“Muhammad, Muhammad!”, lelaki itu menjerit nama Muhammad ke arah saya.

Saya menoleh ke kiri dan kanan. Pastinya lelaki itu memanggil saya. Mungkin sebagai tanda hormat, saya dibahasakan sebagai Muhammad.

Rasa gementar sedikit. Tetapi perasaan itu hilang apabila saya melihat lencana Milli Genclik Vakfi (MGV) tersemat di kocek baju lelaki itu. MGV adalah sayap pemuda bagi Parti Refah dan ia tidak asing buat saya kerana Fatih dan rakan-rakan di Istanbul memang aktif bergiat di dalam badan tersebut.

Evet brother. What can I do for you?”, saya bertanya kepada lelaki tersebut yang tercegat sambil tersenyum di hadapan saya.

“No, what can I do for you?”, jawabnya sambil menekan sedikit suara pada perkataan I itu tadi.

“Hos geldiniz, welcome to Istanbul. Are you attending the assembly in Taksim?”, beliau menyoal saya.

Perhimpunan apa pula yang dia maksudkan? Saya merenung jam tangan. Oh, hari ini 29 Mei 1996. Hari memperingati ulangtahun penawanan Constantinople oleh Sultan Muhammad al-Fatih pada tahun 29 Mei 1453. Baru saya teringat.

“Ya, saya mahu ke sana. Mengapa anda bertanya?”, saya menyoal lelaki itu semula.

Sebenarnya saya datang ke Istanbul tanpa tujuan yang khusus. Saya baru sahaja selesai menduduki peperiksaan kedua semester ini di universiti. Kebetulan duit belanja baru masuk dan saya sentiasa mengagihkan sejumlah wang untuk menampung perbelanjaan wajib saya iaitu untuk ke Turki. Tidak pula terlintas di fikiran saya bahawa hari ini adalah 29 Mei. Patutlah, Lapangan Terbang Ataturk Istanbul kelihatan lebih sibuk dari biasa. Saya lihat ramai petugas MGV dan Parti Refah (RP) berdiri di ruang ketibaan antarabangsa lapangan terbang ini.

“Kalau kamu mahu ke sana, kami ada menyediakan khidmat bas percuma untuk membawa kamu terus ke stadium. Program akan bermula pada jam 8:30 malam. Apa pun, nama saya Yilmaz.”, ujarnya sambil memperkenalkan diri kepada saya.

“Memnun oldum. Ben Hasrizal. Adakah tempat khas juga disediakan di dalam stadium, atau saya perlu membeli tiket?”, saya ingin mendapatkan kepastian.

“Kami telah menyediakan tempat khas untuk tetamu-tetamu daripada luar. Semuanya percuma. Bukankah Basbakan kita Erbakan?”, Yilmaz bergurau dengan saya. Basbakan bermaksud Perdana Menteri dan saya rasa bertuah kerana berkesempatan ‘tinggal’ di Turki di era kepimpinan Erbakan.

“Tak apa, saya rasa saya boleh pergi sendiri. Saya mahu berjumpa dengan kawan saya terlebih dahulu. Mungkin kami akan pergi bersama”, saya menolak pelawaan Yilmaz. Bukan apa, saya berasa rugi jika duduk bersama tetamu luar semasa di stadium nanti. Saya mahu menjadi sebahagian daripada penduduk Istanbul yang meraikan acara gilang gemilang itu.

Sebenarnya saya sendiri tidak pasti mahu ke mana. Saya tidak ada berjanji dengan Fatih atau Abdul Mutalib yang saya akan datang ke Istanbul hari ini. Baru sahaja semalam saya ke Amman dan saya terus membeli tiket untuk ke Istanbul pagi ini. Akan tetapi, di sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang Ataturk ke Aksaray, saya dapati Istanbul telah dihias meriah dengan bendera dan slogan-slogan yang mengisyaratkan kepada kebangkitan Islam di Istanbul. Semenjak Parti Refah menang besar dalam pilihanraya umum 1995, 29 Mei sentiasa menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh penduduk Istanbul, dan penyokong Parti Refah di serata daerah. Ia menjadi tarikh yang diraikan di dalam acara gilang gemilang, yang bertujuan meniup kembali semangat Khilafah Othmaniyyah kepada masyarakat Turki. Bersemangat saya dibuatnya.

