Konsep Ulama dan Kepimpinannya
Print
|
Email
|

“Siapa yang dikatakan Ulama? Siapa yang beri dia pangkat Ulama?” pertanyaan begini sering timbul.
“Kalau kita nak lantik Ulama sebagai ketua, apa kriteria yang menentukan seseorang itu Ulama atau tidak?” soalan dikaitkan pula dengan perjawatan dan perlantikan.
Apabila seseorang menggali khazanah Islam untuk mencari takrif Ulama, sempit pula dada memikirkan bahawa Ulama seperti itu hanya seperti sebutir pasir di tepian pantai di hari ini. Terlalu sukar untuk dicari calon yang memenuhi kriteria seperti yang dinukilkan.
Kesulitan itu bertambah lagi apabila Ulama mahu diangkat sebagai pemimpin. Timbul pula persoalan berkaitan kesarjanaan, apakah ia sinonim dengan kepimpinan?
KELUASAN TAKRIF
Mungkin pendapat-pendapat yang pelbagai tentang takrif Ulama itu, adalah sebagai petanda kepada luasnya cakupan makna bagi kalimah Ulama, yang disebut dua kali di dalam al-Quran, tetapi tidak diperincikan seperti Allah memperincikan perihal harta pusaka atau wanita mahram, di dalam al-Quran. Ruang yang diberikan tanpa perincian itu bertujuan untuk menyediakan unsur keanjalan pada mendefinisikan Ulama sesuai dengan peredaran zaman, tahap keilmuan dan ketamadunan manusia serta keperluan-keperluan yang diperlukan dalam urusan awam merentas masa.
Hanya satu sifat yang melangkaui segala perubahan zaman dan keadaan, bahawa Ulama adalah manusia yang takut kepada Allah:

“Sesungguhnya, yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (Ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.” [Faathir 35: 28]
Bagaimanakah soal takut kepada Allah ini dapat diukur untuk menentukan siapa yang Ulama dan siapa yang bukan Ulama? Justeru kita bertemu dengan himpunan definisi yang pelbagai oleh sarjana Islam sepanjang zaman yang kesemuanya menjurus kepada makna komitmen penuh seorang hamba kepada segala kehendak, perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Ta’aala.
KRITERIA NABI
Namun, Ulama sebagai pewaris para Nabi, bagaimanakah kualiti yang ada pada seorang Nabi, untuk pewarisan itu menepati kriterianya?
Allah Subhanahu wa Ta’aala membantu kita mengungkai persoalan ini melalui dua kisah yang terdapat di dalam al-Quran tentang Musa dan Yusuf ‘alayhima al-Solaatu wa al-Salaam.
Tatkala dua orang anak perempuan Nabi Shuaib menemukan Musa dengan bapa mereka berdua, salah seorangnya berkata kepada ayahanda mereka dengan ungkapan yang diabadikan di dalam al-Quran:

“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah (Shuaib), ambilah dia (Musa) bekerja, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang QAWIYY, lagi AMEEN” [al-Qasas 28: 26]
Penjelasan tentang kriteria Musa yang menjadikan beliau sebagai manusia yang paling berkelayakan untuk diupah bekerja diungkapkan sebagai Qawiyy dan Ameen. Pembahagian kualiti Musa kepada dua dimensi Qawiyy dan Ameen ini sangat berguna dalam memahamkan kepada kita apakah yang Allah Subhanahu wa Ta’aala kehendaki dari seorang hamba berkaitan dengan kelayakan dirinya.
Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah membahaskan perkara ini di dalam kitabnya, al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`i wa al-Ra`iyyah sebagai memudahkan kita mengukur kelayakan.
QAWIYY itu bermaksud kekuatan, keupayaan, kemahiran dan segala yang diperlukan untuk sesuatu tugasan itu dilakukan mengikut spesifikasinya. Di dalam bahasa semasa, kalimah Qawiyy ini boleh difahami sebagai nilai KOMPETENSI.
AMEEN pula merujuk kepada sifat amanah, bertanggungjawab dan segala kualiti akhlaq seseorang yang mudah untuk difahami sebagai nilai INTEGRITI.
Sudah tentulah di dalam suatu pekerjaan, kelayakan tertinggi ialah pada seseorang yang memiliki nilai integriti dan kompetensi yang sama tinggi. Namun realitinya, manusia ada pasang surutnya pada kedua-dua dimensi kelayakan ini. Ada tugasan yang memerlukan keutamaan integriti, ada tugasan yang mesti mengutamakan kompetensi.
Bagi tugasan menguruskan gembala kambing seperti yang bakal dilakukan oleh Musa ‘alayhi al-Salaam, QAWIYY (kompetensi pada kekuatan fizikal dan kemahiran menggembala) disebut dahulu sebagai yang utama, berbanding sifat AMEEN (integriti).
Akan tetapi bagi tugasan yang bersangkutan dengan menguruskan harta dan wang, integriti dan kompetensi sama penting, dengan keutamaan diberikan kepada integriti berbanding kompetensi. Lalu tatkala Yusuf ‘alayhi al-Salaam meminta agar dirinya diposisikan kepada pengurusan perbendaharaan negara, beliau berkata:

Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya aku adalah seorang yang teliti dalam penjagaan (HAFEEZ), lagi mengetahui cara mentadbirkannya (ALEEM)” [Yusuf 12: 55]
HAFEEZ itu adalah soal integriti manakala ALEEM pula merujuk kepada ilmu serta kemahiran sebagai nilai kompetensi baginda.

Apakah input yang diperlukan untuk mengangkat manusia yang ULAMA berada dari kotak 2 dan 3 kepada Quadrant Par Excellence di kotak 4?
Di sinilah jawapan kepada kayu mengukur kriteria Ulama’ iaitu pada keupayaannya mematuhi seluruh hukum Tuhan pada Syariatullah dan Sunnatullah. Seorang alim yang takutkan Allah bukan hanya takut melanggar hukum Syariat malah juga hukum Sunnatullah. Bukanlah seorang itu dikatakan takutkan Allah apabila dirinya berilmu tinggi tentang halal dan haram, tetapi tidak berasa apa-apa melanggar hukum alam pada pekerjaan dan kehidupannya sedangkan hukum alam itu adalah Sunnatullah yang juga merupakan tuntutan Allah ke atas kita.
Justeru, sebelum Allah Subhanahu wa Ta’aala mengisytiharkan bahawa manusia yang paling takut kepada-Nya adalah para Ulama, Allah Subhanahu wa Ta’aala menjelaskan terlebih dahulu senario-senario yang tidak mungkin difahami kecuali oleh manusia yang menjunjung Syariatullah bersama Sunnatullah.

Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu, (maka yang demikian itu tidaklah menjadi hal) kerana sesungguhnya orang-orang yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan (Rasul masing-masing), mereka telah didatangi Rasul-rasulNya dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran) serta Kitab-kitab (Syariat) yang terang jelas.
Kemudian Aku timpakan orang-orang kafir itu dengan azab yang membinasakan, maka perhatikanlah bagaimana buruknya akibat kemurkaanKu.
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam;
Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sesungguhnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (Ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. [Faathir 35: 25-28]
Ya…
Keterangan itu menjelaskan bagaimana seluruh hidupan di alam ini patuh kepada ketetapan-ketetapan Allah Subhanahu wa Ta’aala. Itulah cara mereka takut dan khusyu’ kepada Allah, iaitu dengan menjalani kehidupan ini sesuai dengan hukum alam iaitu hukum Allah ‘Azza wa Jalla yang Maha Esa. Jika seluruh makhluk di alam ini hidup dengan kepatuhan yang sedemikian rupa, bagaimanakah pula dengan manusia? Kemusnahan kaum-kaum yang engkar kepada perintah Allah (melanggar Syaritullah) adalah hukum Allah ke atas manusia (Sunnatullah).
Mampukah dikatakan seseorang itu takutkan Allah, dan dia adalah seorang yang Alim (Ulama), andai dia bersolat khusyu’, menjaga halal dan haram dalam kehidupan tetapi dalam masa yang sama menentang hukum alam?
Dia Syariatik.
Tetapi dia tidak saintifik.
Dengan ilmu Syariat, dilabelkannya manusia yang menolak Syariat sebagai golongan sekular. Tetapi dalam masa yang sama dia menolak hukum Sains (Sunnatullah) yang sebenarnya menjadikan dirinya juga sekular on the other side of the same coin.
KESARJANAAN ERA OTHMANIYYAH
Hal ini sangat ketara pada kaedah pembinaan tsaqafah (ilmu dan pemikiran) seseorang untuk melayakkan dirinya dianggap sebagai Ulama’ di era Othmaniyyah. Taskopruluzade Ahmet (1495 – 1561), seorang encyclopaedist Othmaniyyah yang terkenal dengan kitabnya Shakaik al-Nu’maniya telah menjelaskan klasifikasi ilmu seorang yang diiktiraf sebagai Alim Ulama. Ilmu-ilmu yang perlu dikuasai adalah:
- The calligraphic sciences: writing implements, styles of writing, etc
- The oral sciences: the Arabic language amd phonetics, lexicography, etymology, grammar and syntax, rhetoric, prosody, poetry, composition, history and other literary sciences.
- The intellectual sciences: logic and dialectics.
- The Spiritual sciences:
- The theoretical rational sciences: general theology, natural sciences, mathematics.
- The practical rational sciences: ethics, political sciences.
- the theoretical religious sciences: the Quran and Sunnah, the sciences devoted to their interpretation – Quranic exegesis, the study of prophetic traditions, Islamic theology and the principles of Islamic law and jurisprudence.
- The practical religious sciences: practical ethics, etiquette, ihtisab, and all subjects relating to Muslim life and worship.
- The Ottoman Empire: The Classical Age 1300 -1600 by Halil Inalcik (1997), page 165.
Inilah kriteria individu yang dikenali sebagai kelompok Sarjana atau Ulama di era Othmaniyyah. Kriteria inilah yang diletakkan untuk kelayakan seseorang itu mengisi jawatan mudarris, kadi, mufti dan seterusnya Sheikh ul-Islam.
Kesimpulannya, seorang saintis yang menolak hukum Syariat bukan sarjana dan bukan Ulama. Manakala seorang ustaz atau tuan guru yang menolak hukum Sains juga bukan sarjana dan bukan Ulama. Kedua-duanya adalah kelompok songsang yang tidak takut kepada Allah.
DEWAN ULAMA DAN INTELEKTUAL ISLAM

Al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa dalam kenangan. Kembali ke Rahmatullah pada April 2000
Semasa Muktamar PAS berlangsung pada tahun 1983, Ustaz Yusuf Rawa yang mempelopori konsep Kepimpinan Ulama sebagai reaksi kepada peralihan era Dato’ Asri Muda kepada kepimpinan yang baru, beliau (Ustaz Yusuf Rawa) telah menukar nama Dewan Ulama PAS kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam.
