
Semasa di Turki, saya lebih suka kembara sendirian
“Kamu tak payahlah pergi ke Turki lagi. Emak tengok di televisyen tu tak habis-habis peperangan di sana sini”, emak menyuarakan kebimbangan hatinya melalui perbualan telefon kami di suatu petang.
”Perang tu sebenarnya di sebelah Timur, emak. Kalau nak diukur, mungkin jarak tempat perang tu dengan Jordan lebih dekat, berbanding dengan Istanbul.”, saya cuba menenangkan hati emak yang risau di kampung.
Ketika itu Timur Turki sedang dilanda krisis peperangan. Tentera Turki sedang rancak mengejar Abdullah Ocalan dan kumpulan pemisah Kurdi yang dikenali sebagai PKK. Tembak menembak rancak berlaku di daerah seperti Diyarbakir, Bingol, Erzincan dan sebagainya.
Saya kasihan melihat nasib yang menimpa bangsa Kurdi. Seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini, mereka menjadi mangsa percaturan kuasa Imperialisma Barat pasca kejatuhan Khilafah Othmaniyyah. Sempadan-sempadan negara dilukis agar bangsa Kurdi menjadi kaum minoriti di semua negara mereka berada. Semuanya adalah dengan tujuan untuk meletakkan mereka di suatu keadaan yang lemah, selama-lamanya.
Akibat perang yang melanda kaum Kurdi di Turki dan Iraq, dua generasi menjadi mangsa. Ramai di kalangan mereka yang menghabiskan umur dengan perang, lantas ketinggalan dari segi pendidikan. Akibat kebekuan minda mereka selepas diasingkan daripada dunia luar, ramai pihak yang mengambil kesempatan menjadikan mereka sebagai alat. Antaranya adalah komunis Soviet yang menyebarkan fahaman Sosialisma di kalangan bangsa Kurdi. Sentimen benci kepada blok Barat, memudahkan mereka menerima suntikan Soviet.
Sebab itulah jangan kita terkejut jika membaca biografi ulama Islam yang hidup di sekitar era Perang Dunia Pertama dan Kedua, ada di antara mereka yang terbabit di dalam gerakan Sosialis. Pada masa itu, apa yang ada di fikiran mereka adalah menentang Barat berupa kuasa Britain, Amerika dan Perancis. Islam berada dalam keadaan agak kucar kacir, jika boleh saya istilahkan begitu. Lantas gerakan Sosialis yang menentang blok Barat itulah yang dilihat sebagai platform praktikal untuk menzahirkan penentangan umat Islam di Timur Tengah terhadap kuasa penjajah.
Di dalam suasana inilah munculnya gerakan pemisak PKK yang dipimpin oleh Abdullah Ocalan.
Pernah suatu ketika saya amat bersemangat untuk membawa isu Kurdi ini ke tengah masyarakat. Saya kecewa kerana media semacam sengaja memencilkan isu Kurdi dan jika ada liputan, analisanya pula jauh menyimpang dari kebenaran.
Lantas pada tahun 1996, saya cuba untuk melaksanakan idea ini. Saya bercadang untuk membeli sebuah video kamera Sony tetapi berada dalam keadaan dilema. Pada masa tersebut, isu Kurdi sedang memuncak. Saya mahu mengambil peluang untuk merakamkan sendiri kehidupan kaum Kurdi, dan beberapa orang rakan saya telah bersetuju untuk membawa saya mengembara ke Timur Turki.
Akan tetapi, saya tersepit di antara dua. Jumlah USD850 yang saya kumpulkan sejak sekian lama, adakah patut saya gunakan untuk pergi menunaikan fardhu Haji, atau membeli camcoder dan melaksanakan Edisi Siasat saya ke Turki. Mungkin anda ketawa dan menggelengkan kepala. Bagaimana mungkin saya meletakkan isu camcoder sebagai halangan untuk saya menunaikan Haji.
Sifirnya begini. Saya yakin dalam tempoh setahun, saya boleh mengumpul kembali USD850 untuk dijadikan bekalan saya menunaikan Haji pada tahun hadapan. Namun, isu Kurdi ini sedang panas dan saya mesti melaksanakan segera apa yang telah saya anggap sebagai suatu kewajipan. Maka di atas ijtihad itulah, saya akhirnya mengambil keputusan untuk pergi menunaikan Haji pada tahun berikutnya. Manakala duit USD850 yang berada di tangan, saya gunakan untuk membeli camcoder.