Saya mengambil keputusan untuk turun di perhentian Taksim dan kemudian berjalan kaki menuju ke Besiktas Inonu Stadyumu di lereng curam pusat bandar Istanbul itu.

Semasa tiba di stadium, saya terpaksa melalui kawalan keselamatan yang ketat. Pada masa itu, saya hanya menyimpan sahaja pengikat kepala bertulis La Ilaha IlaLlah di dalam beg. Agak bimbang untuk memakainya kerana saya masih tetap orang luar. Saya sukar mengagak watak pegawai-pegawai Polis di Turki walaupun saya tahu kebanyakan mereka adalah lulusan Sekolah Imam Hatip. Lebih baik saya sematkan sahaja Kalimah Tauhid itu di hati, dan kain pengikat itu saya simpan seketika di dalam beg.

Stadium Inonu di Taksim padat sekali. Pihak penganjur mengumumkan bahawa jumlah mereka yang sudah berada di dalam stadium mencecah hampir 30 ribu orang. Saya menjangkakan mereka yang berada di luar stadium adalah berganda-ganda jumlahnya.

arrivalerbakan.jpg

Ketibaan Erbakan disambut meriah

Tepat jam 8:30 malam, sebuah helikopter berlegar di ruang udara stadium dan kemudiannya mendarat di tengah-tengah padang. Necmettin Erbakan muncul dan terus menaiki jip yang mengaraknya di keliling stadium dengan laungan takbir serta slogan “MUCAHID ERBAKAN, BASBAKAN ERBAKAN!” Begitu gah sekali Erbakan melambai-lambaikan tangannya kepada warga Istanbul. Acara gilang gemilang itu juga disiarkan secara langsung di Kanal 7 di televisyen.

Saya lihat ketika itu, ramai manusia yang merenung dari celah tingkap hotel-hotel lima bintang di sekitar Taksim. Pelancong Eropah agaknya. Biarkan… biar mereka lihat yang Islam belum mati di Turki selepas jenayah Ataturk 70 tahun yang lalu.

Kemenangan Parti Refah di dalam pilihanraya Turki 1995 memberikan sinar baru kepada kebangkitan Islam di Turki. Saya berpendapat, Parti Refah telah mengambil sikap yang tepat untuk memenangi hati penduduk Turki. Mereka tidak hanya bergantung kepada slogan Islam sebagai manifesto pilihanraya. Sebaliknya, kebanyakan calon Parti Refah, khususnya di kerusi bandaraya-bandaraya utama, terdiri daripada mereka yang terbukti mempunyai kompetensi kepimpinan yang tinggi. Mereka adalah orang yang diyakini mampu membawa perubahan kepada kualiti hidup masyarakat tempatan.

Saya masih ingat, majalah antarabangsa Newsweek pernah membuat analisa bahawa mereka yang mengundi Parti Refah, hanya 30% sahaja berbuat demikian atas motif Islam. Manakala 70% lagi, mengundi Parti Refah kerana yakin dengan keupayaan calon-calonnya bekerja dan berkhidmat untuk masyarakat. Saya amat bersetuju dengan analisa ini. Masakan tidak, di bandar sekecil Bolvadin sendiri, saya dapat melihat bagaimana Pakcik Mehmet berjaya menyelesaikan pelbagai masalah asas di bandar itu sebaik sahaja beliau memenangi pilihanraya 1995 atas tiket Parti Refah.

Pakcik Mehmet bekerjasama dengan Recap Tayyib Erdogan selaku Datuk Bandar Istanbul ketika itu. Istanbul tidak mengizinkan penggunaan arang sebagai bahan bakar bagi meminimumkan masalah pencemaran udara di kota raya gergasi tersebut. Oleh yang demikian, peruntukan arang Istanbul disalurkan ke Bolvadin dan ia diagihkan oleh Pakcik Mehmet secara percuma kepada penduduk miskin di Bolvadin. Syukur, semenjak itu, tiada lagi kedengaran keluarga yang mati kesejukan kerana terlalu fakir untuk membeli bahan bakar pemanas diri bagi menghadapi cuaca musim sejuk Bolvadin yang boleh mencecah sehingga -25°C. Fatih pernah menceritakan semua ini kepada saya semasa lawatan pertama saya ke Bolvadin beberapa bulan lepas.

