Palestin: Antara Masa Depan Mereka dan Masa Depan Kita

israel-palestinian-conflict

Isu Palestin adalah isu yang sangat serius.

Jika di Palestin, keseriusan isu berkenaan adalah pada kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda, dan impaknya kepada politik daerah, serantau dan dunia antarabangsa. Tiada konflik yang lebih tragik untuk era ini, melebihi tragedi yang membelenggu bumi Isra’ dan Mi’raj tersebut.

Di tanahair, isu Palestin menguji kita semua pada segenap segi. Ia mencungkil keluar warna-warna sebenar kita.

Mukmin menyerlahkan keimanannya.

Kafir menzahirkan kekafirannya.

Munafiq tidak mampu lagi menyembunyikan kemunafiqannya.

Mazmumah karakter di kalangan umat Islam, terjelma dan mewarnai tindak tanduk kita mengenainya.

Di bumi Palestin, Zionist menjadi antagonis.

Di tanah air, hawa nafsu sendiri jadi seteru. Kegagalan melepaskan diri daripada kehendak nafsu, hingga bertuhankannya, menyebabkan kita berisiko tersesat, biar pun dalam keadaan berilmu pengetahuan lagi sarjana.

45_23

Apakah engkau tidak perhatikan (keadaan) orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah dalam keadaan dia itu berilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf? [al-Jāthiyyah 45: 23]

Kita berbicara di media sosial tentang isu Palestin, perbicaraan kita tidak mengubah apa-apa di Palestin. Sebaliknya yang menang dan kalah, yang terselamat dan terkorban adalah kita dan ahli keluarga kita. Akhlaq kita terkorban, harga diri kita musnah.

Sama ada kita pro boikot, atau tidak pro boikot, wacana kita hina menghina, sindir menyindir, hingga data-data tidak dapat menutup pekung mazmumah. Yang boikot bangga dengan keupayaannya memboikot. Yang tidak memboikot bangga dengan rasional dan kebijakannya yang tersendiri dalam berpendirian.

Mengutip derma oleh NGO, kita sambung lagi perbalahan NGO mana yang lebih asli dalam aktivisme mereka.

Akhirnya, yang kenyang daripada perbalahan kita hanyalah EGO.

Di dalam al-Quran ada tiga lokasi, Allah menjamin krisis Palestin berakhir dengan kemenangan kaum mukminin.

SURAH ĀL ‘IMRĀN

3_111“Mereka (Yahudi dan Nasrani) tidak akan sekali-kali dapat memudaratkan kamu kecuali dengan sekadar sebuah kesakitan. Dan jika mereka memerangi kamu, mereka nanti akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan. [Āl ‘Imrān 3: 111]

Permulaan kepada kehancuran mereka ialah apabila mereka mula memerangi orang-orang yang beriman. Palestin adalah kubur mereka yang mereka gali sendiri.

Sudah hampir 120 tahun semenjak Persidangan Pertama Kongres Zionis di Basle, Switzerland.

Sudah hampir 70 tahun semenjak tertegaknya negara Haram ‘Israel’.

Bumi Palestin tidak dapat diyahudikan. Semakin kurang warna hijau pada peta Palestin, semakin hijau Palestin di alam nyata. Hijau dengan semangat Intifadah, menggantikan semangat-semangat lain yang pernah cuba membela Palestin.

SURAH AL-A’RĀF

7_152

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembah (patung) anak lembu itu, akan ditimpa kemurkaan daripada Tuhan mereka dan kehinaan dalam kehidupan dunia. Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang mengada-adakan perkara yang tidak benar” [al-A’rāf  7: 152]

Penghijrahan Ibrāhīm a.s. ke bumi Palestin, berzuriatkan Ishāq dan kemudiannya Ya’qūb serta anakandanya Yūsuf, berakhir dengan penghijrahan keluarga yang mulia berkenaan ke Mesir atas jemputan Yūsuf, ‘alayhim al-Salām.

Kemudiannya di era Mūsa ‘alayhi al-Salām, kedurhakaan demi kedurhakaan Bani Isrā’īl lakukan terhadap para Nabi dan Rasul yang diutuskan kepada mereka. Kedurhakaan yang dirakam oleh Allah di dalam kisah lembu betina di dalam ayat 67 hingga 74 surah al-Baqarah. Surah terpanjang di dalam al-Quran, penuh dengan pelbagai subjek besar Islam, tetapi dinamakan sebagai al-Baqarah bersempena kisah lembu betina, yang merekodkan hakikat kaum durhaka yang sentiasa berbantah-bantah dengan perintah Allah itu.

Di dalam khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Sheikh Hammam Sa’id di Masjid ‘Abd al-Rahmān bin ‘Auf, Sweileh, Jordan kira-kira 20 tahun yang lalu (1994), beliau menegaskan bahawa andai umat Islam alpa daripada hakikat kaum durhaka di dalam kisah lembu betina itu, seluruh isi kandungan surah al-Baqarah akan terlepas daripada tangan umat Islam.

Zaman Mūsa, Yūsha’ bin Nūn, diikuti dengan zaman Dāwūd, Sulaimān hinggalah ke ‘Īsā ‘alayhim al-Salām, mereka mengulangi pelbagai kedurhakaan, malah membunuh para Rasul seperti Zakaria dan Yahya, hingga akhirnya Palestin dikuasai oleh Byzantine, menjadi wilayah bebas Yahudi, dan bertaburanlah mereka dalam kehinaan di era Diaspora menuju era penutup segala Nabi dan Rasul, era Muhammad sallallāhu ‘alayhi wa sallam.

Orang Yahudi bukan jahat kerana genetik. Setiap bayi Yahudi yang lahir, lahir atas fitrah yang sama dengan semua bayi yang lain. Kerana itu, mereka sama seperti kita, ada kecenderungan kepada kebaikan dan kejahatan. Dan atas dasar itu jugalah mereka terus menerus diberi peluang oleh Allah untuk kesalahan, disusuli dengan taubat. Kerosakan, disusuli dengan islah.

Namun mereka mensesiakannya.

7_167

“Dan ingatlah) ketika Tuhanmu memberitahu: Bahawa sesungguhnya Dia akan menghantarkan kepada kaum Yahudi itu, (terus menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya (disebabkan kejahatan dan kekufuran mereka). Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-A’rāf 7: 167]

Ketika Tuhan Maha Pengampun untuk mengampuni kesalahan, ketika Tuhan Maha Pengasih, untuk berbelas ihsan mengurniakan kebaikan, kaum itu terus menerus memilih jenayah dan kedurhakaan, seperti yang dicatat oleh sejarah.

Dan sepanjang sejarah kejahatan mereka jugalah, Allah timpakan mereka dengan pemerintah-pemerintah yang berkeras terhadap mereka.

7_168

“Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat)” [al-A’rāf 7: 168]

Selepas zaman ‘Īsā ‘alayhi al-Salām, mereka bertebaran. Sebahagiannya datang ke Hijaz, bermastautin di Yathrib (Madinah).

Yahudi tidak menginsafi catatan semalam mereka.

Yahudi tidak bertangguh. Mereka melakukan kejahatan-kejahatan besar dalam musim kehadiran Rasul akhir zaman, yang masih mereka yakini akan muncul dari kalangan mereka sendiri, seperti sebelum-sebelumnya.

Kerosakan pertama, yang dirakam oleh surah al-Isrā’, sebelum kerosakan kedua yang sedang kita saksikan pada hari ini.

jerusalem

SURAH AL-ISRĀ’

17_4

Dan Kami khabarkan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. [al-Isra’ 17: 4]

Kejahatan itu ditamatkan di Madinah oleh kehadiran Rasulullah sallallāhu ‘alayhi wa sallam dan para sahabat bersama baginda, menumpaskan kaum perosak yang khianat dan melakukan pelbagai konspirasi.

Bani Nadhir, Bani Qaynaqa’ dan Bani Quraydhah, mengkhianati perjanjian kerjasama mereka sebagai warga Madinah. Mereka diusir dari Madinah. Mereka kemudiannya berkumpul di Khaybar.

Dari jauh, Yahudi bermakar. Di musim Perang al-Ahzāb, mereka berada di belakang kabilah-kabilah Arab musyrikin untuk meneruskan konspirasi mereka terhadap Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam dan umat Islam. Selepas perjanjian Hudaibiyah, mereka diperangi habis-habisan oleh Baginda sallallāhu ‘alayhi wa sallam dan dikalahkan.

Sebahagiannya diizinkan terus tinggal di sekitar daerah itu atas permintaan mereka sendiri dan restu Baginda sallallāhu ‘alayhi wa sallam. Manakala sebahagian yang lain berhijrah ke Palestin. Di zaman ‘Umar bin al-Khattāb radhiyallāhu ‘anhu, selepas terbunuhnya seorang Muslim oleh Yahudi, ‘Umar bertindak mengusir keseluruhannya daripada Semenanjung Tanah Arab. Sebahagian berhijrah ke Sinai dan sebahagian menuju Palestin dan bersatu di sana.

Sabda baginda:

لا يجتمعُ في جزيرةِ العربِ دِينانِ

الراوي: – المحدث: ابن باز – المصدر: مجموع فتاوى ابن باز – الصفحة أو الرقم: 285/3
خلاصة حكم المحدث: صحيح
“Tidak berhimpun di Semenanjung Tanah Arab dua agama” 

Dalam misi menumpaskan kuasa Byzantine di Syam, ‘Umar mengatur tentera Islam di bawah kendalian Khālid bin al-Walid, kemudian Abu ‘Ubaydah ‘Amir bin al-Jarrah untuk menguasai Jerusalem. Patriarch Sophronius memutuskan bahawa Abu ‘Ubaydah bukanlah lelaki pembuka Jerusalem yang termaktub di dalam kitab mereka. Peperangan berterusan lagi dan akhirnya, berlaku dialog di antara wakil paderi dengan Abu ‘Ubaydah.

Jerusalem adalah kota suci. Selain tempat Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad  sallallāhu ‘alayhi wa sallam dan kiblat pertama umat Islam, di kota itu jugalah hidup dan matinya para Anbiya’ yang membawa risalah Tauhid. Apa yang menghubungkan ummah dengan para Rasul itu bukan keturunan, bangsa atau qabilah. Sebaliknya ajaran yang mereka bawa, merentas faktor-faktor lain. Sesungguhnya umat Islam lebih berhak ke atas para Rasul itu berbanding golongan Nasrani, juga Yahudi, yang menisbahkan diri mereka hanya dengan dakwaan, bukan dengan ajaran dan Tauhid.

Abu ‘Ubaydah menawarkan tiga solusi kepada penduduk Jerusalem:

  • Menerima Islam
  • Berdamai dan membayar jizyah
  • Berperang

Cadangan kedua diterima, secara bersyarat. Mereka hanya bersetuju untuk tunduk kepada kekuasaan Islam, apabila pemimpin yang masuk ke Jerusalem adalah pemimpin yang disebut di dalam kitab mereka, iaitulah Amir al-Mu’minin ‘Umar bin al-Khattāb. Abu ‘Ubaydah menghantar jemputan agar ‘Umar hadir ke Jerusalem.

‘Uthman bin Affan berpendapat agar ‘Umar tidak ke Jerusalem. ‘Ali mencadangkan sebaliknya. ‘Umar mengikut pendapat ‘Ali. Selepas solat empat rakaat di Masjid Nabi  sallallāhu ‘alayhi wa sallam, beliau menunggang unta bersama seorang pembantu. Mereka bergilir-gilir menaiki kenderaan untuk sebuah perjalanan yang panjang, seumpama perjalanan 10 tahun yang lalu, dalam Isra’ Nabi Muhammad  sallallāhu ‘alayhi wa sallam sebagai permulaan kepada proses menyatukan kembali al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Aqsa yang terpisah oleh Jahiliah.

Di persinggahan akhir sebelum memasuki Jerusalem, tentera Islam mencadangkan agar ‘Umar menukar pakaiannya yang compang camping dengan pakaian yang lebih baik, sesuai dengan kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi umat Islam. Unta ‘Umar juga digantikan dengan seekor kuda yang pernah menjadi milik Byzantine. Zubayr ibn ‘Awwām menganggarkan baju putih yang ‘Umar pakai itu berasal dari Mesir dan berharga kira-kira 15 dirham.

Apabila ‘Umar yang telah bersalin pakaian itu cuba menunggang kuda kelabu berkenaan, kuda itu meronta dan ‘Umar terjatuh ke tanah!

Kejadian itu mengejutkan ‘Umar.

Pakaian dan kuda itu hampir-hampir mencemar niat ‘Umar. Beliau membacakan hadith Nabi  sallallāhu ‘alayhi wa sallam:

kibr

“Tidak masuk Syurga sesiapa yang di dalam hatinya ada walau sebesar zarah sifat ego membangga diri” [HR Muslim]

‘Umar kembali memakai bajunya yang penuh tampal itu, bersama unta tunggangan semenjak awal perjalanan.

Sifat tawadhu’ ‘Umar bin al-Khattāb pada mencontohi Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam itulah yang menjadi pengesahan Patriarch Sophronius di Jerusalem, bahawa beliau adalah pembantu Muhammad, pembuka kota Jerusalem seperti yang termaktub di dalam kitab mereka. Beliau masuk dengan berjalan kaki, pembantunya menunggang unta, kedua kakinya bersalut lumpur dan bajunya bertampal-tampal.

Pintu Jerusalem dibuka, kunci al-Quds diberikan kepada ‘Umar. Beliau masuk dengan ucapan beliau yang dinukilkan oleh Ibn Rahwih dan al-Baihaqi daripada `Abbad ibn `Abdullah ibn al-Zubair:

“Aku di sini ya Allah, kerana-Mu”

Akhirnya, sempurnalah proses Rasulullah sallallāhu ‘alayhi wa sallam hingga ke ‘Umar radhiyallāhu ‘anh menggabungkan al-Masjid al-Haram dengan al-Masjid al-Aqsa seperti zaman Ibrāhīm, seperti zaman Sulaiman dan Saba’ tatkala menerima seruan Tauhid. Dan tersebarnya Tauhid di Semenanjung Tanah Arab hingga ke Palestin itu, menamatkan kerosakan zaman berzaman Yahudi sebagai antagonis besar dunia.

Sungguh teliti, halus dan tepat, deskripsi al-Quran, sebagai lanjutan deskripsi kitab-kitab sebelumnya, tentang hamba-hamba Allah yang memiliki kualiti tertinggi pada akhlaq mereka, yang gagah perkasa, yang bergerak ke seluruh ceruk rantau, untuk akhirnya merealisasikan janji Tuhan.

17_5

Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu) dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.[al-Isrā’ 17: 5]

ZAMAN KEROSAKAN KEDUA

Allah memilih kita untuk hidup di zaman Yahudi dikembalikan kekuasaan kepada mereka.

Seperti hari ini.

Dan di zaman Yahudi melakukan kerosakan kedua mereka ini (kerosakan terakhir?), Allah meletakkan karakter yang tepat tentang sosio politik dan ekonomi regim Penjajah yang menguasai Palestin itu.

Mereka berkuasa di Palestin, tetapi kekuatan mereka bukan di Palestin.

Kekuatan mereka datang dari luar.

danaluarisrael

Dari sokongan Amerika Syarikat yang membelanjakan USD8.5 juta sehari pada tahun kewangan 2013 pada membiayai regim Yahudi di Palestin. Dan kewangan itu juga hadir melalui jaringan perniagaan antarabangsa, sama ada oleh syarikat Amerika Syarikat yang pro Zionis, mahu pun oleh eksport Yahudi sendiri dengan produk-produk West Bank di seluruh dunia.

Asas ini menjadi dasar penting mengapa gerakan melumpuhkan ekonomi ‘luar ke dalam’ Yahudi masa kini, melalui tindakan boikot mikro dan makro, perlu dijayakan.

17_6Kemudian, Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka dan Kami perpanjangkan kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya. [al-Isra’ 17: 6]

Namun, untuk menumpaskan keangkuhan Yahudi di Palestin, bukan hanya mengambil kira kepada faktor tekanan ekonomi dan ketenteraan.

Sebagaimana telitinya karakter orang yang layak menerima kemenangan pertama di zaman ‘Umar bin al-Khattāb dahulu, demikianlah syarat kemenangan pada pusingan kedua ini.

17_7

Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.

Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan durhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan) dan untuk memasuki Masjid (al-Masjid al-Aqsa) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya. [al-Isra’ 17: 7]

Kehancuran kuasa Yahudi di Palestin itu pasti.

Kemenangan orang-orang yang beriman itu pasti.

KUALITI GOLONGAN MENANG

Tetapi di tangan siapa?

Di tangan mereka yang kualitinya adalah sama seperti kualiti ‘Umar dan para sahabat yang memimpin kemenangan pada tahun 16 hijriyyah dahulu. Masuk ke Jerusalem dengan hati yang bersih daripada kemegahan, kesombongan, bahkan apa sahaja tujuan, selain “ya Allah, hamba-Mu di sini!”

Justeru, ujian bagi umat Islam di Palestin adalah ujian besar-besaran Allah kepada mereka.

Pakaian mereka sudah tidak seperti pakaian.

Rumah mereka sudah tidak dapat ditampal.

Hidup mereka sudah tidak seperti kehidupan sesiapa di dunia hari ini.

Dan yang terkorban, beratur menyambut Syahid dan kurniaan Allah berupa Jannah.

Manakala bagi kita yang menuju Syurga yang sama, selagi usaha kita bercampur aduk dengan pertandingan di Facebook dan Twitter, siapa komennya yang lebih bernas, siapa yang pendirian boikot atau tidak boikotnya lebih bijaksana, siapa yang lebih pantas memberi maklumat terkini, siapa yang lebih ada hubungan dengan Palestin, selfie, poster-poster wajah penderma dengan lambang peace di tangan, semua itu hanya pertandingan untuk memenangkan ego.

Bukan untuk membebaskan al-Masjid al-Aqsa.

Dengan sikap sebegini, bukan sahaja kita tidak dapat menyertai masa depan Palestin yang pasti menang itu, pertanyaan yang juga besar ialah, bagaimana dengan masa depan kita sendiri?

Moga kita semua terjatuh dari kuda kemegahan.

Moga baju putih 15 Dirham dari Mesir kita berganti baju koyak bertampal persis baju ‘Umar.

Dan akhirnya kita masuk ke al-Masjid al-Aqsa, membebaskan Palestin, dengan hati ahli Syurga.

Bukan ahli Dunia.

Bukan ahli Neraka.

Bertaubatlah, pada 10 hari terakhir Ramadan ini, demi redha-Nya!

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

_______________

  1. Suwaidan, Tareq M. Palestine: yesterday, today and tomorrow. Egedsa, 2006.
  2. خالدي، صلاح عبد الفتاح. حقائق قرآنية حول القضية الفلسطينية. Vol. 22. منشورات الفرقان،, 1995.
  3. Kathir, Ibn, and Ismail ibnUmar. “al-Bidayah wa al-Nihayah.” Riyadh: Maktabat al-Nasr (1966).

 

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

6 comments

  1. Subhanallah… Lindungi kami ya Allah daripada perasaan ujub dan riya ‘.

  2. AllahuAkhbar.. Moga Allah lindungi dari riak, hadirkan jiwa & hati ahli syurga.
    Ya Allah,. jauhkan daripada penyakit cinta dunia & takutkan kematian

  3. Maaf ustaz. Kalau tidak silap surah al Baqarah bukan ayat 66-72, tetapi 67-73. Dan kisah tersebut bukan tentang lembu sembahan, tetapi tentang sikap bertanya yang tidak perlu…

    Wallahu a’lam…

  4. Bagaimana pula kisah Salahuddin al-Ayubi yang telah berjaya membebaskan Baitulmaqdis suatu ketika dahulu?

    Di samping itu, saya berpendapat sesetengah pos-pos mengenai Palestin di laman media sosial adalah penting dan signifikan untuk menaikkan ‘awareness’ di kalangan pembacanya. Ini ada strategi yang sering digunakan oleh syarikat-syarikat komersil untuk memasarkan jenama and produk mereka. Jika ‘trending’ maka lebih ramai yang kenal dan tahu.

    Oleh itu, menerusi lensa ini, saya berpendapat sesetengah perbincangan boleh dikatakan penting, malah sedikit sebanyak secara langsung atau tidak langsung membawa kepada ramai pihak untuk fokus kepada isu Palestin. Bukanlah untuk menaikkan ego semata-mata. Malah saya berpendapat ada yang di dalam hati mereka ikhlas.

    Jazakallah ya Ustaz untuk pos ini.

    Wallahualam.

  5. Jazakalllah. Huraian yang details. Alhamdulillah sy belajar sesuatu bila membaca ini.

  6. Sama-sama kita perbaiki amal dan sentiasa memohon ampun kepada Allah moga DOA kita untuk mereka dimakbulkan Allah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.