Tempat ke-40 Wahabi di Malaysia, Hasrizal Abdul Jamil.
Pernahkah anda mendapat senarai berkenaan? Senarai itu sudah lama berlegar di media sosial dan saiznya bertambah panjang dari semasa ke semasa.
Jika senarai itu mahmudah, baik, berkebajikan, maka banyaklah pahala di sisi Allah orang yang menghasilkannya.
Tetapi jika senarai itu mazmumah, dusta dan bermaksud melemparkan tuduhan sesat atau fasiq, atau kafir ke atas sesama umat Islam, maka amat besarlah ancamannya di sisi Allah dan Rasul yang kita kasihi, sallallāh ‘alayhi wa sallam.
Pesan Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam:
لا يرمي رجلٌ رجلاً بالفسوق، ولا يرميه بالكفر، إلا ارتدت عليه، إن لم يكن صاحبه كذلك
Barang siapa menuduh fasik atau kafir terhadap seseorang lain adalah dia sendiri yang akan menjadi fasik atau kafir jika tuduhan itu tidak benar. (Riwayat al-Bukhari).
Bagaimana seseorang itu dituduh sebagai wahabi?
Soalan itu hanya boleh dijawab oleh orang yang menuduh.
Mungkin kerana beliau dapati saya memetik dan mempertahankan pendapat Muhammad bin Abdul Wahhab.
Mungkin kerana beliau dapati saya memuji, memuliakan, dan mengagungkan Muhammad bin Abdul Wahhab.
Saya tidak pasti.
Mungkin orang itu tidak membaca pun tulisan saya, tidak mendengar pun ceramah-ceramah saya. Tetapi beliau diberitahu oleh seseorang yang beliau percayai, bahawa saya Wahabi.
Jika saya Wahabi, Wahabi itu pula apa maksudnya? Adakah maksud penuduh jika seseorang itu Wahabi, maka dia fasiq? Atau ahli bid’ah? Atau kafir?
Melempar-lempar tuduhan, label, kecaman, sesama umat Islam adalah sesuatu yang sangat keji, lagi berbahaya.
Sekali lagi, seperti sabda Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam:
لا يرمي رجلٌ رجلاً بالفسوق، ولا يرميه بالكفر، إلا ارتدت عليه، إن لم يكن صاحبه كذلك
Barang siapa menuduh fasik atau kafir terhadap seseorang lain adalah dia sendiri yang akan menjadi fasik atau kafir jika tuduhan itu tidak benar. (Riwayat al-Bukhari).
Semasa belajar di Jordan, saya belajar ilmu-ilmu usuluddin mengikut aliran Asya’irah, memahami serba sedikit perbezaannya dengan Maturidiyyah, juga belajar mengikut aliran ‘Salafi’.
Ada pensyarah kami yang salafi, ada juga yang menurut Asy’ari. Tiada sesiapa di antara mereka yang mendesak kami menjadi Ays’ari atau Salafi, kerana cara belajar di Jordan ialah kenal, faham, dan ikut yang terbaik.
Bukankah al-Quran pun suruh kita buat begitu?
ٱلَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ ٱلْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُۥٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَىٰهُمُ ٱللَّهُ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمْ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. (Al-Zumar 39: 18).
Ada banyak pendapat aliran salaf, demikian juga aliran Asy’ari, yang saling berguna untuk membantu kita mengimani Allah SWT di zaman kita ini. Keutamaan saya ialah, menyempurnakan keimanan kepada Allah Azza wa Jalla, dan bukannya memenangkan mazhab A ke atas mazhab B, atau mencela mazhab A agar mazhab B diikuti.
Demi mencerahkan kefahaman sendiri tentang latar belakang sejarah isu ini, saya juga menekuni sejarahnya. Bukan bermula dengan bila Muhammad bin Abdul Wahhab dilahirkan dan mati. Tetapi beberapa ratus tahun sebelum beliau wujud. Semasa zaman Imam Birgivi pada abad ke-16. Kemudian bagaimana daripada pemikiran Birgivi, lahirkan gerakan Kadizadeli di Istanbul. Bagaimana konflik terjadi di sana. Bagaimana pendukung Kadizadeli dibuang negeri ke Cyprus. Bagaimana kemudiannya mereka ke Syam. Dan kemudian bagaimana seorang pelajar bernama Muhammad bin Abdul Wahhab datang ke Syam untuk mendalami ilmu hadith.
Saya juga cuba belajar sejarah Daulah Uthmaniyyah di Mesir dan Saudi. Di era Muhammad Ali Pasha, di zaman Sultan Abdul Hamid II.
Demi mendapat gambaran yang lebih baik, belajar juga sejarah penerokaan minyak di tanah arab oleh peneroka dari Texas. Bagaimana sistem kabilah di tanah Hijaz pada masa tersebut. Bagaimana Revolusi Arab 1916.
Belajar semua itu.
Kesimpulan saya semasa belajar, aqidah betul tak semestinya politiknya betul. Politiknya salah tak semesti aqidahnya sesat.
Kena adil.
Perjalanan untuk memahami, mengambil masa berpuluh tahun belajar, mengaji.
Tapi, bagi manusia yang tidak bertanggungjawab, yang tidak takut dengan Allah, yang mempertahankan kekasih Allah dengan akhlak yang dibenci Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam sendiri, mereka ini ambil masa sekejap sahaja untuk buat senarai. Kecam sana kecam sini.
Saya tidak rugi apa-apa sebab saya teruskan hidup macam biasa. Baik di tanahair mahu pun selepas berhijrah jauh ke hujung benua.
Yang saya bimbangkan ialah perbuatan forward-forward senarai itu. Tidak takutkah tuduhan dan kecaman berkenaan, kalau tidak benar, balik menimpa diri kamu sendiri?
Kepada asatizah, baik Salafi atau Asy’ari, didiklah anak buah agar bertaqwa kepada Allah. Didik mereka mencintai kebaikan dan kebenaran, mencintai keadilan dan membenci kefasiqan serta kezaliman. Tidak naik mazhab anda dengan menjatuhkan mazhab yang anda tidak setuju. Orang ramai yang suka forward-forward ini, mereka sudah aqil baligh dan menanggung dosa dan pahala atas perbuatan mereka sendiri. Tetapi asatizah yang menyemai fitnah dan permusuhan, beratkanlah timbangan kalian dengan amal kebaikan, bukan mazmumah kejahatan.
Ingatlah hari yang semasa kita mengadap Allah, harta dan pengikut sudah tidak berguna. Kecuali yang hadir dengan membawa sekeping hati yang sejahtera.