Mengapa Kita Tidak Bercakap Tentang Kesalahan Hamas? | Perangkap Red Herring Media

Mengapa kita hanya mengecam Zionis dan tidak menegur kesilapan ataupun kesalahan Hamas? Soalan ini memerlukan kesabaran untuk ia dicerakin dengan baik. Sebagai Muslim, jika kita berpegang benar benar dengan ajaran Islam, asasnya adalah jelas; perkara yang benar kita persetujui, perkara yang salah kita sanggah.

Walau bagaimanapun, kita perlu berhati hati kerana peperangan yang berlaku di Palestin dan di Gaza membabitkan peperangan, maklumat, naratif. Dan cara maklumat diketahui dan digunapakai menjadi senjata untuk peperangan tersebut. Ini bukan perkara asing kerana di dalam peperangan-peperangan yang lain juga, propaganda adalah merupakan senjata penting untuk kejayaan dan kegagalan misi-misi tertentu di dalam peperangan.

Husam Zomlot, Duta Palestinian Authority (PA) Ke United Kingdom juga telah digasak oleh Piers Morgan ketika menemubual beliau di YouTube baru baru ini. Berkali kali Piers Morgan mengajukan soalan yang sama, “adakah beliau mengecam tindakan yang dilakukan oleh Hamas menyerang orang ramai orang awam?

Husam menolak untuk mengatakan YA ataupun TIDAK.

Walaupun Husam mendukung Fatah dan Fatah itu bergeseran lagi bertentangan dengan gerakan Hamas dan ia boleh menjadi peluang untuk Husam mengecam Hamas sebagai saingan politik beliau, beliau mengambil sikap menolak untuk bermain dengan kata kata, pertanyaan yang diajukan oleh Piers Morgan. Ini adalah kerana Husam Zomlot faham, tahu tentang permainan media dalam persoalan ini.

Semasa ditemubual oleh Alaster Campbell dan Rory Stewart di dalam YouTube mereka The Rest is Politics, bertarikh 18 Oktober 2023, Husam ada menjelaskan mengapa beliau mengambil pendirian untuk tidak menjawab soalan yang diajukan oleh Piers Morgan itu. Bagi Husam, soalan itu apa jua jawapan yang dikemukakan akan mengalihkan perbincangan daripada naratif induk, the big picture terhadap apa yang berlaku, kerana krisis yang terjadi ini telah bermula berpuluh puluh tahun sebelum 7 Oktober 2023. Tetapi media memilih untuk mengalihkan perhatian daripada topik berkenaan dan memberi fokus hanya kepada soalan, “adakah kamu mengecam Hamas ataupun tidak?”

Perkara ini bukan perkara baru. Ia telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh pengkaji pengkaji ,oleh tokoh sejak sekian lama.

Antaranya para sahabat boleh meninjau buku Covering Islam oleh Edward Said, The Question of Palestine oleh penulis yang sama, Edward Said. Begitu juga dengan Against Our Better Judgment oleh Alison Weir daripada ifamericansknew.org, Zahera Harb juga ada menjadi editor kepada koleksi artikel akademik yang dikumpulkan di dalam sebuah buku bertajuk Reporting the Middle East, the Arab World and Islam: The Practice of News in the 21st Century. Dan Profesor Noam Chomsky dan Ilan Pappé juga ada menulis bersama di dalam buku Gaza in Crisis.

Itu antara sebahagian daripada buku yang ada menyentuh secara spesifik tentang permainan media dalam propaganda menyebarkan naratif yang berat sebelah terhadap apa yang berlaku.

Soalan yang diajukan sesama kita umat Islam ialah “Hamas ini tak ada buat salah ke?” Dan “kalau jika Hamas ada buat salah mengapa kesalahan Hamas itu tidak ditegur?” Kita mungkin khuatir bukan Muslim akan memberikan tanggapan seolah olah kita umat Islam ini bias berpihak kepada Hamas, walaupun Hamas melakukan kesalahan dan mengecam Zionis semata mata kerana Zionis itu by default adalah jahat dan salah, tidak objektif dalam menilai apa yang berlaku.

Pertanyaan itu relevan dan penting. Cuma kita perlu berhati-hati kerana selain daripada soalan itu, cara kita hendak menjawabnya juga penting untuk mengelak daripada apa yang disebut sebagai red herring, hilang fokus, bila ada satu perkara yang menarik perhatian, perhatian kita beralih daripada fokus utama mula membincangkan perkara yang timbul sebentar tadi dan itu boleh terjadi secara tidak sengaja, boleh berlaku dengan disengajakan oleh mereka yang berkepentingan.

Propaganda seperti ini bukan merupakan perkara yang baru di dalam dunia moden. Pada hari ini kita dapat melihat bagaimana beberapa teladan daripada al Quran boleh dijadikan sebagai panduan untuk memahami apa yang berlaku. Kita boleh meninjau kembali kepada sirah Nabi Musa alaihi Wassalam.

28:15
وَدَخَلَ ٱلْمَدِينَةَ عَلَىٰ حِينِ غَفْلَةٍۢ مِّنْ أَهْلِهَا فَوَجَدَ فِيهَا رَجُلَيْنِ يَقْتَتِلَانِ هَـٰذَا مِن شِيعَتِهِۦ وَهَـٰذَا مِنْ عَدُوِّهِۦ ۖ فَٱسْتَغَـٰثَهُ ٱلَّذِى مِن شِيعَتِهِۦ عَلَى ٱلَّذِى مِنْ عَدُوِّهِۦ فَوَكَزَهُۥ مُوسَىٰ فَقَضَىٰ عَلَيْهِ ۖ قَالَ هَـٰذَا مِنْ عَمَلِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۖ إِنَّهُۥ عَدُوٌّۭ مُّضِلٌّۭ مُّبِينٌۭ ١٥

Dan masuklah ia ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya di situ dua orang lelaki sedang berkelahi, – seorang dari golongannya sendiri dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: “Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya) “.

28:16
قَالَ رَبِّ إِنِّى ظَلَمْتُ نَفْسِى فَٱغْفِرْ لِى فَغَفَرَ لَهُۥٓ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ ١٦

Ia merayu (dengan sesalnya): “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah – apalah jua kiranya – akan dosaku”. (Maka Allah Taala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

28:17
قَالَ رَبِّ بِمَآ أَنْعَمْتَ عَلَىَّ فَلَنْ أَكُونَ ظَهِيرًۭا لِّلْمُجْرِمِينَ ١٧

Ia merayu lagi: “Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah”.

28:18
فَأَصْبَحَ فِى ٱلْمَدِينَةِ خَآئِفًۭا يَتَرَقَّبُ فَإِذَا ٱلَّذِى ٱسْتَنصَرَهُۥ بِٱلْأَمْسِ يَسْتَصْرِخُهُۥ ۚ قَالَ لَهُۥ مُوسَىٰٓ إِنَّكَ لَغَوِىٌّۭ مُّبِينٌۭ ١٨

Semenjak itu, tinggalah ia di bandar (Mesir) dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya), maka tiba-tiba orang yang meminta pertolongan kepadanya semalam, memanggil meminta pertolongannya lagi. Musa berkata kepadanya: “Sesungguhnya engkau ini orang yang nyata sesatnya!”

28:19
فَلَمَّآ أَنْ أَرَادَ أَن يَبْطِشَ بِٱلَّذِى هُوَ عَدُوٌّۭ لَّهُمَا قَالَ يَـٰمُوسَىٰٓ أَتُرِيدُ أَن تَقْتُلَنِى كَمَا قَتَلْتَ نَفْسًۢا بِٱلْأَمْسِ ۖ إِن تُرِيدُ إِلَّآ أَن تَكُونَ جَبَّارًۭا فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا تُرِيدُ أَن تَكُونَ مِنَ ٱلْمُصْلِحِينَ ١٩

Maka ketika ia bersedia hendak menumbuk orang yang menjadi musuh bagi mereka berdua berkatalah orang itu: “Wahai Musa, adakah engkau hendak membunuhku sebagaimana engkau membunuh satu jiwa semalam? Sebenarnya engkau hanyalah hendak menjadi seorang yang kejam di bumi, dan tidaklah engkau hendak menjadi seorang pendamai”.

