Persaudaraan Syaitan Bersyiarkan Halloween

October 28th, 2009 by Abu Saif 9:38 am | 11,281 views | Print Print | Email Email | Leave a reply »

ireland-546465

Belfast Castle yang ‘menyeramkan’

“Imam, apa nasihat awak kepada anak-anak kami supaya mereka tidak sibuk menyambut Halloween hujung minggu ini?” tanya seorang bapa kepada saya.

Beliau sedang menunggu Sunday School tamat tengah hari itu untuk mengambil si anak.

“Sulit. Aktiviti membuat kostum, menyiapkan bakul gula-gula, melukis poster, mengukir labu, semua itu sangat menarik perhatian anak-anak, bukan? Tempting!” saya membetulkan ketayap di kepala.

“Betul, Imam. Memberitahu anak-anak bahawa segala keseronokan itu bertentangan dengan Islam memang sulit. Saya masih mencari alternatifnya,” kata si bapa.

“Mungkin di sinilah kesilapan ibu bapa. Ada yang kuat semangat Islam, menentang sambutan harijadi, tetapi yang ditentang bukan sekadar konotasi ‘tidak Islamik’ pada sambutan harijadi itu, malah memberi hadiah kepada anak-anak pun tanpa disedari turut ditentangnya. Padahal, jika birthday itu salah sekali pun, memberi hadiah dan menyatakan penghargaan kepada anak-anak adalah Sunnah,” saya berkongsi pandangan.

“Betul. Tak sambut birthday, jangan sampai tak pernah beri anak hadiah,” tambah beliau.

“Tak bagi anak berseronok menyambut Halloween, janganlah semasa Aidilfitri pun bapa tidak bercuti untuk bergembira dengan keluarga,” saya turut menokoknya.

Kelas sudah tamat.

Anak-anak sudah keluar dari kelas dan berlari-lari turun naik tangga masjid.

Pada suatu ketika, saya dan guru-guru pening kepala dengan kerenah mereka yang sangat suka berlari di dalam bangunan masjid hingga bergegar bagai gempa bumi. Tetapi apabila memikirkan rumah Victorian masing-masing yang sempit dan berbilik-bilik, maka masjid jualah bangunan lapang yang dilihat di mata mereka seperti trek balapan!

Kawal sahaja, tidak kuasa melarangnya.

bic.jpg

MURID TUA

Keghairahan menyambut Halloween bukan hanya mengHANTUi kanak-kanak, malah turut menggeletek naluri murid tua daripada kalangan anak muda di universiti. Andaikata mereka itu remaja yang lahir dan membesar di negara Barat, tidaklah sukar untuk difahami dari mana keinginan itu dirangsang. Tetapi jika mereka baru setahun dua menjenguk negeri orang dan ghairah mahu menyertai apa sahaja yang dilakukan massa, ia lebih kepada masalah kejutan budaya berbanding survival identiti yang dialami oleh American atau British Muslim generasi kedua dan ketiga.

So, bolehkah ustaz kami menyambut Halloween?” tanya pelajar Malaysia yang menuntut di sebuah universiti di Ireland, tanah Celtic tempat lahirnya Samhain, Halloween dalam lingkungan Paganism di suatu ketika dahulu.

“Sebenarnya tiada jawapan yang muktamad untuknya,” saya melayan soalan yang ditanya.

Menjawab secara reverse psychology.

Nampak ceria di wajah pelajar yang bertanya, kerana seperti bakal menerima kurniaan keharusan menyambut Halloween daripada Ustaz Hasrizal. Bolehlah nanti dialasankan, harus menyambut Halloween menurut Ustaz Hasrizal!

“Ia bergantung kepada tahap sensitiviti kamu kepada agama. Tahap kepentingan Allah dalam hidup kamu” saya menyambung.

Berubah sedikit wajahnya.

“Jika kamu anggap, yang salah di dalam Islam hanya jika kamu sujud ke salib di gereja atau menyembah berhala di kuil dan tokong, maka Halloween tidaklah sampai ke situ. Walaupun ia adalah amalan Pagan yang lebih merupakan Festival of the Dead, hari ini perayaan Halloween sudah terpisah daripada sejarahnya. Saya rasa, hanya segelintir kawan Irish kamu yang sedar akan asal usul Halloween ini,” saya meneruskan jawapan.

