Faedah Dua Telinga Dan Hanya Satu Mulut

“Susah nak cakap, ustaz. Beratnya rasa hati ini” keluh bapa seorang pesakit.

“Tak apa. Encik tak perlu cakap apa-apa. Saya tahu apa yang sedang Encik alami. Semua ini dugaan Allah. Kita sebagai umat Islam wajib beriman bawa semua yang berlaku itu ada hikmahnya di sisi Allah. Jadi, kita tidak sepatutnya mengeluh dengan kejadian ini tetapi sepatutnya mencari hikmah terhadap apa yang terjadi!” balas si ustaz dengan penuh kefasihan dan keyakinan.

“Huh! Macamlah si ustaz ni tahu sakitnya menanggung derita anak kena uji macam ini!” pakcik tersebut mengeluh di dalam hati. Wajahnya pun masam.

Si ustaz kehairanan.

“Di mana salahnya nasihat aku tadi?” fikir ustaz tersebut.

Sangkanya realiti hidup ini macam kertas jawapan peperiksaan. Menjawab mengikut skema. Asalkan betul dengan al-Quran, betul dengan al-Sunnah, tepat seperti huraian ulama’, maka berhak mendapat markah penuh.

Salahnya bukan pada nasihat.

Tapi nasihat tak bertempat. Tak betul masa, tak betul suasana, tak betul konteks.

Puncanya mudah. Tidak bijak mendengar lantas terlalu mudah untuk berkelakuan memahami.

Anda tidak kepingin untuk pergi lagi ke kedai yang penjualnya terlalu tahu dengan selera anda hingga tidak peduli dengan kehendak anda yang sebenarnya. Anda juga serik untuk ke klinik yang doktornya terlalu cepat membuat diagnosis sebelum sempat anda menceritakan sakit yang anda hadapi. Anda juga bosan dengan ibu bapa, guru-guru termasuklah pendakwah yang seakan-akan tahu dan faham belaka masalah anda, dengan alasan mereka makan garam lebih awal.

Anda berhak untuk rasa begitu kerana mereka lupa bahawa Allah SWT menciptakan manusia ini dengan satu mulut dua telinga. Maka kurangkan cakap, banyakkan mendengar!

Golongan yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut apa yang terbaiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. [Al-Zumar 39 : 18]

Manusia yang berakal sempurna dan beroleh petunjuk dari Allah itu, adalah manusia yang memilih qaul yang terbaik. Mana mungkin seseorang menemui pandangan terbaik, jika dirinya tidak terbuka untuk mendengar kepelbagaian pandangan terlebih dahulu? Maka, kemahiran dan keupayaan mendengar dengan baik, adalah asas untuk manusia mencari, memberi dan menerima yang terbaik dalam hidup ini.

CEPAT MELOMPAT

“Oh, Ustaz A ke ceramah malam ni? Jom kita dengar, mesti hebat dan betul punyalah ceramah dia!” kata seorang pengunjung kuliah Maghrib.

“Oh, ustaz anu ke ceramah malam ni? Tak payah le dengar. Mesti mengarut punya!” katanya pada hari yang berbeza.

Jika kita konsisten berkelakuan begini, membuat keputusan sebelum sesi hearing mengambil tempat, maka akan banyaklah kebaikan yang terlepas dan banyak juga keburukan yang terbit daripada kelakuan begitu.

Masakan tidak, jika tabiat seperti ini dibawa ke rumah, bagaimanakah sang suami boleh memahami masalah isteri? Bagaimana pula isteri boleh menangkap kehendak suami? Bolehkah ibu bapa membantu anak keluar daripada belenggu masalahnya jika mereka terlalu cepat melompat kepada kesimpulan sebelum mendengar dan memahami?

Ia jadi penyakit.

Mungkin di situ hikmahnya Allah menggesa kita supaya berdoa. Bukan Allah tidak tahu apa yang kita mahu dan perlu sebelum kita meminta. Tetapi disuruhnya kita meluahkan dahulu, agar kita sendiri faham apa yang kita hajatkan, sebelum Allah memakbulkan permintaan. Allah mahu kita berdoa supaya kita melihat betapa Allah Maha Mendengar, sebelum menunaikan hajat kita. Sebelum bertindak.

Mendengar itu sendiri sudah merupakan syifa’, rawatan buat yang memperdengarkan masalahnya.

Maka hamba-hamba-Nya juga harus begitu. Sebelum bertindak, luaskan ruang untuk orang meluahkan keinginan dan perasaan serta mulakan semua itu dengan kesediaan kita untuk mendengar.

