Antara Socrates dan Salamis: Merenung ‘Kerosakan’ Anak Muda dalam Memori Sejarah

Antara Socrates dan Salamis: Merenung 'Kerosakan' Anak Muda dalam Memori Sejarah

“Berbaloi pelaburan €2 aku!” Saya mengomel sendirian.

Saya sedang membaca buku Corrupting Youth: Political Education, Democratic Culture, and Political Theory oleh J. Peter Euben. Naskhah terpakai buku lama ini saya beli semasa pesta buku TCD baru-baru ini. Corrupting Youth meneroka peranan pendidikan politik dalam budaya demokrasi dengan merujuk kepada falsafah Socrates dan teks klasik Athens. Penulis mengkritik perdebatan “Perang Budaya” masa kini di antara golongan konservatif yang mempertahankan teks warisan dan penyokong pelbagai budaya (multikulturalisme). Melalui analisis karya-karya klasik seperti Apology, Gorgias, Clouds, dan Antigone, Euben berhujah bahawa teks-teks ini tidak seharusnya digunakan sekadar untuk indoktrinasi pasif. Sebaliknya, pendekatan dialogik Socrates dan pementasan drama klasik harus dijadikan panduan untuk mendidik warganegara demokratik agar sentiasa berfikir secara kritis dan mampu membuat pertimbangan yang bebas. Buku ini menegaskan bahawa teks dan falsafah klasik purba masih sangat relevan untuk menangani krisis pendidikan dan identiti sivik moden kita pada hari ini.

Itu sinopsis ringkas buku ini.

Tetapi apa yang berkecamuk di fikiran adalah sebuah memori yang timbul kembali dari tasik sejarah, seumpama Nessie mencanak kepalanya dari lubuk Loch Ness.

Membaca naskhah ini menjadi satu persinggahan di sebuah halaman pemikiran yang menuntut saya untuk terjun ke dasar laut sejarah yang dalam. Saya teringat akan tamsil yang pernah dinukilkan oleh Hannah Arendt semasa merumus gagasan Walter Benjamin tentang “penyelam mutiara” (pearl diver). Arendt menggambarkan pemikir budiman sebagai sosok yang tidak sekadar mahu menggali dasar laut untuk memamerkan lumpurnya, tetapi turun ke kedalaman yang gelap demi merungkaikan segala yang berharga, yang aneh, dan yang murni.

Mutiara dan karang.

Lalu membawanya semula ke permukaan sebagai serpihan pemikiran (thought fragments) yang mampu memberikan makna baharu kepada dunia yang sedang mereput!

Inil khayalan saya saat menelaah gagasan Euben.

Beliau mengajak kita melihat bahawa tuduhan “merosakkan anak muda” yang sering dilemparkan oleh pihak berkuasa kepada para guru dan pemikir sebenarnya sebuah reaksi panik. Ia adalah tindak balas autoriti terhadap kemunculan pemikiran yang mula mencabar status quo dan menuntut akauntabiliti dalam sebuah budaya yang mengaku dirinya demokratik. Euben menghubungkan garis masa antara krisis pendidikan politik di Athens purba dengan realiti hari ini, menunjukkan bahawa ketakutan terhadap “kerosakan” anak muda sebenarnya adalah ketakutan terhadap hilangnya kawalan minda oleh para penguasa.

“KAMI TAK PUAS HATI”

Merenung bait-bait tulisan Euben membawa ingatan saya terbang jauh ke memori saat saya berada di usia tiga puluhan.

Ketika itu, saya merupakan seorang aktivis di dalam ‘jemaah’.

Suasana dekad 90-an dan awal 2000-an itu sarat dengan garis-garis pemisah yang tebal antara ketaatan mutlak dan integriti intelektual. Saya masih ingat dengan jelas bagaimana rutin saya untuk memberi kuliah, usrah dan tamrin, atau ceramah umum dengan khalayak mahasiswa di menara gading sering kali disekat secara tidak rasmi. Tiada surat rasmi. Tiada mesyuarat tatatertib. Hanya arahan “halus” yang dikeluarkan dari ‘atas’, menyatakan bahawa pandangan saya “tidak selari”, terlalu menyimpang daripada garisan rasmi jemaah.

Sekatan senyap jenis ini amat licik.

Ia tidak boleh disangkal dan tidak boleh dilawan secara terbuka. Ada semacam paranoia intelektual yang menguasai mereka yang merayap masuk ke tampuk kuasa: ketakutan bahawa sekiranya anak muda didedahkan kepada kritikan sejarah atau analisis sosiologi yang mendalam, mereka tidak lagi akan menjadi pengikut yang patuh dan pasif.