“Betul ustaz. Sudah jadi budaya, bukan lagi agama. Macam Chinese New Year!” sampuk pelajar itu.

“Budaya sekular!” tokok seorang lagi.

Saya mengiyakan kata-kata mereka.

Jack-o-Lantern

Halloween dengan sejarahnya yang penuh dengan tahyul itu, tidaklah disambut hari ini dengan kepercayaan yang sama. Labu Jack-o’-lantern itu bukan lagi untuk membantu roh Jack merayau antara langit dan bumi, atau untuk menghalau hantu.

Tetapi tanpa semua itu, Halloween masih Halloween.

Bagaimanakah tahap sensitiviti kita kepada isu-isu berikut?

IMITASI JAHILIAH

Islam mementingkan proses memelihara jati diri penganutnya. Tersendiri dan beridentiti.

Selain cara berpakaian yang ada kod tertentu berkaitan aurat sebagai asas dan keperluan memelihara janggut bagi lelaki, Islam juga menegah perbuatan meniru trend kaum lain yang menghilangkan identiti Islam seorang Muslim. Justeru Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

hadith-tasyabbuh

“Barangsiapa yang menyerupakan dirinya dengan satu-satu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada kaum tersebut” [Hadith daripada Ibn Umar radhiyallaahu 'anhuma, dikeluarkan oleh Abu Dawood dan disahihkan oleh Ibn Hibban]

Walaupun hadith ini lemah kerana wujudnya perawi bernama ‘Abdullah ibn Luhay’ah, ia diperkukuhkan oleh pelbagai riwayat lain yang memperincikan penegasan yang sama oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam seperti penegasan beza puasa kita dengan puasa Ahli Kitab pada Sahur, penegasan antara lubang dan liang lahad pada cara mengebumikan jenazah, juga pada soal bersolat dengan sarung kaki atau tidak.

Tegasnya, meraikan Halloween itu melucutkan jati diri Muslim, dan meniru identiti kaum yang mensyirikkan Allah dan meraikan kufur sebagai gurau senda harian.

PERGAULAN BEBAS

Sambutan Halloween sama ada di jalanan atau di parti-parti yang dianjurkan, sangat sinonim dengan amalan pergaulan bebas. Bercampur aduk di antara lelaki dan perempuan dalam suasana liar, malah keliru di antara lelaki dan perempuan kerana kostum yang pelbagai, sangat bertentangan dengan ajaran Islam.

Malah Halloween sangat sinonim dengan pertambahan kes jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah dan seks seperti rogol. Biar pun jenayah ini mengalami normalisasi akibat budaya Barat yang bertolak ansur malah menerima seks bebas ini, bagaimana pula dengan Islam, al-Quran, kubur, Akhirat, Syurga, Neraka dan Allah Subhanahu wa Ta’aala itu sendiri?

Soalnya sejauh manakah sensitiviti kita terhadap hal tersebut?

17_32“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan jahat (yang membawa kerosakan)” [al-Israa' 13: 32]

Halloween adalah pakej lengkap untuk anak muda mendekatkan diri kepada zina.

SimpsonsHalloween

MENGGANGGU KETENTERAMAN AWAM

Trick or treat?!” sergah anak-anak muda di pintu rumah.

Tuan rumah mempunyai dua pilihan.

Sama ada melayan ‘hantu-hantu’ yang datang ke muka pintu (treat), atau disumpah dengan sial di dalam sejarah atau helah mengena yang dikenakan mengikut kreativiti mereka (trick).

Mengetuk pintu rumah pada waktu malam untuk gurau senda versi Halloween ini amat mengganggu ketenteraman awam. Orang tua dan bayi kecil adalah golongan yang paling terjejas. Tambahan pula dengan penyertaan mercun, Halloween sangat mengganggu malah bisa juga memudaratkan orang lain.

Ia bertentangan dengan definisi Muslim yang disebut oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

hadith-mansalimalmuslimun

“Seorang Muslim itu ialah seseorang yang para Muslim lain terselamat daripada (kejahatan) lisan dan tangannya” [Muttafaq 'alayhi]

Muslim mengambil berat dan membantu jiran tetangga.

Muslim tidak menyusah dan mengganggu mereka.

PEMBAZIRAN

Matlamat baiknya tiada.

Belanja meraikan Halloween membabitkan wang dan masa.

