2747

Menelusi perkembangan politik semasa sungguh membingungkan.

Saya pula banyak memikirkan kesan kebingungan itu kepada generasi pelapis. Soal menterjemahkan segala yang  berlaku kepada suatu pengajaran yang boleh dijamah oleh anak-anak muda yang masih panjang perjalanan mereka.

Kelemahan kompetensi, boleh dimaafkan oleh pengundi. Tidak pandai bekerja, salah aturcara, tidak tepat merencanakan kerja, semua itu boleh dibentuk, diajar oleh mereka yang berkeahlian, malah memang ramai bijak pandai mahu bekerjasama menyumbang sesuatu, agar politik Malaysia beroleh alternatif yang berdaya saing dan keluar daripada retorik dan slogan.

Justeru pengalaman serta masa adalah sebahagian daripada rawatannya.

Tetapi apabila integriti yang dipersoalkan, segalanya menjadi rumit.

Ketidakpuasan hati pengundi tidak semestinya menghasilkan perpindahan sokongan kerana pihak di seberang sana masih serupa dan gagal berubah. Tidak sokong A, tidak semestinya berpaling kasih kembali kepada B. Apa yang lebih dibimbangkan ialah terhasilnya kelompok yang putus asa dengan politik dan sistem.

Sama ada kecenderungan seperti ini menyebabkan bertambahnya kelompok pasif yang tidak peduli kepada perkembangan semasa, atau ia juga boleh mencetuskan bibit-bibit keganasan. Apabila jalan demokrasi kelihatannya sangat malap, manusia mencari jalan yang lain, mengambil undang-undang ke pertimbangan sendiri.

Suatu kekhuatiran.

1999 – LONDON

Setiausaha Agung UMNO hadir ke Malaysia Hall, London.

Pertemuannya dengan rakyat Malaysia di United Kingdom itu, adalah dengan misi untuk membuat penjelasan tentang senario Reformasi yang melanda tanah air, khusus berkaitan dengan pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sesi penerangan itu adalah sebagai usaha UMNO untuk mengimbangkan pengaruh laporan media antarabangsa yang banyak berpihak kepada pembangkang.

Rakyat Malaysia hadir dengan penuh tumpuan dan perhatian. Malaysia Hall London di Bryanston Square itu sesak, sendat dan padat.

Seorang pelajar A-Level bangun bertanya soalan.

“Saya tidak berpuas hati dengan cara DSAI dilayan di dalam tahanan polis. Macam mana boleh matanya lebam?” tanya pelajar itu.

“Awak kalau tidak puas hati, jangan cakap sahaja. Kalau berani, balik ke Temerloh bertanding dengan saya!” jawab Setiausaha Agung UMNO.

Agak emosi.

Semua orang terkejut.

Bagaimanakah Setiausaha Agung UMNO boleh mencabar seorang ‘budak’ A-Level agar masuk bertanding menentang dirinya? Pelajar A-Level itu menjadi popular secara tiba-tiba.

2009 – KUALA LUMPUR

Senario politik negara mengalami perubahan besar pasca PRU-12, Mac 2008. Atas turun ke bawah, bawah berpeluang menjenguk atas. Semasa di bawah, pandangannya banyak berisi kritikan dan teguran, dan seperti biasa apabila yang mengkritik tiba giliran berada di atas, dia juga akan mengalami perkara yang sama.

What you give, you get back.

Tetapi rakyat menjangkakan sesuatu yang lain. Mereka menegur dengan harapan yang di atas itu terus memanjat, bukan jatuh bersepai ke kaki tangga.

Justeru, janganlah teguran disambut dengan cabar-mencabar. Ia merendahkan sebuah ketinggian.

“Kamu tidak turun ke akar umbi, apa yang kamu tahu?”

“Kalau bagus sangat, tawarkanlah diri menjadi calon!”

“Cakap senanglah, cuba buat kerja sendiri. Baru tahu langit tinggi rendah”

Semua cakap yang sebegitu, bukan apa yang dijangkakan oleh rakyat. Mereka yakin dengan nilai pegangan yang berbeza, tentu sahaja reaksi kepada kritikan juga berbeza. Mazhab mengajak budak A-Level bertanding kalau mahu tahu langit tinggi rendah, amat tidak terjangkau di imaginasi.

DILUAH MATI EMAK…

Tetapi itulah realitinya.

Bak kata pepatah Melayu, diluah mati emak, ditelan mati bapak.

Masa masih ada.

Ruang masih terbuka.

Jangan segalanya disia-sia.

PRU-13 sudah menjenguk di hujung mata.

Saya menutup coretan ringkas ini dengan perenggan berikut:

Call me irresponsible – call me unreliable
Throw in undependable too
Do my foolish alibis bore you
Well I’m not too clever – I just adore you

Call me unpredictable – tell me I’m impractical
Rainbows I’m inclined to pursue
Call me irresponsible – yes I’m unreliable
But it’s undeniably true – I’m irresponsibly mad for you

- Sammy Cahn (1962)

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace