Manhaj Salafi dan Krisis Emosi (Hati)

September 8th, 2006 by Abu Saif 6:47 am | 6,270 views | Print Print | Email Email | Leave a reply »

 krisisemosi.jpg

Kita ada dua cara untuk bercakap tentang Syurga. Cara pertama, kita boleh berbahas mengenai status hadith yang menyebut tentang peluang manusia melihat Allah di Syurga, kedudukan hadith telaga Nabi SAW dan sejauh manakah kita boleh bezakan di antara keterangan sifat-sifat Syurga dari sumber yang sahih dengan sumber yang ditolak.

Cara pertama ini penting kerana ia adalah sebahagian daripada proses untuk membolehkan kita beriman dengan keimanan yang betul tentang Syurga. Keimanan yang bersandarkan kepada nas ini adalah teras kepada Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang tidak mengharuskan taqlid dalam soal Aqidah. Jangan pula nanti, kita mencari Syurga di jalan yang menempah neraka, berdusta ke atas Nabi SAW, malah sebahagiannya mendakwa, berdusta ‘untuk’ Nabi SAW, melalui hadith-hadith palsu tentang Syurga.

Cara kedua untuk berbahas tentang syurga, adalah pada soal menimbulkan ‘rasa’ dan kemahuan manusia kepada Syurga itu sendiri. Baginda SAW menceritakan tentang Syurga kepada para Sahabat sehingga menimbulkan keinginan di hati Sahabat untuk mengejarnya, dan khuatir jika tidak berhasil memperolehinya. Baginda menyampaikan wahyu tentang Syurga tentunya dengan kombinasi ayat-ayat Makki yang provokatif dan menyentak fikiran, serta bahasa tubuh Baginda yang membayangkan kesungguhannya.

Cara kedua ini penting kerana Syurga bukanlah untuk diketahui sebagai maklumat tetapi ia adalah hakikat Akhirat yang memerlukan kita untuk percaya sebelum melihatnya. Percaya sebelum melihat dan bekerja untuk melihat apa yang kita percaya, membabitkan soal tahu dan mahu.

Soalnya mahukah generasi hari ini kepada Syurga? Al-maklumlah, di zaman dulu, ketika era Rasulullah SAW dan Sahabat melihat Mus’ab bin Umair RA berpakaian dhaif, ketika zaman ibu bapa kita makan ubi kayu di bawah pedang Nippon, tentunya bayangan tentang Syurga itu mudah. Kita mudah membayangkan keindahan ketika hidup diselubungi kesusahan.

Namun hari ini, ramai manusia yang sudah ‘mendapat syurga’. Bagi mereka dunia ini sudah okay, mengapa perlu kepada Syurga itu? Zaman ini, hendak apa sahaja, petik jari semuanya ada. Sudah macam di syurga sungguh gayanya.

Maka, apakah caranya untuk manusia yang sudah mendapat syurga (dunia) ini, boleh dibawa kepada perjuangan mendapatkan Syurga di sana?

Cara pertama itu tadi adalah cara yang mententeramkan akal, memuaskan intelek. Daripada tajuk (a+b)² = a²+2ab+b² hinggalah kepada subjek aqidah kita tentang ghaibiyyat, membahaskan sesuatu dengan nas dan dalil, ternyata berupaya menjadikan kita TAHU.

Tetapi, apakah cukup manusia diberi ilmu agar jahil menjadi tahu? Apakah matlamat Islam sekadar memberitahu dan menjadi tahu. Berapa ramai yang tahu Islam di tahap A1 tetapi tidak hidup dengan Islam? Soalnya apakah kita bertindak berdasarkan apa yang kita TAHU? Cuba kita tanya kepada perokok, apakah mereka tidak tahu yang rokok itu membunuh? Kita yakin yang mereka amat tahu tentang bahaya rokok. Habis, jika mereka sudah tahu, mengapa mereka masih merokok? Adakah kerana jiwa mereka jiwa pejuang berani mati? Berani merokok walaupun menempah maut? Selayaknya insan berjiwa seperti inilah yang dihantar ke Palestin.

krisisemosi2.jpg

Ya, manusia tidak bertindak berasaskan apa yang dia tahu. Sebaliknya manusia bertindak berasaskan apa yang dia MAHU. Tahu sahaja belum cukup. Tahu mesti mendatangkan MAHU. Dan apabila kita bercakap tentang mahu, ia bukan lagi soal akal. Ia bukan lagi soal rasional dan logik. Ia soal hati, soal perasaan. Mahu itu perbuatan emosi. Dan emosi perlu dilentur dan dibentuk dengan cara hati, bukan cara akal.