Kombinasi antara wang dan masa yang dibelanjakan dengan matlamat baik yang tiada, menghasilkan formula pembaziran.

Berapakah keuntungan yang diperolehi oleh peniaga-peniaga yang menjual kostum serta segala peralatan untuk menyambut Halloween? Berapakah penjimatan yang boleh dilakukan apabila kita tidak menjadi manusia yang sentiasa mengikut trend, buat apa yang orang lain buat, beli apa yang orang lain beli, pakai apa yang orang lain pakai?

Ada saudara mara yang kesusahan, ada anak yatim dan miskin yang memerlukan bantuan, ada tanggungjawab belajar yang memerlukan buku serta pelbagai proses pembelajaran lain yang perlu diutamakan, mengapa Halloween jadi pilihan?

17_26-27

“Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” [al-Israa' 17: 26-27]

Ada banyak bentuk pembaziran lain yang menjadikan kita saudara Syaitan. Tetapi membazirkan wang dan masa untuk Halloween, adalah acara rasmi menjadi saudara Syaitan dengan sokongan kostum dan kegilaan laku.

LAGHA

Apa sahaja perbuatan yang tidak dapat dijustifikasikan motifnya secara positif pada neraca agama, adalah lagha.

Menghindarkan diri daripada perkara-perkara lagha itu adalah salah satu daripada jalan penting untuk seorang insan beriman mengecap kejayaan di dunia dan di Akhirat.

23_1-3

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk di dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia” [al-Mu'minun 23: 1-3]

Usaha seorang Mukmin mencegah dirinya daripada terbabit dengan sambutan Halloween adalah sebahagian daripada sikapnya yang perlu berterusan pada mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang tidak bermanfaat.

Jelas sekali keupayaan mengawal diri agar kehidupan terisi dengan manfaat, kebajikan dan kebaikan, adalah sikap-sikap manusia berjaya, dan selayaknya golongan yang berjaya itu didahului oleh Mukmin yang sudah sedia menerimanya sebagai sebahagian daripada tujuan hidup.

PENTINGKAH SEMUA ITU?

“Berbalik kepada persoalan asal tadi, pentingkah semua itu kepada kita?” saya mengejutkan pelajar daripada lamunan mereka.

“Nasihat saya ini tidak relevan jika Halloween mahu dihindarkan, sedangkan majlis tari menari, keluar masuk rumah lelaki dan perempuan secara bebas dan semua itu masih menjadi kebiasaan harian kita. Semuanya berbalik kepada tahap sensitiviti anda. Ia besar bagi seorang Mukmin yang menjadikan Allah sebagai keutamaan tertinggi hidupnya. Ia remeh bagi Muslim yang lebih cenderung untuk menjamu nafsunya berbanding tujuan hidup yang tinggi. Terpulang” saya menyudahkan sesi soal jawab.

Teringat kembali kepada sambungan perbualan saya bersama ibu bapa pelajar Belfast Islamic School.

b-i-s

Pelajar-pelajar Belfast Islamic School. [kredit]

Kami para guru menganjurkan kepada ibu bapa pelajar supaya berhemah dalam menerangkan hal ini kepada anak-anak. Jangan sampai nanti, ada anak-anak yang beranggapan bahawa ibu bapa mereka menjadikan agama sebagai alasan untuk tidak mengeluarkan belanja, mengongkong anak-anak sedangkan mereka sendiri tidak melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa yang mematuhi agama.

Pastikan sambutan Aidilfitri dan Aidiladha cukup manis untuk dikenang oleh anak-anak. Elakkan bekerja pada hari perayaan kaum Muslim yang dianugerahkan Allah dan Rasul ini.

Berikan keyakinan kepada anak-anak untuk berani tersendiri. Mempunyai identiti dan tidak sentiasa terpaksa serupa dengan orang lain.

Jika terdesak, cutikan sahaja anak-anak daripada hari persekolahan ketika parti Halloween diadakan.

Dan apa yang lebih utama, jadikan Islam benar-benar sebagai sistem nilai keluarga. Jangan tunggu Halloween baru mahu ‘menggunakan’ Islam.

Dalam situasi seperti ini, ‘presenting problem’ yang ada di depan mata adalah Halloween. Tetapi ‘the real problem’ yang perlu diberikan perhatian ialah, di mana Islam dalam hidup kamu?

PA120031

Soalan itu semakin ganjil apabila ia dirujuk kepada keghairahan warga Malaysia menyertai Halloween kebelakangan ini.

Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Sesungguhnya kamu akan menurut langkah orang terdahulu dari kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah bila mereka masuk lubang biawak sekali pun kamu turut menurutnya. Para sahabat bertanya: Adakah yang dituruti itu Yahudi dan Nasrani? Rasulullah lantas menjawab, siapa lagi kalau tidak mereka itu. [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace

Related posts:

  1. Berkalau-kalau Amalan Syaitan “Argh… tiga puluh Hadith dengan matan dan sanad, campur syarahnya...

Advertisement

54 comments

  1. Ahmad Shakir bin Salleh says:

    Assalamualaikum ustaz,

    Artikel yang sangat baik, menjadi bahan zikir yang berhajatkan fikir, ketika manusia melangkah ke dunia yang serba caca merba.

    Tahniah ustaz!

  2. nn says:

    Salam ustaz,

    Saya setuju dgn artikel ni..Itu belum lagi ditambah/disentuh perayaan-perayaan asing lain yg turut disambut meriah oleh umat Islam, contohnya, Hari Valentine..

  3. nadhirah says:

    Cara sambutan halloween berbeza walaupun di barat sekalipun. Di kawasan saya tinggal dulu, tak ada trick or treat. Setakat party (bermain ramai2).

    Halloween lbih diklasifikasikan sbg smbutn utk knak2.

    Tapi ada yang school party ‘hebat2′.

    Sejauh mana amalan trick or treat @ Halloween di barat?

    atau kita yang lebih2 amalkannya.

  4. azri yusoff says:

    terima ksih ustaz atas artikel yang sangat baik ini….

    semoga segala kekeliruan kita tentang sambutan Halloween sama ada boleh atau tidak ia disambut dari sudut agama akan terjawab….insyaAllah…

  5. zacharias says:

    Ustaz, saya setuju. Memang pun, parti halloween di UK dulu digunakan oleh para pelajar sebagai alasan untuk mabuk dan bergaul bebas. Besok pagi bangun, tak tau di mana, dengan siapa.

  6. Sleep Doctor says:

    Assalamualaikum ustaz,halloween ni memang annoying…

  7. mujahidhisyam says:

    wal’iyadzubillah. budaya yahudi dan nasrani sedikit demi sedikit makin banyak yang menular masuk dalam negara kita. sehingga halloween pun ada yang menyambutnya!

    dari mana masyarakat kita mengenal semua ini, kalau tak dek penangan ‘dunia tanpa sempadan’.

    sedikit demi sedikit budaya mereka menular masuk, berasimilasi, dan jika tidak diatasi kelak akan menjadi budaya di malaysia.

  8. Salam…

    Sejujurnya, sblm ni mmg prnh DENGAR shj ttg “halloween”, tp xprnh TAHU @ CUBA AMBIL TAHU tentangnya….

    Hri ni bila bc artikel ttg halloween di saifulislam, baru tahu apa sbnrny bnda ni,cara smbutnnya,etc..
    Pengetahuan yg sgt brguna buat diri ni…

    Insya-Allah,bsr mnfaatnya. Bersama ke arah JAUHI KEKUFURAN…..!!

  9. yus says:

    so far x penah terpk ada yg sambut.. but well, good info..

  10. syphoon says:

    *thumbs up*

    Pening dok Jordan tengok masyarakat Arab yang sangat-sangat terpengaruh & terikut dengan budaya-budaya luar.

    Tapi kalau dok Malaysia lagi pening (kot?).

  11. shah says:

    Asslamualaikum,

    “Di mana Islam dalam hidup kita@saya?”…aduh.

  12. hasanhusaini says:

    Dalam masyarakat yang terbius dengan virus aku tidak pedulisme (pinjaam istilah abu saif)amat susah untuk kita mengajak kepada sensitiviti berkaitan dengan perkara besar sekalipun, apatah lagi tentang perkara kecik yang melambangkan ‘lebih taqwa’ dan wara’… Bila terfikir begini, terasa macam jauh lagi janji nabi bahawa Khilafah akan kembali dengan Minhaj Nubuwwah…ke macam mana Us..?