Kota sami’na wa atha’na retak.

Istana wala’ rebah.

Namun, di celah-celah sekatan yang melemaskan itu, dunia internet sedang menebuk. Laman saifulislam.com yang saya kendalikan menjadi wadah yang dibaca , sesetengahnya secara sulit oleh mahasiswa. Di asrama-asrama yang gelap, di makmal komputer yang sunyi, mereka mencari wacana yang barangkali makin sukar ditemui dalam teks-teks rasmi jemaah mahupun silibus universiti. Walaupun terdapat arahan langsung atau tidak langsung daripada pimpinan untuk menjauhi tulisan-tulisan saya, anak muda ini memiliki rasa “lapar” yang tidak dapat dipuaskan dengan slogan-slogan kosong. Ada semacam tarikan magnetik apabila sesetengah ‘adik-adik’ ini merasakan bahawa apa yang dilarang itu sebenarnya adalah kunci kepada kebebasan berfikir mereka.

Mereka mahukan sesuatu yang lebih daripada sekadar doktrin.

Mereka mahukan dialektika.

Pernah pada suatu malam yang sunyi, saya menerima kunjungan sulit. Kami bergurau bahawa sembang malam itu seumpama Bai’ah al-‘Aqabah yang kita kenal di dalam sirah!

Mereka adalah anak muda yang jurang usianya sekitar sepuluh tahun lebih muda daripada saya. Keresahan yang mereka bawa terasa amat berat dan menyesakkan. Pada siang harinya mereka menjemput saya sebagai penceramah ke program awam di kampus. Tetapi pada sebelah malamnya mereka datang secara rahsia, masuk ke bilik saya, dan di situlah mereka meluahkan apa yang terbuku. Bersama riak wajah yang mempamerkan kelesuan intelektual mendalam. Dalam nada yang sarat dengan kekecewaan dan kemarahan yang tertahan, salah seorang daripada mereka meluahkan dialog yang masih terngiang-ngiang sehingga hari ini:

“Ustaz, kami tak puas hati! Kami tak faham bagaimana ustaz fulan bin fulan boleh berkata begitu dan begini! Mengapa kenyataan mereka begitu tidak logik, bercanggah dengan fakta, dan kadangkala menghampiri fitnah, namun kami dipaksa menelannya atas nama adab?”

Dialog ini bukan sekadar rintihan. Ia adalah manifestasi kebuntuan generasi yang mula melihat retakan besar pada kepimpinan yang selesa bertembokkan wala’. Adik-adik ini melihat sebuah krisis logik yang parah, di mana ketaatan dipaksakan untuk menutup kelemahan hujah, dan “adab” diperalat sebagai senjata untuk membunuh daya kritis. Mereka merasai beban bermuka-muka dalam kepimpinan yang gagal memberikan jawapan yang memuaskan akal sihat. Anak-anak muda ini merasa “dikerosakkan” dengan ketidakjujuran yang dipaksakan ke atas mereka oleh segelintir yang memegang mandat sebagai penjaga moral ahli.

Reaksi saya ketika itu mungkin agak keras.

Saya tidak terkejut.

Kekerasan itu lahir daripada rasa tanggungjawab yang mendalam. Saya katakan kepada mereka bahawa saya tidak simpati.

Bukan kerana keresahan mereka tidak sah. Ia sah.

Tetapi mereka ditindas adalah akibat sikap mereka sendiri. Mereka diam apabila perlu bersuara. Mereka mengangguk apabila patut bertanya. Mereka menerima perkara yang tidak masuk akal dengan senyuman sopan yang sebenarnya menyakiti diri mereka sendiri lebih daripada menyakiti sesiapa yang lain.

Penindasan intelektual atau kemerepekan kepimpinan bukanlah fenomena baharu dalam sejarah manusia. Apa yang memburukkan keadaan bukan merapu yang keluar dari mulut pemimpin, tetapi kesunyian yang menyelimuti usrah, tamrin dan mukhayyam selepas itu. Apabila tidak seorang pun bangun, tidak seorang pun bertanya, tidak seorang pun meminta bukti atau penjelasan, maka keburukan itu bukan lagi milik sang pelantun kata si pemimpin sahaja. Ia menjadi milik bersama.

Saya mengingatkan mereka kepada generasi saya dan generasi sebelumnya sanggup mengambil risiko untuk menyanggah hujah yang lemah walaupun ia datang daripada sosok yang dihormati.

Kami bukan sempurna. Jauh sekali wira.

Tetapi kami bangun, kami bertanya semula, kami mencabar, dan kami tidak meminta maaf kerana melakukannya.

