Mendidik Anak-anak Tentang Isu Palestin

20140723-170641-61601186.jpg

“Abi betul ke coklat Toblerone ada babi sebab kat gunung dia tu ada gambar babi?” tanya anak perempuan saya.

Tersirap darah saya mendengar soalan begitu, tambah pula tengah-tengah puasa dan suhu di luar 37 darjah celcius.

“Sesiapa yang cakap tu, bagitahu dia jangan main ambil sahaja maklumat di internet! Tanya dia, mana dia tahu maklumat tu betul atau tidak. Lambang cokelat Toblerone itu gambar beruang di gunung. Cokelat tu berasal dari sebuah bandar yang lambang bandar itu ialah beruang. Babi mana yang jalan-jalan di gunung?!” saya menjawab.

Menahan marah.

Saya tidak ingat nama bandar berkenaan semasa berbual di dalam kereta sebentar tadi. Ia merujuk kepada bandar Berne di Switzerland, tempat di mana produk berkenaan dihasilkan.

“Fitnah produk, sama berdosa dengan fitnah orang. Cuba fikir, cokelat dibuat di mana?” saya tanya.

“Di kilang” jawab mereka.

“Siapa yang kerja di kilang itu?” saya menyoal lagi.

“Pekerja kilang itu” jawab mereka.

“Jadi, apabila kita fitnah cokelat Toblerone itu, kita bukan fitnah beruang atau babi. Kita fitnah orang. Dan ramai, bukan seorang. Jika memang salah, tak apa lagi. Tapi kalau maklumat tak betul, kita zalim” saya berleter di dalam kereta.

“Abi bukan marahkan ‘korang’. Abi marah dengan orang-orang yang suka cerita benda yang bukan-bukan seperti ini” saya tersedar yang suasana di dalam kereta menjadi tegang dengan nada saya tadi.

Di musim kita begitu sensitif dengan perkembangan yang berlaku di Palestin pada masa ini, rasa sedih, marah dan kecewa tidak harus menjadikan kita buta kepada peranan mendidik anak dan anak murid. Apa yang sepatutnya kita tekankan dalam mendidik mereka?

Tambahan pula apabila ia berkaitan dengan isu Palestin.

Perkara paling utama, jangan pula disaji anak-anak itu dengan imej dewasa dan budak kepala hancur, putus kaki, terburai sana sini. Jangan pula kita bertindak dungu mahu memindahkan penderitaan saudara kita di Palestin ke minda dan jiwa anak-anak kita dengan cara yang begitu. Penderitaan mengundang prihatin, dan membantu. Bukannya mengimport penderitaan berkenaan hingga mencetus jiwa kacau di hati mereka.

Saya tidak fikir, memberikan senarai produk untuk diboikot kepada anak-anak di sekolah sebagai prioriti utamanya. Bukan anak-anak yang membeli barang di rumah. Tetapi ibu bapa mereka. Jika sekolah mahu menjadikan anak-anak sebagai pressure group yang mendesak ibu bapa mereka agar memboikot produk, ia bukanlah pendekatan yang baik. Bahkan jika mahu dibuat, ia mesti dilakukan secara berhemah. Anak-anak perlu difahamkan, apa yang berlaku di Palestin. Mengapa Yahudi Zionists itu menyerang orang Palestin? Adakah mangsa itu Palestin, Arab, Muslim, Kristian, atau manusia? Identiti mana yang kita mahu gunakan dalam mengungkap konflik tersebut?

Guru-guru di sekolah boleh menjadikan isu Palestin ini sebagai satu subjek pendidikan yang amat berguna. Ia boleh menjadikan subjek sejarah dan geografi menarik. Ia boleh menjadikan subjek bahasa berguna. Ia boleh meningkatkan keyakinan dan penghargaan anak murid kepada al-Quran dan al-Sunnah. Ia berguna pada mendidik soal etika, soal akhlaq. Soal kemanusiaan dan pemikiran.

Jelaskan kepada anak murid tentang sejarah purba kota Jericho dan tanah Palestin itu sendiri. Tentang kaum Kan’an, Amori, Yabusi dan Balistini. Nampakkan kembali hijrah Ibrāhīm dan Lūt ke bumi berkenaan. Ibrāhīm beranakkan Ishāq. Ishāq beranakkan Ya’qūb. Nama lain bagi Ya’qūb adalah Isrā’īl. Anak-anak Ya’qūb disebut sebagai Bani Israel. Antara anak Ya’qūb adalah Yūsuf dan kemudian adik beradiknya. Mereka kemudiannya berhijrah ke Mesir atas jemputan Yūsuf yang terlantik sebagai pemimpin Mesir.

Kemudian datang era Mūsā, Yūsha’ bin Nūn, seterusnya era Dāwūd, Sulaymān, hinggalah Palestin dijajah Assyrian dari Mesopotamia, membawa ke zaman ‘Īsā dan akhirnya zaman Rasulullah Muhammad, ‘alayhim al-solāh wa al-salām.

Sejarahkan.

sejarahpalestin

Timbulkan kembali Sirah Nabawiyyah. Isrā’ dan Mi’rāj, pengkhianatan Bani Quraydzah, Bani Nadhir dan Bani Qaynuqa’. Ingatkan kembali Perang Khaybar, jelaskan semula kejadian baginda sallallāh ‘alayhi wa sallam hampir termakan makanan beracun dalam peristiwa tersebut. Ingatkan tentang pembukaan Jerusalem oleh ‘Umar radhiyallāh ‘anh. Teruskan ke era Bani Umayyah, Abbasiyyah, Salāhuddīn al-Ayyūbi, sampailah ke era Dawlah Uthmaniyyah, Sultan Abdul Hamid II, hingg ke sejarah era moden bagi wilayah bergolak itu.

Sangat banyak yang boleh dikongsi. Cuma kena membaca sedikit, buat persediaan sedikit, dan keletihan membuat persediaan itu, jika boleh disebut sebagai keletihan, niatkan ia sebagai jihad kita sebagai warga pendidik.

Kemudian, jika isu boikot hendak ditimbulkan, bolehlah ditimbulkan. Beritahu dengan nada mendidik, agar anak-anak boleh berperanan mencadangkan komitmen boikot kepada ibu bapa. Namun ada 1001 cara yang kreatif boleh disarankan untuk anak-anak ini menzahirkan keprihatinan mereka terhadap musibah yang menimpa saudara mereka di bumi Palestin.

Yahudi mendidik anak mereka jadi Yahudi.

Nasrani mendidik anak mereka jadi Nasrani.

Majusi mendidik anak mereka jadi Majusi.

Muslimlah yang paling mudah kerana mereka hanya perlu mendidik anak mereka menjadi Muslim, yakni fitrah sedia ada.

Suburkan dengan kebenaran.

Jauhi fitnah, kepalsuan dan kebatilan.

Sama-sama kita berusaha.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

10 comments

  1. Salam Ustaz

    alhamdulilah saya bersyukur kerana saya dipilih ALLAH untuk menghantar anak di KMS

    di sana

    pendedahan tentang isu Palestin amat baik

    sehingg kini saya sebenarnya yang belajar dari anak saya yang berusia 7 tahun

    ahli syurga ALLAH yang saya diamanhakn untuk menjaganya

    beliau (anak saya) yang mengingatkan saya tentang boikot produk

    tentang doa untuk Palestin

    tentang masjidil Aqso

    hanya ALLAH boleh balas jasa guru KMS dengan ganjaran syurgaNYA

    sekali lagi ustaz, terima kasih kerana berkongsi tentang KMS

    alhamdulillah

  2. Saya pun dapat sebaran gambar berkenaan isu toblerone.terima kasih ustaz atas pencerahan

  3. Salam ustaz, boleh kongsikan senarai bahan bacaan mengenai sejarah Palestin kepada orang awam seperti kami?

  4. Betul ustaz, tak perlu lah nak ditakutkan anak-anak dengan gambar berdarah dan kepala hancur dari sana tu. nanti salah pula pemahaman anak-anak mengenai Palestin

    Nak mendidik mengenai Palestin semuanya bermula dengan mengapa? Nak jawab persoalan mengapa itulah bukan sahaja perlu kreatif, ilmu mengaji pun kena lebih.

  5. ni la masalahnya dengan mentaliti kebanyakan orang..pantang dapat tau sesuatu info je trus di viralkan..walhal tak pasti pun kesahihan perkara tu..tak pasal2 dah jadi fitnah pulak..kesian pada yang difitnah dan bersedia untuk mintak maaf je la kepada tukang sebar..semoga diberi hidayah..

  6. terima kasih atas perkongsian ilmu yang amat bermakna ini. Ia bnyak meber manfaat kepada saya..semoga dirahmati Allah

  7. syukran jazilan atas perkongsian ilmu…keadaan sekarang yang dipenuhi dengan isu semasa berlambak dengan penggunaan teknologi media eletronik ni membimbangkan…ramai yg x mengkaji asal usul sesuatu berita itu dahulu secara terus disebarkan melalui hujung jari..dengan harapan menyebarkan kebaikan tapi hakikatnya tidak dikaji secara terperinci…terutamanya anak-anak muda remaja walhal dewasa sekalipun..sangat membimbangkan..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.