  13. seri says:

    ustaz, saya rasa halloween blum menular kpd generasi muslim di sini. tapi skrg ni dah ada trend barat yg bleh dikira baru di sini iaitu ‘parti bujang’.parti ni utk meraikan kawan seblum bkawin.caranya memang tak islamik.
    valentine tu trend lama dah tpi diorng tetap ikut. maaf ustaz tkluar tajuk sikit.

    • Abu Saif says:

      @seri,

      hampir semua pasaraya di KL yang saya pergi, sudah mula menjual aksesori Halloween dan membuat perhiasan ruang legar untuknya menjelang 31 Oktober akan datang ni

    • yus says:

      @seri,

      parti bujang? dah lama dah.. kitorg pun buat dulu b4 sesapa kawen..:)

      of kos la.. takder apa2. just pergi piknik, buat bbq yg meriah.. itu jer la.. sbb semua yg join tu bujang, so kira parti bujang la.. :D

      • Abu Saif says:

        @yus,

        Agaknya gementar dengan nasihat S.M. Salim:

        Bilalah sudah berumahtangga
        Habislah juga zaman muda
        Bilalah sudah berumahtangga
        Habislah juga zaman muda

        Jangan dibuat yang isteri tak suka
        Jangan meminta yang suami tak rela
        Jangan dibuat yang isteri tak suka
        Jangan meminta yang suami tak rela
        Tentu selamat rumahtangga

  14. Hadeed says:

    Sejak kebelakangan ni, drama2 melayu semakin galak menerapkan gaya hidup bebas. Lebih2 lagi drama2 yang khas untuk remaja (rujukkan kepada “Tari Tirana”).

    Lama-kelamaan, yang pelik jadi biasa,yang tidak biasa jadi biasa2 saja…

  15. Salam ziarah ust, jemput ke blog sy & mohon tunjuk ajar. Sama-sama kita lebarkan lagi jaringan dakwah~

  16. ruhul jadid says:

    setuju sangat dengan ustaz.

    berminat petik satu lirik dari lagu 1924 oleh kumpulan Soldier of Allah

    “After failing on the battlefield,
    the kuffar get together and decide to yield,
    they say we must change the way the Muslim think,
    and sure enough the Muslim Ummah began to sink.”

    seolah-olahnya kita ini hidup dalam kurungan yahudi dan nasrani seperti burung yang dikurung dalam sangkar.

  17. Professor says:

    Bismillah..

    Assalamualaikum.

    Pertama kali menulis di sini..=)

    Jzkk ustaz..santai tapi menjana fikrah..halloween sbgi daya penarik, in fact kalau kita gantikan halloween dlm artikel ni dgn apa2 perkara yg sia2 yg dianggap ‘ingin mencuba’ di kalangan masyarakat hari ni pun blh. selain dari main point yg terdapat dlm artikel ni, cara teguran ustaz kpd pelajar2 pn blh dicontohi, meminjam kata2 prof kamil, ringkas tapi signifikan..

  18. AnNaas-i says:

    Assalamualaikum
    Di ambang munculnya Dajjal yg penipu, perayaan Halloween ni saya perhatikan semakin liar dan jelas unsur kesyaitannya di negara Barat ni. Daripada unsur lucu dan gurauan berubah kepada seram dan berasaskan sihir (magic).

  19. yus says:

    memetik kata2 tuk guru NA dalam satu ceramah nya di awal 90an.

    bila maksiat sudah membudaya dlm masyarakat i.e perbuatan maksiat sudah dianggap biasa, maka tunggu lah, akibat nya (lebih kurang laa). maka perlu pendidikan agar masyarakat memandang hina/jijik perlakuan maksiat ini..

  20. fiza says:

    Assalamualaikum ~

    Di office, ada sambutan tahun lepas. Seluruh bangunan ada decoration & macam² aktiviti ada

    Jenuh nak explain pada non muslem kenapa ada muslem yang tak mahu terlibat.
    Bila kita explain, depa dok tanya lagi kenapa ada jek muslem lain yang celebrate?~ Erm..

    • Abu Saif says:

      wsalam wbt @fiza,

      mungkin boleh diterbalikkan soalan tu, bahawa “ada je muslim yang tak celebrate. cari jawapan kenapa ada muslim yang tak celebrate lebih menyeronokkan, janjikan begitu kepadanya”

  21. Saiful says:

    Jika hendak dikatakan bahawa Halloween itu mengganggu ketenteraman awam kerana Trick or Treat, bagaimana pula dengan kanak2 yg beraya dari rumah ke rumah ‘memburu’ duit raya seperti di Malaysia? Cuma bezanya tuan rumah hanya ada satu pilihan sahaja, dan mereka yang beraya tidak boleh ‘pedajal’ tuan rumah jika tidak beri duit raya..