Budaya menyoal dan mencabar yang hidup sedikit sebanyak menyebabkan pemimpin tahu mereka tidak kebal. Mereka perlu berhati-hati. Mereka sedar bahawa setiap dakwaan, kecil atau besar, perlu dipertanggungjawabkan. Mereka tahu ada mata yang memerhati dan ada suara yang tidak segan untuk berkata: “Tapi, ana tak setuju!”

Apabila budaya itu mati, apabila generasi yang baharu memilih untuk diam, bukan pemimpin jenis ini yang berubah. Mereka hanya menjadi lebih berani. Lebih selesa. Lebih yakin bahawa apa sahaja yang mereka ucapkan akan ditelan bulat-bulat tanpa soal. Jika anak muda hari ini hanya tahu mengeluh dalam pertemuan sulit tanpa berani memulakan dialektika di ruang terbuka, maka mereka sebenarnya sedang membiarkan diri mereka terus dirosakkan oleh sistem tarbiah yang memuja kepatuhan membuta tuli.

Itu kenangan atau lebih tepat kecamuk, yang menerjah minda saya tatkala membaca naskhah Euben ini.

Peralihan daripada pengalaman peribadi itu membawa saya kepada analisis yang lebih makro di peringkat nasional dan global. Apa yang dahulu berlaku dalam lingkungan dalaman sebuah kelompok kini bukan lagi isu kelompok. Ia sudah menjadi isu nasional. Bahkan global. Fenomena yang sama, corak yang sama, tetapi pada skala yang jauh lebih besar dan jauh lebih berbahaya.

‘NORMALISASI PEMBODOHAN’

Sebagaimana yang dihuraikan oleh Euben dalam Bab IV dan VIII naskhahnya, kerosakan hari ini tidak lagi berlaku melalui kekerasan fizikal semata-mata, tetapi melalui apa yang beliau sebut sebagai “pembiasaan terhadap kebodohan” (habituation to ignorance). Ia berlaku melalui normalisasi kepatuhan tanpa fikir, apabila patuh menjadi nilai tertinggi tanpa soal untuk apa dan kepada siapa. Ia berlaku melalui budaya pasif yang merayakan kesopanan luaran tetapi membiarkan kerosakan dalaman berleluasa. Ia berlaku melalui sistem pendidikan yang lebih sibuk menghasilkan keputusan peperiksaan cemerlang daripada menghasilkan manusia yang mampu berfikir, menilai, dan memikul tanggungjawab moral.

Kita perlu jujur: reformasi pendidikan yang sebenar tidak pernah menjadi keutamaan apabila generasi muda yang tidak diajar berfikir itu sebenarnya lebih mudah dikawal.

Generasi yang tidak bertanya tidak menyusahkan.

Generasi yang tidak menyoal tidak mengancam.

Dalam logik politik yang sempit, sebuah generasi yang lemah daya fikirnya dan tidak mampu melakukan representative thinking, iaitu keupayaan untuk berfikir dari perspektif orang lain sebagaimana yang digagaskan oleh Arendt, sebenarnya lebih mudah diperalatkan.

Dalam konteks Athens purba, akauntabiliti bukan sekadar satu konsep abstrak, tetapi ia diterjemahkan ke dalam institusi seperti dokimasia (penelitian awal sebelum memegang jawatan) dan euthunai (pemeriksaan akhir setelah tamat tempoh jawatan). Setiap warga yang memegang mandat awam mesti bersedia untuk diperiksa hidup dan tindakannya. Socrates sebenarnya hanya memindahkan mekanisme akauntabiliti politik ini ke dalam ranah falsafah.

Baginya, “hidup yang tidak diperiksa tidak layak didiami oleh manusia.”

Socratic elenchos, iaitu kaedah soal jawab Socrates, bukanlah satu teknik untuk memalukan lawan, tetapi satu proses pembersihan minda daripada kepalsuan dan prasangka.

Apabila sistem pendidikan kita gagal melahirkan keberanian moral untuk menuntut euthunai terhadap pemikiran pemimpin, maka kita sebenarnya sedang menyediakan tapak bagi tumbuhnya tiran-tiran kecil dalam masyarakat.

Generasi yang tidak dididik untuk berani bertanya adalah generasi yang mudah menjadi mangsa kepada koros (kekenyangan kuasa), atē (khilaf atau delusi), dan akhirnya hubris (keangkuhan yang melampau) para pemimpin.

