Bumi itu telah lama gempa sejak Sultan Abdul Hamid II bertitah murka menghalau Yahudi penceroboh halaman umat mulia cuba membeli maruah dengan keping-keping Lira licik Theoder Hertzl bapa Zionis sedunia
Bumi itu memang telah lama gempa sejak Islam dicabut dari ketuanan negara oleh Ataturk yang mabuk sekular dan kuasa menghalau Khilafah ke muzium masa membawa umat maju di bibir neraka
Bumi Turki memang telah gempa ketika Aya Sofya diperkosa syaitan manusia semasa masjid-masjid ditabalkan sebagai kandang kuda tatkala tudung dan tarbus dicampak ke longkang penuh hina bumi itu memang telah gempa
Gempa itu gempa yang telah lama sejak Adnan Menderes digantung kerana Islamnya sejak Necib Fazil dipenjara kerana syairnya bahkan sejak Turgut Ozal mati dalam misterinya mengakhiri revolusi tentera yang entah ke berapa
Gempa itu memang sejak sekian lama semenjak cucu cicit Khalifah merempat terbuang di Perancis sana semenjak Badiuzzaman Said An-Nursi mati entah di mana kuburnya apatah semasa Erbakan keluar masuk penjara bersama Erdogan yang dikurung selepas khidmat baktinya
Gempa Turki itu gempa yang maha menggegar keranda khilafah dan syuhada’ perut buminya gempa iman dan Islam umatnya yang mahu merdeka melepaskan diri dari penjajahan bangsa sebahasa sekulit serupa penyembah tokong sekularisma dan materialisma
Pagi 17 Ogos lalu menggempur lena manusia jam 3:02 yang seksa runtuh-runtahlah bongkak sekular dan insan ketagih kuasa gempa bumi selepas gempa anak buminya merudum menelan insan-insan berdosa dan tidak berdosa yang tinggal hanyalah masjid yang terpinga-pinga kaku berdiri di celah runtuhan berpuaka merenung kuasa Tuhan yang sudah sampai masanya terbongkoklah anak-anak Izmit, Istanbul di halaman binasa mencari sisa kalau ada secebis nyawa
Subhanallah… di bucu sejadah kumengesat air mata mengenang halaman kedua dimamah gempa insan tersayang entah apa khabarnya Fatih di kampung apa ceritanya Pakcik Mehmet di perut Anatolia apa beritanya… Tuhan, berilah peluang buat kali kedua gempa itu, jangan dengannya Kautamatkan semua!!!
An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.