Hah, baru saya teringat. Ya, saya lupa untuk menghubungi Fatih. Aduh, acara di stadium ini akan berakhir pada jam 12 tengah malam. Saya mahu tidur di mana malam ini? Untuk ke Uskudar tidak mungkin. Kapal terakhir dari Besiktas dan Eminonu ke Uskudar ialah pada jam 12 malam dan saya tidak mungkin dapat sampai ke pelabuhan secepat itu. Lautan manusia pasti memperlahankan pergerakan untuk ke mana-mana sekali pun. Hati saya berasa agak gementar. Agak sukar untuk saya mencari hotel murah di kawasan Taksim. Jika tiada bajet USD50 semalam, lebih baik saya panjat sahaja pagar masjid.

 

inonustadium.jpg

Besiktas Inonu Stadyumu menyaksikan peristiwa itu

 

KEAJAIBAN BERBAIK SANGKA DENGAN ALLAH

Subhanallah, suatu keajaiban berlaku. Terlalu pelik untuk saya ceritakan namun ia benar-benar berlaku. Ketika saya terpinga-pinga cuba mendekati pagar di tepi trek stadium, saya ternampak orang yang paling penting untuk saya temui malam itu. Ya, memang tidak silap lagi. Saya ternampak Fatih sedang berkawal di tepi trek stadium. Dia memakai baju MGV dan kelihatan bersemangat sekali.

“Fatih! Fatih”, saya menjerit memanggilnya di celah puluhan ribu manusia. Wah, ramai sekali yang menoleh ke arah saya. Saya terlupa bahawa setiap 5 daripada 10 penduduk Turki, berkemungkinan namanya adalah Fatih! Saya ketawa sendirian seketika.

“Kayacan Fatih! Buraya (ke sini)!”, saya menjerit ke arah Fatih dan beliau terus menoleh ke belakang.

“Hasrizaaaal!! Betulkah kamu tu?” Fatih terlopong bagai tidak percaya melihat saya di belakang pagar trek. Dia menerpa ke arah saya sambil jari telunjuknya berayun-ayun seakan-akan memberi amaran kepada saya.

“Bahaya sungguh kamu ni. Tiba-tiba sahaja boleh ada di Istanbul. Bila kamu datang? Bagaimana kamu boleh berada di sini?”, Fatih semacam tidak percaya melihat kelibat saya di tengah lautan manusia itu. Saya sendiri masih antara percaya dengan tidak.

“Saya baru sahaja sampai petang tadi. Terus ke mari. Ditakdirkan Allah, saya ternampak kamu. Ajaib bukan?”, saya tersenyum lega. Masalah saya sudah selesai malam ini.

“Kita kan adik beradik. Jika Allah mahu kita bersama, kita akan tetap bersama. Kamu tidur di rumah saya malam ini, ya”, Fatih mempelawa.

“Kalau kamu tak ajak pun, saya akan paksa kamu menerimanya!”, saya bergurau. Lega rasanya.

“Baiklah, kita berjumpa semula di depan pintu masuk kiri stadium. Saya dan kawan-kawan akan menunggu kamu di sana”, Fatih melambaikan tangan kepada saya kerana terpaksa turun semula ke trek stadium untuk menyambung tugas.

PESAN ERBAKAN

Ucapan Erbakan sungguh bermakna. Beliau menggesa umat Islam supaya bersatu padu dan yakin dengan keupayaan Islam untuk bangkit semula.

“Ambillah iktibar dari sejarah. Kita adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Jika kita mencari kemuliaan daripada selainnya, kita akan dihina Allah”, Erbakan mengungkapkan kata-kata Umar al-Khattab r.a. di dalam ucapannya.

“Umat yang tidak mahu menoleh kepada sejarah adalah umat yang rugi. Umat yang tiada sejarah, tiada baginya masa depan!”, begitulah kata-kata Erbakan yang sering mengajak masyarakat Turki menjejak kembali perjalanan semalam yang telah dilupakan. Sejarah adalah modal besar pemikiran Erbakan.