PENDENGARAN SONGSANG

Jangan dibiasakan diri dengan cara-cara mendengar yang songsang. Mendengar, mendengar juga. Tetapi tidak membantu malah memburukkan keadaan.

Setelah sepanjang hayat kita belajar membaca, menulis dan bercakap, pernahkah anda luangkan masa untuk belajar mendengar? Kita belajar kaedah membaca pantas, menulis dengan baik dan bercakap dengan fasih, tetapi amat jarang sekali kita memperbaiki cara kita mendengar. Akibatnya, kita jarang mendengar kerana setiap kali berlaku percakapan kita akan sibuk menyiapkan diri untuk memberikan respond, sibuk untuk menilai dan menapis percakapan itu mengikut paradigma diri kita sendiri.

Sikap ini banyak menjejaskan kehidupan kita.

Pekerjaan di pejabat.

Rumahtangga antara suami, isteri dan anak-anak.

Pergaulan sesama rakan.

Malah dakwah dan penyebaran Islam.

Berikut adalah contoh-contoh pendengaran songsang yang wajar sama-sama kita elakkan:

1. MACAM DENGAR TETAPI TIDAK DENGAR

“Aku pun dah habis ikhtiar. Tak tahu nak buat macam mana. Apa pandangan engkau?” tanya Ali.

“….”, Ahmad termenung. Matanya menembus dinding.

“Hoi, ko dengar tak apa yang aku cerita tadi?” Ali kepanasan.

“Err… !” itu sahaja jawapan Ahmad.

Kita sering terbabas semasa meminjamkan pendengaran kepada seseorang yang mahu berkongsi masalah. Tetapi terlalu kerap melakukan perkara sedemikian akan menyebabkan kita kehilangan reputasi dan kepercayaan rakan.

Blurred memanjang!

Mohon bersabar dengan masalah sebegini jika rakan anda itu adalah warga ADHD.

2. BUAT-BUAT DENGAR

Ini adalah kebiasaan yang lebih popular. Kita tidak begitu mempedulikan apa yang sedang diperdengarkan kepada kita. Sebaliknya cuba menyembunyikan ‘kehilangan’ kita dari perbualan itu dengan memberikan komen-komen tanpa makna berbunyi hmm…ooo…, I see…, gitu

Semua itu adalah cara yang mudah untuk memberitahu kepada rakan yang sedang bercakap itu betapa tidak bernilainya percakapan beliau, tidak signifikan dan tidak berharganya segala yang disuarakan itu.

3. DENGAR APA YANG MAHU DIDENGAR SAHAJA

Disebabkan oleh obsesi kita dengan beberapa isu yang mendominasi fikiran, kita menjadi sangat selektif dalam meminjamkan pendengaran. Tumpuan kita hanya kepada apa yang kita minat, malah mungkin menyebabkan perbincangan tersasar daripada maksud asalnya.

“Aku sebenarnya susah hati. Ada ura-ura yang isteri aku akan dipindahkan ke Sabah hujung tahun ini” kata Ali kepada Ahmad, rakan karibnya.

“Sabah? Oh, aku memang suka betul dengan Sabah. Especially bab udang. Murah betul di sana tu. Setiap kali aku ke Sabah, mesti aku bawa balik sekotak udang dari Sabah” jawab Ahmad sambil tangannya sibuk memicit jerawat batu yang degil di atas dagunya.

Apa rasanya jika kita mendapat maklum balas yang sebegini? Tentu panas hati dibuatnya.

Ini merupakan gejala yang semakin biasa dan berleluasa di dalam internet hari ini. Lihat sahaja diskusi yang dibuat dalam format forum. Bandingkan tajuk asal pada posting pertama, dengan posting terakhir.

“Masjid di Atas Tanah Waqaf Ditutup Oleh Pihak Berkuasa Kerana Politik” bunyi tajuk yang diberikan oleh penghantar artikel berkenaan.

Diskusi sepatutnya memfokuskan kepada tindakan pihak berkuasa yang menutup masjid atas motif politik, tetapi perbincangan tersasar apabila ramai yang mendengar secara selektif, menarik tumpuan kepada isu hukum membina masjid di atas tanah waqaf!

Sebahagian pula berbalah tentang ejaan sebenar antara wakaf dan waqaf atau waqf.

“Pakcik itu hanya penoreh getah. Tetapi dengan sikap yang baik, beliau lebih berguna dari seorang pakar kardiologi dalam insiden berkenaan, walaupun dia hanya ada payung mayat yang orang kampung sedekah selepas talqin” saya pernah mengulas begini tentang iklan Petronas di dalam ceramah berkenaan sikap.

“Ustaz, bukan talqin tu bid’ah ke?” sampuk seorang peserta.

Masyarakat kita amat mudah tersampuk dengan perkataan-perkataan yang berada di dalam obsesi masing-masing semata. Fokus bukan lagi satu keutamaan di dalam komunikasi dan diskusi.

4. HANYA MENDENGAR PERKATAAN

Dunia ini bukan kertas. Bukan juga skrin komputer. Lantas apa yang dibaca hasil tulisan, mungkin berlainan maksud disebabkan oleh faktor-faktor di luar dunia kata-kata. Pendengar yang baik bukan hanya cuba memahami perkataan, tetapi harus juga memberikan perhatian kepada apa yang tidak diperkatakan.

“Tolong belikan aku seluar dalam dua tiga helai!” sms sahabat saya kepada rakan kami yang pulang bercuti ke Malaysia.

Terkasima rakan di Malaysia menerima sms sebegini. Sms yang kering dari sebarang ekspresi wajah, intonasi suara dan gaya tubuh. Apakah rakannya meminta beliau membeli seluar dalam, sebanyak dua tiga helai, atau membelikannya seluar biasa, dalam dua tiga helai?

Masalah komunikasi boleh berlaku hanya kerana perkara sebegini. Jika di dalam tulisan, kita dibantu oleh tanda koma, tanda seruan, tanda soal dan titik, maka semasa mendengar kita juga harus peka kepada tanda-tanda sedemikian yang dizahirkan bukan melalui perkataan, tetapi sebaliknya melalui gaya tubuh, memek muka, intonasi suara dan sebagainya.

Dalam percakapan, perkataan hanya mewakili 7% makna, 40% diwakili oleh nada dan perasaan, manakala 53% disampaikan melalui bahasa tubuh. Maka pendengar yang baik ialah seseorang yang mendengar apa yang tidak diperdengarkan!

5. MENDENGAR SUARA SENDIRI SEMATA

Mendengar seperti ini, lazim berlaku kepada seseorang yang sangat obses dengan dirinya sendiri. Kita sentiasa menilai orang lain dari pandangan diri kita sendiri, dan jarang sekali ‘memakai kasut orang lain’ untuk melihat masalah dari sudut yang di luar lingkungan persepsi sendiri.

“Susah sangat ke nak faham benda macam tu?” kita cepat melenting kerana menyangkakan orang lain juga ada daya memahami seperti kita.

“Oh, aku faham sangat dengan perasaan engkau!” kita bersuara dengan hasrat membantu.

Hakikatnya kita tidak faham dengan perasaan dia. Kita hanya faham dengan perasaan kita dan kita sangka orang lain mempunyai perasaan yang sama dengan kita.

Lantas orang yang seperti ini, akan mudah menghukum, terlalu cepat mahu memberi nasihat dan gemar menceroboh sempadan.

Menghukum

Lihat sahaja perbualan berikut dan perhatikan betapa sibuknya si pendengar menghukum kawannya. Hukuman-hukuman yang bersarang di kepala pendengar itu dicatatkan dengan Italic untuk memudahkan pembacaan.

ALI: Seronok betul ana pergi dengar ceramah Ustaz Abu semalam.

AHMAD: Oh, baguslah begitu (Ustaz Abu lagi! Apa benda yang dia nak cari dari kuliah ustaz macam Ustaz Abu tu?).

ALI: Tak sangka pula bagusnya ceramah Ustaz Abu tu.

AHMAD: Iye? Masya Allah (Itulah penyakit engkau, Ali. Semua ustaz engkau kata best).

ALI: Ana ingat nak ajak Ustaz Abu ceramah di surau pejabat ana lepas ni.

AHMAD: Ana ingat anta cuma pilih penceramah yang aliran kita sahaja (Engkau ni dah gila ke? Baiklah engkau ajak Ustaz Aman tu. Ceramahnya tidaklah menarik tetapi alirannya jelas).

ALI: Memang macam tu. Tapi ana rasa Ustaz Abu juga harus diberi peluang di tempat kita. Biar ada kelainan.

AHMAD: Tak apalah kalau begitu. Jemputlah dia (Aku yakin esok engkau mesti berubah fikiran punya).

Lihatlah betapa sibuknya Ahmad menghukum dan menilai Ali hingga terlepas banyak peluang baginya untuk memberikan pandangan yang lebih menjurus kepada kebaikan.

Saya Penyelesaian Awak

Sama jugalah dengan mendengar ala-ala self centered yang dilakukan dalam bentuk keghairahan memberikan nasihat dengan diri sendiri sebagai objek contoh. Lazimnya nasihat sebegini akan berbunyi kalau sayalahzaman saya dulu dan yang seumpama dengannya.

ALUMNI sekolah sering mengundang senior untuk memberikan ceramah kepada pelajar dengan bahasa nasihat seperti ini.

“Zaman kami dulu, sekolah ini serba kekurangan. Tetapi kami boleh berjaya. Apa masalahnya dengan kalian semua sekarang ini?” tanya seorang profesor, bekas pelajar sebuah sekolah terkenal di zaman 70′an dahulu.

“Zaman prof dulu cabarannya Pop Yeh Yeh. Zaman kami cabarannya Black Metal! Mana sama daaa!” bangkit seorang pelajar Tingkatan 4 yang kepanasan.

Ambik!

Menjadi mangsa perbandingan, adalah sesuatu yang menyakitkan. Anak diminta menginsafi pengalaman ibu bapa, generasi muda dipaksa menghayai perjuangan generasi sebelum merdeka, ia sesuatu yang tidak mengundang penyelesaian. Manusia memang berkongsi prinsip dan nilai kehidupan yang sama, tetapi konteks sentiasa berbeza.

Cabaran di zaman susah adalah kesusahan hidup pada keperluan fisiologi. Tak cukup makan, tak cukup minum, tak cukup pakai, berjalan kaki berbatu-batu untuk ke sekolah… itulah cabaran di zaman itu.

Cabaran di zaman senang pula bukan lagi kesusahan hidup tetapi pada fikiran dan perasaan. Fikiran dicabar oleh idea-idea yang tidak pernah mengganggu keagamaan generasi dulu, malah mencabang-cabangkan pandangan kehidupan. Perasaan pula terpaksa bertarung dengan kekurangan perhatian ibu bapa, desakan kehidupan yang sangat materialistik hingga menggersangkan jiwa generasi hari ini… itu cabaran semasa.

Tiada zaman susah dan tiada zaman senang.

Setiap zaman ada kesusahan yang berbeza, di samping kesenangan yang bersama.

Jangan banding-bandingkan, kerana apa yang berkesan dalam menyelesaikan masalah kita, mungkin tidak berkesan dalam menyelesaikan masalah orang lain.

Menceroboh

Apabila kita terlalu mendesak seseorang untuk meluahkan masalahnya dalam keadaan dirinya belum bersedia, kita sudah menjadi penceroboh. Mungkin keadaan seperti ini sering dilakukan oleh ibu bapa semasa mendesak anak-anak untuk bersuara. Niatnya murni untuk cuba memahami masalah anak-anak. Tetapi mendesaknya untuk bercerita tanpa kesediaan, adalah pencerobohan yang tidak dialu-alukan.

“Ani, apa khabar?” tanya si emak kepada anak yang baru pulang dari sekolah.

“Ok!” jawab Ani bersahaja.

“Peperiksaan tadi senang ke susah?” tanya si emak lagi.

“Boleh laaa” Ani membalas lesu.

“Kawan-kawan Ani rasa boleh jawab tak?” emak masih tidak berputus asa.

“Entah!” Ani semakin sejuk dan beku.

“Kenapa dengan Ani? Ada masalah ke?” si ibu mula kehairanan.

“Ala… Ani masuk bilik dululah ye!” anak perempuannya terus berlari masuk ke bilik dan menghempas pintu.

Bila mana soalan kita tidak membawa perbincangan lebih jauh, ia mungkin sudah beralih menjadi sebuah pencerobohan. Tiada sesiapa yang suka dirinya dicerobohi. Mungkin belum masanya lagi untuk beliau berkongsi. Maka cukuplah sekadar kita memberitahu tentang kesediaan diri untuk mendengar apabila diperlukan, itu sudah cukup baik, dan berikan ruang kepada mereka yang memerlukannya.

Terutamanya apabila anak-anak menginjak ke usia remaja.

PENDENGARAN SAHIH

Marilah kita bersama-sama memperbaiki cara kita mendengar. Ia adalah kunci komunikasi yang efektif, pembaik hablun minannaas yang dituntut oleh agama.

Mendengar yang betul itu adalah mendengar yang membantu kita mengenalpasti ketepatan dan kebenaran. Demikian itu, mendengar dengan telinga semata adalah tidak memadai.

1. Dengar Dengan Mata, Hati dan Telinga

Telinga yang menangkap perkataan yang mewakili 7% maksud pengucapan, sedangkan makna-makna berbaki itu banyak terkandung pada intonasi, gaya badan dan ekspresi muka.

Cuba semak semula tiga ayat berikut dengan mengubah intonasi pada perkataan yang ditebalkan dan bergaris:

  1. SAYA rasa awak ada masalah sikap.
  2. Saya rasa AWAK ada masalah sikap
  3. Saya rasa awak ada masalah SIKAP.

Oleh itu, belajarlah untuk mendengar dengan mata, hati dan telinga!

2. Memakai Kasut Orang Lain

“Apakah punca kepada kejadian di masjid tadi? Mari kita senaraikan” saya mengendalikan bengkel di dalam sebuah seminar.

Salah seorang peserta di dalam kumpulan saya adalah seorang aktivis Sisters in Islam.

“Pemikiran yang konservatif!” jawabnya tegas.

Seperti yang saya jangkakan. Kejadian pegawai masjid menghalau rombongan kami petang tadi sememangnya masih panas membakar perasaan kebanyakan kami. Aktivis SIS ini juga tidak terkecuali.

“Izinkan saya memberi pandangan” saya mencelah.

“Silakan” beliau dan ahli kumpulan yang lain menyatakan persetujuan.

“Jika kita guna istilah konservatif, istilah tersebut mempunyai konotasi yang pelbagai dan falsafah yang mengundang perdebatan. Kita mungkin tidak punya cukup masa untuk menjelaskannya dan kehilangan peluang untuk menghuraikan fakta-fakta yang lain. Saya rasa, apa yang saudari maksudkan tadi ialah pemikiran sempit, narrow-mindedness. Boleh tak kita gunakan sahaja istilah yang lebih casual iaitu narrow-mindedness?” saya memberikan cadangan.

Well, not a bad idea at all. Of course, narrow-mindedness“ jawabnya. Rakan-rakan yang lain juga bersetuju.

Mungkin ramai di luar sana yang alergik dengan SIS. Tetapi saya berfikir, jika tiada rasa sayang kepada Islam, mengapa perlu beliau hadir ke seminar ini dan bersusah payah memeningkan kepala dengan masalah dunia (ummah)? Beliau boleh memilih untuk duduk sahaja di rumah pada hujung minggu, berehat di spa atau menonton televisyen, seperti kebanyakan orang di luar sana!

Tetapi beliau hadir ke sini. Saya tidak dapat membohongi diri bahawa saya percaya mesti di hatinya ada perkongsian cinta yang sama kepada Islam seperti saya. Tetapi, disebabkan kami datang dari kawasan kelahiran dan perumahan yang berbeza, cara hidup yang berbeza, sekolah dan persekolahan yang berbeza, lingkungan kawan-kawan yang berbeza, maka cara kami menyatakan sayang kami kepada Islam jadi berbeza malah mungkin bertentangan.

Tetapi sikap seek first to understand, then to be understood berupaya mengumpulkan saya dan seorang aktivis Sisters in Islam di dalam sebuah LDK dan kami mencapai banyak kata sepakat.

Oleh kerana SIS sering dikaitkan dengan idea Liberal, maka mungkin kerana itu secara spontan beliau mengatakan bahawa kelakuan buruk pegawai masjid petang tersebut adalah manifestasi pemikiran konservatif yang dimaksudkan sebagai lawan kepada liberal. Tetapi dengan meletakkan diri di tempat beliau, saya mendapat idea untuk mencadangkan sesuatu yang lebih ‘damai’ dan mencapai maksud dengan menawarkan perkataan narrow-mindedness. Sesuatu yang lebih berbentuk masalah sikap individu, berbanding dorongan ideologi dan fahaman.

Cuba melihat sesuatu dari sudut orang lain, banyak merawat prasangka yang kadang-kadang sudah teranut hingga ke taraf yakin!

3. BERLATIH CERMIN-MENCERMIN

Berfikirlah seperti cermin.

Lihat wajah anda di hadapan cermin.

Cermin tidak menghukum, tidak menilai, tidak mengkritik, tidak memberi nasihat. Sebaliknya cermin hanya memberikan refleks.

“Seorang mukmin itu adalah cermin kepada saudaranya” – (Abu Dawood 41: 4900)

Iman yang menjadikan kita bersaudara, diterjemahkan dalam bahasa komunikasi sebagai tindakan cermin. Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam mahu kita melihat saudara kita sebagaimana kita melihat cermin. Seperti melihat diri sendiri. Ini merupakan langkah yang sangat kritikal dalam membentuk upaya mengamalkan tabiat seek first to understand, then to be understood.

Lihat sahaja perbualan Amin dengan ayahnya ketika Amin mahu ke Tamrin.

“Ayah, Min nak minta izin keluar rumah sehari ya. Esok Min balik, Insya Allah” kata Amin kepada ayahnya.

“Min nak ke mana?” tanya si ayah. Tegas bunyinya.

“Err.. Min nak ke Gombak” jawab si anak. Sedikit gugup.

“Tak boleh. Kamu jangan ke mana-mana. Duduk di rumah” perintah si ayah.

“Tapi ayah…” Amin cuba memujuk.

“Tak ada tapi-tapi. Masuk!” ayah memberi kata pemutus.

Jika perbualan Amin dengan ayahnya terhenti di situ, Amin mungkin akan masuk ke bilik dan tidur dengan persepsi yang pelbagai terhadap ayahnya sendiri. Beliau berasa sedih dengan ‘kedegilan’ ayahnya terhadap pendirian politik mereka. Amin akan menghantar sms kepada rakan-rakan yang sudah pun sampai ke lokasi Tamrin di Gombak, bahawa beliau sedang berdepan dengan ujian seperti kisah ghulam dalam Ashab al-Ukhdud. Persepsi-persepsi Amin terus meliar dan meracau.

Bagaimana kalau perbualan di atas diulang semula dengan Amin cuba melihat ayahnya seperti dia melihat cermin.

“Tak boleh. Kamu jangan ke mana-mana. Duduk di rumah” perintah si ayah.

“Amin minta maaf sebab susahkan hati ayah” Amin berlembut.

“Tahu pun kamu ayah susah hati. Keputusan peperiksaan kamu tak berapa elok, kamu nak keluar rumah pula masa-masa macam sekarang ni” ayahnya menyambung.

“Ayah risaukan keputusan peperiksaan saya…” Amin sedikit terkejut.

“Ya. Kamu tahu kan, ayah bukannya ada duit nak sponsor kamu belajar. Kalau biasiswa kamu ditahan sebab keputusan peperiksaan merosot, apa yang akan terjadi nanti?” ayah bersuara kesah.

“Oh begitu. Maafkan Amin ayah” Amin bersuara perlahan.

“Kalau kamu dah selesai semua ulangkaji pelajaran kamu ayah tak kisah kamu nak keluar sesekali bersama kawan-kawan” ayahnya memberitahu.

“Alhamdulillah ayah, Amin dah selesai ulangkaji. Ini pun Amin memang ada bawa buku untuk ulangkaji dengan kawan-kawan Amin” si anak memberi penjelasan.

“Okay, kalau macam tu tak apa. Amin nak ayah hantarkan ke LRT ke?” tawar si ayah.

Dapatkah anda perhatikan, dengan berusaha mengamalkan kaedah cermin-bercermin, Amin dapat membongkar sebab sebenar yang menghalang ayahnya daripada membenarkan beliau keluar. Ia langsung tiada kena mengena dengan pendirian politik, perjuangan, atau apa sahaja yang dilakarkan di dalam kertas-kertas kerja Tamrin. Ia hanya kerisauan biasa seorang ayah terhadap pelajaran anaknya.

Si ayah itu bukan haiwan ganas melintang di jalan dakwah ghulam Ashab al-Ukhdud.

PENAFIAN

Oleh kerana subjek yang saya perkatakan ini adalah berkaitan tabiat, ialah kelakuan manusia, maka saya tidak mempunyai sebarang upaya untuk memberi jaminan bahawa kaedah ini bakal menatijahkan apa yang kita harapkan secara yang begitu ideal lagi tekstual. Namun yakinlah, dengan memperbaiki cara kita mendengar, kita akan beransur-ansur membuang persepsi, prasangka, dhan… yang sebahagiannya adalah dosa dan perosak komunikasi, rumahtangga, pekerjaan, dakwah dan keseluruhan hablun minannaas sesama insan.

Setelah kita berusaha untuk merangka panduan bagi mengamalkan tabiat seek first to understand, maka bagaimanakah pula kaedah untuk melengkapkan bahagian kedua iaitu then to be understood? Nantikannya di dalam siri kedua artikel ini, Insya Allah.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

ARTIKEL INI DITULIS PADA 7 MEI 2008.

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.