Setelah kita menikmati hidangan hadith sahih tentang Syurga, apakah timbul rasa MAHU kepada Syurga?

MENYALAHKAN MANHAJ SALAFI ATAS SIKAP SENDIRI

Hal ini mengingatkan saya kepada perbualan saya bersama dengan seorang ‘x-Salafi’, jika boleh saya sebut begitu.

Semasa di usia mudanya, beliau telah diterima masuk ke suatu program Tamrin yang dianjurkan oleh seorang tokoh pembaharuan dari Indonesia. Peristiwa ini berlaku di zaman 70′an. Di dalam Tamrin tersebut, beliau telah dikosongkan dari segala kepercayaan yang ada, dan diajak mencabar diri sampai ke tahap, benarkah Allah wujud? Segala-galanya dihambur keluar dan selepas terserlah hakikat diri, terus terbawa kepada keyakinan yang keras bagai gunung bahawa Dia itu Allah, Tuhan yang Satu. Timbul yakin yang sukar dibayangkan oleh perkataan.

Kemudian beliau diajak menganalisa Fiqh dan Tasauf. Dipendekkan cerita akhirnya mazhab telah dilabel sebagai punca pecah belah umat, Tasawuf ditinta sebagai perosak kemurnian Islam, hingga yang indah sudah tidak kelihatan lagi indahnya. Lantas mazhab dibuang, tasawuf diperang.

Hasil Tamrin intensif itu, beliau jadi begitu ‘panas’ dan pulang ke kampung berdebat dengan ustaz-ustaz tradisional. Calar bahasa atau luka, kesan debatnya tidak pernah dipeduli. Beliau rasa begitu puas mendapat Islam versi asal, Islam as it is!

Suatu hari, beliau menghadiri satu kuliah umum yang membahaskan kitab Ihya’ oleh al-Ghazzali. Huraian ustaz itu sungguh bersahaja. Jemaah diajak membandingkan nikmat dunia berbanding nikmat Syurga.

“Katakan kamu seorang yang amat suka kepada sotong sambal kacang. Semasa sarapan pagi, kamu dihidangkan dengan nasi lemak berlaukkan sotong sambal kacang yang paling sedap. Bagaimana perasaan kamu?”, tanya ustaz itu.

“Tentunya kamu berbesar hati dan kamu makan sepuas hati. Betul?”, ustaz itu menduga mereka yang mendengar kuliahnya.

“Semasa makan tengah hari, kamu dihidangkan dengan sotong sambal kacang yang baru dimasak. Apa rasanya?”, tanya beliau.

“Ketika makan malam, sekali lagi kamu dihidangkan dengan sotong sambal kacang. Maklum sahajalah, kamu memang peminat sotong sambal kacang. Apa perasaan kamu ketika itu?”, beliau terus membuat provokasi terhadap jemaah yang hadir.

“Ya, tentu jika pagi esoknya kelibat sotong itu muncul, kamu pasti akan mengamuk dan melarikan diri ke gerai. Betul?”, ustaz tersebut bertanya dan terus bertanya.

Beliau menjelaskan bahawa nikmat dunia ini menjemukan. Hanya sedap seketika. Malah makanan yang lazat hanya sedap di mata, tangan dan lidah. Apabila ia melepasi kerongkong, tiada lagi kelazatannya. Nikmat Syurga tidak begitu. Nikmatnya memberi bahagia. Tiada jemu dan tiada batas mahu.

Bagaimana pula dengan Neraka? Bandingkan derita dunia dengan derita Neraka. Jika derita di dunia, ia boleh hilang selepas beberapa ketika. Jika sakit kepala, ia hilang dengan tidur. Jika sakit terkena duri, ia hilang selepas berlalunya dua tiga hari. Tetapi derita Neraka adalah derita yang lama. Berapa lama? Selama-lamanya. Selama mana? Selama-lamanya.

Huraian ustaz itu terlalu bersahaja tetapi x-salafi ini menangis tidak berhenti-henti. Beliau baru tersedar yang selama ini ada suatu ruang kosong dalam jiwanya yang tidak diisi. Hatinya kosong dari pengisian rohani. Kelakuannya keras membatu kerana hatinya beku tidak terlentur. Hayatnya penuh bantahan dan pemberontakan. Beliau menjadi kasar dan keras. Rupa-rupanya beliau baru berjaya sekadar di reformasi akal.

krisisemosi3.jpg

Akhirnya, beliau merombak kembali pegangan dirinya. Dan seperti kebanyakan x-salafi yang pernah saya temui, mereka menyalahkan aliran Salafi sebagai punca kekerasan diri selama ini. Segala kekasaran yang telah mereka lemparkan kepada kawan-kawan atas nama perjuangan al-Sunnah, dilemparkan kepada manhaj Salaf yang dianggap sebagai punca kering lagi gersangnya diri beliau dari pembentukan jiwa.

Malah ada di kalangan mereka yang bertukar dari Salaf kepada Khalaf lantas berjuang pula memerangi puak Salafi kerana mereka beranggapan bahawa semua Salafi adalah seperti mereka ketika mereka Salafi. Keras, suka menghukum, dan tidak peduli kepada soal hati.

KURSUS MENGIKUT KEHENDAK SALAFI

Hal ini menjadi bahan renungan. Ia lebih mengganggu fikiran ketika saya menjalankan kursus bersama Fitrah Perkasa.

Apabila saya cuba melaksanakan kursus mengikut ‘peraturan’ Salafi atas desakan peserta, saya berhadapan dengan kemusykilan.

Di dalam kursus Fitrah Perkasa, kami menjadikan Solat Jamaah sebagai agenda penting di sepanjang kursus. Kuliah akan dihabiskan sesuai dengan waktu Solat agar peserta dapat bersedia untuk bersolat Jamaah. Kami mengajak peserta agar hadir ke surau 10 minit sebelum masuk waktu. Tujuannya adalah untuk menghening rasa. Ia adalah tips al-Ghazzali ke arah membina fokus dan penghayatan yang baik di dalam Solat. Al-Ghazzali menyarankan agar Solat kita dipisahkan daripada aktiviti yang sedang kita lakukan agar ia tidak ‘masuk’ ke dalam Solat. Kunci kereta hilang, laporan kewangan syarikat dan sebagainya, boleh dijauhkan dari tumpuan kita di dalam Solat jika kita pisahkan Solat itu daripada aktiviti yang sedang kita lakukan. 10 minit adalah jangka waktu yang praktikal di dalam kursus kami.

Maka dalam tempoh 10 minit tersebut, peserta diajak melakukan perkara-perkara yang boleh menyuburkan emosi. Bagi yang advance mereka boleh membaca al-Quran, terutamanya ayat-ayat Makki yang banyak menyentuh soal Syurga dan Neraka serta perihal dalaman manusia. Tetapi di dalam kursus, kami bertemu dengan pelbagai lapisan manusia. Ada masanya, kami berdepan dengan ustaz-ustaz lulusan Timur Tengah, ada juga harinya kami bertemu dengan pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang tidak boleh membaca dan Solat masih mencuri-curi tengok orang sebelah.

Untuk memudahkan, maka kami ajak peserta untuk berselawat selama 10 minit itu.

Begitu juga, sesekali selepas solat sudah selesai, kami ajak peserta membaca Doa Taubat. Ia bukan sebahagian dari solat tetapi ia aktiviti menyuburkan emosi agar timbul ‘mood’ taubat.

Akan tetapi, sesekali kami berdepan dengan peserta Salafi yang tidak mahu kepada cara begitu. Lantas mereka menentang Selawat, menolak doa taubat, tidak mahu berwirid dan berdoa secara berjemaah. Sebagai fasilitator, saya menerimanya dengan baik malah ada masanya saya rasa amat berlapang dada kerana saya juga mahu kepada cara yang mengikut Sunnah.

Tetapi, saya mengharapkan agar peserta menggantikan selawat dengan amalan lain yang bertepatan dengan Sunnah, tetapi mestilah berupaya menyuburkan emosi. Kajian menunjukkan bahawa pemikiran separa sedar (subconcious mind) manusia akan diaktifkan hanya apabila kita berada dalam mood yang tenang, hening, ala-ala suasana Qiamullail. Di situlah rasa MAHU dapat ditimbulkan. Di situlah air mata mudah menitis dan kekerdilan diri serta kebesaran Allah yang dibaca dan dikeTAHUi, dapat diRASA untuk menimbulkan MAHU.

krisisemosi4.jpg

Tetapi lazimnya tidak menjadi. Apabila selawat ditinggalkan, peserta akan termenung, bermain telefon bimbit, merenung bumbung di samping seorang dua yang membaca al-Quran. Sepatutnya pemurnian ibadah dilakukan dengan masing-masing berwirid sendiri dengan wirid yang ma’thur dari Sunnah. Tetapi dalam banyak sesi, peserta termenung sendirian, malah ada yang asyik mengorek hidung ketika saya yang mengimamkan Solat sedang membilang Subhanallah pada jari 33 kali, sambil memerhati. Tidak kurang yang terus bangun, pergi ke belakang untuk bersandar ke dinding demi bara’ beliau dari majlis maksiat, iaitu majlis wirid beramai-ramai yang dianggap tidak Sunnah.

Jadi, apa yang dikatakan sebagai bid’ah berwirid beramai-ramai telah diganti bukan dengan wirid sendiri-sendiri, tetapi dengan meninggalkan wirid sepenuhnya.

Akhirnya, kursus yang mengikut manhaj Salafi, menjadi kering, gersang dan tidak memberikan impak yang optimum .

Hal ini menjadi dilema kepada diri saya. Saya cuba bandingkan Ibn Taimiyah dengan anak muridkan Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Ibn Taimiyah sendiri banyak menulis tentang Tazkiyatunnafs (pembersihan jiwa) tetapi tulisan Ibn Qayyim lebih ketara dan masyhur. Saya cuba mengkaji, apakah faktor yang membolehkan Ibn Qayyim menulis tentang soal pembersihan jiwa dengan begitu baik sekali. Apakah kerana beliau secara peribadinya cenderung ke arah itu, atau Ibn Taimiyyah sudah menyelesaikan perjuangan membina tapak, lantas Ibn Qayyim beroleh ketenangan suasana untuk menulis tentang ketenangan hati? Saya tidak pasti.

Namun, saya benar-benar mahu pendukung aliran Salaf memikirkan hal ini. Apakah cara tazkiyatunnafs mereka? Bagaimanakah mereka membina emosi? Bagaimanakah akhlak mahmudah itu dapat ditanam ke jiwa anak-anak murid mereka (internalizing process), bagaimanakah cara Salaf menitip adab-adab mulia kepada mereka yang memilih jalan Salafi ini?

Saya khuatir, jika segala-galanya mahu dibahaskan secara mood akademik semata-mata, kita terperangkap di dalam PROSES dan gagal menatijahkan OUTPUT yang sewajarnya. Matlamat kita bukan semata-mata berjaya membangunkan Solat dari Takbir kepada Salam sahaja. Solat kita mesti menatijahkan sikap, jiwa, disiplin, pemikiran dan cara hidup yang digambarkan oleh perlakuan kita di dalam Solat.

