Memilih Sekolah Rendah Untuk Pendidikan Anak

John Taylor Gatto pernah menyebut, “jika di zaman dahulu, kamu serahkan anak kamu kepada sekumpulan manusia yang tidak kamu kenali, dan kamu benarkan mereka mengerjakan otak anak kamu, kamu memang orang gila!”

Demikianlah gambaran beliau mengenai idea anak dan sekolah.

Jika ditinjau kepada sejarah pendidikan Amerika Syarikat, rutin menghantar anak ke sekolah awam yang dikendalikan oleh kerajaan, serta menerima kurikulum standard yang ditentukan oleh kerajaan, ia adalah satu kehidupan baru. Mengandaikan pendidikan itu ialah sekolah, adalah satu paradigma baru di dalam dunia pendidikan itu sendiri.

ANAK PERTAMA MASUK SEKOLAH

Sebagai ibu bapa yang muda, berpendidikan tetapi tidak mempunyai sebarang idea lain tentang sekolah, saya dan isteri juga mendaftarkan anak kami ke sekolah awam semasa beliau di usia lima tahun. Sambil anak mengikuti pembelajaran pra sekolah di sebuah tadika berdekatan, kami bertanya-tanya kepada kenalan tentang sekolah yang bagus di sekitar kawasan tempat kami tinggal. Saya dan isteri bersyukur kerana kami berjaya mendaftarkan anak di sekolah rendah yang dianggap sebagai sekolah rendah terbaik di kawasan berkenaan, walaupun ada sekolah rendah lain yang lebih hampir dengan rumah kami.

Entah mengapa, saya tergerak hati bertanya kepada guru besar sekolah berkenaan, adakah anaknya bersekolah di sekolah tersebut? Maklum sahaja, saya sendiri adalah anak seorang guru dan saya memulakan persekolahan di bilik darjah yang guru kelasnya adalah ibu saya sendiri.

“Tidak. Anak saya bersekolah di sekolah agama swasta” jawabnya.

Saya tergamam.

Pulak!

“Mengapa?” saya bertanya ringkas.

“Risau melihat keadaan budak-budak sekarang. Di sekolah ini, dalam kurikulum yang ada, berapa sangatlah pelajaran agama yang murid-murid ini terima. Saya pun tidak berani” jawabnya, telus.

SEKOLAH SWASTA

Meyakini pertimbangan beliau sendiri sebagai guru besar di sekolah yang dianggap sekolah terbaik, saya dan isteri turut terpengaruh. Kami membatalkan niat menyekolahkan anak di sekolah tersebut, dan memilih sekolah yang sama guru besar berkenaan menghantar anaknya. Di situlah bermulanya perjalanan kami sekeluarga menyekolahkan anak di sekolah swasta. Dengan yuran sekitar RM250 sebulan, saya dan isteri mengira ia sebagai jumlah yang munasabah, asalkan anak mendapat pendidikan yang baik, terutamanya pendidikan agama.

Selepas beberapa bulan anak saya bersekolah di sekolah rendah agama swasta berkenaan, timbul beberapa perkara yang musykil kepada diri kami. Saya melihat sendiri bagaimana didikan di rumah selama enam tahun, sangat mudah diusik oleh pengalaman persekolahan anak, sebaik sahaja mereka berada di bangku sekolah. Berlaku beberapa kejadian yang membabitkan salah laku oleh anak saya yang ketika itu berusia 7 tahun. Biar pun kejadian tersebut di luar jangkaan, saya tidaklah terkejut, dan boleh menguruskannya dengan tenang, berbekalkan serba sedikit ilmu pengetahuan hasil pembacaan buku, dan mendengar pengisian-pengisian berkaitan keibubapaan.

Apa yang menjadi kerunsingan kami ketika itu adalah konsep sekolah berkenaan. Saya dan isteri menganggap di usia 7 tahun, apa yang penting buat anak kami ialah beliau mendapat rasa seronok bersekolah, suka belajar dan boleh menguasai kemahiran asas belajar seperti membaca, menulis dan mengira. Periksa dapat nombor berapa pun, tidak mengapa!

