Friday, December 5th, 2025

Alangkan Terkentut Semasa Solat Jemaah Pun Ada Akhlaknya

“Alamak, terkentut pulak!” rungut Ali di dalam hatinya.

Mujur tidak berbunyi. Kalau tidak, segan juga dibuatnya.

Sebaik sahaja Ali hendak melangkah ke luar meninggalkan saf, beliau dihalang oleh salah seorang jemaah yang bersolat. Maklum sahaja, berjalan di hadapan orang bersembahyang, adalah perbuatan yang dilarang agama.

Ali teringat hadis Nabi ﷺ :

إِذَا أَحْدَثَ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ فَلْيَأْخُذْ بِأَنْفِهِ ثُمَّ لْيَنْصَرِفْ

“Andai sesiapa di kalangan kamu berhadas di dalam solatnya, maka peganglah hidungnya kemudian keluar.” (Sunan Abi Dawud : 1114)

Baru beliau perasan di mana silapnya.

Beliau perlu proaktif mengelak daripada jemaah lain terganggu. Pada masa yang sama, air muka terjaga sama. Tidaklah malu dan mengundang gossip liar jemaah:

“Ishh, kentut pulak mamat tu. Makan petai ke apa?”

Kalau di Ireland dahulu, baked bean!

Ali mengambil semula wuduk, dan segera menyertai jemaah menyempurnakan solat beliau.

Usai bersolat, Ali terkenang kitab kecil tulisan Abbas al-Sisi rahimahullah, yang beliau pernah baca. Abbas al-Sisi memetik hadis ini untuk membincangkan tentang kepentingan akhlak sebagai agenda besar usaha dakwah dan perjuangan Islam. Sebagai pemimpin al-Ikhwan al-Muslimun ketika itu, beliau mengingatkan para pejuang Islam, betapa tingginya tatatertib hidup kaum Muslimin yang Nabi Muhammad ﷺ ajar.

Hingga soal terkentut semasa solat Jemaah pun ada tatasusilanya.

Memegang hidung, seolah-olah hidung berdarah. Hidung berdarah atau disebut sebagai رُعاف (ruʻāf), adalah perkara yang turut membatalkan wuduk. ‘Berpura-pura’ hidung berdarah dengan memegang hidung itu tidak dianggap menipu. Sekadar strategi yang cukup untuk menjaga aib muka sendiri, dan mengekalkan keharmonian komuniti. Terpulang apa yang hendak jemaah sangkakan andai terlihat seseorang memegang hidung semasa keluar meninggalkan saf. Apa yang penting, sesama Muslim dan Mukmin itu, benang-benang yang menjahit mereka menjadi tenunan ummah yang indah, adalah pada akhlak.

Tiada yang terlalu kecil untuk baginda ﷺ santuni.

Mudah-mudahan apabila kita ingat semula hadis ini, kita kembali menghargai agama Nabi Muhammad ﷺ yang begitu indah. Jauh daripada jerit pekik, malu memalukan, ghairah melihat orang buat salah, hingga didikan yang baginda ﷺ tinggalkan tercemar dan jarah.

Hasrizal
Naas, Ireland

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Pendidikan Yang Mengabaikan Sebuah ‘Abasa

HasrizalAn educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.