Jika semasa Solat kita tidak tergamak menelan cebisan makanan yang terlekat di gigi kerana takut batal Solat, maka apakah mekanismanya agar kesedaran itu dapat membentengi seseorang daripada menjamah pendapatan yang tidak halal semasa bekerja, atau makan hasil kerja yang penuh dengan curi masa dan curi tenaga. Ibadah kita semuanya proses. Outputnya adalah akhlak yang mulia, tercegah dari fahsya”™ dan munkar.

Mampukah perbahasan ilmiah tentang ibadah membenihkan akhlak yang indah di peribadi pelajar?

Jika soal ini tidak digarap secara serius, maka akan bertambah-tambahlah anggota masyarakat yang akan meng’sinonim’kan Salafi Malizi dengan keras hati dan budi pekerti.

Kesedaran kita tentang peri pentingnya status sanad hadith, mestilah juga sama tinggi dengan peri pentingnya menyuburkan isi yang terdapat di dalam matan hadith. Apabila ada hadith sahih yang bercakap tentang Syurga, maka proses mendidik manusia agar dapat menghayati Syurga itu tidak boleh dilakukan dengan bahasa dan cara belajar sanad. Janganlah kita ditipu oleh Syaitan yang memerangkap ahli Hadith agar hanya sibuk dengan sanad Hadith, tetapi gagal menghidupkan Sunnah yang terdapat di dalam matan hadith itu sendiri.q

Perjuangan Sunnah bukan hanya pada menelaah Aqidah dan Ibadah, tetapi membabitkan Pendidikan dan antara cabangnya ialah Tazkiyah al-nafs. Bagaimanakah pendidikan Salafi, dan Tasawuf ‘Salafi’?

Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan Akhlaq

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Cheras, 8 September 2006

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace

Related posts:

  1. Aku Salafi, Anak Muridku Bagaimana?   KISAH SELUAR “Eh, Mid. Seluar engkau tu tak sesuai....
  2. Aku Salafi, Anakku Bagaimana Assalamualaikum wa Rahmatullah wa Barakatuh. Artikel yang saya tulis di...
  3. Tragedi Emosi Krismas “Ustaz, apa hukumnya saya beli patung Santa Claus?” seorang pelajar...
  4. Meneladani Krisis Salaf vs. Khalaf di Era Othmaniyyah KETERBUKAAN OTHMANIYYAH Sebagaimana yang kita semua sedia tahu, Othmaniyyah bermazhab...
  5. Manhaj Salaf Tidak Melurus Bendulkan Siasah Jika tidak banyak yang dapat saya belajar semasa menuntut ilmu...

Advertisement

7 comments

  1. Kak Ija says:

    Pada pendapat akak manhaj salafi ini memang baik tetapi dari segi pendekatan di Malaysia masyarakat tidak berapa berkenan dengan pendapat mereka. Para ustaz salafi perlu hidup bermasyarakat dan berusrah dengan penduduk setempat, apabila telah wujud ikatan ukhuwwah barulah pencerahan boleh dimulakan.

    Di masa yang sama kekuatan jiwa yang sentiasa ditautkan dengan mengingati Allah sentiasa perlu dipertingkatkan. Ini juga akan melembutkan hati masing2 untuk rasa kasih mengasihi.

    Mengenai isu akademik yang mementingkan proses tu memang cuba ditangani oleh pihak yang bertanggungjawab. Salah satunya adalah akak kena menghadiri kursus Outcome Based Education OBE hujung minggu ini, tetapi rasanya untuk kemahiran bukan akhlak.

  2. Sharudin says:

    Salam krisis

    1. Dari Roh, jiwa, jasad … jiwa membentuk status jatiditi manusia., iaitu samada bergelora, sederhana atau tenang. Roh diambil sebagai sesuatu yang ke arah positif atau baik, sementara jasad ke arah negatif. Bukan bermaksud bila jahat di sini, ia langusng tidak dipelukan. Yang menjadikan manusia sebagai ahsanul takwim itu adalah kerana adanya unsur jahat. Sekiranya potensi baiknya mengawal petensi kejahatan, maka itulah kejayaan seorang insan kamil. Dan beritulah sebaliknya.

