1283

Begitu banyak pandangan dikongsi bersama oleh pembaca selepas saya siarkan email di bawah tajuk, “MAAF SAYA TIDAK SUKA BUKU USTAZ”.  Alhamdulillah, pandangan-pandangan yang dikemukakan itu banyak yang boleh dijadikan bahan berfikir. Seperti yang telah dijelaskan, tujuan saya berkongsi email berkenaan bukanlah untuk meluahkan rasa tidak puas hati atau tersinggung.

Jauh sekali!

Ia adalah untuk dijadikan bahan kita renungkan, bahawa menegur itu sebuah kebaikan, tetapi ia hanya jadi kebaikan apabila ia diluahkan dengan lengkap. Tidak harus kita biarkan pemikiran ‘etika bebas’ sebagai sebab untuk membiarkan komen dan tulisan terluah tanpa panduan semata-mata dengan alasan, semua orang bebas bercakap dan berfikir.

Supaya kebebasan itu menjurus kepada manfaat, satu sahaja yang saya tekankan iaitu, sertakanlah bersama luahan rasa tidak suka itu dengan SEBABnya, agar dapat difahami, dan boleh dimanfaatkan untuk pembaikan diri.

Kebetulannya, hari ini saya menerima email balasan daripada penghantar email tersebut dan berikut adalah perbualan di antara kami. Email kedua ini lebih membantu saya untuk memahami punca kepada rasa tidak suka itu tadi.

Kata beliau:

Salam…

Begitu mudah jawapan ustaz… hanya dengan ‘tidak membaca’ buku ustaz… tak mengapa saya tak kisah itu semua… dan saya sure ustaz pun tak kisah kalau saya tak suka buku ustaz… ada ramai lagi yang akan membaca dan membeli buku ustaz. Saya tak suka bukan apa, jujur saya katakan saya terasa seolah-olah ustaz terlalu mengangkat diri dan keluarga sendiri… tak tahu lah kenapa ye. Maybe dari cara penulisan ustaz tu, kawan-kawan asyik sibuk mengatakan buku tu bagus, hebat… hmm… lain orang, lain point of view nya… saya hanya jujur pada diri sendiri saja..

Sesungguhnya Buku Allah itu tak pernah dilupakan setiap hari, INSYAALAH. Hanya itu yang terbaik dari segalanya.

Wassalam…

Berikut pula adalah jawapan saya kepadanya:Wsalam wbt.

Saya tidak boleh menulis dengan panjang sebab anda tidak jelaskan mengapa anda tidak suka dengan buku saya. Maka sebab itu saya kata, tak apa, its ok, tak perlu pening kepala sebab tak suka bukU saya. Bukanlah sebab ada ribuan orang lain suka buku itu, tapi sebab memang normal untuk kita suka satu buku dan tak suka satu buku yang lain.

Sekarang baru anda nyatakan bahawa anda tak suka buku saya sebab anda rasa buku itu terlalu mengangkat diri dan keluarga sendiri. Jika ia disebut lebih awal, maka mungkin ada penjelasan yang boleh diberikan.

Antara kesilapan yang dibuat oleh pembaca ialah apabila membayangkan lebih daripada apa yang ditulis. Cerita-cerita dalam buku itu adalah petikan daripada beberapa usaha saya yang berhasil dalam menyelesaikan masalah-masalah dalam rumahtangga. Tetapi ia sama sekali tidak bermaksud yang saya sentiasa berjaya menyelesaikan masalah, atau rumahtangga saya sentiasa aman sentosa dan bahagia seperti yang diwakili oleh 300 muka surat buku berkenaan.

Bagaimana kalau misalnya saya tulis begini:

  1. Saya kecewa dengan isteri saya. Saya penat berusaha untuk memahaminya tetapi sedikit sekali usaha dia untuk memahami saya. Tapi tak apalah, saya redha kerana saya sendiri yang memilih untuk mengahwininya.
  2. Ada kalanya saya malas mahu balik ke rumah kerana anak-anak tidak henti-henti bergaduh. Walaupun macam-macam perhatian dan kasih sayang yang diberi, mereka semakin nakal. Saya rasa, saya harus bersedia untuk menjadi bapa kepada anak-anak yang tidak berguna dalam hidup ini.

Ya, kalau saya tulis cerita-cerita seperti dua contoh di atas, apa komen anda? Adakah dengan menulis begitu maka baru saya jadi manusia dan bukan malaikat? Atau anda akan menghukum saya dengan hadith Nabi s.a.w yang melarang suami isteri mendedahkan keaiban pasangan masing-masing kepada orang lain?

Di dalam kedua-dua buku itu, saya terus menerus masukkan kisah berkenaan dengan hal di balik tabir yang diharapkan dapat mengimbangkan persepsi pembaca. Misalnya artikel bertajuk, “Saya Bukan Bapa Mithali, Hanya Realiti“, saya kongsikan kegagalan saya mengendalikan anak kedua saya yang sangat kuat menangis. Betapa porak peranda dan murungnya saya selama beberapa tahun akibat ujian itu.

Begitu juga dengan artikel “ZIKR AL-MAUT YANG MENGUNDANG MAUT“, saya dengan tebal muka, mencatatkan tindakan saya membawa anak berjumpa dengan psikiatri kanak-kanak, yang mudah sahaja ditafsirkan oleh sesiapa bahawa saya membawa anak ke wad gila.

Atau perlukah saya isytiharkan bahawa 1/2 daripada buku BERCINTA SAMPAI KE SYURGA adalah hasil pertengkaran saya dengan isteri? Ya, ia adalah sebuah konfrontasi antara kami. Tetapi konfrontasi itu kami selesaikan sampai habis. Bukannya bertengkar sekejap dan kemudian biarkan masalah itu berlalu tanpa penyelesaian. Kami bertengkar, bersoal jawab, ada masanya mendiamkan diri dan meneruskan diskusi menerusi email dan sms untuk mengelakkan konfrontasi face-to-face, dan akhirnya dalam banyak keadaan, kami sampai kepada persefahaman yang kemudiannya disimpulkan dalam sebuah artikel.

Kecenderungan memuja pelakon lebih dari lakonan, memuja penulis lebih dari tulisan, memuja Ulama lebih dari ilmu, adalah kesilapan yang sering mencetuskan persepsi sebegini.

Terima kasih kerana membalas email saya dan menjelaskan sesuatu yang boleh saya buat sesuatu mengenainya. Mudah-mudahan penjelasan saya juga akan membantu orang lain yang turut mempunyai persepsi sedemikian rupa.

Oh ya, selepas penjelasan saya ini, anda masih juga berhak untuk tidak suka dengan buku saya atau mana-mana buku. Seperti yang kita persetujui bersama, amalan membaca harus berterusan, dan al-Quran menjadi bacaan yang utama.

Salam hormat.

ABU SAIF

Demikianlah beberapa perkongsian yang diharapkan dapat menjadi manfaat buat kita semua.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace