Apabila isu Wahhabiyyah timbul di tengah masyarakat hari ini, ia membawa saya mengimbau kenangan pahit saya melihat perpecahan yang menimpa pelajar Malaysia di Jordan pada akhir 90’an. Perbalahan tentang soal Salaf dan Khalaf telah mengucar kacirkan kehidupan pelajar dan ia terus berlarutan hingga ke hari ini.
Pelajar boleh memanggil rakannya “hoi fasiq!” dan terlintas juga ketika itu, apakah yang bakal terjadi kalau penyakit ini dibawa pulang ke tanah air?
Pada masa itu, saya bermastautin di Ireland dan datang ke Jordan pada musim panas.
Di Ireland, saya ada seorang housemate berbangsa Perancis yang ketika itu baru 9 bulan memeluk Islam. Dia masuk Islam selepas terpikat dengan falsafah, dan keindahan syair-syair Jalaluddin ar-Rumi. Jadi, orangnya agak ‘sufi’ dan jiwanya halus. Sedikit malang, dalam usia Islamnya yang begitu muda, dia telah dirunsingkan dengan suntikan maklumat supaya di dalam perjalanan Islamnya, beliau hendaklah berhati-hati sebab jika tersilap, akan terjebak ke belenggu Wahhabiyyah!
Suatu hari, dia bersembang dengan saya secara peribadi, “Hasrizal, saya ada berita baik. Tapi tidaklah begitu baik.”
Hairan saya mendengarnya lalu saya bertanya, “Sofyane, kenapa awak berkata begitu? Saya kurang faham apa yang awak maksudkan.”
Katanya, “isteri saya mengandung dan tidak lama lagi saya akan menjadi bapa!”
Wah, ini sepatutnya menjadi berita gembira. Saya ingin dapatkan kepastian daripada Sofyane mengapa beliau menyambut berita gembira ini dengan kesugulan yang sedemikian rupa. Sofyane sering bercerita kepada saya betapa sunyinya hidup isteri beliau yang ditinggalkan di Paris kerana beliau terpaksa menghabiskan sisa pengajian di Ireland. Tentunya dengan kehadiran cahaya mata, ia bakal menjadi penyeri rumah tangga mereka.
Sofyane menerangkan bahawa beliau gembira apabila mendapat tahu isterinya mengandung. Tetapi dia dihantui rasa bimbang hingga menjadi paranoid. Katanya, dia orang sufi, suka kepada zikir-zikir dan amat meminati Jalaluddin ar-Rumi. Dia takut apabila anaknya menjadi dewasa, anaknya akan jadi Wahabi dan mengkafirkan dia kerana ’sufi’nya dia!
Ya Allah, jantung saya bagai mahu terputus mendengarnya.
“Sofyane, saudaraku. Apa yang kamu cakap ini? Mengapa sampai begitu sekali kamu berfikir?” saya pula yang kebingungan
Itulah kali pertama beliau menyebut tentang Wahhabiyyah kepada saya. Hal ini menyebabkan saya kaget dan apabila diselidik, rupa-rupanya Sofyane telah diberikan berbelas keping artikel tentang kesesatan dan bahaya Wahhabiyyah. Walhal ketika itu dia baru sahaja belajar bertatih di dalam ilmu Fardu Ain nya.
Artikel tentang Muhammad bin Abdul Wahhab yang datang dari Najd, kota sumber fitnah, kisah beliau menghalang orang ziarah makam Rasulullah SAW, dan pelbagai lagi artikel yang mendukacitakan sesiapa sahaja yang membaca dengan empati, berada di tangannya. Sofyane keliru, dan kekeliruannya dikongsi bersama oleh ramai saudara baru di Eropah, lantaran kesilapan umat Islam sendiri. Mengajak orang masuk ke rumah ikut tingkap, dan bukannya pintu. Isu Wahhabiyyah sama ada pro atau kontra, hanyalah satu cabang daripada Islam. Ia umpama jendela untuk kita melihat beberapa sudut Islam dan bukannya pintu keluar masuk Islam.
Ya, itu satu kenangan silam saya tentang Wahhabiyyah, dan saya tetap berpendapat, hanya penjenayah sahaja yang masuk ke rumah ikut TINGKAP dan bukannya PINTU.
ERA PRA KEMBARA ILMU
Semasa di Malaysia kira-kira pada tahun 1992, saya pernah membaca sebuah buku kecil di dalam Perpustakaan Tun Datu Haji Mustafa, iaitu perpustakaan sekolah saya (SMA Izzuddin Shah, Ipoh). Buku itu telah menyenaraikan Wahhabiyyah sebagai salah satu ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal Jamaah. Ketika itu, saya terima sahaja hal tersebut tanpa melihat apa signifikasinya. Apabila saya berangkat ke Jordan dan memulakan pengajian, kepala saya bersifir mudah sahaja. Saya Syafie di dalam Fiqh, saya Asya’irah di dalam Akidah. Wahhabiyyah pula terkeluar dari Ahli Sunnah wal Jamaah. Itu semacam satu kepercayaan by default yang kita dapat daripada silibus pelajaran di Malaysia dan tradisi sedia ada.
Tetapi syukur, saya tidak pernah mengunci mana-mana pintu untuk menilai pandangan yang pelbagai. Saya amat bersyukur kepada Allah kerana sistem pengajian di Jordan amat terbuka dan kami sentiasa diajar secara perbandingan (comparative). Ia tidak memaksa seseorang menukar pegangan, sebaliknya ia memberi peluang kepada kita untuk melihat sesuatu isu daripada horizon yang lebih luas dan sudut yang berbeza. Warga Syafi’iyyah berpeluang mengkaji bahan mazhab lain. Asyairah pula dapat meneliti bahan Maturidiah dan Salafiah.
Sistem pengajian yang seperti ini memberi peluang untuk melahirkan pelajar yang dinamik, berfikiran terbuka dan tidak dibelenggu oleh ketaksuban yang merugikan. Namun, apa yang paling penting, Jordan mewajibkan pelajarnya hadir ke setiap kelas. Kalau 6 kali pelajar tidak hadir ke kelas, mereka mahrum (disekat) daripada menduduki peperiksaan akhir. Ini memaksa pelajar untuk terus membiasakan diri dengan suasana kelas. Kita banyak berdamping dengan pensyarah. Maka selain ilmu yang diajar, pelajar juga mendapat tempias akhlak, khususnya akhlak kita dalam membawa ilmu berkenaan. Ada pensyarah yang beraliran Khalaf, ada yang Salaf, mereka tidak saling menghina atau mencederakan, dan ia adalah unspoken pedagogy yang dapat dikesan oleh murid-murid yang berhati sufi, walaupun berkecenderungan minda salafi. Kalau boleh disebut begitu.
Jadi, apabila kita konsisten ke kelas, pemikiran kita sentiasa dididik agar bermanhaj. Saya masih ingat, semasa di dalam subjek Hadith al-Ahkam, kami berbalah dengan pensyarah tentang sejauh mana perbahasan para Fuqaha’ berkaitan masalah kewajipan suci daripada kedua-kedua hadas apabila hendak memegang mushaf al-Quran. Akhirnya kami sekelas diberi masa seminggu untuk pergi ke perpustakaan dan mengumpulkan semua dalil yang diguna pakai oleh ulama semua mazhab di dalam bab ini. Sama ada dalil al-Quran, Hadith, Qiyas, kaedah Usul Fiqh atau apa sahaja, semuanya dikumpulkan dan dianalisa satu persatu di dalam kelas.
Ini merupakan teknik yang sangat baik. Ia mengajar kita untuk bersikap adil terhadap ilmu, Insya Allah. Syaratnya, anda ke kelas!
Sebahagian daripada tuntutan silibus pengajian di Jordan, saya dikehendaki membaca buku daripada pelbagai aliran. Saya dikehendaki membaca pelbagai buku seperti Kubrā al-Yaqīniyyāt al-Kauniyyah oleh Dr. Ramadan Saeed Al-Buthi dan Maqālāt al-Islāmiyyīn oleh Imam Abu al-Hasan Ashaari. Dalam masa yang sama, kami juga dikehendaki membaca, memahami dan boleh membahaskan buku-buku karangan ulama yang dilabelkan Wahhabiyyah (walaupun mereka lahir, hidup dan mati beratus tahun sebelum kemunculan Muhammad bin Abdul Wahhab) seperti Ibn Taimiyyah dengan bukunya Al-‘Ubudiyyah, al-Fatwā al-Hamawiyah al-Kubrā dan sebagainya. Tidak lupa, buku anak murid Ibn Taimiyyah iaitu Ibn Qayyim al-Jauziyyah, juga tulisan-tulisan Muhammad bin Abdul Wahhab sendiri.
Berbekalkan fikiran yang tenang menjauhi prejudis, berusaha untuk bersikap adil terhadap ilmu dan kebenaran, maka demi Allah, saya tidak nampak dari sudut manakah, kesemua buku yang saya sebutkan tadi (sama ada aliran Salaf mahu pun Khalaf), yang membolehkan saya menghukum Wahhabiyyah, ‘Asyairah mahu pun Maturidiah terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.
KESIMPULAN YANG SIHAT
Saya amat selesa dengan nasihat pensyarah-pensyarah kami semasa di Jordan. Kata Dr. Abdullah Mustafa Zeib al-Fawwaz dan Dr. Abd el-Rahman el-Kilani, “sama ada kamu memilih aliran Salaf, mahu pun Khalaf, mana-mana yang membawa kamu kepada beriman dengan YAKIN kepada Allah, maka teruskan sahaja dengan manhaj itu!” Saranan yang sama saya peroleh daripada tokoh-tokoh seperti Hasan al-Banna yang berjIWA DA’IE walaupun FAQIH pada akal dan pengkhususan bidang mereka. Tokoh-tokoh seperti ini lebih berusaha mencari dan menyebarkan titik persamaan di antara manhaj yang pelbagai itu, berbanding dengan perbezaan yang rationya terlalu kecil dan boleh ditolak ansurkan.
CINTA OTHMANIYYAH BENCI WAHABI?
Saya juga seorang pengkaji sejarah Dawlah Othmaniyyah.
Saya cintakan sejarah Othmaniyyah. Biar pun rezeki saya belum ada untuk memiliki apa-apa kelulusan akademik di bidang ini, ia adalah bidang yang saya disiplinkan diri dengan latihan penyelidikannya. Catatan Sultan Abdul Hamid II masih sering saya renungkan:
“I am sure that the historians will vindicate me, and even if the Turkish historians do not do so, I am certain that some foreign historians will do me justice”.
Apabila saya menambah pembacaan terhadap karangan-karangan ulama di zaman mutakhir kerajaan Othmaniyyah, saya dibebankan dengan timbunan penulisan mereka yang mencela dan mencaci Muhammad bin Abdul Wahhab. Ya, semacam sudah ada satu trend. Lazimnya, kalau mahu cinta kepada Othmaniyyah, perlulah bermusuh dengan Wahhabiyyah. Ia pakej yang dikenali ramai dalam arus perdana. Syukur kepada Allah, hidayah-Nya sentiasa mengingatkan kita agar berlaku adil, bahawa kita boleh mengadakan C ketika pilihan yang popular hanyalah A atau B.
Saya amat mencintai sejarah Othmaniyyah tetapi cinta saya tidak membuta tuli. Saya bersedia untuk mengiktiraf sudut-sudut hitam Sejarah Othmaniyyah, termasuklah kelakuan-kelakuan buruk Gabenor Othmaniyyah yang bertugas di Tanah Arab.
Peristiwa seperti penyalahgunaan kuasa Gabenor Othmaniyyah di Tanah Arab, malah bencana seperti Armenia Massacre 1895, harus dianggap sebagai peristiwa yang berpunca daripada aliran Turanism yang taasub Turki dan anti Othmaniyyah yang Islamiah. Ia bukan polisi Kerajaan ‘Islam’ Othmaniyyah. Kita juga perlu memahami bidang kuasa Sultan yang ada pasang surut dalam sejarah pemerintahan yang panjang. Bahkan keputusan-keputusan Istanbul selalunya lebih mempengaruhi urus tadbir Istanbul, Anatolia, Rumeli dan Balkan. Ada pun wilayah-wilayah lain yang diwarnakan sebagai wilayah Othmaniyyah, pengaruh pusat ke atas pentadbiran tempatan mesti diteliti satu persatu.
Dakwaan yang mengatakan bahawa Gerakan Wahhabiyyah telah menjatuhkan Khilafah Othmaniyyah, adalah suatu kenyataan yang menyimpang dari fakta sejarah. Apatah lagi, apabila kenyataan ini disiarkan secara meluas di media massa tempatan, saya kabur tentang motifnya. Apakah kenyataan ini mahu ‘memancing’ pihak kerajaan supaya menggunakan pendekatan penguatkuasaan undang-undang ke atas Wahhabiyyah di atas dasar Wahhabiyyah boleh menjatuhkan kerajaan pemerintah sebagaimana Wahhabiyyah pernah menjatuhkan Khilafah Othmaniyyah?
DAWLAH UTHMANIYYAH DAN GERAKAN ‘WAHHABI’
Dr Muhammad Abdul Hamid Harb telah menterjemahkan sekeping manuskrip Othmaniyyah yang tersimpan di Perpustakaan Sultan Abdul Hamid (Yildiz Sarayi) tentang rekod kerajaan Othmaniyyah terhadap kemunculan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab. Manuskrip itu ditulis oleh Muhammad Kamil bin Nukman atau lebih dikenali sebagai Ibn Daraami al-Homsi. Manuskrip itu bertarikh 27 Ramadhan tahun 1312H, setebal 82 keping iaitu 164 muka surat. Ia ditulis atas permintaan Sultan Abdul Hamid II yang mahu mengetahui secara terperinci tentang hal ehwal Semenanjung Tanah Arab dari segi geografinya, sosio budayanya, dan termasuklah kesan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab.
Antara isi kandungan manuskrip tersebut ialah kisah bagaimana seorang Badwi telah kehilangan untanya. Lalu dia pergi ke kubur seorang alim bernama Saad dan meratap, “Wahai Saad, wahai Saad, pulangkan untaku!” Hal ini berlarutan selama beberapa hari dan akhirnya, perihal Badwi yang meratap di kubur syeikhnya itu sampai ke pengetahuan Muhammad bin Abdul Wahhab. Beliau telah datang kepada Badwi tersebut lalu berkata:
“Apa masalah kamu?”
“Aku kehilangan untaku. Sebab itu aku datang ke kubur syeikh aku. Sesungguhnya Syeikh Saad pasti boleh memulangkan kepadaku untaku yang hilang itu!” jawab orang Badwi itu tadi.
Muhammad bin Abdul Wahhab bertanya “siapakah syeikh kamu yang kamu maksudkan itu?”
Si Badwi menjawab “inilah dia syeikh aku, yang duduk di dalam kubur ni!”
Lalu Muhammad bin Abdul Wahhab berkata “Ya Sheikh! Kamu adalah kamu dan kamu hidup serta kamu yang hidup tak mampu mendapatkan untamu. Apa hal pula kamu minta dari syeikh kamu sedangkan dia adalah mayat yang sudah mati. Bagaimana mungkin untuk dia keluar dari kubur untuk mencarikan kamu apa yang kamu sendiri tidak mampu lakukan? Sudahlah, tinggalkanlah si mati itu, mintalah pertolongan daripada Allah dan bukannya dari si dia yang sudah tertanam di bawah batu ini. Dia sudah menjadi tulang. Janganlah kamu minta dari Saad, sebaliknya mintalah daripada Tuhan Saad. Jangan sebut: wahai Saad! Sebaliknya sebutlah: wahai Tuhan Saad! Sesungguhnya Dia berkuasa untuk memulangkan untamu. Ingat, bukan Saad, tapi Tuhan Saad. Dan ketahuilah bahawa Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu!” (muka surat 31)
Ibn Daraami al-Homsi yang menulis manuskrip itu, membuat komentar untuk Sultan Abdul Hamid II dengan berkata, “sesungguhnya nasihat-nasihat Muhammad bin Abdul Wahab telah pun disebarkan kepada kabilah-kabilah Arab dan mereka menerimanya dengan baik, malah kesannya juga amat teguh. Pandangannya tersebar ke seluruh pelosok Semenanjung Tanah Arab dari hujung ke hujung, meliputi Haramain serta Iraq, Hijaz dan bandar-bandar yang lain.” (muka surat 32) [rujuk Al-Othmaniyyun fee at-Taareekh wa al-Hadharah oleh Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb, terbitan Darul Qalam, Dimasyq, cetakan kedua 1419 / 1999)
Sehingga ke era pemerintahan Sultan Abdul Hamid II (1876 – 1908) sentimen menyalahkan gerakan Muhammad bin Abdul Wahhab sebagai punca keruntuhan Khilafah Othmaniyyah, tidak berlaku.
Manuskrip ini hanyalah salah satu daripada rujukan-rujukan yang perlu dilunaskan dalam memenuhi tuntutan pensejarahan berkaitan Daulah Uthmaniah dan gerakan Muhammad Ibn Abd al-Wahhab. Semasa kita pantas menggunakan istilah Wahhabi, apakah latar belakang sejarah istilah itu? Dari mana asal usulnya?
LIMA TIANG PENSEJARAHAN ‘WAHHABI’
Sama seperti mana-mana topik sejarah yang lain, isu gerakan Muhammad bin Abd al-Wahhab ini juga sepatutnya dikaji dengan sempurna tinjauan literatur berkaitan , sebagaimana yang dicadangkan oleh Natana DeLong-Bas ini:
- Karya-karya Muhammad ibn Abd al-Wahhab sendiri.
- Antara koleksi yang mudah diperolehi, adalah karya terkumpul berjumlah 5 jilid di bawah tajuk Muallafât al-Shaykh al-Imam Muhammad bin Abd al-Wahhab terbitan Jami’ah al-Imam Muhammad bin Saud al-Islamiyyah, Riyadh, Arab Saudi, bertarikh 1978-1979.
- Manakala versi terjemahan pula adalah Three Essays on Tauhid yang diterjemahkan oleh Ismail Raji al-Faruqi, terbitan Islamic Publications International, Teaneck New Jearsey bertarikh 1979.
- Demikian juga penterjemah yang sama, menghasilkan Kitab al-Tawhid, diterbitkan oleh al-Faisal Printing, Kuwait, bertarikh 1986.
- Karya pewaris keturunan dan sejarawan rasmi.
- Antara karya yang boleh dimanfaatkan adalah ‘Unwân al-Majd fî Târîkh Najd tulisan Uthman ibn Bishr, diedit oleh Abd al-Rahman bin Abd al-Latif bin Abd Allah Âl al-Shaykh. Karya 2 jilid ini diterbitkan oleh Dârât al-Malik Abd al-Aziz, Riyadh, Arab Saudi, bertarikh 1982-1983.
- Begitu juga dengan Târîkh Najd karya Husayn Ibn Ghannam, 2 jilid terbitan Dar al-Shuruq, Lebanon, bertarikh 1994.
- Karya penentang kepada gerakan Muhammad bin Abd al-Wahhab.
- Bagi karya oleh penentang kepada gerakan Muhammad bin Abd al-Wahhab pula, kita perlu memanfaatkan karya Sheikh Ahmad ibn Zayni Dahlan bertajuk al-Durar al-Saniyah fi al-Radd ‘ala al-Wahhâbiyyah, terbitan Dar Jawami’ al-Kalam, Kaherah, Mesir, bertarikh 1986.
- Demikian juga karya Sulayman ibn Abd Allah ibn Muhammad ibn Abd al-Wahhab bertajuk Taysir al-Aziz al-Hamid fi Sharh Kitab al-Tawhid, terbitan al-Maktab al-Islami, Beirut, Lebanon, bertarikh 1983 (1402AH).
- Karya pengalaman langsung oleh pemerhati dari luar.
- Ali Bey, ada menulis karyanya yang diterbitakan dengan tajuk Travel of Ali Bey in Morocco, Tripoli, Cyprus, Egypt, Arabia, Syria and Turkey Between the Years 1803 and 1807. Karya 2 jilid ini diterbitkan di London pada tahun 1816 oleh Longman, Hurst, Rees, Orme and Brown.
- Seorang sejarawan Mesir yang sangat terkemuka iaitu Abd al-Rahman al-Jabarti ada menghasilkan Târîkh al-Jabarti yang diterbitakn dengan tajuk Abd al-Rahman al-Jabarti’s History of Egypt, diedit oleh Thomas Philipp and Moshe Perimann. Dia diterbitkan dalam 4 jilid oleh Franz Steiner Veriag di Stuttgart, Jerman, bertarikh 1994.
- Karya oleh pengembara Eropah dan pegawai-pegawai tentera mereka.
- Sir Harford Jones Brydges ada menulis sebuah karya bertajuk An Account of the Transactions of His Majesty’s Mission to the Court of Persia in the Years 1807-11, to Which is Appended, a Brief History of the Wahauby. Ia diterbitkan dalam dua jils di London oleh Henry Colburn dan Richard Bentley bertarikh 1831.
- Demikian juga, Louis-Alexandre Corancez ada menulis Histoire des Wahabis, depuis leur origine jusqu’a la fine de 1809. Ia diterbitakan di Paris oleh Chez Crapart bertarikh 1810.
- Jean Baptiste Louis Jacques Rousseau menulis Description du Pachalik de Bagdad, suivie d’une Notice sur les Wahabis, et de quelques autres pieces historiques relatives a l’historie et a la litterature de l’Orient. Ia diterbitkan juga di Paris oleh Treuttel et Wurtz bertarikh 1809.
– Lihat selanjutnya di: https://saifulislam.com/2014/02/lima-tiang-pensejarahan-dakwah-muhammad-ibn-abd-al-wahhab/
Perlu juga diperingatkan, sebelum gerakan Muwahhidin oleh Muhammad bin Abdul Wahhab muncul di tanah Arab, Dawlah Uthmaniyyah sendiri telah terlebih dahulu menempuh era pertembungan di antara aliran Sufi dan gerakan ‘Islah’ yang dikenali sebagai gerakan Kadızadeli. Sejarah panjang melangkau 100 tahun di Istanbul membawa kepada pelbagai insiden yang positif dan negatif di Topkapı, dan berakhir dengan tokoh-tokoh penting gerakan ini ‘diselamatkan’ daripada hukuman mati di Istanbul lalu dipindah ke Cyprus dan kemudiannya ke Dimashq. Susur galur aliran hadith di Istanbul berpindah ke Syam dan pertemuan aliran ini dengan kehadiran Muhammad bin Abdul Wahhab sebagai penuntut ilmu di Syam, adalah segmen sejarah yang perlu lebih dikaji dengan lebih mendalamnya. Pokoknya, Dawlah Uthmaniyyah dan Wahhabiyyah bukan hitam versus putih.
GOLONGAN YANG MEMUSUHI WAHABI
Namun saya pasti, golongan yang memusuhi Wahhabiyyah ini ramai.
Pertamanya adalah Syiah. Mereka amat benci kepada Wahhabiyyah, mungkin bermula dengan kebencian mereka terhadap Sheikh al-Islam Ibn Taimiyah yang telah menulis kitab Minhāj as-Sunnah. Buku ini terus berfungsi zaman berzaman sebagai benteng yang mempertahankan kemurnian Aqidah ahl-Sunnah wa al-Jamaah daripada pencemaran Tauhid, Fiqh dan Akhlak oleh dakyah Syiah.
Keduanya, tradisi pengajian Islam oleh warga pondok dan pesantren di Kepulauan Melayu melalui susur galur Makkah al-Mukarramah. Saya masih cuba memahami, apakah perselisihan faham di antara Sidi Ahmad Zaini Dahlan, Mufti Makkah ketika itu yang tidak sependapat dengan Muhammad bin Abdul Wahhab, berpindah kepada anak-anak muridnya yang kemudian pulang ke Kepulauan Melayu dan menjadi pemimpin ilmu serta masyarakat. Ada ruang kabur di situ yang mesti diselesaikan, kerana mungkin ada warisan kesilapan fakta yang berlaku di sana, generasi demi generasi.
Golongan ketiga yang memusuhi Wahhabiyyah adalah golongan Islam urban. Mungkin pendekatan Wahhabiyyah yang sinonim dengan ketegasan mereka di dalam pemahaman teks al-Quran dan al-Hadith telah menyesakkan dada golongan Islam urbanyang mahu melepaskan diri daripada cengkaman tradisi Islam yang mereka anggap sebagai ‘penghalang kemajuan dan kebebasan beragama’. Saya mahu gunakan istilah Islam Liberal, tetapi ia tidak menepati konotasi semasa.
Dan terkini (artikel ini ditulis pada tahun 2006), golongan yang memusuhi Wahhabiyyah adalah Amerika dan konco-konconya apabila Wahhabiyyah dikaitkan sebagai fahaman anutan Osama bin Laden serta Abu Bakar Al-Bashir. Maka sifir mereka ialah:
Wahhabiyyah = Osama bin Laden = Abu Bakar al-Bashir = Nordin Mat Top = Dr Azahari = Terrorist!
Sifir ini memang luar biasa, namun hanya sehari selepas Dr Uthman el-Muhammadi mengungkapkan kebimbangannya terhadap Wahhabiyyah di Mingguan Malaysia (26 November 2005), sifir ini muncul dengan panas lantas pelbagai spekulasi luar biasa timbul.
PERLU DIPERJELASKAN
Adalah amat penting untuk saya jelaskan di sini, saya bukan berusaha mempertahankan Wahhabiyyah kerana taasub saya kepadanya atau mana-mana kumpulan. Tetapi apa yang ingin diketengahkan adalah soal kewajipan kita memenangkan AL-HAQ iaitu KEBENARAN, mengatasi sahsiah dan sentimen hawa nafsu semata.
Sama ada kritikan itu ditujukan kepada Wahhabiyyah, Ahli Khalaf mahu pun Salaf atau sesiapa sahaja, ia mestilah dibuat berasaskan bukti yang sahih lagi teruji.
Semasa Puteri Saba’ mendengar berita kedatangan Nabi Sulaiman ‘alayhi al-Salam ke negaranya, beliau telah membuat suatu kenyataan yang dirakamkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:
“Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina …”
Lantas Allah SWT mengiyakan spekulasi Puteri Saba’ dengan firman-Nya:
“… dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.” (al-Naml : 34)
Kenyataan tentang tabiat raja-raja itu disebut oleh seorang penyembah matahari, seorang perempuan Musyrik. Tetapi oleh kerana kenyataan itu benar, Allah SWT memuliakan kebenaran lantas mengiyakan kenyataan tersebut. Demikianlah Islam memuliakan KEBENARAN, dan sebarang sikap yang mengutamakan SELAIN KEBENARAN, adalah tercela dan membinasakan agama. Kebenaran pula, dibuktikan serta dipertahankan dengan HUJAH, dan bukannya SYAKHSIAH atau andaian kosong.
Dan selagi masih berada di dalam daerah Islam, seruan kita adalah seruan persaudaraan, kesatuan dan bertolak ansur dalam perkara-perkara yang diperselisihkan. Agama datang untuk menyatukan, bukan memecah belahkan. Pecah belah adalah resepi yang ingin Syaitan semai ke wilayah kaum beriman agar mereka bersengketa dan mengingkari Allah secara besar-besaran.
Adakah saya Wahhabi?
Saya hampir tidak pernah memetik pendapat Muhammad bin Abdul Wahhab di dalam mana-mana tulisan kerana saya bukan ‘peminat’ idea-idea beliau. Apa yang lebih penting ialah, kemunculan aliran Salaf mahu pun Khalaf adalah untuk menjawab cabaran di zaman-zaman tertentu di dalam sejarah. Keperluan kita hari ini memerlukan kita sama-sama berdiri dengan penuh insaf, melangkaui kedua-dua aliran Salaf dan Khalaf. Ini zaman kita, dan kita perlu terus menerus memberi tindak balas yang bersifat semasa.
Ya Allah, perlihatkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami upaya mengikutnya. Perlihatkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan kurniakan kepada kami kekuatan untuk menghindarinya, Amin.
HASRIZAL
29 Jun 2006
Kemaskini 23 April 2016
Masalah akidah, tauhid tiga serangkai, mujassimah dll tu tak cakap ke? Berlaku adil lah ustaz. Ustaz tahu kebanyakan orang yang ada masalah dengan wahabi-salafi, ada masalah dengan akidah mereka.
Terima kasih atas tulisan yang adil.