Kita melihat bagaimana ketaatan kepada ilmu disalahtafsirkan sebagai ketaatan kepada sosok. Inilah titik di mana pendidikan politik menjadi terpesong. Ada perbezaan yang besar antara menghormati ilmu dengan tunduk kepada autoriti secara membuta tuli. Yang pertama menuntut kita mendengar, memahami, menilai, dan kemudian menerima atau menolak berdasarkan akal dan hujah. Yang kedua hanya menuntut kita duduk diam. Duduk diam lebih mudah. Tetapi ia juga lebih berbahaya. Orang yang duduk diam lama-lama akan kehilangan kebolehan berdikari. Pendidikan sepatutnya melahirkan warga yang memiliki isēgoria, iaitu hak kesamarataan untuk berbicara di ruang awam, bukannya pengikut yang hanya tahu mengangguk dalam diam.

Sebelum naik taraf jadi pengampu.

Tukang kipas.

Secara sejarahnya, kita boleh mengambil pengajaran yang mendalam daripada Perang Salamis pada tahun 480 SM. Peristiwa ini bukan sekadar kejayaan ketenteraan yang menakjubkan bagi bangsa Yunani terhadap Empayar Parsi yang adidaya, tetapi ia adalah kemenangan “orang kecil.” Sebagaimana catatan Herodotus dan Aeschylus, kemenangan di Salamis dicapai melalui keberanian para pelaut miskin, warga kelas bawahan yang mengemudi kapal-kapal perang, yang berani mengubah status quo demi mempertahankan tanah air dan kebebasan mereka. Mereka adalah benteng kota yang sesungguhnya. Athens saat itu adalah sebuah kota yang telah hangus terbakar, sebuah kota yang menurut kata-kata Themistocles. Namun, selagi warganya bernyawa dan bertekad untuk merdeka, kota itu kekal aporthētos, tidak terkalahkan dan tidak dapat diserang.

MEROSAKKAN ANAK MUDA

Ironinya, sejarah juga merakam nasib Socrates.

Beliau akhirnya diheret ke muka pengadilan oleh Meletus dengan tuduhan yang sama: merosakkan anak muda.

Socrates dituduh membawa tuhan baharu dan tidak menghormati tradisi leluhur. Walhal Socrates memperjuangkan pendemokrasian kemuliaan budi. Beliau mahu anak muda memahami bahawa kemuliaan tidak datang daripada keturunan atau harta, tetapi daripada akauntabiliti terhadap akal sendiri. Bagi Socrates, kerosakan yang sebenar bukan pada mencabar tradisi. Kerosakan yang sebenar ialah hidup yang sekadar mengikut arus tanpa mengetahui arah tuju yang benar. Tuduhan Meletus terhadap Socrates adalah lambang pertembungan antara elit yang ingin mengekalkan kawalan dengan pemikir yang ingin membebaskan minda rakyat jelata. Kerosakan yang didakwa oleh Meletus hakikatnya adalah usaha penyembuhan akal daripada gejala taklid.

Persoalan tentang “merosakkan anak muda,” pada akhirnya, bukan sekadar isu siapa yang memegang kuasa. Ia bukan isu politik semata-mata. Ia adalah isu eksistensial yang meresap ke dalam setiap institusi yang membentuk manusia: keluarga, sekolah, gerakan, masyarakat, dan negara.

Siapa yang mengambil giliran berkuasa, itu tidak penting. Apatah lagi saya kini meneropongnya dengan lensa 12 ribu kilometer merentas benua.

Tetapi, isu utamanya ialah manusia jenis apa yang sedang dibentuk oleh kuasa itu.

Adakah kita sedang mendidik generasi yang memiliki jiwa pelaut di Salamis, yang berani memikul tanggungjawab di atas bahu sendiri demi sebuah visi merdeka? Atau adakah kita sekadar membela sebuah generasi yang mudah diarahkan oleh dakyah dan sentimen, tidak berani menyanggah kebatilan pemimpin atas nama “adab” yang hakikatnya fatamorgana?

Biarlah kita menjadi seperti penyelam mutiara Arendt: yang turun ke kedalaman sejarah bukan untuk tenggelam di dalamnya, tetapi membawa pulang cahaya mutiara hikmah. Semuanya demi menerangi jalan generasi yang sedang menanti untuk dilahirkan sebagai manusia yang berani berfikir.

Soalan itu tidak memerlukan jawapan segera.

Ia memerlukan kejujuran yang lama.

Saya masih menggenggam baranya.

Tatkala meniti usia senja.

Hasrizal Abdul Jamil
www.saifulislam.com

About Hasrizal

Hasrizal is an educator, author, and advocate specialising in inclusive education situated between policy formulation and learning design. The author of 30 books, his is now based in Naas, Co. Kildare, Ireland.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.