Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 yang lalu adalah kematian yang sia-sia ataupun tidak, ada dua dimensi untuk kita melihatnya. Bagi mereka, di sisi Allah mereka adalah syuhada. Balasan untuk mereka adalah syurga yang Allah janjikan. Tetapi bagi kita yang masih hidup di dunia ini, terbunuhnya mereka itu, kita bertanggungjawab untuk memastikan ia tidak sia-sia. Berat rasanya jika pembunuhan beramai-ramai ini berlaku dan kita tidak peduli, tidak buat apa-apa, kita kena menjawabnya di hadapan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Namun pada masa yang sama juga, kita perlu mengambil kesedaran bahawa kematian mereka telah meninggalkan kesan besar yang tidak pernah saya saksikan sepanjang kemampuan saya untuk ingat tentang isu Palestin semenjak kanak-kanak hinggalah pada usia mendekati lima puluh tahun ini, iaitulah runtuhnya naratif propaganda Zionis yang selama ini berusaha keras untuk membutakan mata seluruh dunia agar percaya dengan apa yang mereka mahu dunia percaya terutamanya di sebelah Barat ini.

Kita melihat bagaimana keteguhan iman, tenangnya, tabahnya beberapa individu yang mendapat liputan media ketika berdepan dengan kematian anak mereka dengan persekitaran yang amat mengerikan bagi kita yang melihatnya dari jauh, ketenangan mereka itu membuka mata ramai individu di sebelah Barat untuk meneroka apakah rahsia kekuatan mereka sehingga begitu sekali mereka boleh bertenang mendepani ujian yang maha dahsyat ini.

Kemudian pada masa yang sama, kita juga dapat melihat ramai di kalangan anak muda Yahudi sendiri yang merupakan anak muda yang aktif dengan gerakan Zionism menyedari akan selama ini mereka menjadi mangsa kepada brainwash, indoktrinasi apa yang dilakukan oleh kerajaan Netanyahu pada masa ini ke atas umat Islam dan juga bukan umat Islam daripada kalangan penduduk Palestin di Gaza, seumpama bangkai gajah yang tidak boleh lagi ditutup dengan daun keladi. Mereka menyedarinya dan mereka bangkit dengan kebangkitan yang tidak boleh dilakukan oleh orang lain, kerana ia adalah kebangkitan yang berlaku dari dalam, oleh anak-anak muda yang diharapkan untuk nantinya menjadi penyambung kepada perjuangan Zionis itu sendiri, mereka bangkit melawan dengan cara mereka sendiri.

Begitu juga dengan Hollywood yang selama ini begitu selesa menghasilkan karya-karya kreatif untuk menyokong naratif propaganda Zionis, filem-filem yang memaparkan bangsa Arab sebagai bangsa yang ganas, kotor, tidak bertamadun, menakutkan, seorang demi seorang termasuk artis-artis yang berbangsa Yahudi sendiri melawan apa yang dilakukan oleh kerajaan Netanyahu, rejim Zionis yang bermaharaja ini.

Tujuh Oktober 2023 menginsafkan kita semua yang sudah sampai ke peringkat seumpama terlupa tentang tragedi yang berterusan berlaku tanpa henti, tidak mendapat perhatian sesiapa pun selama ini, 7 Oktober itu dunia telah dikejutkan dan telah berlaku satu gelombang besar.

 Cuma kita perlu berhati-hati agar kita tidak berkelakuan selektif dan seumpama sombong untuk mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak yang tidak mencapai standard kita. Kalau boleh orang yang memberi sokongan kepada Palestin itu mestilah macam kita imannya, macam kita pakaiannya, macam kita akidahnya, macam kita kumpulannya, macam kita mazhabnya, macam kita fahamnya dan tidak boleh lain langsung dan itu akan membingungkan diri kita sendiri. Kita mengagumi tokoh-tokoh tertentu daripada negara seperti Ireland yang begitu gigih memperjuangkan Palestin, tetapi dari dimensi lain, individu itu mungkin berpegang dengan ideologi yang kita tidak setuju, sosialismenya, yang pro kepada LGBT dan macam-macam lagi. Dan bila mana kita bersikap sedemikian rupa, yang akhirnya akan rugi adalah diri kita sendiri. Kerana kita mungkin menghabiskan masa menilai, menyaring kualiti orang yang berjuang berbanding dengan mereka yang sesungguhnya berjuang untuk melakukan sesuatu.

Kita perlu ingat naratif yang membutakan mata dunia daripada apa yang sebenarnya yang berlaku di Gaza, di Palestin itu adalah sangat besar, andai katalah naratif itu adalah tembok-tembok. yang menghalang daripada kebenaran cahaya Ilahi untuk menembusi dunia di sebelah barat ini, yang selama ini menjadi enabler memberikan sumbangan untuk membolehkan propaganda dan lobi Zionis itu menjayakan agenda mereka.

Jika semua itu adalah tembok besar, tembok-tembok itu andai berterusan wujudnya hingga ke akhir zaman, ia mengingatkan saya kepada hadis Nabi ï·º tentang dua buah kota yang akan runtuh jatuh ke tangan umat Islam. Yang pertamanya adalah Constantinople iaitulah Istanbul pada hari ini dan yang keduanya adalah Rom.

Constantinople sudah pun jatuh ke tangan umat Islam lapan ratus tahun selepas daripada janji Nabi Muhammad ï·º di tangan Sultan Muhammad Al-Fateh. Rahimahullah dan ia terjadi melalui peperangan. Tetapi bagaimana pula dengan bandar kedua Rom, Rom itu hinggalah ke hari ini sama ada jika Rom itu difahami sebagai ibu kota negara Itali yang ada pada masa ini ataupun Rom itu difahami sebagai Eropah secara umumnya, Rom itu akan jatuh ke tangan umat Islam bukan melalui peperangan.

Di dalam sepotong hadis Nabi ï·º apabila baginda ditanya mengenai hal ini, baginda berkata:

Kata Nabi ï·º tidak akan berlaku kiamat sehinggalah kota itu akan berdepan dengan tujuh puluh ribu Bani Ishaq. Apa yang difahami oleh Bani Ishaq itu berbeza-beza di kalangan ilmuwan sebahagian merujuk kepada maksud Bani Ishaq itu mereka yang memeluk Islam bukan daripada Bani Ismail iaitu orang Arab. Maknanya orang-orang bukan Arab, orang ajam. Mereka ini yang datang ke Rom, mengerumuninya dan mereka tidak menyerang Rom itu dengan senjata. atau menyerangnya dengan anak panah mereka, tetapi apa yang terjadi ialah mereka menyebut La Ilaha Illallah Wallahu Akbar dan satu daripada tembok itu akan runtuh. Kemudian mereka menyebut lagi La Ilaha Illallah Wallahu Akbar satu lagi tembok jatuh pula dan tembok yang satu lagi ialah tembok yang berada di darat yang merujuk kepada Rom, sama ada Rom di Itali ataupun Rom itu bermaksud Eropah yang ada di sini dan begitulah mereka ini mengucapkan la ilaha illallah Wallahu Akbar, tembok yang ketiga runtuh dan masuklah mereka ini ke dalamnya.

Jatuhnya Rome ini merupakan satu daripada tanda kiamat yang unik kerana selalunya tanda-tanda kiamat itu menceritakan tentang malapetaka bencana. Tetapi ini adalah merupakan satu khabar gembira iaitu apabila tembok-tembok yang mengelilingi dan melindungi Rom selama ini runtuh bukan dengan peperangan.

Dan ketika saya mengulas tentang hadis ini dengan anak-anak, saya kata keberadaan kita sebagai umat Islam minoriti yang tinggal di Eropah pada masa ini, kita perlu kekal dengan siapa kita sebagai orang yang beriman, sebagai Muslim menjadi saksi ke atas manusia. syuhada’ ‘alannas, always tell the truth kerana itu adalah ciri utama, saksi di mahkamah berkata hanya yang benar dan tidak lupa kepada Allah. Kita ada ups and downs kita ada masa yang kita lalai, kita buat silap, tapi kita tidak pernah lupa dengan Allah. Kita sentiasa berpegang dengan tauhid kita bahawa tiada yang lebih utama dalam hidup ini kecuali Allah dan tidak ada yang lebih agung, lebih besar dalam hidup ini melainkan Allah. Peganglah yang itu dan dengan kesungguhan itu, tembok-tembok itu akan runtuh.

Tembok-tembok itu mungkin tembok-tembok anak-anak Zionis yang kena brainwash. Tembok-tembok itu mungkin artis-artis Hollywood yang selama ini menyokong naratif anti kepada Arab Muslim, sejak sekian lama, tapi akhirnya berubah. Tembok-tembok itu mungkin orang-orang di sebelah barat ini yang jahil tentang Islam, yang tidak pernah dengar tentang Islam. Tembok-tembok itu adalah segala apa yang selama ini menghalang daripada kebaikan itu datang, cahaya Allah itu tembus masuk, maka biarkanlah tembok-tembok itu runtuh dengan cara mereka sendiri. Dan bukan kita yang hendak menilai sumbangan siapakah yang sah yang tidak sah, yang baik ataupun yang tidak baik kerana semuanya adalah hamba Allah, semuanya adalah merupakan makhluk-Nya dan akhirnya Allah yang akan menilai semua itu, tugas kita adalah untuk terus berusaha menyumbang, membantu saudara-saudara kita di Palestin dengan duit, dengan apa jua cara, termasuklah pada menyampaikan maklumat, ilmu pengetahuan, agar yang buta selama ini, agar yang kabur selama ini, agar yang tidak dapat melihat dan tidak pernah mendengar selama ini, akhirnya tembok-tembok itu runtuh dan mereka datang kepada kebaikan dan kebenaran.

Sungguh luar biasa Palestin ini kerana semua kematian yang terjadi di bumi itu adalah kematian yang menghidupkan.

Hasrizal
Naas, Ireland
palestin.saifulislam.com

​

Check Also

Misteri ‘Sengaja Susah Supaya Tabah’?

Dalam masyarakat kita, terdapat kecenderungan untuk mengagung-agungkan susah payah dengan anggapan bahawa ia menjadikan seseorang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.