Seruan Prihatin Palestin Tanpa Sindiran

Pemandangan ironi yang menimbulkan keinsafan, bukan peperangan mulut yang memandang

ARTIKEL 2014

Semalam, masjid yang saya singgah untuk bertarawih menghadirkan Imam dari Tulkarm, sebuah daerah bergolak di bumi Palestin. Wakil Aman Palestin menterjemahkan tazkirah ringkas beliau. Dalam lambakan maklumat tentang Palestin di sana sini, memperingatkan kembali bahawa isu Palestin tidak harus tenggelam dalam lambakan isu, nasihat sebegini memang perlu.

Syabas kepada Aman Palestin.

Konsisten berusaha dan berusaha.

Ia menyedarkan kita, bahawa yang mengalami, yang mengetahui, yang tidak mengetahui, semuanya sedang diuji.

Mati atau hidup, dua-dua adalah ujian.

Itu kenyataan Allah di dalam surah al-Mulk ayat 2:

67_2

“Dialah yang telah mencipta mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” [al-Mulk 67:2]

Apabila mati dan hidup mengekalkan kita dalam mood diuji, maknanya kita sentiasa diuji. Apabila ada sahaja kejadian yang dirasakan sebagai ujian, mesti kita lihat sisi sebaliknya, siapa lagi yang teruji selain daripada yang zahirnya kelihatan sedang diuji itu.

Apabila mangsa kemalangan jalanraya cedera parah dibawa ke hospital, zahirnya pesakit itu sedang diuji. Namun, doktor, jururawat, pembantu perubatan dan sekalian pasukan perawat, juga sedang diuji.

Aqidah diuji pada melihat qadha’ dan qadar.

Pandangan hidup diuji pada melihat rawatan yang diberi biar secemas dan seberat mana pun tekanan, adalah ibadah kepada Allah.

Sistem nilai sedang diuji pada menentukan mana yang lebih utama daripada yang lain.

Atau dalam bahasa yang lebih mudah, keikhlasan diuji, kesungguhan diuji, kompetensi diuji, akhlaq diuji, serba serbi sedang diuji. Pesakit dan perawat sama-sama sedang diuji, dalam gelanggang yang sama.

UJIAN DI PALESTIN

Peluru.

Bom.

Darah.

Kematian.

Saudara kita di Palestin telah dan sedang malah terus menerus diuji. Ujian yang menyakitkan. Yang menyeksa jiwa. Ujian ke atas mereka seperti sudah tidak tergambar oleh kata. Malah ujian yang terlalu berat itu menyebabkan kajian oleh pakar psikologi Palestin terhadap kanak-kanak memperlihatkan betapa kanak-kanak Palestin hilang keinginan dan semangat untuk hidup!

Terlalu trauma.

Jika mereka sedang diuji, siapa lagi yang sedang diuji.

Bahu memikul sedang diuji.

Mata memandang juga sedang diuji.

Itulah KITA.

Ujian ke atas kita bukan hanya kepada kita terhadap mereka.

Malah ujiannya juga adalah kita terhadap sesama kita.

MENYINDIR UNTUK MENYERU PRIHATIN

Kita hidup dalam budaya penuh kecelaan lisan. Dalam kebaikan pun, kita bersulam āfāt lisān.

Hingga hendak mengajak kepada kebaikan pun kita menyindir.

Sarcasm.

Kita sudah tidak percaya kepada ajakan secara direct. Kita anggap direct itu terlalu sukar lagi melukakan. Kita gerun dengan jari yang luka di tangan, tetapi kita tidak gerun dengan kanser yang membunuh dari dalam. Teguran direct mungkin agak melukakan seperti lukanya jari. Tetapi sindiran membenihkan dendam yang membunuh dari dalam.

Foto-foto yang ditambah dengan kata-kata menggunakan aplikasi Phonto, meme, hatta status Facebook, kita terbiasa dengan ayat-ayat “bawa-bawalah bersyukur”, “tidak terfikirkah mereka di sana menderita”, “masalah besar, sebab kuih kegemaran habis? Lihat Palestin!” dan yang seumpama dengannya.

Menggunakan pendekatan MENYINDIR tidak akan menjadikan rakyat Malaysia lebih prihatin kepada isu di Gaza dan Palestin. Malah ia mungkin menimbulkan rasa menyampah dengan golongan pejuang isu Palestin.

Ajaklah.

“Saya sudah puas mengajak secara direct. Tidak berkesan pun!” hujah kita sesama kita.

Kita mungkin terlepas pandang bahawa Nabi Nuh alayhi al-salaam mengajak, memujuk, mendidik, malah mengancam, selama 950 tahun. Tidak pula Baginda beralih kepada kaedah sindiran kerana sudah puas mengajak secara direct.

Allah itu Tuhan yang hari-hari didurhakai hamba-Nya, jarang sekali Allah memujuk dengan sindiran. Dan jika Allah yang menyindir dengan sinis, ia sindiran ALLAH kepada hamba-Nya. Layak sungguh. Mana mungkin kita sebagai hamba mahu menyindir sesama hamba.

Sarcasm, menegur secara sindiran berironi ini ditegah oleh ALLAH di dalam firman-Nya:

49_11

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” [Al-Hujuraat 49:11]

Al-Imam al-Tabari rahimahullah semasa mengulas ayat ini, menyatakan bahawa Allah meletakkan hukum mengharamkan perbuatan menyindir sinis (sarcasm) yang disebut sebagai al-sukhriyyah di dalam ayat ini, ke atas semua keadaan dalam semua makna. Maka tidak halal bagi seorang mukmin untuk menyindir seorang mukmin yang lain, sama ada kerana kemiskinannya, malah dosa yang dilakukannya atau apa sebab sekali pun, untuk menjustifikasikan sindiran.

Jangan rasa bagus sangat apabila prihatin dengan isu Gaza. Rasa bagus itulah sifat yang menjadikan Yahudi terlaknat.

Pujuk, jangan kutuk.
Bina jambatan, bukan tembok.
Ajak, bukan ajar.
Jadi da’i, bukan mufti!

Kita mahu meramaikan mereka yang prihatin.

Bukan menambah kebencian sesama kita.

Kita boikot barangan Yahudi, sinis berbahasa memecah belahkan sesama kita tanpa Yahudi campur tangan.

Self-destructive!

Ya Allah, bantulah saudara-saudara kami di Palestin, ya Mujib al-Du’a!

Sesungguhnya kami sedang sangat diuji.

HASRIZAL
43000 BSP

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

31 comments

  1. Ramai pula yang tidak selesa dengan perenggan terakhir saya. Hmm.. maksud saya begini:

    Maksud saya, tujuan kita boikot ialah untuk melemahkan Zionist di Palestin. Kita mahu musnahkan mereka. Tetapi sambil kita boikot kita tak jaga akhlaq. Kutuk dan sindir sesama kita. Boikot kita masih jauh perjalanannya. Tapi akhlaq kita sudah sedia memusnahkan sesama kita. Belum sempat Yahudi nak menghancurkan kita, kita hancurkan diri kita sesama kita.

    Aduhai… panjangnya

    • artikel ustaz selalu (atau kadang-kadang?) sukar difahamkan juga sering disalah tafsir. kenapa?

      • Mungkin Artikel yg sukar difahami atau orang salah tafsir tu sebab ustaz hasrizal selalu tulis artikel yg buat pembaca kena berfikir. Tak “spoon feed” gitu. Kadang agak tricky nak faham maksud. Try lah relate balik dgn tajuk jangan sarcasm dlm mengajak kepada Islam.

        Saya sendiri dah terbiasa dgn culture sindir2 dan perlian. Bila kita kena, kita cenderung pula nak balas balik. Allah, destructive cycle yang tak berpenghujung. Sememangnya budaya sarcasm itu umpama barah yg membunuh dlm diam. Saya mmg tak pernah rasa nak terima teguran bila org cakap secara sinis. Rupanya Allah dah larang dlm Quran.

        Syukran ya ustaz atas pencerahan ini. Semoga dipermudahkan urusan.

    • saya faham je.. mungkinkah sebab ustaz dah ubah perenggan tu?

      • saya tidak mengubah apa-apa.

        dan saya tidak pasti mengapa artikel saya selalu disalah faham seperti yang Along sebut. untuk topik kekeluargaan, saya perkenalkan “7 BUAH FIKIRAN” sebagai konklusi di hujung.

      • alhamdulillah… golongan yg ‘mendapat isi’ 😀

  2. Besarnya ujian kita walaupun melihat sahaja satu demi satu kejadian terhadap umat Islam di Palestin. Semoga Allah s.w.t. memberikan kekuatan kepada kita umat Islam untuk menempuhi ujian ini dan ujian-ujian yang lain. Artikel yang bagus ustaz. Terima kasih.

  3. Doa yang tenang adalah senjata Muslim yang lebih ampuh berbanding jeritan-jeritan boikot. Allah pasti menyambut doa-doa hambaNya. Apa yang tiada pada Zionis adalah ketenangan dalam jiwa. Rasa insecure yang diperlihatkan melalui rampasan tanah bukan milik mereka dan bedilan peluru. Semoga Palestinians yang syahid beroleh Jannah yang kekal abadi.

  4. salam ustaz,boleh perincikan lagi contoh-contoh ayat yang dinamakan sindirin ini agar lebih jelas.Dalam kes Palastine atau lain-lain?

  5. i just want to fight it in positive energy, guided by Allah,
    not by my nafs and especially and eventually by that something else.
    Because if you really know me
    and us
    we are easily affected by negative energy, that cunning whispers,
    O Allah, i give it to You to take control of it.

  6. So dear my assertive and aggressive friends,
    just be husnuzon,
    i’m saying my prayer for all of them…
    and i pray for myself too, inshaaAllah, my faith grow stronger,
    as i have faith (it’s from Allah)
    and patience (it’s from Allah too)
    O Allah, strengthen my faith

  7. I’m sorry dear Ustaz for misusing your comment page

  8. terima kasih ustaz..

    sindiran ni dah jadi salah satu cara saya dalam nak ajak orang buat baik..
    betapa saya tersilap selama ini..

  9. Aktikel nie pun menyindir usaha org lain utk menzahirkan sokongan terhadap palestin dan memerangi israil secara simbolik.

    • Sindiran bermaksud bercakap secara kiasan untuk.menegur. Sukhriyyah pula ada penambahan, menyindir secara perli supaya yang disindir malu dan yang di kelilingnya ketawa, dan ketawa itu menambah kehinaan dan malu kepada yg disindir.

      Di mana di dalam artikel ini saya berkias dan buat lawak? Ada sesiapa yang ketawa membaca artikel ini?

      Saya menegur secara direct bahawa perli disebut sukhriyyah dalam bahasa arab dan Allah mengharamkannya melalui surah al-hujuraat ayat 11. Di mana saya menyindir?

      • Nak tanya ustaz sikit .. kenapa umat Islam tak bantu hantar Senjata
        asyik hantor makanan dan ubatan. Tak ada sorang pun yg terang2
        sambut cabaran Menteri Iran agar kita hantar bom dan roket.

  10. Mengapa Yahudi menamakan negaranya sebagai Israel?

  11. Salam ustaz,

    Sy faham 100% artikel ustaz. Memang hakikatnya sarcarm itu sgt seronok menggunakannya namun bila ditujukan balik kpd kita, terasa sakit hati. Maka sy meninggalkannya (Semoga Allah mengampuni diri ini). Demi menjaga hati dan agama, maka sy terus nekad tinggalkan facebook kerana selalu terjumpa dgn golongan begini dan sy pula tidak mahu membalas.

    Selalu nampak di twitter dan fb, sudahlah nk mengajak memboikot namun menyindir-nyindir pula. Rasa meluat, seolah-olah merekalah juara yg paling prihatin ttg Palestin. Kita boikot macdonald, ok, namun berapa ramai yg tahu melayu yg kerja di macdonald berapa ramai? mereka nk makan apa kalau business tutup? Jawapan mudah bagi golongan sebegini, “rezeki Allah itu luas”. kalaulah dunia semudah itu, pasti masalah Palestin juga boleh selesai dalam 2-3 hari.

    Sindir-menyindir juga bukan setakat isu boikot, melarat sampai ke concert maher zain. Yg menyebutnya pula berada dlm kapasiti orang beragama; “baca quran tak rasa insaf, dengar lagu maher zain boleh dtg insaf, pelik sungguh”.

    tak ker meluat mendengar ni?

    bukannya kami ni tak tahu apa yg berlaku di palestin, org mati di sana bukan sehari dua baru-baru ni. Kami kenal poster siapa budak kecik yg memegang batu di depan kereta kebal israel tu. hentikanlah sarcarm di fb dan twitter ni, jelak org membacanya.

    kalau nk sangat boikot barangan israel, jgn beli komputer cap intel, kilang intel tu dibina di qiryat qat, tanah yg dirampas israel, tutup fb, jgn ckp banyak.

    selain isu Palestin, ada isu lain yg lebih penting dlm Malaysia ni, berapa ramai yg prihatin ttg homeless di KL?