Setibanya saya di Turki, saya menghadapi masalah kerana tahap keselamatan di Timur Turki terlalu meruncing. Rakan-rakan saya menasihati saya agar menangguhkan terlebih dahulu rancangan untuk ke Diyarbakir. Saya agak kecewa tetapi sedar akan hakikat yang berlaku pada masa itu. Saya akur dan memujuk hati agar bertenang.
Camcoder yang baru dibeli, saya gunakan untuk merakam banyak perkara yang saya temui di Istanbul pada musim sejuk itu. Fatih membawa saya ke Camlica untuk minum teh sambil memakan simit (roti liat bersalut bijan). Saya memang suka ke Camlica terutamanya selepas Erdogan bertindak membersihkan imej kawasan di puncak bukit itu dari arak dan disko, kepada sebuah kawasan rekreasi ala Othmaniyyah. Kali ini, saya lebih beruntung kerana dengan Camcoder, saya dapat merakam pemandangan Istanbul dari sudut terindahnya di puncak Camlica.

Bergambar bersama budak-budak penjual roti Simit
Selepas seminggu saya di Istanbul, saya pulang semula ke Jordan. Cuti semester masih ada seminggu berbaki. Saya bermalam di rumah rakan-rakan di Amman. Darul ‘Ulum, begitulah nama yang diberikan ke rumah ‘keluarga’ saya di kawasan perumahan Sweileh itu. Semasa di Darul ‘Ulum, saya pasangkan camcoder ke televisyen untuk rakan-rakan menonton pelbagai perkara yang telah saya rakamkan. Ketika kami sedang rancak menonton, tiba-tiba salah seorang rakan saya bangun untuk mengambil sesuatu dari atas tv, secara tidak sengaja beliau telah terpijak Haji Camcoder saya. Allah… bagai tidak percaya mata saya menyaksikan ‘haji badal’ saya cedera.
Deck untuk meletakkan kaset di camcoder saya mengalami masalah mekanikal yang serius. Dipendekkan cerita, selepas beberapa bulan, saya sekali lagi ke Turki namun kali ini tanpa camcoder tersebut. Seorang rakan saya telah mengambil camcoder itu tanpa pengetahuan saya dan cuba memperbaikinya sendiri. Niatnya baik untuk membantu saya, tetapi akibat dari itu, camcoder tersebut telah mengalami masalah elektrikal yang serius. Pusat servis Sony di Tal al-‘Ali pun tidak berupaya memperbaikinya dan mencadangkan saya agar membawanya pulang ke Malaysia untuk dirawat.
Semasa di Malaysia, saya telah tinggalkan camcoder itu di rumah abang saya di Petaling Jaya. Malang sekali, rumah abang saya dicerobohi perompak dan Haji Camcoder saya telah dibawa pergi bersama. Tamatlah riwayat camcoder yang saya beli dengan wang yang sepatutnya saya gunakan untuk menunaikan fardhu Haji. Bak kata pepatah arab, falaa yalumanna illa nafsah, yang bermaksud, “tiada siapalah yang patut disalahkan melainkan dirinya sendiri”!
Jangan sekali-kali menangguhkan urusan Haji, kelak nanti merana diri. Syukur, walaupun peristiwa itu amat tragis, saya dimurahkan rezeki oleh Allah pada tahun-tahun berikutnya. Alhamdulillah, saya berpeluang menunaikan haji sebanyak 3 kali dan akan terus mengharap agar berpeluang untuk pergi sekali lagi, kali ini bersama isteri dan anak-anak, Ameen.
Berbalik kepada kisah peperangan di Timur Turki itu tadi. Emak sudah pun menasihati saya agar tidak ke Turki pada cuti kali ini. Tetapi saya diajak oleh seorang sahabat untuk menyertai rombongan mereka ke Turki. Sahabat saya ini mengharapkan agar dengan penyertaan saya, lawatan ke Turki akan menjadi lebih menarik, meriah, dan murah.
Namun saya masih belum dapat melupakan pesan emak. Suara hati saya mula menganalisa. Hmm, emak bukan tidak benarkan, tetapi dia tidak galakkan. Lagi pun emak tidak benarkan saya ke Turki kerana bimbangkan peperangan. Kami hanya mahu ke Istanbul dan kawasan Barat Turki. Tiada peperangan di situ. Maka, jika penghalang tiada, terangkatlah larangan! Wah, saya cuba menggunakan kaedah Usul Fiqh untuk menganalisa larangan emak.
Dalam keadaan hati yang berbelah bagi, akhirnya saya nyatakan persetujuan untuk ke Turki.
Namun, Allah SWT Maha Berkuasa. Perjalanan kali ini merupakan perjalanan yang lulus dari segi Fiqh, tetapi batil dari segi akhlaknya. Memang benar, saya sepatutnya boleh ke Istanbul sebab larangan emak berkaitan dengan perang. Perang tiada, kerana ia jauh beribu batu di Timur Turki. Sesungguhnya, ‘dosa’ saya kepada emak, dibalas Allah di sepanjang perjalanan ke Turki kali ini. Hingga ke hari ini saya masih terasa bahang dosa itu.
Selepas saya dan rombongan berkumpul di Irbid, kami bertolak ke Amman untuk menaiki bas dari ‘Abdali ke Lapangan Terbang. Akan tetapi bas kami bergerak perlahan dan kami tiba agak lewat dari jadual yang dirancang. Sudahlah lewat, tempat menyimpan beg kami rosak dan pemandu bas mengalami kesulitan untuk membukanya. Masa berjalan dan kami cemas.
Akhirnya selepas pintu bas tempat meletak barang itu disepak berkali-kali, barulah ia dapat dibuka. Kami mengambil beg masing-masing dan bergegas menuju ke bas yang berikutnya. Bukanlah mudah untuk menguruskan 15 orang pelancong Malaysia ini. Hati saya masih resah kerana terasa bagai ada sesuatu yang tidak kena.
Setibanya di Lapangan Terbang Amman, kami nyaris-nyaris ditinggalkan pesawat. Syukur, dengan bantuan pegawai bertugas, kami dibenarkan untuk check in walau pun masa pesawat berlepas hanya tinggal setengah jam sahaja lagi.
Ketika pesawat Airbus 320 itu terapung di udara, saya lihat rakan-rakan saya begitu ceria menuju Istanbul. Akan tetapi hati saya resah, gelisah dan gundah. Mereka bergelak ketawa, tetapi saya hanya duduk mendiamkan diri.
Syukur, semuanya berjalan lancar. Pesawat mendarat dengan selamat, dan kami mengambil bas untuk ke Aksaray di tengah-tengah Bandaraya Istanbul. Dari Aksaray, kami menaiki Tram menuju ke Findikzade, lokasi hotel yang telah ditempah oleh ketua rombongan kami. Itu adalah kali pertama saya sampai ke Findikzade. Entah kenapa, saya tidak menyukainya.

Stesyen Tram di Findikzade, berhampiran lokasi kejadian
Selepas check-in, saya membuat sedikit taklimat kepada ahli rombongan kami.
“Di Istanbul ini, kalau naik tram pastikan bag pack masing-masing diletakkan di depan. Jangan sangkut di belakang. Bukan apa, takut ada yang menjadi mangsa penyeluk saku pula!”, saya memperingatkan mereka.
Entahlah mengapa, tetapi hati saya memang resah. Mungkin kerana ini pertama kali saya diberikan tanggungjawab mengendalikan rombongan seramai 15 orang.
Selepas itu, kami meletakkan barang di blik masing-masing. Selesai solat, saya mengajak Razi dan Nik Munir untuk keluar menemani saya ke masjid rakan saya, Abdul Mutalib. Pada masa itu Abdul Mutalib, bertugas sebagai imam di sebuah masjid di Eyup.
Elok sahaja saya, Razi dan Nik Munir keluar dari hotel, kami dilanggar oleh dua orang pemuda yang sedang bergaduh.
“Isyy, apa hal pula mereka berdua ni? Dunia punya luas, sibuk nak bergaduh dekat dengan kita?”, saya membetulkan kembali baju dan beg saya.
“Allah… ya Allah, betulkah apa yang berlaku ini?”, saya tergamam dan tangan menjadi sejuk.
“Kenapa? Apa yang berlaku, syeikh?”, Razi menyoal.
Saya baru tersedar bahawa dua pemuda itu tadi hanya berpura-pura bergaduh. Mereka sebenarnya adalah penyeluk saku dan saya sudah kehilangan dompet.
“Ini memang salah ana. Ana tahu, kalau ana lawan cakap mak ana, Allah akan balas cash!”, saya hampir hendak menangis. Selain duit, tiket kapal terbang, kad pengenalan Jordan, kad universiti dan kad bank, saya menjadi amat sedih kerana saya terus terasa bahawa ini merupakan balasan Allah apabila saya melanggar cakap emak.
Semenjak kecil, saya memang begini. Jika saya ingkar kepada suruhan emak, Allah akan membalasnya segera.
Suatu malam, semasa saya berusia lima tahun, saya menunggu kedatangan mamak roti untuk membeli donat. Saya sudah nampak mamak roti berhenti di hadapan rumah jiran saya, kira-kira 10 meter dari rumah kami. Emak berpesan supaya saya tunggu hingga mamak roti tiba di depan rumah. Tetapi saya berdegil dan terus keluar rumah dengan berkaki ayam. Sebaik sahaja saya selesai membayar harga donat itu, saya terkejut apabila semua orang bergegas-gegas lari memanjat pagar.
Rupa-rupanya seorang anak Cina yang cacat tangannya (semua jarinya bercantum) telah terlepas tali anjing yang dipegangnya. Anjing yang ganas itu menyerang semua orang dan sayalah manusia malang pada malam itu kerana tidak sempat memanjat pagar. Saya berlari dalam keadaan berkaki ayam sambil tangan memegang donat. Dari hujung lorong Jalan Pengkalan 1 saya berlari ke sana sini dalam keadaan anjing tersebut seperti mahu membaham saya. Tiba-tiba anjing itu melompat ke arah saya dan cuba menggigit donat yang berada di tangan. Saya mengelak tetapi anjing itu telah membenamkan giginya ke peha saya dan saya jatuh kesakitan. Seorang lelaki India datang dan memukul anjing itu dengan kayu.
Saya masih trauma setiap kali berdepan dengan anjing [foto]
Saya dipapah balik ke rumah dalam keadaan kaki saya berlumuran dengan darah. Peha saya menjadi mangsa gigitan anjing tersebut, manakala tapak kaki saya luka dipenuhi kaca. Saya menerima beberapa suntikan untuk menghilangkan bisa serta jangkitan kuman anjing itu. Selepas pulang dari hospital, ayah membawa sebilah parang ke rumah tuan punya anjing itu dan memberi amaran, jika terbit matahari di pagi esok, anjing tersebut masih ada di rumahnya, ayah saya akan mencincangnya lumat!
Saya menangis di rumah. Selain menahan kesakitan gigitan anjing dan luka di tapak kaki, hati saya bersedih kerana saya tahu ini balasan Allah kepada saya akibat mendurhakai emak.
Pernah suatu ketika, saya berdiri di atas buaian sambil menghayun laju. Emak sudah menjerit di dalam rumah menyuruh saya turun, tetapi saya tidak mengendahkannya. Tidak lama selepas itu, tiba-tiba pegangan tangan saya terlepas dan saya terhumban ke pasu bunga lantas muka saya tepat terhempas ke situ. Mata saya lebam dan saya tahu, itu balasan Allah kepada saya kerana melanggar nasihat emak.
Dua insiden itu menerpa fikiran saya, sedangkan kaki saya semacam lemah untuk berdiri. Razi menasihati saya supaya tidak mengejar dua pemuda itu tadi kerana dibimbangi ada kumpulan samseng yang akan campur tangan. Yang pergi biarkan pergi. Mereka mengambil tindakan spontan menghulurkan USD100 kepada saya sebagai pinjaman dan saya berjanji untuk membayarnya kemudian.
Mereka tidak mengerti apa sebenarnya yang sedang menghantui fikiran saya. Bukanlah soal duit dan kehilangan dokumen penting yang menjadi bebanan saya. Apa yang sedang saya fikirkan adalah soal masin mulut emak dan sikap saya yang tidak serik-serik.