28:20
وَجَآءَ رَجُلٌۭ مِّنْ أَقْصَا ٱلْمَدِينَةِ يَسْعَىٰ قَالَ يَـٰمُوسَىٰٓ إِنَّ ٱلْمَلَأَ يَأْتَمِرُونَ بِكَ لِيَقْتُلُوكَ فَٱخْرُجْ إِنِّى لَكَ مِنَ ٱلنَّـٰصِحِينَ ٢٠

Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: “Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu”.

28:21
فَخَرَجَ مِنْهَا خَآئِفًۭا يَتَرَقَّبُ ۖ قَالَ رَبِّ نَجِّنِى مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٢١

Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim “.

28:22
وَلَمَّا تَوَجَّهَ تِلْقَآءَ مَدْيَنَ قَالَ عَسَىٰ رَبِّىٓ أَن يَهْدِيَنِى سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ ٢٢

Dan setelah ia (meninggalkan Mesir dalam perjalanan) menuju ke negeri Madyan, berdoalah ia dengan berkata: “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku,”.

Seperti yang diceritakan, antara peringkat awalnya adalah di dalam surah Al-Qasas ayat yang ke-15 hingga 22, yang mana Nabi Musa alaihi salam pada satu ketika sedang berjalan di Mesir dalam keadaan jalan jalan itu kosong daripada penduduk, sama ada kerana waktu tengahari, orang sedang berehat ataupun pada waktu tengah malam, ketika penduduk rata ratanya berada di tempat tinggal masing masing, kita tidak tahu. Tetapi ketika itulah Nabi Musa alaihi salam yang pada masa tersebut belum lagi menjadi Rasul yang diutuskan oleh Allah Subhanahu wa Taala, telah bertembung dengan dua individu yang sedang bertelagah. Seorang adalah Bani Israel dan seorang lagi adalah Qibti, penduduk tempatan. Lelaki Bani Israel ini, apabila melihat Musa alayhi al-salam, telah meminta bantuan daripada beliau untuk mendepani orang Qibti yang sedang bertelagah dengannya.

Nabi Musa alayhi al-salam telah bertindak membantu Bani Israel yang merupakan kaumnya, rata rata yang ketika itu dianiaya, ditindas oleh Firaun dan kaumnya di Mesir. Namun tindakan Musa alayhi al-salam untuk menumbuk lelaki tersebut dengan genggaman seperti yang diungkapkan di dalam ayat al Quran berkenaan telah menyebabkan lelaki Qibti itu terbunuh. Kematian itu adalah kematian yang tidak disengajakan kerana Musa alayhi al-salam tidak bermaksud untuk bertindak hingga menghilangkan nyawa lelaki berkenaan.

Ceritanya panjang. Tetapi kemudiannya cerita itu telah digunakan oleh Firaun untuk mengecam Musa alayhi al-salam seperti yang disebut di dalam Surah al-Shu’ara’ ayat yang ke-19:

وَفَعَلْتَ فَعْلَتَكَ ٱلَّتِى فَعَلْتَ وَأَنتَ مِنَ ٱلْكَـٰفِرِينَ ١٩

Kata Firaun, “kamu ni nak menegur aku, nak mempertikaikan aku, kamu itu tak ingat ke telah melakukan satu kesalahan yang sedia maklum telah kamu lakukan? Dan sesungguhnya kamu ini yang telah aku besarkan, yang telah aku jaga kebajikan kamu, sesungguhnya adalah merupakan orang yang telah mengingkari Tuhan, kufur tidak bersyukur dengan apa yang berlaku!”

Kesilapan yang dilakukan oleh Musa alayhi al-salam itu telah ditimbulkan oleh Firaun. Siapakah Firaun? Itulah pemimpin zalim yang telah membunuh beribu ribu bayi demi untuk mengekalkan kuasanya. Tetapi dia tergamak untuk membangkitkan satu kesalahan Musa alayhi al-salam, sebelum Musa menjadi seorang Rasul. Bagaimana seorang pembunuh yang telah membunuh beribu ribu nyawa membangkitkan persoalan seorang ini telah dengan tidak sengaja membunuh seorang lelaki pada suatu ketika dahulu? Malah Firaun juga telah mengkafirkan Musa. Macam mana kita nak katakan betapa dahsyatnya sikap yang ditunjukkan oleh Firaun ini ,kan?

Dan apabila Firaun yang telah membunuh beribu ribu bayi membangkitkan persoalan Musa yang juga pernah membunuh seorang pada satu ketika dahulu walaupun sebenarnya itu adalah satu kemalangan yang tidak disengajakan, kita dapat belajar daripada akhlak Nabi Musa alayhi al-salam yang mana Musa tidak menafikan perkara salah yang telah terjadi pada suatu ketika dahulu. Baginda mengakui dengan berkata:

قَالَ فَعَلْتُهَآ إِذًۭا وَأَنَا۠ مِنَ ٱلضَّآلِّينَ ٢٠

“benar, aku telah melakukan apa yang telah kau sebutkan kerana aku ketika itu termasuk di kalangan orang yang tidak mendapat petunjuk.” ( al-Shu’ara’ : 20)

Tetapi kesalahan Musa itu tidak sepadan dengan Firaun yang telah membunuh beribu ribu bayi yang tidak berdosa itu sehingga boleh diberikan ruang untuk Firaun mempertikaikan Musa Alaihi Wassalam sedemikian rupa.

Dan contoh ini boleh juga kita lihat dalam satu kejadian yang berlaku ketika Nabi sallallahu alaihi wasallam mengutus beberapa orang sahabat ke Mekah untuk mendapatkan harta rampasan peperangan yang berada di Mekah ketika itu. Walau bagaimanapun, para sahabat ini telah terjebak di dalam pertelagahan yang mengakibatkan seorang kafir Quraisy telah terbunuh. Perkara tersebut telah digembar gemburkan oleh kafir Quraisy terutamanya kerana kematian itu berlaku di kawasan Masjidil Haram pada bulan Rejab yang tidak disedari oleh para sahabat. Sedangkan bulan Rejab adalah merupakan termasuk di dalam bulan bulan yang diharamkan oleh Allah Subhanahu wa Taala berperang, dan ini adalah sesuatu telah diamalkan daripada zaman jahiliah lagi. Maka kafir Quraisy itu telah membangkitkan persoalan ini; betapa teruknya pengikut Muhammad ini bertindak membunuh.

Dan apabila perkara ini sampai kepada pengetahuan Nabi sallallahu alaihi wasallam, ia menjadi asas kepada turunnya ayat yang ke-217 di dalam surah al Baqarah. Bagaimana Allah Subhanahu wa Taala menjawabnya sendiri di dalam firman-Nya:

يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلشَّهْرِ ٱلْحَرَامِ قِتَالٍۢ فِيهِ ۖ قُلْ قِتَالٌۭ فِيهِ كَبِيرٌۭ ۖ

“mereka bertanya kepada engkau wahai Muhammad tentang hukum berperang di dalam bulan bulan yang diharamkan. Katakanlah wahai Muhammad, kepada mereka, berperang di dalam bulan yang diharamkan itu adalah kesalahan yang besar.”

Tetapi sambungan daripada ayat itu, Allah SWT telah berkata

وَصَدٌّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَكُفْرٌۢ بِهِۦ وَٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِۦ مِنْهُ أَكْبَرُ عِندَ ٱللَّهِ ۚ وَٱلْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ ٱلْقَتْلِ ۗ

Benar, perbuatan berperang di dalam bulan yang diharamkan itu adalah kesalahan yang besar tetapi perbuatan kalian semua yang menghalang orang daripada jalan Allah, kufur kepada-Nya, menyekat orang daripada pergi ke Masjidil Haram, dan mengusir penduduk penduduk daripada kampung halaman kediaman mereka, semua perkara itu lebih besar dosa dan kesalahannya di sisi Allah.”

Dan sesungguhnya fitnah yakni propaganda, kerosakan, kepincangan, kehancuran, masalah masalah yang disebutkan tadi yang dirumuskan di dalam perkataan yang disebut sebagai “FITNAH” adalah lebih besar kesalahan dan dosanya daripada perbuatan membunuh.

Allah Subhanahu wa Taala mahu mengekalkan konteks yang jangan kita lupa sehingga kita termakan dengan propaganda yang ditimbulkan oleh penduduk Quraisy yang membangkitkan persoalan kematian satu daripada orang mereka dalam pertelingkahan yang terjadi itu sedangkan begitu ramai lagi yang telah terbunuh, segala kerosakan yang mereka lakukan di Masjidil Haram, di Mekah, menghalang orang daripada beribadah kepada Allah, menghalau mereka keluar daripada rumah dan kampung halaman mereka, yang ini nak letak dekat mana?

Dan bila kita tinjau kepada kisah yang terdapat di dalam al Quran ini, dia harus menjadi pelajaran kepada kita bahawa bila ada sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh orang kita, orang Islam contohnya, kita perlu mengakuinya. Namun kita perlu memperjuangkan konteks yang lebih besar agar kita tidak termakan dengan satu perkara yang sengaja ditimbulkan untuk mengalihkan perhatian daripada musibah besar besaran yang sedang berlaku.

Ini menjadi petunjuk kepada kita untuk faham bahawa jika adanya bukti-bukti yang menunjukkan kepada perbuatan Hamas yang menyanggah daripada syariat Allah Subhanahu wa Taala, maka ia adalah salah dari segi agama dan kita tidak bersetuju dengannya. Namun kita perlu berhati hati dalam hal ini.

Pertamanya, untuk memahami apakah sebenarnya yang sedang berlaku, adakah apabila Hamas melakukan serangan kepada penduduk Israel itu di kaca mata Hamas, serangan itu adalah serangan mereka ke atas orang awam ataupun bagaimana? Dari sisi pandang Hamas, boleh melihat bahawa orang orang Yahudi yang berada di Palestin tidak boleh dilihat sebagai orang awam. Orang orang Yahudi yang berada di luar daripada Palestin yang berada di UK, yang berada di US, sama ada yang pro kepada Zionis ataupun tidak, itu lain cerita. Melakukan serangan ke atas mereka, itu adalah perkara yang ditegah dan bersalahan dengan ajaran Islam.

Tetapi orang orang Yahudi yang berada di bumi Palestin, walaupun mereka itu ada nationality lain, walaupun mereka ada pilihan untuk berada di tempat lain tetapi mereka memilih untuk berada di bumi Palestin. Setelah mereka datang sebagai penjajah, mereka mahu melindungi diri mereka dengan status sebagai orang awam, perkara itu mungkin perkara yang tidak dipersetujui oleh Hamas. Maka Hamas melakukan serangan, bukan serangan yang dilakukan ke atas orang awam sebagai satu perkara yang salah dari segi ajaran Islam. Tapi kalau ada penyiksaan yang dilakukan ke atas individu yang ditahan dan sebagainya, maka kita perlu melihat perkara itu dengan lebih berhati hati.

Namun, kita tidak harus sewenang wenangnya demi untuk menjaga hati orang lain, untuk kelihatan lebih objektif, dan berlaku adil, kita terperangkap di dalam permainan “adakah kamu menyalahkan Hamas ataupun tidak?” seperti yang diulang berulang ulang kali oleh Piers Morgan dengan seorang demi seorang tetamu yang datang di dalam program beliau. Jangan sekali kali kita kehilangan the big picture.

Dalam pengalaman kecil saya pada satu ketika dahulu ketika saya bertugas sebagai Imam, Minister of Religion di Belfast, di Ireland Utara, saya ada menceritakan kisah ini dalam travelog Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu yang sahabat-sahabat boleh dapatkan daripada Jejak Tarbiah (JT). Ketika saya bertugas itu, saya telah didatangi oleh wartawan beberapa kali dalam beberapa peristiwa dengan soalan soalan yang jatuh dalam kategori ini, yang bertujuan untuk memerangkap. Dan kita tidak boleh menolak untuk ditemubual kerana mereka akan berspekulasi. Tetapi dalam satu pertanyaan yang diajukan kepada saya, soalan yang ditanya adalah berkaitan dengan apa yang berlaku di Palestin.