Malam itu juga, wakil-wakil gerakan Islam turut berucap. Di antaranya ialah wakil Jamaat Islami Pakistan, Jabhah Amal Islami Jordan dan beberapa tokoh Islam dari Eropah. Pengerusi majlis juga mengumumkan nama-nama perwakilan antarabangsa yang menyertai perhimpunan bersejarah malam itu. Turut disebut, nama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang mewakili Parti Islam Semalaysia (PAS) dan semasa nama beliau disebut, ia disambut dengan laungan Takbir menggamati stadium. Malaysia amat dekat di hati penduduk Turki, khususnya selepas Erbakan melancarkan projek D8 beliau yang akan saya ceritakan nanti.

Semenjak tahun lepas, Parti Refah telah mengambil inisiatif menganjurkan perhimpunan gerakan Islam seluruh dunia setiap kali menjelangnya ulangtahun memperingati penawanan Istanbul pada 29 Mei. Di dalam perhimpunan itu, gerakan-gerakan Islam saling bertukar pandangan tentang cabaran di negara masing-masing dan berkongsi kepakaran yang diharapkan boleh membawa kepada penyatuan umat Islam di seluruh dunia.

SALING BELAJAR

Saya juga berasa gembira kerana PAS begitu terkesan dengan perhimpunan ini. Pada muktamar tahun 1996, Presiden PAS, YB Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor telah menggesa kepada usaha memasyarakatkan PAS. PAS mesti menjadi kelompok yang disedari kewujudannya oleh masyarakat malah diperlukan oleh massa. Dengan cara ini sahajalah sokongan yang padu terhadap perjuangan PAS boleh ditingkatkan, khususnya di dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Saya kira idea ini mungkin tercetus hasil suntikan semangat rakan seperjuangannya, Parti Refah, di Turki.

Majlis berakhir dengan nyalaan api yang membakar replika tulisan INNA FATAHNA LAKA FATHAN MUBINA iaitu petikan surah al-Fath ayat 1. Binaan tulisan tersebut dibina di atas bumbung stadium dan ia dinyalakan sejurus selepas tamatnya persembahan teater. Persembahan teater malam itu melakonkan kisah bagaimana Sultan Muhammad al-Fatih masuk ke Constantinople dengan membawa kemegahan Islam lantas disambut meriah oleh penduduk tempatan yang selama ini ditindas oleh Mahajara Constantin yang zalim.

Kira-kira jam 12:30 tengah malam, saya bertemu dengan Fatih sebagaimana yang dijanjikan.

“Terima kasih Hasrizal. Kedatangan kamu ke Istanbul pada tarikh ini amat besar maknanya bagi saya!”, Fatih menyuarakan rasa terharunya di atas ziarah saya kali ini.

“Jika usaha Sultan Abdul Hamid mahu mempersaudarakan umat Islam sedunia dibinasakan oleh Ataturk, maka biarlah semangat persaudaraan itu dihidupkan kembali, sekurang-kurangnya melalui ukhuwwah antara kita berdua”, saya menepuk bahu Fatih.

Kereta kami meluncur menyeberangi Jambatan Galata yang merentasi Selat Bhosporus, membelah gelap malam yang pekat. Hati saya tersentuh melihat sinar cahaya di Masjid Sultan Ahmed (Blue Mosque) yang kelihatan sayup-sayup di Tanjung Emas. Dalam keheningan malam itu, saya menadah doa kepada Allah agar mendung hitam yang membaluti Turki, tersisih pergi bersama mentari kebangkitan Islam yang disaksikan tadi.

Bumi Turki menyaksikan kebangkitan kali kedua
Menjejaki perjalanan hari-hari semalam yang dilupa
Bersemadilah kau (Ataturk) dalam kemurkaan Tuhan yang Esa
Islam akan dikembalikan ke takhtanya

Moga ada sinar di bumi Khilafah itu. Iyi geceler Istanbul!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
21 Mac 2006
56000 Cheras, Kuala Lumpur

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace