Friday, December 5th, 2025

Bahaya Gaduh dan Debat Berlebih-lebihan Dalam Agama

Semakin banyak kita bercakap dan menulis, semakin besar risiko untuk kita melakukan kesilapan. Namun, penyelesaiannya bukanlah dengan berhenti bercakap atau menulis. Sekiranya kita perlu melakukannya, maka kita harus terus melakukannya. Isunya ialah, apabila berlaku kesilapan, individu yang melakukannya perlu tampil membetulkan, mengakui, dan bergerak ke arah yang lebih baik. Sebaliknya, bagi kita yang menemukan kesilapan tersebut, sikap berlebih-lebihan dalam mengapi-apikan kesalahan itu adalah satu bentuk kelakuan yang berbahaya.

Dalam Fadlul-‘Ilm, Ja‘far ibn Muhammad rahimahullah pernah mengingatkan:

إِيَّاكُمْ وَالْخُصُومَاتِ فِي الدِّينِ، فَإِنَّهَا تُشْغِلُ الْقَلْبَ وَتُورِثُ النِّفَاقَ

“Hindarilah perbalahan dalam urusan agama kerana ia melalaikan hati dan mewariskan sifat munafik.”

Peringatan ini amat penting khususnya apabila timbul isu keagamaan yang lazimnya membabitkan emosi melebihi pertimbangan akal. Ketika kita terlalu ghairah mendedahkan kesalahan orang lain, tanpa kita sedari, kita melakukannya bukan lagi demi membetulkan keadaan, tetapi kerana kita mula menikmati pendedahan itu. Maka ketika itu, tujuan kita bukan lagi kerana Allah, tetapi terdorong oleh hawa nafsu.

Inilah sebabnya mengapa sikap berlebih-lebihan dalam perbalahan merupakan antara ciri kemunafikan yang perlu dijauhi. Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

مَا ضَلَّ قَوْمٌ بَعْدَ هُدًى كَانُوا عَلَيْهِ إِلَّا أُوتُوا الْجَدَلَ

“Tidaklah satu kaum itu tersesat selepas mereka berada di atas petunjuk, melainkan apabila datang kepada mereka sifat suka bertengkar.”

Baginda kemudian membaca firman Allah SWT:

مَا ضَرَبُوهُ لَكَ إِلَّا جَدَلًا ۚ بَلْ هُمْ قَوْمٌ خَصِمُونَ

“Mereka tidak mengemukakan perumpamaan itu kepadamu melainkan untuk berbantah-bantahan; bahkan mereka adalah kaum yang suka membantah.”

Kita boleh lihat sendiri dalam pelbagai perbincangan dan kandungan yang diterbitkan hari ini. Ada yang bermotif keuntungan atau populariti, dan ada juga yang benar-benar ikhlas menyampaikan manfaat. Seperti mana-mana manusia, setiap daripada kita pasti ada membuat kesilapan. Namun, dalam era teknologi dan lemahnya penghayatan akhlak agama, kesilapan bukan lagi disambut dengan nasihat pembetulan, sebaliknya menjadi bahan cercaan, hinaan dan permusuhan yang tiada berpenghujung. Satu isu berlalu, satu lagi isu dicetuskan. Malah, hal ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang awam, tetapi juga menimpa golongan berilmu.

Saya teringat pesanan al-Imam al-Syafi‘i rahimahullah:

الْمِرَاءُ فِي الْعِلْمِ يُقَسِّي الْقَلْبَ وَيُوَرِّثُ الضَّغَائِنَ

“Perbalahan dalam ilmu mengeraskan hati dan menimbulkan permusuhan serta kebencian.”

Memilih untuk tidak menyambut provokasi dan tidak terjebak dalam debat bukanlah tanda takut, tidak amanah dengan ilmu atau tidak mempertahankan kebenaran. Mengapa diam? Yang ini tak bersuara, yang itu lantang? Itu bukan persoalan sebenar. Ibnu Rajab rahimahullah pernah menjelaskan:

فما سكت من سكت من كثرة الخصام والجدال من سلف الأمة جهلا ولا عجزا، ولكن سكتوا عن علم وخشية لله، وما تكلم من تكلم وتوسع من توسع بعدهم لاختصاصه بعلم دونهم، ولكن حبا للكلام وقلة ورع

“Salafusoleh dahulu tidak diam kerana jahil atau lemah, tetapi kerana ilmu dan takut mereka kepada Allah. Manakala generasi selepas mereka yang banyak bercakap dan meluaskan hujah, bukan kerana mereka lebih berilmu, tetapi kerana cintakan perbahasan dan kurangnya sifat wara‘.”

Tiada kebaikan dalam penyebaran ilmu yang berlandaskan perbalahan dan pertengkaran. Mungkin benar kita berjaya mengenal yang hak dan yang batil, tetapi dalam proses itu, kita kehilangan akhlak, adab dan kesantunan. Kebenaran yang ditemui itu mungkin tiada nilainya di sisi Allah SWT kerana akhirnya, matlamat kita adalah untuk memiliki kombinasi antara ilmu yang benar dan akhlak yang baik. Itulah yang menjadikan kita hamba Allah yang diredhai-Nya, dan dapat kembali kepada-Nya dengan hati yang sejahtera.

Hasrizal
Naas, Ireland

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Pendidikan Yang Mengabaikan Sebuah ‘Abasa

HasrizalAn educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.