Saya ketika itu tidak berpengalaman, anak muda, fresh graduate, dan terus memegang tugasan yang berisiko tinggi dan mempunyai tanggungjawab yang sangat besar untuk komuniti Muslim di Ireland Utara. Pada masa tersebut, saya tidak mahu menjawab YA ataupun TIDAK, setuju ataupun tidak, dengan soalan yang ditanya oleh wartawan, saya tidak ingat daripada BBC ke, daripada Channel 4 ke, pada masa tersebut, saya katakan kepadanya, “soalan yang awak tanyakan kepada saya itu adalah soalan yang ditanya kepada orang yang salah. Siapa saya dan siapa awak untuk kita di sini nak bercakap tentang apa yang orang Palestin patut buat dan tidak patut buat? Kita duduk kat sini, makan cukup, minum, cukup hidup selesa, kita tidak mengalami apa yang dialami oleh mereka yang berada di Palestin, siapa kita untuk nak berkata mereka sepatutnya buat begini dan tak sepatutnya buat begini? Kalau soalan awak kepada saya nak bertanya tentang apakah sikap pendirian umat Islam yang berada di Belfast ini, saya boleh jawab. Dan untuk menjawab kepada soalan itu juga, sebelum kita bercakap tentang keganasan yang menjadi fokus pertanyaan awak, kita harus peruntukan masa juga untuk bercakap tentang punca mengapa keganasan itu berlaku, apa yang telah terjadi selama ini sehingga kejadian yang dilabel sebagai keganasan itu timbul?”

Perbuatan saya untuk meletakkan konteks yang berlainan daripada apa yang asalnya diusulkan oleh wartawan itu tadi tidak mendapat kerjasama daripada beliau. Beliau mematikan, temubual dan meninggalkan masjid, tak keluar pun soalan itu dalam mana mana bahagian media mereka. Kejadian ini berlaku pada tahun 2001 ataupun 2002 ketika Intifadah baru timbul di Palestin pada masa tersebut.

Jadi begitulah. Maknanya apa yang betul itu betul, apa yang salah itu salah. Sokongan kita kepada perjuangan umat Islam di Palestin, bukan sokongan asabiah berasaskan kepada sentimen kita orang Islam maka kita sokong orang Islam, full stop macam itu sahaja. Tetapi kita menyokong apa yang benar dan kita menentang apa yang salah. Yang salah adalah salah, yang benar adalah benar.

Dan ada banyak perkara yang masih perlu dimuhasabahkan, dibetulkan oleh kita umat Islam. Kerana itu juga adalah merupakan syarat untuk kemenangan terjadi di bumi Palestin, iaitu apabila orang Islam memiliki kualiti sebagaimana kualiti umat Islam masuk ke masjid itu buat pertama kalinya pada suatu ketika dahulu, oleh generasi yang dididik oleh Nabi Sallallahu alaihi wasallam.

Dan penutupnya, di dalam sepotong ayat al Quran kata Allah Subhanahu wa Taala:

ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ٤١

“Telah nyatalah kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan oleh apa yang dilakukan oleh tangan manusia sendiri. Dan musibah yang menimpa itu adalah bertujuan untuk Allah kenakan sedikit daripada akibat kesalahan dan kelemahan kita sendiri, supaya dengan kesakitan dan penderitaan yang kita alami pada bencana yang berlaku ini, mudah mudahan mereka kembali.” (surah al-Rum ayat 41)

Yakni, apa yang terjadi di bumi Palestin adalah merupakan panggilan untuk memanggil Muslim seluruhnya, kembali kepada Islam.

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

One comment

  1. Syahrul-Niza Binti Kamarul Ariffin

    Terima kasih yang tak terhingga untuk artikel ini, menyokong SIO bukan dgn taksub, dgn ilmu, insyaAllah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.