Belfast Tidak Pernah Melupakan Palestin

mural-belfast

Mural Pro Palestin di Belfast [foto: ifimages.com]

““IIam tahu tak apa yang terjadi di Masjid Dublin siang tadi?”” Bilal bertanya kepada saya.

“”Hah, kenapa? Apa yang berlaku?”” saya menyoal.

““Di Masjid South Circular Road, masa Imam sedang menyampaikan khutbah, berlaku pergaduhan di depan minbar” Bilal memulakan ceritanya.

““Astaghfirullah al-Adheem. Tak adakah tempat dan masa yang lain untuk bergaduh? Macam mana boleh jadi begitu?”” saya terkejut mendengar cerita Bilal.

“”Ya, Imam. Bukan setakat itu, malah pergaduhan itu sebenarnya berlaku antara seorang jemaah dengan Khatib yang sedang berkhutbah!”” Bilal bersungguh-sungguh bercerita kepada saya sampai merah mukanya menahan marah.

“”Allahu Akbar. Ini sudah mendesak kiamat cepat. Apa isunya?”” saya kehairanan.

“”Lelaki itu tidak berpuas hati dengan Khatib. Katanya, dia jemu mendengar khutbah tentang Palestin. Asyik-asyik Palestin. Tak ada isu lainkah? Bagaimana dengan Kashmir, Afghanistan dan lain-lain. Itu rungutannya” jawab Bilal.

“”Oh begitu. Kalau tak puas hati sekali pun, tak bolehkah tunggu sampai lepas solat Jumaat. Ini, tengah khutbah pun boleh bergaduh. Melampau betul” saya masih terkejut dengan cerita itu.

Saya memang hairan, mengapakah umat Islam begitu mudah bertelagah. Terutamanya di Britain dan Ireland. Akibat suka bergaduh inilah, maka saya membuat kesimpulan bahawa ia menjadi punca utama mengapa umat Islam di Britain dan Ireland jauh ketinggalan berbanding dengan ikhwah di Amerika Syarikat yang sudah maju ke hadapan.

Tambah menghairankan saya, apabila isu Palestin disanggah sedemikian rupa.

Semenjak kebangkitan semula di Palestin, kami di Britain dan Ireland sudah terasa bahang panasnya. Saban hari, ada sahaja demonstrasi yang diadakan di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai. Malah khutbah Jumaat juga memang banyak memberikan penekanan kepada membangkitkan kesedaran umat Islam di Britain dan Ireland tentang peri pentingnya isu Palestin diberi perhatian yang sewajarnya.

Namun, saya akur bahawa semasa saya menyampaikan hampir 50 khutbah setahun (saya Imam tunggal di Masjid Belfast, berkhutbah setiap minggu), saya perlu mengimbangkan fokus khutbah agar turut mengambil kira keadaan jemaah di masjid saya. Sentimen Arab dan Pakistan yang saling bermusuhan, sangat dominan dan ia menjadi alasan paling utama mengapa saya dilantik sebagai Imam.

“”Baguslah kalau kamu boleh menjadi Imam di sini. Tidak Arab dan tidak Pakistan. Maka mudah untuk mendamaikan kami semua”” kata Jamal, Presiden Belfast Islamic Centre kepada saya semasa saya mula bertugas.

Maka, isu-isu di Afghanistan, Kashmir, India, malah Iraq dan Chechnya dan sebagainya, turut menjadi subjek yang saya perlu sentuh semasa berkhutbah. Namun, usul tentang Palestin tetap menjadi keutamaan.

Semenjak di Jordan, saya sering berbual bersama rakan-rakan tentang peri pentingnya kami yang belajar di Jordan mengenengahkan maklumat tentang Palestin kepada masyarakat di Malaysia. Zaman tiada internet.

“Kita mesti buat apa yang tidak mampu dibuat oleh orang lain. Kita yang paling banyak maklumat tentang Palestin, maka biarlah kita yang melaksanakan peranan ini., itu yang pernah saya suarakan kepada Ghazali, Sabri, Najmuddin, Baihaqi, Basri dan ramai lagi warga Darul Ulum, Sweileh, tempat kami berkumpul setiap hujung minggu.

Di Jordan, bahang Palestin memang amat dirasakan. Akhbar al-Sabīl, Majalah Palestin al-Muslimah, malah televisyen ‘Israel’ menjadikan Jordan sebagai tempat paling tepat untuk kami beroleh maklumat tentang Palestin. Kerana itulah, pelajar Malaysia di Jordan merupakan kumpulan pembekal maklumat paling efisien untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Malah, pelajar Malaysia yang mengambil jurusan Sastera Arab, diwajibkan belajar bahasa Hebrew. Maka ini menjadi satu lagi kekuatan untuk pelajar Malaysia di Jordan berperanan.

Syukur, sedikit-sebanyak peranan tersebut telah dimainkan oleh al-Fadhil al-Ustaz Maszlee Malik hari ini di Malaysia. Beliau telah melaksanakan amanah itu dengan baik.

Sedikit sebanyak maklumat yang saya perolehi semasa belajar di Jordan, memudahkan saya untuk membawa isu Palestin kepada massa di Belfast, tempat saya bertugas. Suntikan semangat membantu umat Islam di Palestin sentiasa menjadi agenda besar pemimpin masyarakat umat Islam di komuniti masing-masing dan hasilnya cukup baik.

Saya masih ingat, Ramadhan 1422 Hijrah, banyak masjid di UK dan Ireland yang memotong bajet iftar Ramadhan kerana segala wang yang terkumpul di masjid, dihantar ke Palestin untuk membantu umat Islam di sana.

Lazimnya di UK dan Ireland, setiap kali menjelang Ramadhan, masjid-masjid akan rancak menyediakan masakan untuk berbuka. Kami memang lebih banyak berbuka di masjid berbanding dengan rumah sendiri. Malah mereka yang sudah berkeluarga sekali pun, lebih selesa berbuka di masjid. Cuma, untuk tahun itu, masjid-masjid mengambil keputusan untuk memberikan keutamaan kepada apa yang lebih banyak mendatangkan pahala dan lebih signifikan dalam amal kebajikan, iaitu menyalurkan wang terkumpul di masjid, kepada umat Islam di Palestin.

Sokongan dan perhatian kepada isu Palestin juga, tidak hanya mendapat sambutan di kalangan umat Islam, malah penduduk tempatan juga banyak membantu. Kami di Belfast Islamic Centre amat kerap melakukan kerjasama dengan Ireland Palestine Solidarity Committy (http://www.ipsc.ie) bagi menjalankan kempen kesedaran masyarakat terhadap penindasan yang dilakukan oleh kesatuan pelbagai pihak terhadap umat Islam di Palestin.

belfast-palestine
Sokongan penduduk Belfast dan Dublin kepada perjuangan Palestin [foto kredit: indymedia.ie]

Akan tetapi, Belfast mempunyai keistimewaannya yang tersendiri di dalam isu Palestin. Golongan Kristian Katholik di Belfast mempunyai sentimen yang amat kuat di dalam memberikan sokongan kepada kami umat Islam di sana, serta isu Palestin secara khusus. Manakala Golongan Protestant pula memberikan sokongan yang amat kuat kepada Yahudi di Palestin sehingga seorang paderi Katholik memberitahu saya, “puak Protestant di Belfast ini mengasihi Yahudi lebih daripada kasih Yahudi kepada Yahudi sendiri!”.

Ya, saya boleh bersetuju dengan kenyataan itu sebab di lorong-lorong yang menjadi kawasan kediaman puak Protestant yang juga pro Britain itu, mereka mengibarkan bendera ‘Israel’ di sepanjang jalan dan rumah masing-masing. Sebagai tindak balas, puak Katholik mengibarkan bendera Palestin di seluruh kawasan kediaman mereka. Ia suatu pemandangan luar biasa di Belfast yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

Pemandangan itu turut menarik perhatian pelbagai media tempatan dan antarabangsa. Banyak analisa yang dibuat, namun kebanyakannya mengatakan bahawa, sokongan puak Katholik kepada Palestin banyak dipengaruhi oleh kebencian mereka kepada Britain. Pada anggapan puak Katholik, umat Islam dan Arab di Palestin menjadi mangsa percaturan politik Britain, sebagaimana mereka yang juga diseksa, ditindas dan dijajah oleh Britain.

“”Kita serupa!”” kata jurucakap IPSC kepada saya semasa kami mengadakan demonstrasi di hadapan Belfast City Hall.

derry-gaza
Penduduk Derry di Utara Belfast Turut Tidak Ketinggalan [foto: lightgaza.org]

MAKAR MEDIA BRITAIN

Media juga tidak melepaskan peluang untuk mengheret saya kepada percaturan isu Palestin ini. Seperti biasa, tugas saya sebagai Imam menuntut saya untuk berhadapan dengan media yang berkunjung ke masjid dengan pelbagai maksud. Seandainya mereka menghubungi saya atau Mr. Jamal yang merupakan Presiden Belfast Islamic Centre, dan mahu mengadakan wawancara, maka itu bukanlah permintaan tetapi paksaan secara sopan.

Jangan sekali-kali mengambil sikap reaktif dan melarikan diri dari media kerana nantinya mereka akan membuat spekulasi yang akan lebih menimbulkan pelbagai kesulitan.

““Kami cuba mendapatkan komen Imam di Belfast Islamic Centre namun beliau gagal dihubungi!””

Hah, janganlah dibiarkan kenyataan seumpama itu muncul di media, kerana ia akan membuka kepada pelbagai tafsiran. Jadi, mahu tidak mahu, apabila media menghubungi kami, maka kami harus bersedia untuk bertemu.

Saya masih ingat dengan temuramah BBC Radio yang mahu berbincang tentang isu Palestin. Saya sudah dapat mengagak dari awal, apakah bentuk soalan yang bakal diutarakan kepada saya.

“”Apa pandangan Imam tentang suicide bombing di Palestin?”” tanya wartawan itu kepada saya.

Huh, inilah soalan cepumas yang mesti ditanya. Saya perlu menjawabnya dengan teliti kerana jika saya tersalah menjawabnya, maka saya dan pihak masjid akan ditimpa musibah di bawah pemantauan kerajaan Britain.

Apakah yang patut saya jawab? Jika saya menafikan persetujuan saya terhadap suicide bomber di Palestin, ia menyalahi apa yang saya pegang selama ini. Saya membantah tindakan pengebom berani mati yang bertindak meletupkan diri di kawasan awam seperti Istanbul, London, hatta New York sekali pun. Namun, keadaan di Palestin berbeza. Kehidupan di Palestin hanya satu antara dua. Sama ada kamu mengebom, atau kamu mati dibom. Suicide bomber itu ada justifikasi mereka.

Akan tetapi jika saya menyatakan persetujuan saya terhadap suicide bombing di Palestin, ia bererti saya mengundang padah. Pastinya saya akan diheret ke Balai Polis untuk soal siasat jika mereka menghidu sokongan saya kepada sebarang anasir yang berbau HAMAS, apatah lagi pengebom berani mati mereka.

Wartawan itu nampak semacam puas kerana dapat memerangkap saya dengan soalan tersebut. Saya mesti berani, dan saya tidak boleh menari mengikut rentak wartawan itu.

“”Saya rasa saudara sudah bertanya soalan itu kepada orang yang salah” saya menjawab.

“”Apa maksud awak, Imam?”” tanya wartawan itu.

“”Ya. Saudara dan saya, kita sama-sama duduk di Belfast. Kita mempunyai makanan, minuman, tempat tinggal dan segala keperluan hidup yang mewah dan cukup. Tiba-tiba saya diminta memberi komen tentang apa yang orang Palestin patut buat dan tidak patut buat. Sedangkan mereka menderita di sana, dan kita tidak tahu sejauh mana penderitaan mereka itu. Saya rasa saya tidak bermaruah untuk menjawab soalan itu. Jika saudara mahu tahu tentang kewajaran suicide bombing di Palestin, saudara patut bertanya kepada orang Palestin di Palestin sendiri!” saya menjawab, tanpa memberi ruang beliau mencelah.

“Dan saya kira, untuk kita bercakap tentang keganasan, kita juga mesti bercakap tentang PENINDASAN yang menjadi punca keganasan”!” saya cuba bertegas sebaik mungkin di hadapan wartawan BBC Radio itu.

Beliau terdiam.

Temuramahnya dengan saya petang itu tidak disiarkan di mana-mana media BBC.

Syukur Alhamdulillah.

KELUARGA EL-ASTAL DARI KHAN YUNUS

el-astal

Namun, dalam kepedihan saya mengikuti perkembangan di Palestin hari demi hari, saya tidak akan lupa kepada rakan karib saya, Dr. Ali Hamed el-Astal, seorang pakar Fizik yang bertugas sebagai pensyarah dan penyelidik di The Queen’s University of Belfast. Anak-anaknya adalah di antara pelajar kesayangan saya kerana kecerdikan mereka di dalam hafalan al-Quran dan keceriaan mereka di dalam kelas yang saya bimbing. Saya tidak ingat nama kesemua anaknya yang saya ajar kecuali Mustafa.

Dr. Ali sudah lama tinggal di Belfast dan beliau menjadi ahli jemaah di masjid Belfast yang sangat komited. Beliau banyak memberi kata perangsang kepada saya dalam soal memimpin Belfast Islamic School kerana dia tahu yang saya sentiasa berada dalam keadaan tertekan.

Namun, apabila keadaan di Palestin menjadi terlalu bergolak di sekitar awal 2002, Dr. Ali telah mengejutkan kami dengan keputusannya. Beliau sekeluarga mengambil keputusan untuk meninggalkan Belfast dan pulang ke kampung halamannya di Khan Yunus, Palestin untuk memberikan sokongan kepada intifadhah.

“”Saya tidak kesal dengan keputusan ini. Saya lebih rela meninggalkan keselesaan hidup di Belfast demi tanah air saya yang sedang musnah itu. Malah Imam, sebenarnya hati saya dan anak-anak saya lebih tenang dan bahagia di Khan Yunus, walaupun mungkin hidup kami lebih selesa di sini”” Dr. Ali memaklumkan hal ini kepada saya selepas kami selesai menunaikan solat Isyak malam itu.

Saya dan rakan-rakan memeluk Dr. Ali dengan linangan air mata kerana malam itu adalah malam perpisahan kami. Kepala Mustafa saya usap dengan rasa sebak di dada. Andainya engkau syahid wahai anak muridku, lambaikan tanganmu kepada kami di sini.

Perpisahan saya dengan Dr. Ali dan anaknya Mustafa malam itu saya iringkan dengan ucapan syair:

Janganlah kamu katakan Wadaa’an (selamat tinggal),
Bahkan sebutlah “hingga kita bertemu lagi”
Seandainya tidak di bumi Tuhan
Mudah-mudahan di syurga-Nya nanti

Semoga setiap ringgit yang kita derma, sampai ke tangan Dr. Ali, Mustafa dan sekalian anak watan bumi Isra’ yang hidupnya untuk Maha Hidup. Salam perjuangan buat kalian!

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

aqsasyarif

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.