    Begitu juga dengan mercun dan meriam buluh..

    Pembaziran..

    Pergaulan bebas..

    Lagha..

    Semuanya ada pada Hari Raya kita, orang Islam..

    • Abu Saif says:

      @Saiful,

      Bezanya ialah, jika pada Sambutan Aidilfitri, amalan-amalan buruk itu boleh dihapuskan untuk memurnikan kembali Aidilfitri.

      Tetapi Halloween, jika dimulakan dengan al-Fatihah dan berakhir dengan Tasbih Kaffarah pun, Halloween tetap Halloween…

    • hijrah says:

      apa yang membezakan adat dan ibadah adalah niat lillahi taa’la…

      kalau nak menziarahi saudara-mara, meminta duit raya atau sebagainya, jika niat untuk merapatkan silaturrahim dan kerana allah taa’la, maka ibadahlah ganjarannya, jika sekadar mahu mengetuk pintu dan meminta duit raya, hanya itu yang kita dapat…

      halloween, matlamat tidak menghalalkan cara…

  22. Ummu Zayd says:

    Aduiii… lepas satu, satu budaya luar cuba dibudayakan kepada anak-anak kita. Dulu Birthday Party, April Fool,Valentine, sekarang Halloween. Lepas ni,apa pulak… Pada pandangan saya, tv banyak memainkan peranan untuk “memeriahkan” perkara ini, disusuli dengan warga bisnes yang bijak mengambil kesempatan. ‘Ala kulli hal, balik semula kepada artikel Ustaz yang terdahulu, anak-anak kita perlu diajar “ilmu kebal” dan ibubapa kena “kebal” dulu.

    • Abu Saif says:

      @Ummu Zayd,

      memandangkan Irish Bar juga semakin banyak di KL, saya tidak terkejut jika satu hari nanti Kuala Lumpurians sibuk nak menyambut St. Patrick’s Day dengan kostum Leprechaun!

  23. Pelajar says:

    Salam Ustaz.

    Di Australia, orang2 di sini sangat sukakan beer. Jadi bila ade jamuan akhir semester (biasanya BBQ terbuka di laman universiti) untuk semua pelajar,biasanya beer memang antara minuman wajib yg disediakan. Untuk memastikan kehadiran pelajar2 Muslim,kini makanan halal memang akan disediakan oleh pihak pengurusan. Apakah boleh kita menyertai acara sebegini?

  24. nurabdullah says:

    salam ustaz,kalu x kberatan n xmenyusahkan ustaz,ana nk request hadis pasal penegasan beza puasa kita dengan puasa Ahli Kitab pada Sahur, penegasan antara lubang dan liang lahad pada cara mengebumikan jenazah, juga pada soal bersolat dengan sarung kaki atau tidak..
    dan kalu xkeberatan..boleh ustaz kluarkan artikel psal couple.ana xpandai nk tegur kawan2 yg smakin mjadi bab couple ni.hopefully,artikel itu nanti,sedikit sebanyak dapat bantu ana n kekawan yang len.
    jzkk…barakallah

    • Abu Saif says:

      @nurabdullah,

      semua permintaan ada di dalam artikel-artikel yang lepas atau boleh juga dicari di Google. Misalnya taip “SAHUR PUASA AHLI KITAB” dll.

      Berkenaan couple, saya sudah hasilkan dua buku yang kesemua isinya juga boleh dibaca di blog ini. Klik bahagian ARTIKEL di atas sana dan pergi ke bahagian BUKU AKU TERIMA NIKAHNYA dan BUKU BERCINTA SAMPAI KE SYURGA

  25. Salam ustaz,

    Ana baru nak mencari artikel2 lama ustaz tentang perayaan Hallowen jika ustaz ada kupas. Alhamdulillah ustaz bawa keluar satu artikel baru yang masih segar dan menyelerakan untuk santapan minda mahasiswa luar negara khususnya.