Katanya:
Pembinaan kembali insan Muslim menerusi program pendidikan dan tarbiyyah akan dikendalikan perlaksanaannya oleh Dewan Ulama dan Intelektual Islam yang akan diberi tugas dan peranan penting dalam penyusunan baru organisasi Parti Islam.
Para Ulama dan intelektual Islam merupakan gabungan tenaga yang penting dalam usaha memupuk dan meningkatkan kesedaran Islam di kalangan ummah. Seluruh tenaga PAS di peringkat ahli-ahli dan pimpinan mestilah turut secara aktif bagi membantu para Ulama dan intelektual Islam itu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka dalam suasana baru itu.
Perubahan Dewan Ulama kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam juga bertujuan untuk memadukan Ulama dan intelektual Islam sekali gus menghapuskan jurang perbezaan keilmuan yang wujud di kalangan mereka dan mengadunkan ilmu serta pengalaman masing- masing dalam konsep, matlamat dan peranan ilmu dalam Islam sehingga dualisma yang memisahkan ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu dihapuskan!
-[Kamaruddin Jaafar (ed.) : Memperingati Yusuf Rawa, pp. 55-66]
Sungguh hebat kenyataan Ustaz Yusuf Rawa ini kerana ia sudah pun dibentangkan seawal tahun 1983. Gagasan Kepimpinan Ulama yang diusahakan beliau bukanlah suatu gerakan untuk menghasilkan para MULLAH sebagaimana yang dirisaukan oleh al-Marhum Ustaz Abu Bakar Hamzah. Sebaliknya ia adalah gagasan untuk merawat paradigma sekular sama ada sekular pada menolak agama, atau sekular pada menolak intelektual sains. Ulama yang berkelayakan memimpin ialah ulama yang harmoni pada konsep ini.
Apa yang diperlukan oleh PAS untuk memenangkan Islam, adalah para ideologue yang pemikirannya telah dirawat daripada dualisma sekularisma yang memisahkan di antara ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu tadi.
Tetapi, apa yang berlaku, hanyalah kepada memadukan golongan Ulama dan intelektual ini di dalam kebersamaan mereka bekerja di dalam satu parti, tetapi memadukan pemikiran, paradigma dan pandangan hidup (worldview) masih belum berlangsung dengan baik. Golongan agamawan berjaya duduk semeja dengan golongan profesional tetapi proses memadukan disiplin dan ilmu masing-masing tidak berlaku. Golongan agamawan melihat banyaknya bahagian mereka yang perlu dipelajari oleh golongan profesional, tetapi tidak pula jelas pada melihat apa yang perlu agamawan ini ambil daripada disiplin dan ilmu golongan profesional seperjuangannya itu tadi.
Pergeseran di antara golongan Ulama’ dan profesional, dalam mendefinisikan kelayakan kepimpinan, menunjukkan bahawa cita-cita al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa masih jauh dari realiti yang ada. Golongan profesional yang sekular mungkin tidak akan mendekatkan diri kepada PAS, tetapi masalah yang besar ialah bagaimana pula dengan ustaz sekular yang menolak ilmu aqliyyah, Sunnatullah atau ilmu Sains di dalam PAS?
Justeru, dalam suasana PAS sedang bergerak menuju kepada kepimpinan negara, keperluan untuk menguasai ilmu secara holistik bagi menghasilkan response yang tepat kepada kemajmukan Malaysia, kecamukan ideologi di dalam politik, ekonomi dan sosial serta gelombang globalisasi yang begitu meruncing, sentimen pergeseran di antara golongan agamawan dengan profesional, hanya akan mengheret PAS berpatah balik ke belakang, lebih ke belakang daripada 1983 yang telah didefiniskan dengan tepat dan jelas oleh al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa.
Sesungguhnya kelayakan memimpin bukanlah pada agamawan atau Profesional, tetapi pada kemurnian aqliyyah Islam yang dicernakan di dalam kriteria Nabi Musa dan Nabi Yusuf yang kita warisi perjuangannya itu. Itulah ULAMA yang HAKIKI.
Kepimpinan Ulama bukan slogan atau retorik, tetapi satu agenda yang menuntut perubahan. Mengubah pemikiran agar berubah pendekatan dan kaedah perjuangan.
Selamat maju jaya, buat sekalian pejuang agama!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang
BACAAN LANJUT
- ISLAM EMBEDDED: THE HISTORICAL DEVELOPMENT OF THE PAN-MALAYSIAN ISLAMIC PARTY PAS (1951-2003) oleh FARISH A. NOOR terbitan MALAYSIAN SOCIOLOGICAL RESEARCH INSTITUTE, KL (2004)
- THE OTTOMAN EMPIRE: THE CLASSICAL AGE 1300 – 1600 oleh HALIL INALCIK terbitan PHOENIX ORION BOOKS LTD, LONDON (1997)
- AGENDA 2008: APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM oleh ABU SAIF di http://saifulislam.com/?p=1216
Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010) Related posts:
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor









Ulama Bagaimana Yang Dikatakan Ulama?
macam Dr. Mahathir cakap dulu lah..masuk persatuan dan bayar yuran..jadilah ulama lepas tu..first time ana setuju dgn Dr.M huh…
Salam alaika ya ustaz,
Sebuah pemerhatian yang baik untuk ditelusuri oleh mereka yang berkenaan.
