“Atas Nama Tanzim…”

takhtitan

“Dan aku juga pernah melihat, adanya segelintir manusia, mereka mendakwa bahawa tanzim apabila ia berkata-kata, ia tidak berhajatkan kepada dalil syara’. Ini adalah satu bentuk pengurniaan sifat maksum kepada pihak yang tidak berhak memilikinya. Ia adalah satu bentuk pemerasan, dan membatalkan fungsi nas”

Demikian kritikan Sa’id Hawwa kepada gerakan Islam, di dalam bukunya Jundullāh Takhtītan.

Kritikan dalam fasal keenam, pada membicarakan tentang KETAATAN dan SYURA.

Bab berkenaan dimulakan dengan kenyataan beliau, betapa adanya golongan yang mengagumkan orang ramai, tetapi Sa’id Hawwa melihat apabila mereka melayan isteri, mereka melayan para isteri itu seolah-olah mereka itu hamba. Mereka melakukannya dengan dakwaan Islam menetapkan bahawa isteri mesti mentaati suami, justeru menjadi harus bagi para suami untuk memperhambakan isteri.

Demikian juga dengan golongan pemimpin gerakan Islam, atas nama gerakan Islam, melayan ahli-ahlinya seolah-olah mereka itu hamba sahaya, dengan alasan menjadi kewajipan bagi rakyat untuk mentaati amir al-mu’minin.

Contoh-contoh berkenaan menjelaskan kepada kita bagaimana peraturan-peraturan rumahtangga, organisasi dan kenegaraan, menjadi caca merba apabila ia dibawa keluar daripada konteks yang benar. Ada Syura yang tidak menekankan Taat. Ada Taat yang tidak mempedulikan Syura. Lalu peraturan-peraturan yang menjadi kemegahan Islam, sebagai agama yang sistematik, menjadi fitnah dan bencana kepada umat ini.

Sa’id Hawwa adalah seorang tokoh perjuangan Islam yang berjiwa halus.

Bacalah karya-karyanya yang banyak itu, sering sahaja kita larut dalam bahasanya. Ia menjadikan seolah-olah buku beliau ditulis khusus untuk kita. Pembaca terasa dirinya istimewa, diajak kepada perbicaraan secara khusus dengan pelawaan seorang murabbi kepada anak didik yang mencari ilmu dan kebenaran.

Namun halusnya jiwa Sa’id Hawwa, menjadikan beliau juga seorang yang teliti dalam pengamatannya terhadap gerakan Islam. Saat ramai yang lain berbicara tentang perkara-perkara besar, beliau melihat wujudnya budaya-budaya yang tidak sihat dalam norma amilin gerakan Islam, di celah-celah kehidupan mereka. Budaya di akar umbi itu adalah apa yang akan mewarnai amal selanjutnya. Masakan akar lalang menumbuhkan padi!

Jika bukunya Jundullāh Tsaqāfatan wa Akhlāqan diterima baik dan tersebar ramai, siri selanjutnya seperti Jundullāh Takhtītan dan Jundullāh Tanzīman, menimbulkan rasa tidak senang pelbagai pihak.

saidhawwa

Betapa liciknya hawa nafsu manusia, ia menjadikan manusia bijak memetik jargon-jargon suci yang lahir dari rahim firman Allah dan sabda Rasul-Nya, mengolahnya menjadi suatu konsep berwajah agama, tetapi tidak lebih daripada cengkaman manusia ke atas manusia yang lain, sama ada secara sengaja, mahu pun tidak sengaja.

Sebab itulah pentingnya, kita jinakkan amal dengan pendapat. Jangan dilaga-lagakan antara teori dan praktis. Jangan tertipu dengan amal. Jangan terpedaya dengan teori. Sebaliknya kuatkan paksi lillahi Ta’āla masing-masing untuk saling nasihat menasihatkan, tegur menegur, dan tidak menutup diri daripada dinasihati.

“Kau cakap sahaja yang pandai. Amalnya mana?” tempelak kita.

Ada benarnya.

Tetapi amal perlu juga dicakap-cakapkan. Jangan sampai terpedaya dengan keasyikan beramal hingga terlupa bermuhasabah diri dan organisasi. Masihkah kita di landasan kebenaran?

Teringat saya kepada sebuah kejadian yang berlaku tidak lama dahulu.

AMILIN MUDA ADALAH GAMBARAN MASA DEPAN KITA

Sebuah persatuan pelajar di sebuah IPT meminta syarikat saya untuk menjalankan sebuah program yang dirancang secara besar-besaran. Seperti biasa, oleh kerana objektifnya baik dan tarikhnya sesuai, kami bersetuju dan menyampaikan maklumat sebut harga. Jika tidak silap saya, RM2500 untuk program berkenaan.

Wakil persatuan pelajar berkenaan merayu agar harga tersebut dikurangkan kerana mereka tidak mampu. Kami tanya berapa yang mereka mampu, dan mereka menjawab RM1 ribu. Kami menerimanya dengan senang hati, kerana hakikatnya program itu jika percuma pun boleh dipertimbangkan kerana ia program mahasiswa mahasiswi dan kami faham kekangan kewangan yang biasa itu.

Tiba harinya program dijalankan dengan sebaik mungkin.

Semasa sesi penutup, saya menerima cenderamata daripada pihak penganjur dan mereka maklumkan kepada pasukan kami bahawa wang bayaran RM1K itu akan dimasukkan ke bank secara atas talian. Kami menerimanya, dan pulang ke Kuala Lumpur dengan rasa gembira kerana program berjalan lancar.

Keesokan harinya, wakil persatuan pelajar berkenaan memaklumkan pejabat saya bahawa mereka hanya boleh membayar RM750!

Apabila ditanya mengapa, mereka mengatakan bahawa RM250 telah mereka gunakan untuk membeli cenderamata penceramah.

Saya menepuk dahi kehairanan.

“Macam-macamlah perangai orang muda sekarang!” mulut saya mengomel di pejabat.

Namun apa yang paling mengejutkan, adalah apabila kami diminta mengeluarkan invois bernilai RM2500, iaitu nilai asal dalam sebut harga pertama yang kami sampaikan dahulu! Saya agak kabur pada mengingatkan sama ada jumlah RM2500 itu memang telah diluluskan oleh pihak atasan, atau pun mahasiswa mahasiswi ini mahu mendapatkan RM2500 daripada pihak atasan. Apa yang pasti, RM1500 telah / akan dimasukkan ke dalam tabung tanzim mereka!

Ia sungguh mengejutkan.

Dan apabila saya bangkitkan hal ini, rupa-rupanya ia menjadi amalan biasa di kampus-kampus yang lain juga. Peruntukan untuk program ‘umum’, atas nama perjuangan Islam, sebahagian daripadanya halal untuk diambil kerana perjuangan sebenar adalah perjuangan di dalam tanzim, bukan di dalam badan umum yang menjalankan program formal tersebut!

Pelbagai alasan diberikan oleh golongan yang lebih senior, untuk menjustifikasikan perbuatan ini.

Jika saya, yang merupakan rakan seperjuangan mereka pun boleh mereka tipu semudah itu, bagaimana pula dengan pihak lain?

Paling menyedihkan, mereka melakukannya dalam keadaan mereka ‘tidak tahu’ ia adalah perbuatan yang batil. Saya lebih lega jika mereka melakukannya dengan niat hendak menipu saya. Berbanding mereka melakukannya sebagai amalan biasa, dan menggunakan hujah-hujah tanzim dan haraki untuk menghalalkannya.

Saya sudah pernah menulis akan hal ini beberapa tahun yang lalu dan menamakannya sebagai jenayah ketayap putih! Bagaimana jika suatu hari ini memegang kuasa di peringkat yang lebih tinggi? Duit syarikat? Duit kerajaan? Duit rakyat? Jika mereka menyertai politik di masa hadapan, adakah duit kerajaan negeri, pusat, agensi-agensi kerajaan boleh dipakai untuk parti, atas alasan parti memperjuangkan kebenaran, fi sabilillah?

Semasa kejadian ini berlaku, saya langsung teringatkan nasihat Sa’id Hawwa ini.

Dan saya teringatkan ia kembali, apabila perbuatan menyebar-nyebar print screen, membuat poster mencaci dan mencela, dijustifikasikan sebagai dibolehkan, dengan alasan demi kepentingan tanzim!

18_104

“(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan” [al-Kahf 18: 104]

Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Seandainya Engkau tidak ampunkan kami dan tidak rahmati kami, nescaya tergolonglah kami dalam kalangan golongan yang rugi.

HASRIZAL
43000 BSP

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

9 comments

  1. Kamarul Tasmania

    Menarik kupasan ustaz.. supaya mnjadi tauladan kepada anak2 muda yg bertanzim sekarang ini..

  2. Terima kasih ust. Kupasan yang menarik dan sangat wajar dibaca oleh golongan yang mengaku sebagai abnaul haraki tapi ‘tanpa sedar’ mengabaikan akhlaq yang dibawa Rasulullah.

  3. Maaf Ustaz,
    Apa yg sy tengok skrg ni, tulisan2 ustaz telah djdkan dalil/naz utk menyokong tindakan G18 dan pasMa….

    Adakah ini sbg mudhorat atau manfaat??

    • Ayat Al-Quran dan hadis juga telah digunakan sebagai dalil/nas untuk membenarkan tindakan songlap demi agama yang ustaz jadikan contoh di dalam artikelnya.

      Mudhorat atau manfaat?

      Adakah salah orang yang mengingatkan atau salah orang yang menggunakan peringatan untuk kepentingan masing-masing?

  4. Katanya ‘serang peribadi lebih baik dr serang jemaah, ustaz.’ tak paham betul saya.

  5. HarapanSetinggiGunung(BlackDogBone)

    Apa pun ‘deal’, tunai tetap orang suka. Dalam hutang pun nak tunai apatah lagi dalam keadaan tidak berhutang. Saya rasa saya ada pengalaman sama seperti ustaz, bila kukira-kira tunai semua(seperti yang dimaklumkan ikut nilai asal) dapat cendera hati di tangan rupanya sudah ‘convert’ jadi kenangan. Bukan saya tak sudi terima tapi apa kejadahnya tiba2 terlalu ‘kreatif’ , bukan nak perli tapi kenapa ‘oghe kito’ susah sangat ke nak ‘memberi’ tunai ?. Walaubagaimanapun, memandangkan program ini program ‘dakwah’ tiba2 saya rasa seperti AJK program berkenaan. Mood tiba2 berubah. Takkanlah janji pun nak berhutang ? Ada ker istilah ‘hutang janji’ yg saya biasa danpopular dengar adalah JANJI DITEPATI. Sungguh tak setia pada janji. Pada janji ada kebenaran juga yg mrnjadikan si jaguh setia pada alHaQ….tak naklah viralkan sbgai ‘jenayah kopiah putih’ nanti ramai saudaraku malu pki kopiah..’jenayah kot hitam atau kelabu’ lagi menguntungkan rasanya ustaz..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.