Pada tahun ini, perbincangan mengenai lokasi umat Islam yang akan berpuasa paling panjang di dunia sepatutnya tidak timbul kerana bulan Ramadan jatuh pada bulan Mac. Ini menyebabkan mereka yang berada di hemisfera utara dan selatan tidak lagi mengalami situasi ekstrim seperti berpuasa terlalu pendek pada musim sejuk atau terlalu panjang pada musim panas. Namun, perbincangan ini masih berterusan dan tersebar luas. Isu ini menarik minat ramai, terutamanya bagi mereka yang tidak mengalaminya tetapi ingin mengetahui lebih lanjut.
Apa yang menjadi kebimbangan adalah perbincangan ini sering membawa kepada kefahaman yang tidak selari dengan semangat syariat Islam dan hukum fiqah. Hal ini dapat dilihat dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185:

Allah ﷻ menghendaki kemudahan bagi umat Islam dan tidak menginginkan kesusahan bagi mereka. Prinsip ini juga ditegaskan dalam hukum bertaharah (Al-Maidah ayat 6)
Perkara ini turut dicontohkan oleh Rasulullah ﷺ, seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah RA:
ما خُيِّرَ النبيُّ ﷺ بيْنَ أمْرَيْنِ إلّا اخْتارَ أيْسَرَهُما ما لَمْ يَأْثَمْ، فإذا كانَ الإثْمُ كانَ أبْعَدَهُما منه
البخاري، صحيح البخاري (٦٧٨٦) • [صحيح] • أخرجه البخاري (٦٧٨٦)، ومسلم (٢٣٢٧)
Tidaklah Nabi ﷺ tatkala ada dua pilihan, melainkan baginda akan mengutamakan pilihan yang mudah, selama mana pilihan itu tidak berdosa. Seandainya ada pilihan yang berdosa, pilihan itulah yang paling baginda jauhkan diri daripadanya.
Memilih Kemudahan Tidak Bermakna Memudah-mudahkan
Terdapat kecenderungan di dalam masyarakat kita untuk menganggap bahawa memilih kemudahan dalam beragama bermaksud seseorang itu kurang berpegang kepada Islam. Malah terlanjur pula melabel sebagai bersikap liberal. Sebagai contoh, dalam isu musafir yang melakukan perjalanan untuk tujuan maksiat, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mengenai kebolehan mereka untuk menjamak dan mengqasarkan solat. Sebahagian ulama berpendapat bahawa syarat musafir tidak bergantung kepada tujuan perjalanan tetapi hanya kepada hakikat perjalanan itu sendiri. Pendapat ini bukan datang daripada ulama yang ingin mempermudah-mudahkan agama, jauh sekali ‘ulama liberal!
Tetapi ia berdasarkan prinsip fiqh bahawa hukum yang bersumber daripada nas umum tidak boleh dikhususkan kecuali ada dalil lain yang mengkhususkannya.
Cabaran Berpuasa di Kawasan Ekstrim
Dalam konteks puasa di bulan Ramadan, khususnya di kawasan yang mengalami siang yang sangat panjang, terdapat pelbagai fatwa yang dikeluarkan.
Sebahagian ulama berpandangan bahawa waktu puasa harus tetap bermula dari fajar hingga terbenam matahari, walaupun tempohnya mencapai 23 jam. Namun, realitinya, mereka yang berpuasa dalam tempoh yang panjang ini menghadapi kesulitan yang besar, terutamanya golongan yang kurang berdaya seperti wanita, orang tua, dan kanak-kanak. Malah, terdapat kes di mana anak-anak mengalami kemudaratan sehingga menimbulkan isu di sekolah dan media.
Itu antara senario yang saya sekeluarga sendiri alami selama kami bermastautin di Oulu Finland, antara tahun 2016 hingga 2020.


Sebaliknya, beberapa ulama kontemporari telah memberikan pandangan yang lebih sesuai dengan situasi di kawasan ekstrim ini. Antaranya ialah Prof. Muhammad Hamidullah, yang berpandangan bahawa bagi mereka yang berada di kawasan 45 darjah utara atau lebih, mereka boleh berpuasa mengikut waktu Mekah atau bandar Islam yang berdekatan dengan tempoh puasa yang lebih munasabah. Satu lagi pandangan adalah untuk menetapkan tempoh maksimum puasa kepada 16 jam. Pandangan lain yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Jasir Audah pula menetapkan bahawa bagi kawasan yang berada lebih daripada 48 darjah utara, di mana malam tidak mengalami kegelapan sempurna, tempoh puasa maksimum sepatutnya tidak melebihi 18 jam.
Terdapat juga ulama yang berpegang kepada pandangan bahawa sekiranya puasa menjadi terlalu berat, maka umat Islam boleh mengambil rukhsah (keringanan) dengan berbuka dan menggantikannya di luar bulan Ramadan. Namun, pandangan ini tidak terpakai bagi mereka yang menetap secara tetap di kawasan ekstrim ini.
Kesimpulan
Nilai sesuatu amalan di sisi Allah SWT bergantung kepada keikhlasan dan ketakwaan, bukan kepada tahap kesukarannya. Islam tidak mengukur kehebatan ibadah melalui kepayahan, tetapi melalui kemampuannya untuk meningkatkan iman. Dengan memahami prinsip ini, kita dapat mengamalkan Islam dengan lebih lestari dan sesuai dengan fitrah manusia.
Tahun ini, bagi mereka yang tinggal di Republik Ireland, tempoh berpuasa adalah sekitar 14 hingga 15 jam, dan pada tahun-tahun mendatang, tempoh ini akan semakin pendek. Namun, tempoh kita berpuasa hendaklah tidak kurang daripada lapan jam apabila Ramadan jatuh misalnya pada bulan Disember.
Diharapkan panduan ini dapat membantu kita menghayati syariat dengan lebih baik dan memahami bahawa tujuan utama hukum-hakam agama adalah untuk memudahkan, bukan menyusahkan.
Fokus kita harus pada ikhlas dan takwa.
Ramadan Mubarak.