KURIKULUM

Ketika itu saya dapati anak saya mengalami kesukaran dalam pembelajarannya. Saya yakin, kalau pun tidak cemerlang, keupayaan belajar anak saya adalah baik. Apabila ujian demi ujian memperlihatkan kesulitan beliau belajar, saya mula menyemak isi kandungan pembelajarannya. Sama ada subjek akademik  oleh KPM, mahu pun subjek agama oleh Jabatan Agama negeri, saya rasa ada kemusykilan yang ketika itu saya tidak mempunyai perbendaharaan kata yang cukup untuk mengungkapkannya.

“Berapakah permukaan rata pada sebuah bongkah segi empat sama?” antara soalan Matematik yang pernah anak saya terima. Hmm… tidakkah soalan itu terlalu tinggi untuk seorang kanak-kanak berusia belum pun genap 7 tahun? Saya semasa di sekolah rendah dahulu, darjah 1 hanya belajar menulis angka, membuat tambah dan tolak yang sangat asas, dan belum lagi ada pembelajaran yang membabitkan konsep ruang, bentuk bersama pengiraan nilai.

Silibus Bahasa Melayu juga sudah dengan segera memperkenalkan peribahasa, simpulan bahasa, yang kesemuanya memerlukan kebolehan pemikiran abstrak. Sudahkah otak anak saya pada usia kurang 7 tahun, mempunyai keupayaan itu? Saya tertanya-tanya.

Apabila masuk ke subjek agama, di bangku persekolahan darjah 1, anak saya belajar ilmu kalam Sifat 20, meliputi sifat wajib bagi Allah, sifat mustahil bagi Allah dan sifat harus bagi-Nya. Hmm… sebagai graduan Pengajian Islam, saya tahu sejarahnya mengapa Aqidah diformulasikan dalam Ilmu Kalam. Dan saya tertanya-tanya, wajarkah anakku di usia ini, diberitahu Allah itu wujud dan lawannya ‘adam? Kebimbangan saya menjadi-jadi apabila di dalam subjek Sirah, yang saya gambarkan sudah tentu si anak seronok mendengar cerita tentang Nabi Muhammad sallallāhu ‘alayhi wa sallam si anak yatim, kisah para sahabat dan satu dua peperangan yang menimbulkan semangat berjuang. Tetapi jangkaan saya meleset lagi apabila anak saya di usia berkenaan, sudah ditanya soalan semantik bahawa perkataan Sirah itu berasal daripada kata akar apa?! Soalan yang saya temui semasa belajar Sirah, di tahun 1 pengajian sarjana muda di Jordan!

Akhirnya saya fed up.

Saya beritahu anak, jika tidak boleh jawab pun tidak mengapa. Jika gagal pun, abi tidak kisah.

Dan ‘Alhamdulillah’, anak kami gagal!

KEYAKINAN DIRI ANAK

Keputusan peperiksaan akhir, anak kami mendapat tempat ke 25 daripada 25 orang pelajar dan guru sudah pun memberitahu bahawa tahun hadapan beliau akan masuk ke kelas corot!

Anak saya kebingungan. Kami menenangkan beliau dan memberikan kata-kata semangat bahawa kami menilainya berdasarkan komitmen beliau belajar dari sehari ke sehari. Soal keputusan peperiksaan… pedulikan!

Kami buat tidak peduli.

Anak kami pun buat tidak peduli.

Tetapi keluarga, saudara mara peduli. Apabila anak kami dengan selamba memberitahu bahawa peperiksaan akhirnya beliau dapat nombor 25, beliau hairan melihat ahli keluarga kami kehairanan. Sedikit demi sedikit, anak saya tahu bahawa idea keluarga kami yang menolak signifikasi “periksa nombor berapa” itu adalah sesuatu yang asing. Sedikit sebanyak keyakinan dirinya mula terjejas.

KECEMERLANGAN AKADEMIK BYPRODUCT

64495_194508240689095_1610116866_n

Saya mencari sekolah yang berani menawarkan pendidikan yang berbeza. Pendidikan yang menjadikan kecemerlangan akademik sebagai byproduct. Pendidikan yang tidak mengejar kecemerlangan akademik dengan menambah kuantiti pelajaran, tetapi berani melihat sisi pandang lain yang lebih meraikan faktor serta potensi dalaman pelajar, iaitu akal fikiran dan hati perasaannya.

Seorang rakan memperkenalkan saya kepada sekolah yang seterusnya; Khalifah Model School (KMS). Ciri-ciri KMS yang saya pertimbangkan ialah:

  • Sekolah mempunyai kaedah khusus berkaitan CARA pelajaran disampaikan, dan dianggap sama penting dengan pelajaran itu sendiri. HOW dan WHAT mempunyai kepentingan yang sama tinggi.
  • Persoalan CARA pula tidak rawak (random). Ia adalah berdasarkan Khalifah Method iaitu sebuah kaedah berasaskan sains tingkah laku manusia (psikologi) yang ditimbang tara dengan pandangan alam Islam. Ia membolehkan cara tersebut dinilai di peringkat teori ilmu hingga ke aplikasi.
  • Kaedah yang diguna pakai di sekolah, mesti dipersetujui oleh ibu bapa untuk ia juga diguna pakai di rumah. Ibu bapa diwajibkan mempelajari Khalifah Method melalui siri-siri program keibubapaan yang disediakan.
  • Perkembangan akademik anak-anak dijaga, bersama penekanan utama kepada pembangunan karakter, sesuai dengan moto sekolah, Shaping Excellent Character.
  • Nisbah guru dan pelajar yang kecil, membolehkan guru berinteraksi dengan murid secara individu dan unik.

Cabaran utama kami untuk membuat keputusan menghantar anak ke sekolah ini adalah kewangan. Yurannya berubah daripada hampir percuma di sekolah awam, kepada sekitar RM250 sebulan dalam percubaan pertama, kepada sekitar RM650 kali ini. Pada masa ini, kami perlu melakukan anjakan paradigma terhadap cara berfikir kami mengenai pendidikan anak-anak. Kami mesti berjuang untuk meletakkan 30% pendapatan bulanan adalah pada pendidikan anak-anak. Meyakini hal ini sebagai satu keperluan, kami kuatkan keazaman dan bersetuju untuk menghantar anak ke KMS.

UBAH IBU BAPA SEBELUM ANAK

Maka bermulalah perjalanan saya sekeluarga bersama KMS, bahawa sebelum kami mengharapkan apa-apa mengenai anak, kami sebagai ibu bapa perlu terlebih dahulu mengubah diri kami menjadi ibu bapa yang lebih baik. Segala kebiasaan baik yang belum menjadi kebiasaan, kami usahakan ia agar menjadi budaya di dalam keluarga kami, khususnya berkaitan dengan pendekatan gentle but firm, berhemah dan lemah lembut dalam berbicara dan bertindak, namun tegas dalam berpendirian, serta membanyakkan penghargaan kepada perbuatan-perbuatan baik yang berjaya anak lakukan.

Peluang anak-anak kami bersekolah di situ tidak lama. Selepas dua tahun, kami berpindah ke rumah baru di kawasan yang jaraknya tidak memungkinkan kami berulang alik. Selama dua tahun itu, saya boleh rumuskan bahawa pengalaman bersekolah di KMS, anak-anak kami menjadi kanak-kanak yang ceria dan suka kepada sekolah.

Sebuah sekolah rendah yang baik, mengambil kira usia pelajarnya dan apa yang hendak diberikan keutamaan.

yop-khalifah

Biar pun anak-anak kami sudah tidak lagi bersekolah di KMS, saya masih bergiat secara aktif dengan mengadakan program-program bersama guru, pelajar dan sesekali ibu bapa di sana. Kerjasama ini memberi sebab khusus kepada saya untuk terus mengkaji idea-idea pengasas sekolah berkenaan, iaitu Profesor Muhammad al’Mahdi Jenkins. Khalifah Method itu sendiri perlu dikemas kini, ditambah baik dan dikembangkan agar menjadi satu kaedah yang meluas manfaatnya. Atas semangat itu akhirnya saya dijemput menganggotai Ahli Lembaga Pemegang Amanah (Board of Trustees) di Yayasan Pendidikan Khalifah, khususnya apabila saranan menubuhkan sekolah menengah direalisasikan pada tahun 2012.

RUMUSAN

Daripada sebuah sekolah ke sebuah sekolah, saya rumuskan bahawa, pendidikan anak-anak di sekolah rendah mestilah mengutamakan apa yang hanya boleh dibuat kepada anak-anak ketika mereka di usia berkenaan iaitu:

  1. membentuk karakter yang positif dan berkualiti.
  2. mengiktiraf bermain sebagai satu bentuk pembelajaran yang perlu.
  3. menjadikan murid itu seorang insan yang gembira dan bahagia.
  4. memilih untuk menjadi baik, dan bukan sekadar baik.
  5. kecemerlangan akademik adalah byproduct kepada ciri-ciri di atas.

Jika ibu bapa memilih pendidikan di sekolah awam untuk anak-anak, manfaatkan kelebihan di sekolah awam, dan tampunglah kekurangan yang ada dengan kesungguhan ibu bapa berperanan. Jika ibu bapa merasakan bahawa kualiti-kualiti di atas hanya boleh diperolehi di sekolah swasta, maka ibu bapa mestilah berhati-hati memilih sekolah yang jelas pendidikan yang ditawarkan, mendapatkan ilmu berkenaan pendidikan, sekurang-kurangnya dari perspektif ibu bapa, dan memiliki mentaliti merdeka, dari segi idea, perancangan, dan kewangan, menjauhi kecenderungan conformist yang merugikan pelaburan yang telah dibuat.

Ada pun pendidikan di sekolah menengah, Insha-Allah saya cuba kongsikan beberapa saranan di dalam catatan seterusnya.

HASRIZAL
kmss.edu.my

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

30 comments

  1. YusasNor Md Yusof

    ustaz,any other school tak yg offer kaedah khalifah model in KL area? Saye pegi interview anak saye utk kemasukan to KMs next yr but was rejected due to my kids was suspected autism. A bit dissapointed but what can i say..

    • Ada beberapa sekolah yang mengaplikasikan sepenuhnya, atau sebahagian kaedah Khalifah. Antaranya ialah Dzul Iman Quranic Lifeschool. Saya tidak terbabit dalam operasi sekolah rendah. Saya di sekolah menengah. Saya membayangkan, mungkin pihak sekolah rendah tidak berani menerima anak tuan / puan kerana tidak mempunyai kebolehan dan ilmu pengetahuan yang cukup untuk berinteraksi dengan pelajar kelainan upaya. Sekolah rendah pernah mempunyai pelajar dyslexic yang mana ibu pelajar itu sendiri menawarkan diri menjadi sukarelawan di sekolah untuk supervice anaknya.

      IDEAS Autism Centre tidak mengamalkan kaedah khalifah, tetapi ia adalah centre yang profesional untuk autism. http://autism.ideas.org.my . Tuan / pun boleh cuba dapatkan maklumat mengenainya.

      Salam ukhuwwah.

  2. Saya adalah produk sekolah MUSLEH.
    Sekolah Rendah di sekolah MUSLEH, Sekolah Menengah pun di sekolah MUSLEH 🙂

    Dan secara jujurnya, sekolah itu banyak membentuk saya pada hari ini :D,

    Sekolah Rendah Islam Al-Amin dan Sekolah Menengah Islam Al-Amin 🙂

    • Dua orang anak saya kini bersekolah di Sekolah Rendah Islam al-Amin, dan tahun 2016 akan jadi 3 orang Insha-Allah

      • Boleh sy tahu, mengapa Tuan Saiful pilih sekolah rendah islam Al Amin berbanding sekolah rendah islam yg lain? Sy bertanya sebab sy tengah mencari info tentang sekolah rendah agama utk anak lelaki sy bakal darjah 1 pada tahun 2017..

      • salam tn. boleh sy tau kenapa tn masukkan anak2 ke sekolah rendah al amin dan bukan di KMS PRIMARY.

  3. Anak saya masih di peringkat pre school. Sewaktu survey sekitar rumah semua pre school islamik, malangnya kebanyakan pre school islamik sangat mengutamakan akademik. Dan saya terus mengambik keputusan memghantar anak ke pre school bukan islamik tetapi kebimbangan saya ialah terhadap keupaayaan dia untuk belajar solat dan iqra. Di sana, within 6 months, she blossomed and she become happy anf brave girl contradicted to what i thought she was.
    Apakah fikiran ustaz berkenaan perkara ini? Perkembangan psikologi yg sihat tetapi keupayaan solat dan iqra agak tertinggal ….

    • Saya gembira dan bersetuju dengan keputusan serta tindakan puan. Bahagian iqra dan solat, puan usahakanlah di sisi persekolahan yang ada, hatta puan sendiri adalah potensi guru terbaik untuk anak puan.

      Saya ada menulis artikel sebelum ini bahawa anak-anak itu perlu dimanusiakan, sebelum dimuslimkan. Islam diturunkan untuk amalan manusia. Tetapi jika manusia itu ada defisit pada kemanusiaannya, bagaimana untuk dia mencerap agama. Sebab itu pendidikan awal mesti banyak berperanan membantu menyuburkan kemanusiaan anak. Dan saya kira, itu yang sedang puan lakukan.

  4. tahun depan anak saya 7 tahun, akan ke sekolah kebangsaan kat kampung. Rasa risau juga lah. Cuma pada usia awal, saya lebih menekankan pembentukan ‘core’ karakter dia. Basic civil responsibility, instead of agama. Agama dia akan tanya along the way, yang saya kena explain by reasoning. Kalau ke kelas agama, banyak yang dibuat adalah menghafal bukan belajar.

    Mendengar pengalaman tuan, saya pun naik risau dengan pengaruh sekolah ni.

  5. salam ustaz, persekolahan awam mempunyai kurikulum yang lebih kurang sama, sama ada dia adalah sekolah agama kerajaan atau sekolah jenis kebangsaan. Perbezaannya adalah pada tambahan penekanan agama atau bahasa pengantara yang berbeza dan lebih penting lagi adalah ‘the school culture’ itself.

    terlibat dalam bidang pendidikan, saya melihat, kebanyakan( saya tekankan tidak semua, ada yang sangat baik dan bagus ) sekolah agama menekankan islam lebih pada ‘ritual’ yg diajar melalui amarah, kekerasan dan pedagogi yang salah (which is undeniably cultivated through the ministry policy yang sangat mementingkan end-result–no matter how the teachers achieve it.) which produces the generation who is able to do basic religious practice but is less discipline (hard to understand simple instruction–attitude problem) and lazy. Manakala, sjk especially sjkc mostly produces students who are more discipline, hardworking and punctual.

    Katakanlah, kita membuat perbandingan antara dua aspek ini, bagaimana pandangan ustaz terhadap pembentukan peribadi anak-anak? juga untuk guidance tips untuk ibu bapa dr segi agama (sesetengah masyrkt melabel ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah sjk ini sebagai tidak mementingkan agama)

    terima kasih ustaz.

  6. Ustaz, apa pandangan ust dengan kaedah perjalanan sekolah seperti ini:
    1) Lepas UPSR masuk Hifz Qur’an selama 3 tahun dan Alim selama 6 tahun di Madrasah2 pengajian sistem Darul Ulum, sambung Daurah Hadis setahun dan Takhassus 3 tahun;
    2) Hanya akan mengambil PT3 & SPM selepas habis pengajian madrasah secara persendirian.
    3) Sambung pengajian konvensional selepas SPM.

    • Jenis track yang tuan sebutkan itu ialah teacher-centered perennialism (TCP), yakni pembelajaran secara berpaksikan para guru, dan perennialism iaitu berasaskan kitab turath. Pembelajaran ini ada kelebihannya, manakala kekurangannya mestilah disedari supaya boleh diatasi. Sama seperti jenis-jenis pendidikan lain.

      Kelebihannya jelas. Cuma kekurangannya yang mesti diatasi:

      1. TCP ini kurang memberi ruang kepada pelajar untuk take charge ke atas learning process. Sebaliknya tertumpu kepada guru. Maka ia kurang rancak. Tuan boleh tinjau bagaimanakah watak anak tuan dan dia jenis pelajar yang bagaimana. Jika attention span dia lemah, tinggi kinestetik, maka pembelajaran kitab turath agak mencabar untuknya.

      2. Pembelajaran kitab turath sebegini boleh jadi kurang contextual learning, yakni “ilmu yang kita belajar ini, di dalam realiti kehidupan di luar sana, ia ada di mana? Kat mana orang pakai?” . Kecuali direzekikan mendapat mashaikh yang dinamik dan mengatur pembelajaran agar jadi begitu.

      3. Oleh kerana bentuk pembelajarannya yang mudah bersifat kurang analytical, maka anak tuan mestilah seorang yang pintar dan kuat akal fikirannya kerana pendidikan perennialism kurang membuat strategi untuk stimulate pemikiran anak-anak yang kurang cergas fikirannya.

      Selebihnya, ia adalah pendidikan yang kukuh, memiliki tradisi yang kaya dan panjang.

      Tidak perlu ambil PT3 sebab SPM tidak mensyaratkan ia diambil selepas mengambil PT3. Boleh ambil SPM terus sahaja.

      Paling utama, saya cadangnya agar perbincangan yang thorough dibuat bersama anak agar jelas kemahuan kita serta kemahuan dia serta jauhkan diri daripada elemen paksaan.

      Wallahu a’lam

  7. Sy tertarik dgn sistem yg diperkenalkan.sy berhajat untuk memasukkan anak sy ke kmss slps tamat upsr nanti.

  8. assalamualikum ustaz, di mana letaknya sekolah menengah kmss ni dan kalau umur 15 tahun dapat masuk tak ke sekolah ni?

  9. Alhamdulillah. Jika ada kemudahan fasiliti dan kewangan, pastinya semua ibu bapa mahu anak mereka menerima pendidikan yang terbaik. Kami di Terengganu ni bertahan sahajalah dengan apa yang ada. Mungkin kalau ada rezeki berpindah tugas ke KL, dapatlah kami sediakan pendidiakn yang lebih baik untuk anak-anak kami yg ada isu learning disability.

  10. Anak saya baru sahaja selesai pra sekolah di Tadika Insan Kamil di Alam Sari.
    Sebuah tadika yang berkonsepkan ‘forest school’, yang mengutamakan nilai-nilai kemanusiaan serta ‘memesrakan’ anak-anak dengan alam sekitar ciptaan Yang Maha Esa.

  11. Assalamualaikum saudara saudari yang dirahmati Allah sekelian.

    Alhamdulillah, dengan izin Allah dan rahmatNya, saya berpeluang meletakkan jawatan sebagai pensyarah dan berpeluang berada di sisi anak-anak untuk membantu dan membimbing mereka setakat mana yang saya mampu.

    Ditakdirkan Allah, saya berpeluang mengutip pengalaman bersekolah tadika di sebuah public school di Australia, dan Alhamdulillah 24 tahun kemudian, anak saya pula diizinkan Allah ke tadika dan darjah 1 di UK.

    Memang benar cara didikan jauh berbeza dan macam-macam lagilah.

    Namun demikian, tahun depan, 3 orang anak saya akan meneruskan persekolahan di sekolah kerajaan.
    Yang tua darjah 6, dialah yang bersekolah di UK dulu.

    Alhamdulillah, dengan rutin saya ke sekolah anak-anak setiap hari, saya serta anak-anak berpeluang berbincang dengan tenang dan jelas tentang cara pembelajaran, sikap guru-guru, aktiviti dalam kelas mereka dan sebagainya.

    Seringkali saya akan pesan kepada anak-anak bila hendak ke sekolah:
    “Just do your best to your ability, belajar kerana Allah and enjoy yourselves… selebihnya mama tak kisah anak-anak mama dapat keputusan apapun.”

    Saya dapati dalam peringkat masayarakat “biasa” kita masing-masing pun menuding jari kepada masing-masing. Saya tidak cenderung menyalahkan pihak atasan, memandangkan pergaulan saya dengan guru-guru dan ibu bapa, kelihatannya para ibu bapa lebih menekankan supaya anak mereka dapat banyak A.

    Para guru dengan kurikulum KSSR pada asalnya perlu mendidik dengan “relax” dan “enjoyable” dengan “approach yang wholesome”.

    Namun, dengan adanya UPSR yang sepatutnya dimansuhkan tahun depan kini diadakan kembali (sebab ramai ibu bapa tidak percaya yang anak mereka sebenarnya boleh dinilai oleh guru masing-masing tanpa perlu adanya peperiksaan yang standard), guru-guru terpaksa juga sedikit sebanyak kembali melatih-tubi anak murid sepertimana KBSR, supaya tidak disalahkan oleh ibu bapa (yang ramainya lepas tangan kepada guru-guru dan cikgu tuition) jika tidak dapat banyak A kelak.

  12. sharing yang sangat bagus, memilih pendidikan untuk anak-anak macam memilih acuan masa depannya…

  13. Salam. Boleh saya tahu yuran utk KSSM. Anak saya kini berasa di Al Amin dan saya sedang mencari tempat terbaik utk dia mengikut kemampuan saya. Semoga Allah permudahkan segalanya,

  14. Sekolah Terawal adalah di rumah dan keluarga. Kaedah parenting yang betul akan menentukan jati diri anak-anak, walau di mana mereka akan berada. Apabila ibubapa mengasuh dan memantau dengan baik, pengaruh persekitaran yang negatif boleh diatasi. Sekiranya suasana orientasi harian di rumah pun masih materialistik, duniawi bagaimana pula kita mengharapkan anak-anak berubah dan kekal bagus seusai persekolahan mereka. Kita sendiri sebagai ibu bapa pasti pernah melihat rakan-rakan sama membesar dahulu yang mempunyai paribadi berlainan kerana latarbelakang keluarga dan pendidikan di rumah mereka berbeza. Dewasa ini kesedaran ke atas jenis pendidikan untuk anak-anak pula semakin meningkat. Pilihan untuk ke sekolah-sekolah ‘bagus’ semakin banyak. Namun, ianya bukanlah pilihan yang dapat dan mampu dibuat oleh majoriti ibubapa. Lokasi sekolah-sekolah yang bagus itu pun terhad dan tidak dalam capaian majoriti. Kalaupun hanya 10% ibubapa mempunyai kesedaran, kemampuan dan logistik untuk menghantar anak mereka ke sana, kapasiti sekolah-sekolah bagus berkenaan masih tidak mampu menampung kemasukan murid-murid. Jadi apa pihan ibubapa majoriti di sana? Mantapkan sekolah primer (rumah) bersungguh-sungguh, pelajari dan aplikasi kan parenting yang dipelajari dengan membaca dan kursus.
    Berapa ramai anak-anak yang ke sekolah agama dan asrama penuh agama yang masih kekal dengan sikap dan peribadi asal sepertimana di rumah. Solat leka, malas membantu kerja rumah, leka denga gadget, bebas sosial di laman sosial..sedangkan ibubapa sudah menghantar ke skolah yang baik, atau aliran agama di sekolah terpilih.

  15. Salam sya ingn brtnya alamt nya dan cra2 ingin memsukan ank sya pd thun ini 2017 umur 7thun….jika ada apa2 jwpan email pd sya..wasalam

  16. alhamdulillah..anak saya juga sebahagian dari ahli keluarga MUSLEH..bersekolah di al amin menengah biarpun hanya melankah ke menengah ini baru dapat menjadi sebahagian ahli keluarga MUSLEH ..biarpun perit jerih mencari sejumlah wang mencecah hampir 1k untuk kos transport dan yuran tapi saya sangat bersyukur dengan perubahan anak..kendiri anak dan paling utama sekali bersyukur Allah s.w.t bukakan hati saya dan suami untuk mengubah stigma konsep pembelajaran hari ini..akademik dan agama perlu seiring..insya allah mudah2an diberikan rezeki untuk adik-adiknya pula menjadi ahli keluarga MUSLEH.

  17. MEMANG BAGUS JIKA SISTEM PERSEKOLAH MENITIKBERATKAN SOAL AGAMA.. NAMUN SAYA TIDAK TERLALU KISAH KERANA BAGI SAYA BIARLAH TIDAK MENGAPA SEKOLAH RENDAH DAN MENENGAH LEBIH FOKUS KEPADA AKEDEMIK DAN KEMAHIRAN UNTUK HIDUP. INI KERANA PASTINYA SAYA AKAN MENGHANTAR ANAK KE SEKOLAH RENDAH AGAMA YANG DISEDIAKAN PIHAK KERAJAAN NEGERI YANG SESINYA ADALAH SELEPAS ATAUPUN SEBELUM SESI PEMBELAJARAN AKEDEMIK.. SELAIN KOS YANG TIDAK MAHAL.. JUMLAH YANG SAMA BANYAK DENGAN SEKOLAH RENDAH KERAJAAN PUSAT … SERTA LOKASI SEKOLAH TERSEBUT KERANA IANYA TERLETAK BERSEBELAHN DENGAN SEKOLAH2 RENDAH TERSEBUT.. ALHAMDULILLAH ANAK2 DAPAT 2.. SATU SEKOLAH DUNIA SATU SEKOLAH AKHIRAT.. DAN YANG PALING PENTING MENGAPA BAYAR LEBIH DAN SIJIL DIIKTIRAF DI SELURUH DUNIA.. SAYA TIDAK PERNAH DENGAR KEPUTUSAN BAIK SEKOLAH2 KERAJAAN TIDAK DITERIMA UNTUK SAMBUNG BELAJAR DI LUAR NEGARA..

  18. anak sulung sy bersekolah di Al Amin Taman Keramat (swasta).. manakala seorang lg di Sekolah Agama Intergrasi.. ada nampak perbezaan antara keduanya.. yg sulung pada awalnya nampak begitu lemah… yg kedua pula pada mulanya agak cemerlang.. tp skang masing2x akan masuk darjah 5 dan 4… yg sulung pula nampak lebih cemerlang dari segi pelajaran, kokurikulum dan akhlaknya.. anak yg kedua pula tercicir dr semua segi… anak yg ketiga akan masuk ke darjah satu, dan ditawarkan ke sekolah kebangsaan… sy dan isteri pula jd serba salah nak masukkan anak ke mana dia akan bersekolah

  19. Assalamualaikum ustaz hasrizal.. Saya nak tanya.. Antara hak anak yg wajib di beri adalah hak pendidikan.. Soalan saya, adakah ibu bapa yg tidak menghantar anak mereka ke sekolah berdosa? Sebaliknya mereka mengajar sendiri anak mereka di rumah mengikut apa yang anak itu perlu tahu sesuai dengan umur mereka? Bagaimana jika ibu bapa itu bekerja, tetapi mahu mendidik sendiri anak mereka di rumah dan tidak menghantar ke sekolah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.