baik?
Dengan statistik rasmi `Jisatsu`(bunuh diri)di jepun sebanyak 32 000 orang setahun,saya yakin metode sedemikian ada keterbatasannya.Input-Proses-Output.Biarlah hidup ini bermakna dengan Islam.
Sehingga bertemu kembali.
p/s:ustaz jangan serik mai jepun.kami tak paksa buat peace lagi dah .hahaha.
`To deliver the message,be the message”
Assalamualaikum ustaz, kak muna, yop, naurah dan imad…
Jazakumullah khairan kathira..
Alhamdulillah…
“saya simpulkan bahawa program kali ini adalah hari-hari yang paling banyak soalan di dalam hidup saya. Sepanjang berlangsungnya sesi kuliah, saya banyak menerima soalan yang bagus daripada peserta. Malah ketika rehat, makan, dan segala detik yang mendatang, sentiasa sahaja ada peserta dan AJK yang duduk bersama, berbual, bersoal jawab hinggalah ke minit-minit akhir saya di Lapangan Terbang Narita sebelum pulang ke Malaysia.”
Kami pun berbincang sesama kami, soalan-soalan dan topik perbincangan yang ingin dibincangkan bersama ustaz sepanjang ustaz di Jepun. Supaya peluang yang ada dapat dimanfaatkan seoptimumnya. Bukan mudah mendapat kedatangan saifulislam ke Jepun. Dengan kerisauan masalah visa dan lain-lain. Maaf jika terdapat salah silap, kekurangan dari pihak kami di Jepun. Seribu satu kenangan yang penuh makna!
Secara peribadi, saya sendiri dapat satu kesimpulan yang besar untuk hasil impak yang baik dalam berdakwah –>> CERIA !
Kalau tahun ini sahaja, saya jatuh migrain lebih banyak dari tahun sebelum-sebelumnya. Dan kini saya sendiri melihat sejauh mana keceriaan itu memberi impak dalam dakwah melalui diri ustaz.
Arigatou gozaimasu~!
Di akhir pertemuan, jangan diucap Selamat Tinggal
Bahkan ucaplah Hingga Bertemu Lagi
Seandainya tidak di bumi Tuhan
Mudah-mudahan di Syurga-Nya nanti..
InsyaAllah… berhajat untuk berjumpa satu family ustaz pula satu masa nanti…
Seeru ‘ala barakatillah
Wsalam.
Terima kasih Inda…
Benar sekali, untuk dakwah berjaya… CERIA-CERIA selalu
Ribuan terima kasih kepada ustaz atas pengisian yang diberi, dan kami memohon maaf sekiranya soalan2 bertubi-tubi dari kami membuatkan ustaz ‘petok kepale’ (bak kata org perak!)
. Semoga Allah membalasnya.
Sekalung tahniah kepada semua warga IPIJ di atas penyertaan, terutamanya ajk2 yang ikhlas menjalankan amanah masing2, termasuk mencuci lantai setiap pagi dan sebagainya.
Sungguh Summercamp IPIJ 2008 yang lalu bukan kesudahan, tetapi hanya sebuah permulaan. Semoga kita semua beristiqomah di dalam Islam. amiin.
from Japan with love
Kampung mana di Perak yang guna istilah ‘petok kepale’ tu Ibnu Alwi? Tak pernah pulak ustaz mendengornya.
Apa2 pun, terima kasih semua. Selamat menerima dan selamat memberi.
er, saya pun tak pasti, tapi budak2 sekolah Madrasah saya di kuale kongsor dulu suka gune. (petok kepale = pening kepala sehingga kepala boleh jadi petak!)
Salam,benar sekali pak din.
Masyarakat dan tenaga muda generasi lewat akhir-akhir ini,lebih banyak menanyakan apakah sebab mereka melakukan sesuatu daripada hanya menerima sebulat-bulat.Sami’na wa atoqna bukan lagi menjadi satu kemestian,bahkan nilai kepada sebuah kefahaman hasil daripada pencarianlah merupakan sesuatu pegangan.
Kenapa aku mesti beragama? Kenapa aku mesti islam? Kenapa aku mesti hidup? Adakah akulah watak utama dalam siri kehidupan di dunia ini?
Carilah dan teruskanlah mencari…kembaralah di mana-mana penjuru,namun yakin benarlah akhirat itulah yang abadi.mudah sekali untuk diri ini menulis,hakikatnya amat sukar sekali untuk bermujahadah dalam mentafsirkannya dalam perbuatan pada sebuah kehidupan.
“Kalau tiadanya akhirat,dunia ini tidak beerti.”-sebuah pesanan beharga yang sempat abu saif tinggalkan untuk kami semua.
Buat ummu saif,yop,imad dan naurah,doumo arigatou.pengorbanan kalian juga memangkinkan lagi semangat kami,untuk lebih menerima dan memproses kata-kata dan perkongsian dari ustaz dalam erti hidup pada memberi.kami bersedia untuk menyertai team erti hidup pada memberi.
Pradigma pada da’wah juga merupakan credit yang paling berguna pada SC pada kali ini.semoga segala yang baik ini dapat diterjemahkan kembali kedalam kehidupan kami di bumi jepun ini khususnya dan masyarakat di sekeliling kami amnya.jazakallah buat semua.
Indahnya karangan budak jepun maniri… ada blog rupanya
Selamat menempuh peperiksaang, duang.
Sunnatullah, baca buku, ulangkaji, tok pahang tanye… Syariatullah pula, doa, solat hajat, minta restu ibu bapa… dan seterusnya.
Assalamu’alaikum warahmatullah…
Bila melihatkan rakan-rakan di Jepun rajin memberi komen di sini, maka buat pertama kali dalam sejarahnya, ana tergerak hati memberi komen di dalam website saifulislam. Alhamdulillah, tidak lagi menjadi pembaca senyap.
Ketika ustaz bersoal jawab di Lapangan Terbang Narita, ana agak keletihan sehingga tertidur di kerusi sebelah. Walhal, jika difikirkan ustaz lagi letih dan lagi ingin tidur untu rehatkan diri. Namun ustaz, ana tetap berpuas hati sebab sudah mengambil gambar bersama sebelum kita bertolak ke Narita airport.
Picture 136.jpg
Waalaikum al-Salaam wbt.
Terima kasih sheikh kerana sudi meninggalkan komen dan berkongsi gambar. Terima kasih juga sebab sudi hantar ana ke airport. Teruskan bersoal jawab dengan Ajak pula soalan-soalan anta kepada ana
Alhamdulillah, seronoknya baca komen2 peserta dan yg ikut serta secara jarak jauh. InsyaAllah, sama2lah kita berTAQWA kpd ALLAH, berAKHLAK sesama manusia dan berITQAN semasa bekerja kelak. Dengan usaha yang syariatik dan saintifik YAKINILAH MASA DEPAN ADALAH UNTUK ISLAM.
p.s. Indirectly ustaz dah letakkan target 2018 kepada Alumni SC IPIJ 2008 untuk memperlihatkan KUALITI. Bantulah kami Ya Allah. Amin.
Sebelum SC08, Jepun antara online trafik saifulislam.com yang tinggi. Mudah-mudahan pasca SC08, offline trafik saifulislam.com juga akan meningkat tinggi
10 tahun akan datang, jika dipanjangkan umur..
Usia saya sama seperti usia ustaz sekarang…
Jika melihat pengalaman ustaz, dalam tempoh 10 tahun tu..
Memang “sasuga” sungguh ( kata orang kampung saya – truly ) seorang yang berpengalaman.
10 tahun… bukannya tempoh yang lama…
Bukan pemula, tapi perlu bermula…
Everybody starts with zero.
Salam Ustaz,
… ade beberapa keping gambar Umar ngan Ustaz aje..
terima kasih atas kedatangan Ustaz ke Jepun baru2 ni..
terlupa nak bergambar satu family ngan ustaz..isk isk menyesal betul
Wsalam wbt.
Terima kasih juga kerana sudi hadir bersama. Semoga ukhuwwah kita berkekalan. Next time jumpa, Umar pun dah besar tagun gamaknya. Insya Allah
tagun tu baru le betul vocab perak, petok kepala gi mana ya?
Serangkap pantun untuk ustaz,
Pulau Hokaido jauh ke tengah,
Gunung Fuji bercabang tiga,
Hancur raksasa di kandung tanah,
Ultraman yang baik dikenang juga!
Salam Ustaz
Website ini diperkenalkan oleh seorang member. Alhamdulillah saye menjadi fan tetap melayari laman web ustaz.
Terasa benar ingin menghadiri ceramah2 ustaz. Saya bekerja di pasir gudang, jb. Jika berdekatan ceramah, ingin benar menghadiri.