Saya mengajak Razi dan Nik Munir berjalan kaki menuju Aksaray.
Kami berjalan perlahan di sepanjang laluan Tram di Findikzade itu. Sepi… lidah lemah untuk berbicara.
“Entahlah Razi, ana pun tak sangka jadi begini. Inilah pertama kali selepas lebih enam kali ana ke Turki, ana ditimpa musibah begini. Agaknya sebab ana asyik memuji Turki sahaja, hari ini Allah nak ajar ana pelajaran baru”, saya bersuara lesu.
Razi hanya menganggukkan kepalanya tanda setuju.
Selepas kira-kira satu kilometer kami berjalan, tiba-tiba seorang pakcik tua menyapa saya.
“Siz, iki siz, gel… gel... (kamu, kamu berdua, mari ke mari)”, dia memanggil saya dan Razi. Nik Munir tertinggal di belakang.
“Dompet ini milik kamukah?”, pakcik penjaga tandas masjid itu menghulurkan sebuah dompet kepada saya.
“Allahim, evet. Betul, ini dompet saya”, saya terkejut besar.
“Di mana pakcik menemuinya?”, saya cuba mendapatkan kepastian.
“Pakcik bekerja menjaga tandas masjid ini. Tadi semasa pakcik masuk ke masjid untuk Solat, pakcik ternampak dompet ini di tepi tingkap.”, pakcik tersebut memberikan penjelasan.
Syukur Alhamdulillah, semuanya selamat. Tiket kapal terbang, kad universiti, kad pengenalan Jordan, kad bank dan semua dokumen penting masih ada. Hanya duit sahaja yang hilang.
“Pakcik tengok gambar kamu di dalam dompet tu. Muka orang baik. Kamu Muslim?”, tanya pakcik itu kepada saya.
“Ya, saya Muslim. Alhamdulillah. Kami bertiga dari Malezya”, saya memperkenalkan diri.
“Elhamdulillah!!”, pakcik yang baik hati itu memeluk saya.
“Baguslah nak, pakcik pun bersyukur pencuri itu hanya mengambil duit. Mungkin sebab di dalam dompet kamu itu ada lencana MGV. Orang MGV mesti bersolat. Sebab itu dompet kamu dicampaknya ke Masjid, betul tak?”, katanya sambil tersenyum.
Memang di dalam dompet saya, ada diletakkan lencana Milli Genclik Vakfi iaitu sayap pemuda Parti Refah. Ada juga faedahnya, Alhamdulillah.
“Hmm, bagaimana sekarang ni? Saya sepatutnya memuji atau masih marahkan Turki? Pencuri pun baik hati….!”, saya tersenyum manakala Razi dan Nik Munir membalasnya dengan ketawa.
Selepas itu saya terus menelefon emak di Malaysia dan saya ceritakan apa yang berlaku. Saya memohon maaf kerana cuba mengubah suai larangan emak saya dengan bijak pandai ilmu yang saya belajar.
Sahabat-sahabat sekalian, sepandai mana sekali pun kita, janganlah sekali-kali kita lupa kepada soal taat dan bakti kita kepada ibu dan bapa. Sesungguhnya saya bersyukur kerana Allah sentiasa memberikan balasan dunia agar saya cepat sedar. Bayangkan jika kesalahan saya dibiarkan tanpa teguran dari Allah, mampukah saya menangguh balasan-Nya di Akhirat sana?
Malah ingin saya nasihatkan kepada diri saya dan anda semua dengan suatu perkara. Seandainya selepas semua perkara berjalan lancar, perniagaan baik, keluarga sihat, tetapi hati masih gelisah, janganlah pergi jauh mencari punca. Mungkin ada dosa dan salah kita terhadap ibu di kampung.
Fitrah Perkasa sememangnya banyak mengendalikan kursus dan kami amat kerap bertemu dengan kakitangan sama ada kerajaan atau swasta yang hidupnya penuh bala. Sering bertukar kerja, gaji tak pernah cukup, hubungan dengan atasan dan bawahan tak menjadi belaka. Pelbagai usaha telah dibuat untuk mengenal pasti puncanya. Selepas pelbagai ujian kami lakukan, akhirnya kami cuba bertemu dengan mereka yang seperti ini secara peribadi dan menasihatinya, muhasabahlah hubungan kamu dengan ibumu.