Menjadi suatu obligasi kepada ulama’ (yang tradisinya difahami sebagai golongan agawaman) untuk menekuni juga bidang-bidang lain. Ketika mana saya sempat berkomunikasi dengan seorang editor kanan di sebuah syarikat penerbitan ternama di Malaysia, beliau mengakui betapa ulamak di Malaysia khususnya amat kurang memesrai bidang penulisan. Mereka lebih suka bercakap dan bercakap. Jika menulis pun, tulisannya keras dan kaku.
Saya tidak fikir, seorang ulama’ hanya patut bangga mendalami ilmu fikah dan usul sahaja, sebaliknya ia perlu digandingkan dengan satu-satu ilmu alat yang lain. Malah, Nabi Daud a.s seorang pakar dalam pembuatan barang besi, Nabi Yusuf a.s pula pakar ekonomi, manakala Nabi Muhammad sendiri adalah peniaga yang hebat.
Tak perlulah seorang ulama’ mampu menguasai semua bidang, namun keupayaan mereka menguasai sesuatu bidang sudah dilihat sebagai kelebihan yang ‘complimentary’ dalam mengangkat imej institusi ulama itu sendiri.
Saya teringin nak lihat, adanya ulama yang juga seorang pilot. Dan saya sudah melihat bayangannya, ia sudah ada…hatta dalam Pas itu sendiri sudah ada, jadi ia hanya perlu disuburkan lagi, bersandarkan formula yang telah ustaz bentang di dalam artikel ini.
Wallahua’lam.
Di Malaysia,siapakah ulama’ yang masih ada sekarang?
Masih ada atau tiada tapi dikatakan ada.
Memang ada.tapi boleh tahu siapa?
salamun ‘alaikum
Kalau diberi peluang mana satu yang kita pilih…
1. Ulama yang ada bakat kepimpinan
2. Ulama yang tiada bakat kepimpinan
3. Profesional yang ada bakat kepimpinan
4. Profesional yang tiada bakat kepimpinan
Bagi ana, pilihlah pemimpin yang bertaqwa, siapapun dia, yang penting ulama dan umara mestilah bergandingan untuk membantu sebuah negara yang diredhai Allah..
Terima kasih ustaz,atas artikel yang sangat mengeyangkan otak saya.
Saya cadangkan ustaz tulis sebagai nota kaki (kalau tidak menyusahkan)
1. Rujukan artikel,buku tokoh yang diambil kira dalam penghasilan artikel.Senang kami membuat bacaan tambahan untuk lebih memahami idea dan konsep yang ingin ustaz sampaikan.
2. Tempoh ustaz menulis artikel(rasanya pernah dicadangkan oleh orang lain) supaya kami juga membaca pada kadar waktu yang sepadan.
Artikel atau subjek yang mempunyai nilai kesarjanaan sangatlah tidak sesuai untuk dibaca dengan kadar merebus mee segera.Teringat zaman student,professor saya menyebut bahawa adalah tidak logik untuk memahami teori sains dalam masa 1 jam kuliah…sedangkan para saintis sendiri mengambil masa
ratusan tahun untuk membentuk dan kemudian menerangkan pula konsep tersebut.
@reza,
terima kasih atas komen dan saranan. saya dah tambah nota kaki. bila baca nota tu, insya Allah akan tahu berapa tempoh masa yang diperlukan untuk menulisnya. tetapi overall kalau tulis tak masuk baca, saya menulisnya sejak dua hari sudah
Salam ustaz. Saya ingatkan isu jurang antara ulama dan umara (golongan profesional) adalah kontemporari. Rupanya sejak 1983 (atau mungkin lebih lama)!
Dua tahun lepas wakil dari Pahang mencadangkan agar tema ‘Kepimpinan Ulama’ ditukar menjadi ‘Kepimpinan Islam’ untuk mengakhiri kekalutan ini.
Saya kagum dan kaget apabila mengenali Presiden Parti Keadilan Sejahtera Indonesia PKS, Ir Tifatul Sembiring. Usianya baru 48 tahun, tapi ahli PKS mampu memberikan kepercayaan padanya.
Harapan saya, artikel ustaz ini adalah satu cabaran buat kepimpinan PAS. Cabaran yang bukan calang-calang. Huhu, apa kata hantar ke Harakahdaily?
Salam Ustaz,
Cantik sekali artikel kali ini. Konsisten dari dulu lagi ustaz berhujah dalam ruang lingkup ini. Saya kira, apa yang ustaz Mujahid Rawa lontarkan sangat kena dengan masalah kita zaman pasca kolonial. Dan saya percaya ianya sama dengan apa yang Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas katakan semenjak Persidangan Pendidikan Dunia Islam di Mekah pada tahun 70-an lagi.
Saya kira kepincangan yang ada pada hari ini dalam melahirkan ulama’ yang tidak dualisme ialah ketiadaan institut pengajian tinggi yang berwibawa untuk meleburkan pemisahan ilmu fard ayn dan fard kifayah. Yang pernah ada pun di Malaysia ini kedua-duanya di bawah penubuhan Prof. al-Attas iaitu ATMA di UKM dan ISTAC, yang mana pada ketika ini hidup segan mati tak mahu setelah diporak perandakan oleh golongan ilmuan yang hasad terhadap beliau.
Sayangnya, kejatuhan ISTAC tidak diambil peduli oleh orang-orang penting gerakan Islam membuatkan potensi yang ada terkubur begitu sahaja. Gagasan projek Islamisasi ilmu kontemporari yang diusahakan Prof. al-Attas dan al-Faruqi semakin sepi dari wacana ilmu gerakan Islam. Kita tiada pelan proses pembinaan tamadun.
