Monday, March 17th, 2025

18. Jasa Puan Ainon Mohd dan Kontroversi Terbaharunya

Jasa Puan Ainon Mohd amat besar di dalam hidup saya. Tidak sedikit pun jasanya saya lupakan. Antaranya:

1. Melalui kursus penulisan bersamanya, saya belajar “sampaikan agama melalui cerita”. Ia pesanan terawal dan paling menganjak paradigma saya. Sebagai graduan syariah, pengucapan awam bernada pidato, dan menulis dengan laras bahasa kering lagi kaku, kursus pada tahun 2005 mengubah cara saya menulis, dan berdakwah. Turut sama mempengaruhi perubahan ini adalah bergurunya saya dengan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.

2. Teknik Surah Yusuf yang dibangunkan ketika itu, mendidik saya mengubah pendekatan menulis di blog saifulislam.com. Banyak artikel, saya mulakan dengan dialog, cerita, mendorong pembaca melibatkan diri di dalam penyampaian, dan akhir sekali menutup artikel dengan fakta, dalil, dan kesimpulan. Pendekatan inilah yang mewarnai ribuan artikel yang saya tulis di blog www.saifulislam.com sehingga ke hari ini. Tahun 2005 adalah tahun berubahnya blog berkenaan daripada pusingan pertama (1997 – 2005) dan pusingan semasa (2005 – 2025 dan seterusnya).

3. Puan Ainon Mohd memperkenalkan kepada saya KJ Method yang dibangunkan oleh Jiro Kawakita pada era 1960an. Ia mengajar saya mengelak menulis secara linear (mulakan dengan bab 1, kemudian bab 2, 3 dan seterusnya). Sebaliknya, tulis sahaja apa jua yang fikiran dan emosi kita sedang membuak-buak inspirasinya pada ketika itu. Namun kekalkan laras penulisan dan kategorikan ia mengikuti tema-tema tertentu. Awalnya saya simpan artikel di dalam ‘folder’ komputer. Kemudian, semua artikel diposisikan mengikut kategori apabila blog saya berpindah daripada HTML kepada WordPress. Kaedah ini bertanggungjawab melahirkan 28 buah buku setakat ini, hasil ribuan artikel yang saya tulis semenjak dua puluh tahun lalu. Saya menjadi individu ADHD yang masih boleh menghasilkan ribuan artikel dan berpuluh-puluh buah buku, hasil teknik KJ Method ini.

4. Puan Ainon Mohd memperkenalkan ‘Fishbone Diagram’ yang terbit daripada diagram Kaoru Ishikawa. Ia berperanan besar membantu saya memanggil memori lama melalui nama-nama watak. Kemudian di bawah setiap watak, saya kembangkan peristiwa. Pada setiap peristiwa, saya kembangkan teladan dan perinciannya. Fishbone Diagram ini berada di belakang tiga travelog awal saya ialah Rindu Bau Pohon Tin (2009), Secangkir Teh Pengubat Letih (2010), dan Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu (2011).

5. Puan Ainon Mohd turut mendisiplinkan saya menggunakan Bahasa Melayu tinggi di dalam penulisan. Biar apa pun trend semasa melanda dunia penulisan merentas masa, saya beriltizam mengekalkan penggunaan Bahasa Melayu tinggi. Ada zamannya ia ditertawa orang, digelar bahasa golongan dinasour dan macam-macam lagi. Namun, Bahasa Melayu tinggi malar segar, dan mencegah diri saya daripada berasa aib dan malu membaca tulisan semasa muda, tatkala usia menginjak senja. Ia bahasa bermaruah. Ia akal budi kita orang Melayu.

Semua jasa itu amat besar impaknya dalam hidup saya, sama ada sebagai seorang penulis, mahu pun Muslim dan pendakwah. Setiap kebaikan yang ada di dalam penulisan saya, pasti ia juga menjadi kebaikan buat guru-guru saya. Saya tidak pernah menjadi kacang lupakan kulit, sentiasa rasa terhutang budi walaupun dengan belajar satu huruf.

Saya tidak pernah berada di dalam pasukan Puan Ainon Mohd. Namun, saya adalah anak murid beliau paling komited mengambil manfaat daripada semua pelajaran yang saya perolehi hasil berguru dengan beliau.