    2. Roh diberikan jasad untuk berada di dunia. Potensi baik ini mahu diuji dengan potensi jahat dari jasad. Ujian di dunia adalah untuk melihat mana satu yang akan menang, dan kemudian di alam yang seterusnya mendapat balasan yang setimpal. Roh juga akan diberikan jasad setelah dibangkitkan semula bagi tujuan mendapat balasan atau keputusan ujian di dunia. Oleh itu kepercayaan kepada Syurga dan Neraka, adalah lambang kepada kepercayaan kepada akan berlakunya balasan atau apa yang kita lakukan di dunia. Memang unsur percaya itu sangat perlu, tetapi mencapai tahap percaya yang lebih tinggi berlaku hanya dengan melibatkan ilmu yang mendalam.

    3. Akal dan emosi tidak lain dari melihat roh jiwa jasad dari sudut berbeza. Akal berpotensi baik, sementara emosi berpotensi jahat. Dan walaupun pertengahannya tidak mempunyai nana khusus, pertembungan keduanya adalah apa yang berada ditengah-tengah. Begitu juga melihat positif dan negatif, yang di tengah-tengah adalah campuran kedua-dua. Malaikat dan syaitan juga dua unsur yang berpotensi baik dan jahat. Kedua-dua sifat boleh berada di dalam manusia. Malaikat adalah ejen kebaikan yang mempengaruhi akal, sementara syaitan sebagai ejen kejahatan mempengaruhi jasad. Maka manusia yang hanya mementingkan keperluan jasad semata-mata, kita katakan dia jiwa resah.

    4. Secara sainsnya, cahaya dan haba, adalah juga unsur baik dan jahat. Sekali lagi diingatkan jahat tidak bermakna tidak diperlukan, hanya perlu pengawalan dalam penggunaannya. Kita perlukan cahaya dan haba untuk hidup di dunia. Segala sumber tenaga di bumi berasal dari tenaga suria, terutama yang membentuk photosintisis. Begitu juga semua fossil fuel adalah merupakan tenaga suria yang telah tersimpan di perut bumi, untuk kegunaan manusia. Malangnya cahaya tidak berjalan sendiri. Allah jadikan haba melekat atau berpasangan dengan cahaya. Jadi kita dapat cahaya dan dapat panas sekali.

    5. Maka baik dan jahat jalan seiringan, saling memerlukan antara satu sama lain. Inilah pun yang dinamakan kehidupan. A spectrum of color from good to bad. Pilihan tersedia. Sebagai manusai kita memilih apa yang kita suka, tetapi segala pilihan adalah berpasangan pula dengan balasannya. Segala yang jahat boleh dilakukan dengan amaran dibalas dengan neraka dan yang baik sebaliknya. Bagaimana hakikat balasan itu ayng menjadi rashia Allah dan hanya sedikit sahaja digambarkan kepada manusai di dunia, sebagai menguatkan kepercayaan.

    6. Walau apa nama manhajnya, secara fandumental ia cuba menerangkan kedua-dua unsur disebut di atas. Di antara baik dan jahat, terlalu banyak boleh dipilih. Di antara yang mahu menggunakan akal, terdapat perbezaan cara, samada sedar atau tidak, mahu memaksimakannya atau santai sahaja. Maka pelbagai pendekatan timbul dari pelbagai penyampai yang ada. Tak dinafikan semua penyampai merujuk kepada sumber yang sama. Contoh salafi tidak mahu menggunakan parallel thinking yang memungkinkan pemikiran luar kotak berdasarkan sesuatu yang telah berlaku di dalam kotak. Khalafi pula datang mahu menjawab seterusnya dengan penggunaan lebih sedikit akal, tetapi apakah itu sudah ditahap maksimum? … atau masih boleh diterokai petensinya.

    7. Berterusanlah sepanjang zaman terbentuk bermacam-macam nama pendekatan atau kumpulan., berevolusi secara rambang, sesuai Qadar Allah. Yang tidak dapat mempertahankan keradaannya lenyap ditelan zaman, sementara yang popular akan terus hidup. Yang terus hidup ini juga mengalami perubahan, maka terjadi perpechahan dan pendekatan yang baru. Dan ia akan terus berevolusi, selagi ada mahluk yang dinamakan manusia, yang diberikan Allah pilihan yang paing banyak antara mahluk. Dan Allah mengingatkan secara fitrahnya manusia dijadikan resah gelisah. Yang lebih nampak pada manusia ialah jasadnya. Rohnya yang pernah berjanji dengan Allah lansung dia tak ingat. Dan ada yang terus tak mahu mengingatkannya.

    8. Status diri apabila menjadi peka kepada jasad kita rujuk sebagai krisis emosi. Status roh apabila terpengaruh dengan kehidupan dunia juga dimasukkan dalam krisis emosi. Tetapi jangan salah anggap, dengan membuang keduniaan, akan timbul keakhiratan secara automatik. Ibarat tidak setuju dengan Saifulislam.com kita tekan magik key Alt F4. Jadi halimunanlah kita, kerana tak kena tempiasnya. Tapi apakan itu tujuan asalnya menanyakan alamat pada mulanya!. Kalau takut dipukul ombak, jangan berumah di tepi pantai. (boleh ke guna lagi ni?)

    9. Saya berterima ksih kepada semua ustaz-ustaz dalam kumpulan-kumpulan yang saya pernah sertai seperti silibus sekolah agama Johor, Tabliq, ABIM, Arqam, pesantren, FOSIS dan sebagainya, selain dari guru-guru (termasuklah pensyarah U, kafir atau Islam) kerana telah memberikan penyampaian mereka yang mewarnai hidup saya. Walaupun ada yang sering mengingatkan tak berguru sebagai berguru dengan syaitan, Al Quran menjelaskan dengan terang bahawa Allah adalah sebaik guru. Tapi tanya diri dulu, apakah kita faham bahasa Allah? Atau adakah Allah berbahasa Arab?

    10. Sekali lagi macam biasa tak jawab soalan tajuk, agaknya. Akhir kata krisis emosi tidak hanya terkait dengan manhaj Salafi. Krisis emosi hanya selesai kalau kita memahami diri. Untuk memahami diri, kita kena memahami Allah dahulu, kemudian Dia akan membuka hati (akal kot?) untuk memahami diri, sesuai natural (Allah’s) selection.

  3. Ibn Abdul Latif says:

    Assalamualaikum…. saya ni salah seorang pelajar di SMAP Labu… saya pun telah sedar tentang manhaj salafi ni sejak tahun lpas lagi dah…. Alhamdulillah, dengan rahmat yang Allah kurniakan, rakan saya telah perkenalkan saya dengan manhaj salafi ini. Dia pun mendapat kesedaran ini dengan kehadiran seorang ustaz di sekolah saya yang sangat membantu… dan dia juga banyak mangkaji tentang gerakan tajdid ini sejak diperkenalkan oleh ustaz saya… kami sekarang ni dalam usaha meyakinkan seberapa ramai yang boleh lagi dalam kalangan lami di SMAPL, tetapi sedikit sukar, yalah, ramai yang belum dapat menerima… kami ada belajar tentang perkara bida’ah, tentang sunnah sebenarnya yang Nabi S.A.W buat ada yang bertentangan denga apa yg org Melayu amalkan… tetapi masih banyak yang kami perlu belajar… kami sangat berharap agar pemikiran ini dapat diterima oleh ramai pihak… saya menyokong segala usaha yang telah dilakukan oleh pihak-pihak tuan2 dan puan2…. semoga ISLAM di malaysia ini kembali kepada As-Sunnah yang sebenarnya… doakan kejayaan kami di SMAPL… sehingga bertemu lg.. Assalamualaikum!!

  4. Guest says:

    (Janganlah kita ditipu oleh Syaitan yang memerangkap ahli Hadith agar hanya sibuk dengan sanad Hadith, tetapi gagal menghidupkan Sunnah yang terdapat di dalam matan hadith itu sendiri.)

    Tolong jelaskan dengan lebih terperinci dgn fakta-fakta yang sahih

Leave a Reply