    Mesti semasa tulis artikel ini, kenangan lama di Ireland berlegar-legar dengan pantas di benak fikiran ustaz bukan? =)

    Kami berhasrat memanjangkan artikel ini kepada khalayak umum di Ireland melalui website PPIMI dan yahoo group kami.

    Semoga bermanfaat buat rakyat Malaysia di Ireland terutama kepada mahasiswa baru.

    Salam dari bumi Shamrock…..

  26. mizjana says:

    minta izin guna artikel ust y btjuk berguru dgn pokok semalu utk ank2 TADIKA saya ye ust..

    terima kasih kerana entri y bmakna utk pdidikn.

  27. jidan says:

    minta izin untuk copy n paste artikel ini…

  28. naz says:

    masya Allah ust..supaya kita sentiasa dilindungi dari jalan maksiat dari yang besar hinggalah yang halus..ya muqollibal qulub,sabbit qulubana ‘ala diinikh..

  29. AkmalRahim says:

    thanks for ur info.. really appreciate..

  30. nurul aini ahmad says:

    Assalamualaikum ustaz…
    sy, seorang guru baru di sebuah sekolah di pulau langkawi, pulau yg sgt popular di kalangan para pelancong..

    yg sedikit sebanyak mempengaruhi perkembangan pemikiran anak2 muda di sini..

    suatu hari, tanpa rasa malu atau takut, seorang pelajar memberitahu saya yang dia dan rakan2nya sekali sekala akan ke tempat karaoke. saya terkejut, tapi dgn pantas dia menjawab, tmpat itu tertutup, hanya dia dan rakan2nya sahaja di dalam bilik karaoke tersebut dan tiada siapa yang akan mendengar suara mereka. dalam erti kata lain, aurat suara mereka masih terjaga..

    ustaz, apakah cara terbaik untuk saya menasihati mereka kerana saya risau, bermula dengan hanya berkaraoke akan membawa mereka kepada aktiviti yg lbih teruk..

    bantuan ustaz amat saya hargai..syukran.

  31. wan74 says:

    apasal sekarang dah selang jauh jauh untuk terbaru ustaz, naik jenuh saya buka blog ustaz just untuk menatap cerita sama.

  32. melatipooteh says:

    assalamualaikum ustaz….

    sy sgt tertarik dengan artikel ini. sungguh bermakna…

    sy ade persoalan… skrg ni ramai remaja perempuan yang suka pergi berkaraoke di pusat2 karaoke yg tumbuh bagai cendawan tumbuh slps hujan. mereka pergi dgn memakai tudung dengan tujuan utk mereleasekan tension slps exam. Byk kali mereka mengajak sy turut serta tetapi sy berkeras tdk mahu sbb setiap kali mereka ajak, hati sy mesti tak sedap. Mungkin mereka terpengaruh dengan drama2 Korea. Boleh ustaz bg pndangan tentang perkara ini. mereka yg saya maksudkan disini adalah pelajar universiti…

  33. melatipooteh says:

    sy ade satu persoalan lg…
    ape hukumnyer pakai contact lens yg berwarna-warna????

  34. Kahar says:

    salam…

    bgus skali article nie…
    menjelaskan perkara2 yg mengelirukan…
    smkin plik dgn perangai owang skunk nak menyambut perayaan yg tidak ade kebaikan langsung…
    malah bertentangan dgn agama…

  35. Amin007 says:

    hari sabtu kemarin saya baru sahaja hadiri malam jabatan anjuran kelab sukan jabatan saya. makan di hotel, ada tema retro 70-an.

    memandangkan peryertaan wajib dan kalau taknak pergi kena bagi surat tunjuk sebab, maka saya pun pergi. datang atas niat nak makan aje hehehe.

    cuma muskil kalau tak datang macam tak sokong, kalau datang pulak, terjejas iman. ada kalanya percampuran lelaki dan perempuan semacam tiada batasan.

    adalah kita ada pilihan???

  36. saifuddin says:

    Paderi Kristian Orthodox juga runsing berkenaan hal ini. Mereka sedar Halloween warisan pagan yang tidak sepatutnya disambut lagi. Tapi apa nak buat, Kristian sendiri tak ada hari perayaan. Krismas cumalah satu bidah yang ditokok tambah dengan pengaruh agama pagan (Santa Claus dan pokok krismas).

    Dah ada pun anak Melayu merayakan Halloween kelmarin.

  37. nurfikrah says:

    Assalammualaikum Ustaz…

    Ana mohon nasihat dari ustaz. Hari ini ana berasa sedih, namun kerana Allah sentiasa bersama kita, mggerakkan ana menulis ini pada ustaz. Ana sudah lama ingin berdakwah dan di mulakan dlm keluarga… Berkenaan tajuk ini, ana begitu sedih dan agak sedikit tertekan bila kakak kandung sendiri yg menyambutnya malah secara besar2an di rumahnya. Suami beliau adalah mat salleh. Mgkn beliau terpakasa ikut ckp suami. Jujurnya, dakwah ana mmg msh lemah dan sgt lemah.. Selemah2 cara ana lakukan ialah dgn mnggunakan FB menyampaikan apa yg ustaz sampaikan berkenaan dgn Halloween. Dan ini adalah jawapan kepada dakwah ana…

    “Its actually NOT Christian but from the Pagan, TRADITION not RELIGION. People are so keen about simple things like this but have forgotten about more important things like PEACE. Halloween that we believe in is kids having fun, … Read Morevisiting their friends, giving sweets. NO RITUAL involved, NO RELIGION involved apart from having Fun. Is it wrong? They still believe in ALLAH. They don’t believe in ghosts. Its was nice to see Chinese, Indian, Malay & Western kids playing together that night, No War! No Race issues! What a sweet thing… but Not allowed in certain sectors of Malaysian society. Think about it.. PEACE! 1 Malaysia. They were 50 Happy kids who turned up that night, 50% from strict educated Muslim families. Learn to respect each other, it doesn’t matter what religion or race you are AND you don’t have to change your beliefs. JUST BE STRONG. That is what my kids believe…Just remember, whatever you do, do it with the right intention (nawaitu). Don’t just simply believe other people and becareful with what you read from internet. Be moderate..”

    Sememang nya ana langsung tdk dapat terima penjelasan kakak ana ini. tetapi ana juga tidak ada hujah yg cukup mantap untuk membidasnya selain itu, ana tdk mahu timbul pertelingkahan…

    Harap ustaz dpt bg nasihat kat ana yg lemah ini…

    Jazakumullahu khair jazaa ustaz..

    wassalam

    • Nor says:

      @nurfikrah,
      Salam,
      Saja nak mencelah :-)
      If just for kids to have fun why must the party is named as halloween? She can have multiple races attend to her party without relate it to halloween. Namakanlah party tu 1Malaysia Party ke since your sister very keen to the concept or whatever…

      I think your sister is amongst the educated people yang very open minded.. berdoalah banyak2 untuk dia semoga Allah membuka mata hatinya untuk mengenal yg mana benar & salah di sisi Allah, meletak priority yg betul dalam hidupnya…
      Wallahua’lam…

  38. DiDi's says:

    Assalaamualaikum ustaz…
    Ana nak tanya ni, betul ke kalau kita tulis mesej nama Allah macam ini”4JJ1″maksud dia??????

  39. ~mawar berduri~ says:

    Assalamualaikum..ad 1 soaln nih..
    kpd yg punya jwpn sudi2 la m’jwbny yea..
    kalo td saudari kte b’tnya ttg pusat karaoke, cmna plak kalo kte g nonton wayang( ngn kaum sjenis jer)..
    pnh dgr dr naqibah- “bli tiket wyg 2 ibrat mnempah tiket NERAKA”..
    sjauh mana kebenarannya, Wallahu a’lamu bissawab..=(

  40. rio helmie says:

    bolehkah kita menyambut valentine day?..bolehkah kita ke disco?..bolehkah kita layan life band?..bolehkah kita layan konsert rock..punk.. metal..hip hop dan sewaktu dengannya?… bolehkah kita tonton wayang?..bolehkah kita pergi karaoke? bolehkah kita tengok aurat wanita ?…bolehkah kita pakai seksi?.. bolehkah kita keluar dengan bukan muhrim?..

    semua tahu jawapannya..tetapi didalam kehidupan ..bergantung kepada betapa sensitifnya kita kepada Pencipta.. betapa kita sedar kita ada agama..dan dimana kita letakkan agama..betapa kuat kita berjuang untuk mempertahankan agama didalam diri kita..sejauh mana kita alert..Allah swt sentiasa tahu apa yang dihati kita

Leave a Reply