Berlabuhnya Tirai Peristiwa 2007

Salam dari bumi Perth.

Syukur Alhamdulillah. Program Perhimpunan Remaja Islam dan Tautan Insaniyyah Western Australia (PERISTIWA) 2007 telah pun melabuhkan tirainya.

Selama tiga hari dua malam, kami berkampung di Masjid al-Rukun, sebuah masjid komuniti Melayu di Rockingham. Suatu pengalaman yang sungguh di luar jangkaan. Selama ini saya tahu ada ramai orang Melayu di Perth, tetapi tidaklah seramai dan seMelayu Melayu di sini.

Biar pun modul yang dibawa adalah The 7 Habits of Highly Effective Mukmin, iaitu modul yang hampir menyerupai apa yang telah saya bentangkan di PUISI 2006 di Ireland tahun lalu, namun PERISTIWA 2007 mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Dalam kelompok yang lebih kecil dengan peserta sekitar 50 orang, kemesraan dan kegembiraan kami di sepanjang program lebih meninggalkan bekas. Terasa sedih dan sayu hati saya melepaskan peserta kali ini pulang ke rumah masing-masing.

Lebih unik lagi, kira-kira 10 orang peserta kami adalah anak-anak tempatan, iaitu Melayu Australia. Mereka mempunyai susur galur Malaysia, Singapura dan Indonesia, namun membesar dalam suasana Australia yang unik.

“Banyak le kena cakap orang putihnya ya”, saya membalas semasa diberitahu oleh Hazman, pengarah PERISTIWA, tentang hal ini.

“Tak apa ustaz, kita fokus kepada pelajar-pelajar universiti, tetapi nanti kita adakan sesi khas ustaz bersama adik-adik ini”, cadang Hazman.

Mereka tidak begitu memahami Bahasa Melayu. Ada yang faham separuh, ada yang mungkin serpih-serpih sahaja.

Namun, Perth memerlukan banyak tugas dakwah. Bukan sahaja untuk sesama mahasiswa Malaysia di Curtin University of Technology dan University of  Western Australia (UWA), malah juga untuk komuniti Melayu yang besar, dan anak-anak mereka yang membesar di sana.

“Setelah kalian mendapat keseronokan menerima, lepas-lepas ini belajarlah pula menjadi penganjur untuk menikmati keindahan memberi. Kita lebih banyak belajar semasa mengajar, lebih subur menerima ketika banyak memberi”, saya menutup bicara.

“Gunakan habit 5 untuk bersabar memahami orang Australia, sebelum merasa tersinggung oleh kejahilan mereka terhadap Islam”, salah satu topik yang kami perkatakan.

“You have a specific challenge and that is to understand your parents who were born and lived back home in Malaysia, Indonesia and Singapore, but you’re all Australians by mindset and experience. Speak up your concern so that you can be understood“, nasihat saya kepada sesi khas bersama anak-anak Melayu Australia subuh tadi.

Sungguh mengharukan.

Kebetulan pula di Masjid al-Rukun pagi ini, ada kenduri kahwin pasangan pengantin Melayu Australia. Lelakinya berakar umbikan Singapura manakala yang pengantin perempuannya berketurunan Johor. Mereka berhijrah dari Pulau Krismas ke Daratan Perth.

Teruja saya melihat kenduri kahwinnya yang sungguh Melayu. Melayu pada nasi minyak dan lauk pauknya, Malaysia pada budi bahasa dan Malaysia pada keluhuran Melayu 60′an di Malaysia.

Kehadiran saya ke bumi Perth ini sungguh bermakna.

BERTALI ARUS

Setibanya saya di Perth pada petang Khamis, saya terus menyampaikan ceramah bertajuk “Reengineering Da’wah, A Response to Challenge” di The University of Western Australia. Manakala pada hari Jumaat, saya menyampaikan khutbah di Curtin University of Technology. Petangnya bertolak ke selatan menuju Rockingham untuk PERISTIWA 2007 dan sebaik sahaja tamat program petang ini, saya terus menyambung ceramah Persediaan Menyambut Ramadan untuk warga Malaysia di UWA.

Semoga semuanya dapat mencetuskan kemahuan di kalangan anak-anak muda berjiwa murni di bumi Perth ini, untuk gigih menghidupkan usaha agama yang lesu oleh tiupan bayu akhir zaman.

JAUH DI MATA DEKAT DI HATI

Kepada Umi, Yop, Naurah dan Imad, nantikan kepulangan Abi. Maafkan Abi kerana tidak dapat memujuk Imad yang demam menyambut kehadiran 5 batang gigi susunya yang muncul ketika Abi jauh di bumi Selatan.

Kalian sentiasa hangat di hati dan doa Abi…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Perth, West Australia

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.