Hati saya tetap tersinggung membaca tulisan-tulisan netizen dahulukala, semalam, dan hari ini yang mengejek Puan Ainon Mohd, memberi gelaran-gelaran buruk lagi menghina beliau, khususnya di dalam isu kontroversi baru-baru ini.

JANGAN BANTU SYAITAN

Menghina orang buat salah, berisiko menjadikan kita pembantu Syaitan.

أُتِيَ النَّبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ برَجُلٍ قدْ شَرِبَ، قَالَ: اضْرِبُوهُ -قَالَ أبو هُرَيْرَةَ: فَمِنَّا الضَّارِبُ بيَدِهِ، والضَّارِبُ بنَعْلِهِ، والضَّارِبُ بثَوْبِهِ- فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ بَعْضُ القَوْمِ: أخْزَاكَ اللَّهُ! قَالَ: لا تَقُولوا هَكَذَا؛ لا تُعِينُوا عليه الشَّيْطَانَ.

الراوي : أبو هريرة | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري | الصفحة أو الرقم : 6777 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

Seorang lelaki yang telah minum arak dibawa kepada Nabi ﷺ. Baginda pun bersabda: “Pukullah dia.” Abu Hurairah r.a. berkata: “Sebahagian daripada kami memukulnya dengan tangan, sebahagian dengan kasut, dan sebahagian lagi dengan pakaian.” Setelah lelaki itu berlalu, sebahagian hadirin berkata: “Semoga Allah menghinakanmu!” Maka Baginda bersabda: “Jangan berkata demikian. Janganlah kamu membantu Syaitan untuk merosakkannya lagi.”

Sama ada penghinaan kita menjadikan orang yang bersalah putus asa, atau berisiko menebalkan egonya menjadikan dirinya lebih menjauhkan diri daripada kebenaran. Dua-dua keadaan itu adalah visi dan misi Syaitan. Jangan jadi pembantu Syaitan.

BERKATALAH YANG BENAR WALAUPUN PAHIT

Pada masa yang sama, rasa hormat saya kepada guru, tidak boleh sama sekali menjadikan saya mendiamkan diri tatkala keluar kenyataan guru yang bercanggah dengan ajaran Islam.

  1. Saya tidak bersetuju dengan gagasan GAYA NABI (ﷺ).
  2. Saya membantah penghasilan Novel Sejarah Islam.
  3. Saya menolak kenyataan Puan Ainon Mohd menyandar amalan nepotisme dan kronisme kepada Rasulullah ﷺ, jauh sekali menjadikannya sebagai sebahagian daripada POLITIK GAYA NABI (ﷺ).

NEPOTISME DAN KRONISME BUKAN AJARAN ISLAM

Oleh kerana masyarakat begitu marah dengan kenyataan Puan Ainon Mohd itu, jelas sekali kita semua tidak pernah keliru bahawa NEPOTISME dan KRONISME bukan ajaran Islam. Kita lantang dan keras menentang kenyataan Puan Ainon Mohd, maka lantang dan keraslah semua menentang segala amalan nepotisme dan kronisme di tempat kerja masing-masing, di dalam persatuan yang kita sertai, di dalam politik yang mengurus tadbir, di dalam semua lapisan kehidupan.

Kita akan menjawab di hadapan Allah ﷻ adakah kita melaksanakan tanggungjawab amar makruf nahi munkar ini, bukan hanya dalam isu Puan Ainon Mohd, tetapi di dalam realiti kehidupan kita semua sepanjang hayat.

Saya berdoa kepada Allah ﷻ agar dalam isu kali ini, pendekatan Puan Ainon Mohd bukan lagi diam, dan jalan terus. Bukan lagi ‘pedulikan Hasrizal itu dan teruskan berkarya’ seperti isu Novel Sejarah Islam pada tahun 2013 dahulu.

Kali ini, jalan yang ada hanya surah al-Baqarah ayat 160.

Marilah kita sama-sama merendah diri menjadi hamba-hamba Allah ﷻ yang baik lagi membaikkan.

#saifulislamdotcom #ustazhasrizal #hasrizaljamil #HasrizalAbdulJamil #hasrizal #pendidikanjalanislah

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Tidak Berpuasa Kerana ADHD?

HasrizalAn educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.