IMG_0247

“Jom kita main buaian,” Ayah Chik mengajak anak-anak buahnya ke taman permainan kanak-kanak di depan rumah.

Anak-anak saya berlari keriangan menuju ke buaian dan jongkang jongket yang masih kosong tidak berpenghuni.

Taman itu agak semak.

Kombinasi musim hujan dengan Ramadhan menyebabkan rumput dan lalang mencanak naik.

Tetapi, ia semak kalau semua pokok itu hanya dilihat sebagai pokok anonimus yang menyemakkan mata. Andai segala yang tumbuh itu diamati, ia mungkin bukan semak semata, tetapi sesuatu yang boleh dicari nilai dan harga.

ALOR SETAR PERLU DIBERSIHKAN

Teringat saya kepada tajuk berita di sebuah akhbar yang mengatakan Alor Setar bandar sampah. Tidak pasti di mana silapnya, mungkin kekangan bajet menyebabkan giliran mengutip sampah dan menebas semak samun susut hingga mencomotkan bandar yang sepatutnya cantik dan penuh sejarah ini.

Biar pun Sungai Petani masih menjadi bandar utama dan maju di negeri Kedah, saya tetap mempunyai perasaan yang lebih terhadap Alor Setar disebabkan oleh kepentingannya di dalam sejarah. Selain abang ipar saya yang tinggal di Alor Setar, saya memilih bandar ini sebagai destinasi kembara Aidilfitri kami tahun ini kerana mahu mengambil peluang menjenguk bandar yang unik ini.

“Eh, hati-hati!” saya menegur anak-anak yang berbuai terlalu laju.

Terkejut seketika dari lamunan.

TERSANGKUT DURI

“Aduh!” tiba-tiba Naurah menjerit.

“Kenapa?” saya bertanya.

“Ni, pokok ni. Tajam!” kata Naurah sambil menunjuk ke arah serumpun pohon menjalar di pinggir buaian.

IMG_0253

Saya kenal dengan pokok itu. Apa yang peliknya ialah, saya sudah tidak dapat mengingati kembali kali terakhir saya melihatnya. Sudah begitu lama, kerana ia tiada di sepanjang perantauan di negara Arab. Ia juga tidak pernah saya temui semasa bermastautin di benua Eropah. Pulang ke Malaysia terus bekerja di Kuala Lumpur. Pohon itu hampir pupus dari mata dan minda.

“Itulah pokok semalu,” saya memberitahu Naurah.

‘IBRAH POKOK SEMALU

“Pokok malu-malu?” beliau seperti tersalah dengar.

“Bukan, pokok SEMALU. Tapi pokok ini memang malu-malu. Tak percaya, tengok ni!” saya menyentuh daun semalu dengan hujung jari.

Identiti utama pokok semalu atau nama saintifiknya mimosa pudica ini ialah daunnya akan menguncup serta terkulai apabila disentuh, dan kembang semula selepas beberapa minit.

IMG_0250

“Yop, yop, tengok ni! Naurah suka pokok ni!” anak perempuan saya menjerit-jerit memanggil abangnya.

“Ha ah, daun dia tutup bila kita pegang,” kata Saiful Islam apabila cuba menyentuh daun pokok semalu itu.

“Abi, kenapa daun dia tertutup bila kita pegang?” tanya anak saya lagi.

“Sebab dia nak melindungi dirinya dari dirosakkan,” saya menjawab.

“Oh, kalau kita tutup-tutup, kita akan selamat ya?” soal Saiful Islam lagi.

POKOK PEREMPUAN

“Betul. Pokok semalu ini pokok perempuan.  Orang perempuan yang pakai tudung dan ada sifat malu, tidak membenarkan dirinya disentuh. Kalau orang nak sentuh, dia akan menutup dirinya,” si bapa mula berfalsafah.

“Pokok perempuan? Pokok pun ada lelaki dan perempuan ke?” tanya anak saya lagi.

“Ada. Pokok semalu memang pokok perempuan. Yop dah besar nanti Yop faham le” saya menambah.