Dan saya lihat, proses untuk melahirkan ulama’ yang tidak dualisme semakin kurang menyerlah dek kerana hampir semua graduan Jemaah Islam Kampus mempunyai visi dan misi yang sepesen. Kita ketandusan ulama’ berwibawa seperti Syakh Hamza Yusuf, Syakh Abdul Hakim Murad yang saya kira mampu menjadi kayu ukur baru dalam berhadapan masalah zaman moden yang disaluti pelbagai isme yang halus.
Sekadar berpendapat.
[...] SAIF @ http://www.saifulislam.com 68000 [...]
Assalamu’alaikum…
Terima kasih ustaz atas pencerahan yang melapangkan dada dan menambahkan keyakinan kepada kemenangan Islam. Saya sangat bersetuju dengan pendapat ustaz berkenaan kesepaduan pemikiran, paradigma dan pandangan hidup antara golongan agamawan dan intelektual. Sedih mengenangkan kesan penjajahan fizikal dan mental yang terus-terusan berakar umbi di tanah tumpah darah ini.
Kagum dengan ulama’ terdahulu yang mampu menguasai ilmu syariatik dan saintifik (meminjam istilah ustaz) seperti Ibnu Sina, Ibnu Rushd, al-Khawrizmi. Kagum juga dengan ciri-ciri Alim Ulama zaman Othmaniyyah seperti yang diistilahkan oleh Taskopruluzade Ahmet. Terasa sangat jauh dan ketinggalan berbanding dengan kehebatan yang digambarkan. Jangan kata semua, salah satu kriteria pun rasanya susah nak dikuasai. Terasa diri terlalu banyak bermain-main dan membazir masa, tenaga, fikiran, emosi dan semua yang dikurniakan Allah.
Saya tidak menafikan terdapat sedikit perubahan ke arah kesepaduan fikiran yang diperkatakan terutama apabila Barisan Alternatif mula bertambah bilangan dalam Dewan Parlimen. Saya berharap perubahan yang agak perlahan ini akan dapat diperkasakan dengan pemangkin-pemangkin yang mencetuskan revolusi yang ketara.
Saya tidak dapat menyembunyikan kesedihan apabila menyentuh mengenai isu hudud. Terlalu besar harapan saya untuk memberi sokongan penuh apabila golongan ulama’ dan profesional duduk satu meja untuk membincangkan perkara ini dan menghasilkan resolusi yang praktikal. Biar semua orang tahu, biar semua orang islam yang pernah menolaknya tahu, biar semua non-muslim tahu, bahawa inilah perlaksanaan pendidikan dan pengajaran yang paling sempurna kepada masyarakat.
Akhir kata, saya yakin dengan izin Allah, masih ada Ulama’ yang dicari-cari (mungkin sehebat Alim Ulama’ Zaman Othmaniyyah?). Hanya menunggu masa untuk diserlahkan. Marilah kita berdoa supaya diberikan petunjuk, kekuatan dan kesempatan untuk sama-sama berjuang bersama mereka.
Sekian, terima kasih kepada yang sudi membaca. Minta maaf jika terlalu panjang atau ada salah silap dan keluar tajuk.
-Budak baru belajar dan mahu terus belajar-
salam………
Harap kepimpinan pas yang akan dipilih untuk membarisi sejumlah jawatan tertinggi parti nanti dapat memimpin parti dengan amanah, bijaksana, berintegriti, syariatik dan saintifik (pinjam ayat ustaz no, halal ye ustaz ). wallahualam…
assalamu’alaikum ustaz,
sekadar ingin berkongsi dan bertanya, kepimpinan ulama’ pada saya adalah yang baik, dan menjadi lebih baik lagi andainya bergandingan dengan umara’, seperti tang saya belajar di sekolah dahulu.
namun, apakah yang menyebabkan berlakunya penolakan ke atas kepimpinan ulama’ ini (bagi sesetengah orang) sedangkan kita sendiri sedar, ilmu yang ada pada kita mungkin tidak setanding dengan ilmu ulama’.
tidak dinafikan, kita ada profesional di dalam pas, juga golongan ulama’. Namun hati saya ingin melihat agar sesorang itu menjadi ulama’, dan juga profesional pada masa yang sama. Saya kecewa melihat sebahagian daripada kita masih berpecah, sedangkan kita harus bersatu untuk mempertahankan apa yang kita sudah hampir hilang.
Kalau ustaz tak keberatan, lawatlah blog ini, saya perlukan bantuan ustaz. Saya tidak sebijak ustaz dan tidak juga sejahil mana, namun ilmu adalah segalanya.
http://mohamadizwanzainal.blogspot.com/
ini bukan blog saya tau.
wassalam..
salaam abu saif, suatu kupasan yang mencerahkan. hampir sama apa yang d sebut oleh dr. maza sewaktu berkunjung ke dubai lalu. keilmuan ‘ulama perlu d harmoni dgn thaqafah ammah yang boleh memberi panduan pada massa dalam banyak hal dan permasalahan.
apalagi dalam organisasi haraki yang bergerak dalam masyarakat majmuk!
salam…
kita seagama, islam…
kita satu nama, muslim…
sedarlah!! kita satu ummat… ummat muhammad rasulillah
bertuhankan Allah, robbul jalil…
ummat islam perlu bersatu hati…
masih ada waktu…
***
Sesungguhnya orang yang tahu itu memiliki mata hati, mereka melihat dengan matahati menjangkaui penglihatan mata bashari mereka yang melihat…yakinlah dengan janji Allah s.w.t dan al-Rasul s.a.w…..MAN ZAQA TA’M SYARAB AL-QAWM YADRIH, MAN DARAHU GHADAN BI AL-RUH YASHRIH….
Salam,
Satu kupasan yang menarik. Saya harap coretan ustaz ini dapat difahami oleh setiap ahli masyarakat. Saya cukup berpuashati dengan hujah serta dalil yang diberikan. Diharap induvidu yang mengelar dirinya ulama serta golongan profesional sbg “mee celup” dapat muhasabah tentang kepimpinan ulama dalam gerakan islam.
Pemuda Islam
Salam ust,
Permasalahan yang timbul di negara kita tentang konsep ulama dan profesional berpunca daripada SISTEM PENDIDIKAN kita yang memisahkan diantara pendidikan mendalam tentang Islam dengan pendidikan sains tulen.
Ini menyebabkan golongan berpendidikan agama merasakan mereke lebih layak memimpin masyarakat, bimbing ke arah yang benar, mengikut sirah nabi. Dalam masa yang sama golongan profesional beranggapan mereke mampu mentadbir negara dengan kepakaran dalam pelbagai bidang yang beliau miliki spt perubatan, kejuruteraan dan ekonomi. Walhal, kedua-dua golongan tersebut cintakan Islam…..ingin melihat Islam bangkit kembali.
Justeru itu, saya menyokong artikel yang ust tulis ini…..cukup akademik serta rasional. Disamping itu jika dipraktikkan InsyaAllah kita akan lihat Islam akan diterima oleh segenap masyarakat Malaysia.
Takbir!
Profulamak Islam
note: Kalau Islam perintah, kita ubah sistem pendidikan…..integrasi pure sains+ekomoni+ilmu islam. Akan hasilkan PROFULAMAK.
@Profulamak Is;am, aslam tuan saya ada satu pandangan islam ni dibawa dalam kehidupan jangan tungu dapat negara kita amalkan sekarang buat ikut syariat d malaysia ni dah ada jemaah islam iaitu global ikhwan namanya jemaaahnya ada d seluruh dunia jemaah ini kuat pada perintah tuhan yang sunat jadi wajib apatah lagi yang haram jemaaah ini 100% bergantung pada tuhan kerana islam akan tertegakdgn sifat takwa kini jemaah ini sdg berusaha kearah itu untuk menungu2 imamulmahadi imam besar akhir zaman amin
Kepmpinan Ulama’
Quwwah= Kewibawaan
Amanah = Integriti
Quwwah+ Amanah = AmirUl Ummah
ermm..
satu pencerahan yg tidak mudah utk saya cernakan sebagaimana sukar utk ia dicoretkan..semua pendokong dan jua penyokong Islam perlu menghadam coretan ini bagi memperkemaskan langkah perjuangan.. syukran lillah..jazakillah khairal jaza’..ustaz
kenapa mesti nak tunggu gabung pendidikan Islam dengan pendidikan Sains? Kenapa nak tunggu orang berpendidikan ilmu Islam yg mahir ilmu sains dsb. baru nak i’tiraf sbg ulama? Pd saya ini cuma pendapat yg bersifat idealistik.
Kita sering merujuk ulama-ulama terdahulu sebagai model definisi ulama. Tapi bukankah pd masa itu juga ada yg tidak mengiktiraf mereka sebagai ulama, bahkan dikeji dan dihina. Jadi apa yg mengecualikan zaman ini berbanding pd masa itu, bahawa tidak ada kemungkinan kita sudah tidak boleh mengenali ulama yg ada dikalangan kita hari ini? (faham ke? maksudnya individu tahap ulama itu ada sekarang, cuma kita taknak akui dia ulama! kita nak macam model ulama dulu yg dh meninggal itu juga sebagai ‘ulama’)
Bukankah dengan melahirkan seorang Islam yang taat pd tuhannya itu sudah layak digelar ulama? Ilmu mengenal tuhan dan mentaatinya adalah asas hidup kita. Bukan senang! Maka secara peribadi, pada saya orang ini sudah boleh jd pemimpin (walaupun tak tahu apa itu merkuri!)
saya seorang saintis, tapi mahu orang seperti ini memimpin saya. kerana akhlaknya dengan Allah akan memimpinnya untuk menjaga akhlaknya dengan manusia. Kalau setakat tidak tahu ilmu sains, dia boleh suruh pembantunya (yg dilantik dr kalangan saintis untuk menasihatnya.) kalau betul dia taat pada Allah, dia boleh terima nasihat pembantunya.
tapi susahnya kita nak cari ulama hari ini sbb kita tidak tahu siapa yg benar-benar taat pd Allah. Jadi amnya, memadailah kalau dia boleh menjaga kemuliaan Islam sebagai cara hidup dan memimpin berpandukan Al-Quran dan sunnah. Tengok pada akhlaknya, pergaulannya, pada bicaranya, pada cara hidupnya. (mcm Tok Guru la, senang cerita). Yg lain-lain ilmu sains ke, apa ke tu blh difikirkan kemudian, iaitu mencari orang-orang kanan yg berkaliber dlm hal berkaitan untuk menjadi penasihat. Tak perlu jd kayu ukur untuk tidak mengulama’kan orang yg alim tadi hanya sebab dia tidak tahu apa itu merkuri!
dan juga saya tidak setuju dgn ustaz bahwa ulama itu tidak boleh menolak sains! Sains blh ditolak kerana asas sains hari ini byk yg sekular. Berapa ramai saintis hari ini yg cukup solat 5 waktu jemaah di masjid? Yg belajar agama pun dgar azan buat dek saja! Cuma kalau ulama nak tolak ‘sains barat’, kena ada model sains islami yang macamana yg dia blh cadangkan.
wallahua’lam
P/S: maaf ye tuan rumah. mengkritik sikit. bukan sombong/nak menunjuk, geram pd yg suka merendah-rendahkan ulama hanya sebab depa tak tahu apa itu merkuri! Saya orang sains jugak, tapi blh plak sayang ulama!
@lelucon,
menafsirkan ulama yang menolak sains sebagai ulama yang menolak merkuri adalah tafsiran anda dan bukan pendapat saya.
contoh kecil untuk memudahkan cerita,
saya diminta oleh mudir sebuah sekolah agama untuk berceramah kepada pelajarnya. saya diberitahu oleh beliau bahawa sekolahnya istimewa kerana sekolahnya hanya mengajar subjek agama secara solid dan tulen (meminjam istilah beliau), dan tak bercampur aduk dengan subjek sains.
ya, dan beliau aktivis jemaah. ada duit, ada kudrat. buat sekolah dengan pemikiran macam tu, boleh agaklah student macam mana yang nak dihasilkan oleh sekolah begitu.
tak semestinya orang sains berpemikiran sains. ada sahaja profesor yang ada berderet geran research tapi dalam pemikiran agamanya menganggap usaha dan ikhtiar (sunnatullah) ialah penyelewengan agama kerana “YAKIN PADA ASBAB”.
kalau tak setuju, molek je kita bincang-bincang. tapi nak meletup-letup ni payah le sikit. jangan bawa ke muktamar sudah
@Abu Saif,
isu ‘merkuri’ tu merujuk kes orang yg memandang hina ulama kerana ulama itu tidak tahu merkuri (sains).
saya taknak ulas. nanti tambah keliru. mungkin ada isi yg ter’miss’.
seperkara lagi, bukan semua kritikan tu pd ustaz. Ustaz lbih alim dr saya. Mana yg saya sebut ‘pd ustaz’ tu mmg utk ustaz la. Yg lain tu kritikan umum saja (merujuk juga komen-komen pengunjung dan isu semasa).
dan utk elak kekeliruan, ini bukan isu saya ‘bengang’ dgn artikel ustaz. Cuma ambil kesempatan di laman web popular ini (ehem) utk menyampaikan sumbangsaran kepada pembaca utk memantapkan budaya menghormati ulama dlm masyarakat. Ilmu itu dipelajari supaya kita lebih menghormati, bukan meninggi diri. Sbg ilmuan, kena ikut resmi padi.
apapun terima kasih pd tuan rumah (sudi siar juga walau ‘meletup-letup’). dan maaf juga jika ada unsur riak/ujub.
wallahua’lam.
dan lagi, kalau ulama/ustaz itu tidak tahu apa dia bidang pengaturcaraan, beritahu saya. Saya blh tlg jawab utk dia! (bkn perlekeh ulama itu!)
… allahu akbar, manusia yg buta dgn teknologi sudah tidak tahu apa erti kasih sayang …
@lelucon,
tidak dianggap hina mana-mana agamawan yang tak tahu apa itu bidang pengaturcaraan. elok benarlah ada orang sains yang boleh tolong tampung apa yang agamawan tidak tahu.
yang lekehnya ialah agamawan yang memperlekehkan pengaturcaraan dan itulah isi kandungan artikel di atas.
salam…
saya ada satu cadangan…
mungkin ‘mudzakarah ustadz vs ustadz’ ini tidak perlu diumumkan kerana…
boleh menimbulkan salah tanggapan masyarakat umum…
kita kan saudara… bincang baik2…
mungkin ade yang kita salah orang nak tegur…
manafaatnya kita dapat bersama…
wallahu’alam…
***
bagus3
Dok sembang pasai ulamak dengan ulaq dalam semak ni memang tak habih. Ada kata mustahil ada spesis ulama yang tau semua perkara. Nabi Muhammad SAW pun tak tau semua perkara. Yang penting la ni kena ambil 4 kualiti yang ada pada nabi yakni (tak ikut turutan): 1. Siddiq 2. Amanah 3. Tabligh 4. Fathonah.
Ilmu agama tu penting untuk dunia dan akhirat. ilmu dunia pun penting untuk akhirat. Dua2 cabang ilmu (asainya satu ja) tu penting. Kalau tak tau, kena tanya ahli yang tau. Tu saja. Apa yang susahnya? La ni jangan dok lekeh mana-mana cabang ilmu sebab segala bentuk ilmu yang bermanfaat tu mainya dari Allah Taala jua.
Yang susahnya bila dok pulun salah satu. Kenapa tidak dua-dua sekali? Kenapa nak jadi better kalau boleh jadi the best? Tu la yang dalam hadis dok sebut kata mengaji tu fardhu ke atas semua muslimin dan muslimat. Pun nak jugak mengaji dari dalam buaian sampai liang kuboq. Mengaji apa? Mengaji ilmu yang beri manfaat pada umat manusia dan segala yang ada ataih muka bumi ni la jawabnya. Ada ka sebut mengaji agama saja? Sains saja? Ada? Mana ada. Macam nahu ngan sorof la. Dua2 penting. Tu saja. Tapi tak semua boleh jadi PAKAR. Hat ni Allah Taala jua yang Maha Tahu.
Otak manusia ni pun Allah Taala cipta macam2 peringkat. Ada yang kurang cerdik, tapi tubuh badan gagah macam badang. Ada yang otak cerdik, tapi asyik dok jatuh sakit ja. Kena lengkap-melengkapi lah. Tu saja.
umpama naik satu kereta sama-sama. tapi semua buat kerja masing-masing. belum mampu syncronize kepakaran bersama-sama. mungkin ada kecelaruan pada ilmu dan adab
http://www.mindamadani.my/content/view/111/3/
tulisan ini berkait rapat dengan tulisan ustaz yang mengkategorikan ilmu syariah dan sunnahtullah adalah dalam disiplin ilmu islam. mungkin penyebaran idea-idea ulama ini perlu kepada kaedah penulisan popular.
hairan ya lama di Ireland, tak pernah sekalipun berbincang tentang hal ini dalam usrah, walhal sudah dikupas lama oleh ilmuwan Islam, bukan di timur tengah sahaja, malah di malaysia!
waAllahualam
assalamualaikum ustaz…
Terima kasih ustaz kerana merincikan lagi konsep ulama dan kepimpinannya…
Meskipun cuba dinafikan,namun saya rasa pergeseran dan kewujudan pelbagai kelompok dalam PAS sangat terang lagi nyata.
Blog-blog saf pimpinan (terutamanya golongan muda) serta penulis-penulis politik menambahkan lagi rempah dan rencah ke atas ‘kekalutan’ dan ‘keributan’ ini. Sikap berpuak-puak sangat ketara dan kini, saya lihat ada trend untuk menjatuhkan sesama sendiri. Malah ada yang terang-terang menamakan pimpinan yang tidak mereka sukai serta mula berpolitik dengan cara politik UMNO serta berlaku juga budaya cantas-mencantas dalam PAS kini.
Golongan lulusan agama yang merasakan mereka sangat terlebih ilmu agamanya berbanding orang lain mungkin berpayung dengan slogan “Kepimpinan Ulama” sebagai modal mereka. Ada juga golongan yang dikatakan “liberal’, “erdogan’ dan lain-lain juga saling menyalahkan antara satu sama lain.
Mengapa politiking dalam PAS sampai begini?
Sewaktu PAS lemah, tiada budaya cantas-mencantas.
Namun, pabila dipinjamkan sedikit kuasa daripada Allah, sampai begini jadinya?
Saya harap para pimpinan PAS berterus-terang dan saya harapkan pimpinan PAS akan lebih jantan dan tidak bersembunyi di sebalik blog-blog mereka dan bermuzakarah andai Muktamar tidak dapat menyelesaikan masalah bahkan mungkin menyuburkan lagi parah dan barah….
salam ustaz, terima kasih atas ulasan yang betul2 memuaskan hati saya dengan konsep INTEGRITI dan KOMPETENSI. saya akan berusaha ke arah tu, menjadi doktor yang berintegriti dan berkompetensi. ustaz saya cakap, kita mesti berTAQWA(doktor boleh menjadi ulama’, tapi dengan syarat mesti berTAQWA).
cuma saya nak tanya sikit, saya terikir, kalau us yusof rawa mengasaskan DEWAN ULAMA’ DAN INTELEKTUAL ISLAM, kenapa beliau mengasaskan KEPIMPINAN ULAMA’ bukan KEPIMPINAN ULAMA’ DAN INTELEKTUAL ISLAM? bukankah kalau dia kata begitu, halatuju dan matlamatnya kearah memurnikan pemikiran yang sekular LEBIH JELAS?
terima kasih
(kalau2 ustaz nampak apa yang saya tak nampak, harap2 ustaz dapat share dengan saya)
pencerahan yang baik ust..
udara pun skrg makin panas dgn pelbagai isu..
at least artikel ni hadir menjernihkn jerebu2 yg ada..
ana cukup tertarik garapan ttg syariatullah dan sunnatullah..
kombinasi yg mantp dalam apa2 jua hal dn kondisi..
asalam tuan saya telah ikut pertubuhan islam d malaysia namun saya tak puas akhirnya saya temui satu jemaah global ikhwan dari gurunya dan jemaahnya ada d seluruh dunia jemaah ini menjalankan perniagaan berkonsepkan cintai tuhan sayangi manusia bacalah buku kelahiran imamulmahdi jemaah ini sedang menyediakan tapak bila imam besar ini muncul nanti beliau tak berpolitik hidupnya miskin tapi jemaahnya gagah banyak ulamak dan pihak berwajib terlepas pandang .sesiapa yang jadi ketua hidupnya hanya keperluan saja itulah guru murshid amin
25 Tahun Menilai Kepimpinan Ulama’
http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=020736&Itemid=35
Alhamdulillah, Terima Kasih Ustaz… selama ini memang saya tidak senang duduk memikirkan mengapa kepimpinan Pas hanya Ulama dlm keilmuan Agama sahaja.. Walau saya memahami juga perlu seorang Pemimpin yang teguh dengan dengan Al-Quran dan As-sunnah..Dan saya ada baca kata2 Tuan Guru haji Hadi dlm Majalah i keluaran lalu…Tp jiwa saya Bkata, ada sesuatu yang perlu di tambah baik… di mana mahu mcari Ulama’ versatil? Memang kah begitu Ustad, sistem pendidikan kita ni hanya mengeluarkan 1 individu yg hanya boleh pilih 1 sahaja…samada Syariatullah atau Sunnatullah? Saya sygkan Perjuangan Pas nak mendaulahkan Islam. Tapi jiwa saya serabut dan tidak boleh menerima kdg2 dengan isu2 semasa yang dibangkitkan dalm politik..mungkin ada perkara yang masih belum tiba masa untuk saya pham … selesa di ruangan Ustaz ni…Untuk Berfikir.