“Sekolah sepatutnya jangan kisahkan sangat aku, aku, aku. Me, me, me. Itu yang budak-budak sekarang jadi lemak!” kata Ahmad.
“Memanglah famili aku miskin. Tapi aku kerja keras. Alhamdulillah dapat rezeki masuk sekolah asrama penuh. Di situ pun, bukannya boleh senang lenang. Masih kena terus kerja keras. Kalau malas-malas, tak kiralah UPSR 5A, PMR straight A’s sekali pun, SPM kantoi! Sendiri tanggung la!” tambah Zamri.
“Kalau sekolah asyik nak ambil kira pelajar yang slow dan bermasalah, tidakkah itu menzalimi pelajar yang berpotensi besar. Yang bijak pandai pun boleh dizalimi, kalau potensinya diabaikan. Aku tak setuju kerajaan agih duit sama rata pada semua sekolah. Ada sekolah pandai guna bajet, ada sekolah buang duit bagi karipap gemuk je dalam mesyuarat cikgu!” Ani menyampuk, tidak mahu mengalah dalam berpendapat.
“Pada aku, sekolah kena sedar, macam-macam benda berlaku di rumah. Sebab itu pelajar datang sekolah macam-macam perangai. Walaupun peluang mereka di sekolah sama, tapi awal-awal lagi mereka dah kalah dengan masalah famili.” Sarah cuba menenangkan keadaan.
Biar pun mereka belajar di universiti yang sama 20 tahun yang lalu, malah mengikuti program persatuan dan dakwah yang sama, selepas 20 tahun meninggalkan alam tertiari, ada kelainan pada cara masing-masing berpendapat tentang pendidikan. Apabila muncul isu-isu tertentu membabitkan sekolah, guru, dan pendidikan di media massa, ia mudah mencetuskan perbualan. Semua orang boleh dengan mudah mengaitkan diri mereka dengan pendidikan. Sama ada setuju atau tidak setuju, rasa mengambil berat tentang pendidikan itu bertambah lagi apabila anak-anak mula bersekolah.
Rumitnya pendidikan, apa yang ada di kertas sering tidak sama dengan apa yang diamalkan. Teringat saya kepada guru sosiologi pendidikan kami, katanya beliau berasa malu sebab melakukan sesuatu yang bercanggah dengan apa yang beliau sendiri ajar. Beliau shopping sekolah, mencari sekolah yang lebih baik untuk anaknya, ketika mana beliau mempertahankan pentingnya sebuah sekolah mencampur pelbagai latar belakang pelajar, dan percampuran itu baik untuk perkembangan anak-anak. Ia diperjuangkan oleh sekolah-sekolah di Finland. Bahawa sekolah terbaik adalah sekolah yang terdekat dengan rumah. Mana-mana sekolah pun kualitinya sama bagus. Tiada sebab untuk ibu bapa mencari sekolah lain.
Tetapi pensyarah kami tidak pasti.
Beliau membeli rumah di sebuah kejiranan yang beliau gemari. Beberapa tahun kemudiannya kerajaan membina council house dan sekolah kejiranannya berada di tengah-tengah antara kejiranan beliau dengan kejiranan golongan pekerja.
“Suami saya pernah kena pukul semasa berada di kejiranan tersebut. Kami agak bimbang membiarkan anak kami bergaul dengan kanak-kanak daripada kejiranan berkenaan!” katanya.
Oh manusia. Sesungguhnya manusia itu rumit. Antara pertimbangan akal pada melihat data-data kajian empirikal, dengan hati dan perasaan yang mempertimbangkan sesuatu yang lebih tersirat, manusia sukar untuk melakukan sesuatu berasaskan logik semata-mata.
Beliau nampak gelisah apabila melihat kami seakan-akan mempersoalkan tindakan beliau. Pelajarnya ramai yang muda-muda, mungkin masih sangat idealistik dalam melihat sesuatu. Saya juga terkejut, tetapi boleh memahami bagaimana seseorang boleh bertindak sedemikian rupa.
“Saya berazam, anak yang seorang lagi ini saya akan sekolahkan di sekolah kejiranan kami. Saya sudah lebih berusia, lebih berpengalaman, sudah ada serba sedikit ilmu pengetahuan, saya sepatutnya boleh ada keberanian melawan fikiran negatif ini” tegasnya.
Kami ketawa di dalam kelas.
Subjek sosiologi ini cuba menjelaskan kepada kami bagaimanakah masyarakat mempengaruhi pendidikan dan bagaimana pendidikan mempengaruhi masyarakat. Ia membabitkan peranan sekolah, kerajaan, keluarga dan individu berkaitan dengan pendidikan. Subjek ini menyegarkan fikiran saya selepas hampir setahun bergelumang dengan literatur ‘baru’ berkaitan sains pembelajaran yang mikro bersangkutan dengan kognitif dan metakognitif, motivasi, emosi, serta bagaimana interaksi semua itu dengan teknologi. Sesuatu yang amat baru bagi saya, dan mencabar keupayaan diri menguasainya. Manakala subjek sosiologi ini pula adalah subjek elektif, dan saya sangat selesa berada di dalamnya.
Di awal-awal pembelajaran, kami meneliti pendapat golongan functionalists seperti Émile Durkheim. Golongan functionalists mementingkan kerukunan masyarakat, yang memerlukan semua orang buat kerja masing-masing dan mendukung nilai yang memupuk rasa bersama. Sekolah memberi pelajar secara berstruktur, pelajar perlu berusaha keras selepas diberi peluang yang sama untuk berjaya, peperiksaan dijalankan dari semasa ke semasa dan pelajar dikelas-kelaskan mengikut keputusan.
Mereka yang cemerlang, cemerlang kerana mereka memanfaatkan kepintaran dan bakat dengan usaha. Dan mereka berhak diberi ganjaran serta penghormatan. Manakala yang tidak cemerlang, perlu terus belajar dan bekerja, menjadi anggota masyarakat dan sama-sama membentuk kerukunan hidup.
Untuk memupuk rasa kebersamaan yang digambarkan itu, ada ritual-ritual tertentu perlu berjalan secara konsisten di sekolah. Pembacaan ikrar, upacara menaikkan bendera, menyanyikan lagu-lagu sekolah, negeri atau negara, demi kebersamaan.
Jika di sekolah ada pelajar kelas A ada pelajar kelas B, itu tidak mengapa. Bagi functionalists seperti Durkheim, sekolah adalah mini masyarakat, yang menggambarkan realiti masyarakat sebenar di luar sana nanti. Bahawa sesiapa yang ingin naik ke tangga kejayaan, berusahalah dengan bersungguh-sungguh. Jika nanti bergaji kecil dan berkedudukan agak rendah di dalam masyarakat, ia adalah sesuatu yang semulajadi, kerana masyarakat memang begitu. Enak sekali Davis–Moore berhipotesis.
Pandangan Durkheim berkembang lagi menurut kaca mata Talcott Parsons. Bagi beliau, peranan sekolah ialah membantu pelajar berinteraksi dengan mereka yang berada di luar kelompok keluarga dan kawan. Secondary socialisation ini penting untuk melatih murid-murid menjadi anggota masyarakat yang boleh berinteraksi di luar sana. Kalau di rumah, kita anak sulung dan dihormati adik beradik (ascribed status), dalam realiti masyarakat ia bukan penilaian standard dan tidak punya sebarang makna. Status yang berfungsi di dalam masyarakat adalah status yang dicapai hasil usaha (achieved status). Maka berusahalah.
Sepanjang membaca tentang Functionalism, saya teringatkan pengalaman persekolahan saya sendiri. 1980’an, di Ipoh, Perak.
Theodore Schultz pula berulang kali menekankan tentang human capital. Sekolah dan pendidikan, kena lahirkan insan yang menjadi modal kepada masyarakat dan negara. Modal insan itu adalah pekerja yang terlatih dan mempunyai kemahiran tinggi. Justeru, tidak mengapa wang yang banyak dibelanjakan untuk melahirkan human capital ini. Melabur untuk pendidikan, adalah melabur untuk ekonomi dan kemakmuran negara.
Memanglah pandangan-pandangan itu ada bagusnya. Ia membentuk sekolah dan pendidikan agar berorientasikan pekerjaan. Pelajar kena fikir, apa yang patut mereka sumbangkan kepada masyarakat suatu hari nanti.
Tetapi pandangan ini, lebih kepada pandangan golongan berjaya. Golongan berkedudukan di dalam masyarakat, memandang dari atas ke bawah. Pandangan yang disanggah oleh Marxist bahawa masyarakat bukan begitu. Ini hanya cara golongan berkedudukan mengukuhkan budaya mereka untuk menjadi budaya golongan pekerja, tanpa mempedulikan rasa keterasingan budaya yang masyarakat ramai alami. Bila masanya sekolah itu meritokratik? Semua pelajar melangkah ke sekolah yang sama, tetapi dengan latar belakang ekonomi dan budaya keluarga yang berlainan. Kelainan yang menjadikan kemampuan mereka untuk turun naik dalam persaingan sekolah dan masyarakat tidak sama.
Golongan interactionists pula beranggapan pandangan functionalists ini seperti syok sendiri. Mereka melihat secara makro, tidak nampak khayalan mereka itu berbeza daripada realiti sebenar. Pelajar dibuli, guru menggelar pelajar dan melabel-label mereka, semua ini seperti tidak kelihatan di mata mereka. Mereka tidak nampak pelajar sebagai individu, yang unik, yang ada kepintaran yang berbeza-beza, yang kreatif dan berpotensi walaupun duduk di kelas D, E atau F di belakang sana.
Walaupun kita datang dari sekolah yang sama, pernah bersama dalam banyak peringkat kehidupan, tetapi pengalaman dan pengamatan yang berbeza-beza, menyebabkan kita tidak lagi serupa dalam memandang pendidikan, sekolah, dan apa yang sepatutnya itu.
Functionalism mungkin asalnya pandangan golongan berada.
Ia kemudian juga menjadi pandangan golongan ‘berjaya’…, dalam mendaki stratifikasi masyarakat.
Saya masih mencari jawapan.
Demi menjayakan pendidikan, sebagai sebuah jalan islah.
HASRIZAL
Oulu, Finland
27 April 2017
Penulisan yg baik….Keep it up! Bab cari ilmu ni pun tak boleh berhenti. Mmg banyak cabaran dan rintangan…tp tetap kena teruskan!!!