Benar sekali, majoriti kes yang kami temui, kebuntuannya terkunci pada soal hubungan dengan ibu dan bapa.
Saya ambil semua ini sebagai ingatan saya kepada diri sendiri. Adakalanya saya benci dengan kehidupan di Kuala Lumpur ini. Kerja, kerja kerja, masa berjalan seperti tiada belas dan ehsan. Saya terasa bersalah kerana amat sukar mendapat peluang pulang ke kampung. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah membanyakkan telefon, bertanya khabar dan sesekali cuba mengajak emak datang ke Kuala Lumpur. Moga-moga emak maafkan saya, dan saya tidak derita hati di dunia, sebelum derita diri di Akhirat sana.
Sahabat sekalian, terimalah pesan saya. Telefonlah, smslah, pulanglah, jangan dibiarkan ibu sunyi di kampung.
Tiada keberkatan hidup pada menyakiti ibu dan bapa.
Wassalamualaikum WBT.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Cheras 24 April 2006
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010) Related posts:
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor












rasa macam tertusuk anak panah terus ke dalam hati… kalau ustaz dibayar cash, macamana la pulak saya yang kekadang macam tak terasa apa2 bila “ingkar” pesanan ibu ayah dan terasa macam tak terima apa2 “bayaran” pun dari Allah
… mampukah saya nak tanggung “bayaran” Allah di sana kelak?! Astaghfirullah ‘azeem
hanya dalam satu artikel, banyak sungguh segmen2 cerita dan pengajaran yang saya dapat. Moga Allah menambahcerahkan lagi minda dan jiwa ustaz untuk terus berkongsi dan memberi. Terima kasih!
salam…
kisah yang masih segar dan basah dalam ingatan ana.. kali pertama ke istanbul.
subhanallah
salam
salam
Perkongsian yg sgt bermanfaat..membuatkan sy bermuhasabah diri saya.
“Perjalanan kali ini merupakan perjalanan yang lulus dari segi Fiqh, tetapi batil dari segi akhlaknya.”
Kehendak kita selalu mencari jalan untuk memungkinkan sesuatu pembaharuan. Secara dasarnya tidak dinafikan kewajiban mematuhi kata-kata Emah dan Bapak, tetapi fikirkan dalam-dalam bahawa segala peraturan (termasuk yagn termaktub di dalam AQ?) adalah hasil dari kesalahan. Saya menekankan pada anak-anak kesalahan pertama yang tidak berulang itu, tidak mengundang katerori kesalahan. Agak sensitif … tetapi di situ terletak fungsinya akal, untuk membuat pertimbangan.
Aduhai ustaz, wrong timing le baca artikel ni tak cukup tisu rasanya… hanya insan yg sentiasa merasionalizekan larangan ibubapa dpt menjiwai keresahan itu.
Salam ustaz,
Betul apa yg Ustaz tulis ni. Sy pun pernah dibalas cash oleh Allah sbb tak bgtau Mama nk guna keretanya. Igt x mahu kacau mama yg sedang rehat lepas perjalanan jauh,tapi terus dilanggar malam tu. Teruk juga. Dan sy hanya gunakan kereta untuk hantar result experiment kpd teman di kolej. Itu saja. Tapi itulah, redha ibu ayah ni,mesti dijaga.
maaf tapi saya rasa kelakar pulak cerita ustaz kena kejar dek anjing, berlari sambil bawak donut. hikhik..sbb saya pun penah kena macam tu.
benar sekali kata ustaz hasrizal.sikit je tersasar dr ketaatan(sengaja atau tidak) thdp ibubapa, mesti ada balasan yang menunggu. saya sendiri ada pengalaman begitu hmmm…
kalau terkenang mmg pilu rasa hati.
Ustaz,
kalau ayah dan bonda dah tiada, apa lagi yg boleh dibuat?
arwah mak adalah segala2 nye bg keluarga kami…segala pengorbanan n didikan mak tak penah pudar n sentiasa berada dlm ingatan smpai sekarang ini..sy akan perturunkan segala yg telah d pelajari dr arwah kpd anak2 kelak.