Syed.
ehm best baca komen sahabat2 nun jauh di negara matahari terbit… teringat saya kenangan masa PERMAI Jogja… Sesungguhnya kemanisan dalam berdakwah adalah ukhuwah. Yuk sahabat2ku, kuatkan ukhuwah sesama kita, merentas negara maupun benua, demi Islam yang tercinta…
p/s: Ustaz teringin melihat malaysia yg lebih baik 10 tahun akan datang???
Ehm waktu itu, kalau panjang umur, usia saya 33 tahun! moga saya jadi penggerak utama dalam meninggikan dan memartabatkan ISlam di bumi Malaysia……… Amin. Cahaya Islam semakin bersinar di Malaysia!!!!!
“Tahun 2008 adalah tahun pencetusan momentum tersebut, dan agenda ini akan selesai dengan siri jaulah terakhir saya di India pada Februari 2009. Tahun 2009, akan saya berikan buat Ummu Saif yang bakal menduduki tahun akhir pengajian Master Klinikal beliau, dan masa untuk saya kembali ke ‘circle of influence’ saya di dalam sebuah keluarga, masyarakat, negeri dan negara.”
Wah..x sabar tunggu ustaz ke india februari 2009! Moga dsampaikan umur n dpmudahkan urusan.
jazakallahukhairan katsiira juga dari saya..byk benda dapat belajar dari ustaz melalui kunjungan ustaz ke summercamp kali ini..diharap berjumpa lagi di lain hari dan ketika dengan ikatan ukhuwah yang mesra sesama kita..sian anak2 ustaz merindui ustaz..:)
insyaAllah!
p/s: anak2 je ke..?
sekali melangkah ke alam perjuangan
beerti selamanya dalam kepahitan
biarlah menangis,terluka dan ditinggalkan kerana Allah
daripada mati terkambus tanpa mujahid/mujahidah
kita tak sanggup selamanya terluka
tapi ingatlah setiap titisan darah
dari luka dan air mata
itulah mahar kita ke syurga
bila dtanya mengapa berjuang itu pahit
jawabnya kerana syurga itu manis……….
Tak semuanya pahit (selamanya). Ada yg manis. Selain hablumminaLlah, kita juga ada hablumminannas. Kita ada sunnatullah dan juga syariatullah.
[...] Ikuti ulasan dan harapan ustaz Hasrizal untuk Summer Camp IPIJ 2008 di Saifulislam.com. [...]
Alhamdulillah ustaz dah sampai rumah…kami baru sahaja selesai ber’mujahadah’ selama berbelas jam di lautan..hehe..angin kuat, feri terhuyung-hayang..kepala kami pun ikut sama berputar ^.^ Alhamdulillah, sekarang tengah tunggu bas untuk pulang ke Seoul dari Pusan. 5 jam perjalanan, InsyaAllah.
Selama ini saya mengikuti perkembangan ustaz dari blog Saifulislam jer, tapi lepas jumpa dan dengar sendiri ceramah ustaz, memang benar2 bersemangat.. seakan-akan ungkapan “erti hidup pada memberi” itu meresap dalam diri..
Apapun, syukron jazeelan saya ucapkan kat ustaz.. juga Kak Muna, Saiful Islam, Naurah dan Imad atas pengorbanan mereka semua.. Semoga bersua lagi di lain waktu.. InsyaAllah di bumi Winter Sonata pula..hehe
p/s : baru habis baca buku “Aku Terima Nikahnya” =)
[...] HARAPAN MEKAR DI BUMI SAKURA [...]
assalammualaikum….tak tahu nak tulis apa,terharu saya baca..Chayoo ustaz.InsyaAllah pengorbanan ustaz dan keluarga tidak akan kami sia-siakan.Masa depan islam masa depan merentasi zaman….
[...] Allah semoga saya dapat berfungsi di dalam “circle of influence” saya sendiri. Seperti Ustaz Hasrizal, saya juga ingin melihat Malaysia yang baru 5 atau 10 tahun mendatang. Bercita-cita ingin menjadi [...]
[...] Harapan Mekar di Bumi Sakura [...]
ustaz,mungkin tiada siapa yang perasan, tapi sebenarnya iklan besar Bahasa Jepun di dalam gambar ‘Jambatan penghubung saya dan IPIJ’ di belakang kita itu tertulis ‘KARAOKE 747′!
Nasib baik ummusaif tak faham Bahasa Jepun. Hihi.