  12. Terima kasih ustaz atas peringatan. Saya juga sedang berusaha untuk meninggalkan sindiran. Sesungguhnya kita memang sedang diuji!

    (Rupanya ini artikel lama yang ustaz up kan kembali.)

  13. Assalammualaikum..
    Saya sangat setuju dengan artikel ini kerana apa yang saya Nampak orang kita memboikot dengan menggunakan fitnah. Berapa banyak produk yahudi yang mempunyai sijil halal sebenar telah difitnah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata ingin boikot produk tersebut. Bagi saya boikot produk tersebut tak salah yang salah nya apabila memfitnah. Sedangkan nabi tak ajar pun kita memfitnah walaupun pada orang bukan islam. Itu bukan dari ajaran Islam.

  14. yang betul betul tujuan untuk menyindir tu memang salahlah.

    Tapi kadang kadang, saya tengok perkara ni terjadi sebab adat dan budaya melayu yang diajar ntuk bercakap berlapik, tersirat, berhalus, supaya semasa menarik rambut, tepung tidak berselerakan (kononnya).

    Pandangan ust?

  15. ummuninasmaysar

    Assalamu’alaikum.

    Saya membesar melihat budaya sukhriyyah berlaku di hadapan mata. Melihat budaya “sakit” ini dimeriahkan oleh orang merasakan mereka islamik. Bertahun lamanya saya menganggapkan ia perkara biasa kerana saya fikir betapa “bijak”nya si pemakmur sukhriyyah ini menyampaikan mesej “pendidikan”.

    Sehinggalah sekitar akhir tahun 2012 saya ikut seminar Surah Al Hujurat yang ustaz kendalikan, ternganga mulut saya dan tertangkap di fikiran saya “no wonder aku tak pernah suka budaya ni, ia takder dalam Islam malah ditegah lagi ada”.

    Saya penuh semangat menyampaikan ilmu baharu itu kepada salah seorang pemakmur sukhriyyah dengan pantas dia menjawab “macam mana tak guna sukhriyyah! depa bukan dengaq cakap kalu kita cakap elok-elok”. Saya terkedu.

    Sukhriyyah – saya lihat ia disalah ertikan sebagai tanda seseorang itu “champion” berkata-kata dalam menjatuhkan lawan dengan menghiris perasaan senipis-nipisnya. Ia satu senjata pembunuh karekter yang cukup berbisa. Saya sampai hari ini masih terasa sakitnya.

    Teguran direct dan jujur lebih baik walau kali pertama mendengar rasa nak pitam. Pitam sekejap saja, renjis-renjis dengan muhasabah ok lah balik.

  16. terima kasih ustaz atas pencerahan, kadang kita tak sedar bahasa sinis atau sindiran yang melampau sampai boleh memecahkan hubungan. Dah terbiasa agaknya dengan didikan sebegitu~

    • “Hah, kan mak dah cakap. Telinga mana? Tinggal kat sekolah?”

      Contoh ayat yang ramai di kalangan kita sudah biasa dengannya semenjak kecil. Sudah tentu sulit untuk melepaskan diri daripada budaya sakit ini.

  17. Ibtisam Mohamad

    Asm.Maaf Ustaz…saya memang mengaitkan Ustaz dengan ‘penggunaan kaedah sarcasm dalam menegur dan mendidik’ semenjak saya mengenali artikel2 Ustaz rasanya seawal tahun 2009…Dah lama saya tak dapat mengikuti artikel2 Ustaz atas sebab2 yang tak dapat dielakkan.Kini saya kembali dan kebetulan isu kaedah sarcasm ini timbul kembali…Bukan mudah untuk kita berubah tetapi saya rasa Ustaz dah berjaya mengubah kaedah Ustaz.Syabas untuk Ustaz…bagi orang lain mungkin tidak semudah itu,kena istiqamah lagi…Saya miss juga penulisan2 Ustaz seperti dulu…mirip tulisan orang putih…the English masters sarcasm very well…Saiful Nang yang empunya syarikat fotografi…ada keluarkan tshirt ‘Sarkasteek’ rasanya…he still writes using this methodology…depends on the audience juga kut…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share