Di dalam amalan tradisional, pokok semalu memang terkenal sebagai pokok herba yang digunakan untuk manfaat kaum perempuan. Pokok berkenaan jika direbus bersama buah manjakani dan asam keping, airnya berguna untuk membersihkan anggota sulit kaum perempuan serta mengembalikannya ke sifat asal terutamanya selepas bersalin.

Itulah pokok semalu, yang sepatutnya bagus dimanfaatkan oleh kaum perempuan dan mesti diteladani sifatnya.

Pokok semalu itu dengan sifat pemalunya tidak membenarkan diri disentuh. Ia akan menguncup menjaga keselamatan dan kehormatan dirinya. Malah apabila menjelang senja, pokok semalu akan menguncup sebagai isyarat kepada kaum wanita agar menjaga kehormatan diri tatkala mentari tenggelam. Balik ke rumah serta pelihara aurat dan diri.

PROVOKASI

“Tapi kalau dah tutup orang nak pegang juga, macam mana?” tanya Saiful Islam.

“Tangan orang tu akan luka sebab pokok semalu ada duri!” saya menangkis cubaan berhujah beliau.

“Kalau dia cabut juga pokok ni?” anak saya seperti mahu melontar provokasi.

“Dia akan dihukum ALLAH! Tangan yang mencabut itu akan menerima seksaannya!” saya menjawab tegas.

Saiful Islam tidak berani mencabut pokok semalu yang sudah mahu digenggamnya.

“Naurah suka pokok ini!” Naurah masih lagi asyik menyentuh daun semalu yang menguncup, manakala daun yang sudah kuncup di belakangnya mula terbuka semula.

“Mana abi tahu semua ni? Semalam pokok letup-letup. Hari ini pokok semalu!” Saiful Islam menyoal saya.

keembung

Pokok keembung [sumber]

Kebetulan sehari sebelumnya, saya perkenalkan Saiful Islam dan Naurah dengan pokok keembung. Pokok yang bunganya merah menyala itu, mempunyai buah yang banyak di sepanjang batang. Buah yang sudah matang, akan meletup apabila disentuh.

Anak-anak saya ketawa berdekah-dekah melihat ‘gelagat’ pokok keembung itu.

Ia membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanak saya.

Memang di sekolah kami belajar tentang semalu, keembung, periuk kera, rafflesia dan pelbagai lagi pokok serta cara mereka melindungi diri. Sebahagian daripada pokok ini menjadi permainan kami di petang hari. Letupan buah keembung dan layunya pokok semalu, adalah bahan ketawa dan gembira kami di masa itu.

Begitu juga dengan bunga pokok semalu yang berbentuk kon, diimaginasikan sebagai mikrofon untuk kami menyanyi!

Indah dan bersyukur kerana sempat merasa zaman berlari di batas pokok ubi kayu serta bertempiaran lari terkejutkan cicak kubing atau ‘tokke’.

SAINS SUNNATULLAH

“Abi belajar di sekolahlah. Yop kan ada belajar Sains di sekolah. Abi pun ada juga belajar Sains,” saya menjawab.

“Ooo, ingatkan abi belajar jadi ustaz aje. Yop belajar Sains di sekolah tapi tak ada pun cerita pokok semalu dan pokok letup-letup!” kata Saiful Islam.

“Entah! Abi belajar Sains untuk hidup. Bukan untuk periksa,” saya mahu menamatkan dialog yang meletihkan ini.

Sains itu belajar dari alam.

Belajar sunnatullah.

Belajar Fikir di sisi Zikir.

KHAYALAN

IMG_0248

“Abi, Naurah dah buai-buai tak ada Prince pun!” kata Naurah yang asyik berbuai.

“Sebab Naurah bukan Princess!” ujar saya.

“Naurah Puteri Semalu, tapi tak malu!” kata Saiful Islam kepada ‘musuh’nya.

Kami ketawa.

Naurah sudah memuncung menahan marah.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace