
Rancangan komedi bicara lewat malam televisyen Amerika Syarikat saban masa mentertawakan DJT dan regimnya.
The Late Show with Stephen Colbert bercakap dan ketawa.
Jimmy Kimmel Live! mengkritik dan ketawa.
The Tonight Show Starring Jimmy Fallon pun begitu juga.
Saya tidak lagi pasti apakah ketawa itu semata-mata ketawa untuk bertenang menempuh realiti semasa Amerika Syarikat yang jelek, atau ada tangisan dan keresahan bersembunyi di sebaliknya.
Dalam keriuhan itu, saya disapa satu perasaan déjà vu seolah-olah wajah yang sedang saya tonton itu bukanlah sebuah fenomena baru, melainkan jelmaan lama yang kembali menuntut ruang.
Tangan saya secara membuka sebuah buku yang sudah lama mendiami folder bacaan saya.
Ya, folder di komputer.
Bukan lagi naskhah bercetak untuk saya selak lembarannya.
Semua naskhah bercetak telah saya dermakan ia ke Perpustakaan KMSS tatkala terbang meninggalkan Malaysia sedekad lalu. Moga buku-buku kesayangan saya itu Allah rezekikan bertemu pembaca baharu demi memanjangkan manfaatnya. Ada pun saya, bersesuaian dengan kehidupan semasa sebagai Muslim minoriti di pulau terjauh pinggir Atlantik, naskhah digital adalah cara semasa meneruskan amalan yang sama. Membaca, selagi hayat dikandung badan.
Malam ini, saya menyemak karya Amrika min al-Dakhil bi Minzar Sayyid Qutb (Amerika: Pandangan dari Dalam Melalui Lensa Sayyid Qutb) karya almarhum Sheikh Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi. Buku ini bukan sekadar catatan kembara. Ia adalah sebuah bedah siasat spiritual. Membacanya semula di era Trumpisme membuatkan saya tersedar: apa yang didiagnosis oleh Sayyid Qutb pada akhir 1940-an mengenai hakikat jiwa Amerika kini terpampang kembali dengan kejujuran yang menakutkan.

Latar Belakang Penulisan
Pada musim panas tahun 1948, Sayyid Qutb telah diutuskan oleh Kementerian Pendidikan Mesir untuk menjalankan kajian akademik di Amerika Syarikat, khususnya berkaitan sistem pendidikan dan asas-asas kurikulum di sana. Beliau menetap di sana selama dua tahun penuh sebelum kembali ke Mesir pada musim panas tahun 1950. Tempoh yang singkat itu ternyata meninggalkan kesan yang sangat mendalam pada pemikiran dan pandangan alam beliau.
Setelah pulang ke Mesir, Sayyid Qutb mula menuangkan pengalamannya ke dalam siri artikel yang diterbitkan di pelbagai majalah dan akhbar terkemuka. Artikel-artikel tersebut merakam gambaran terperinci beliau tentang realiti dalaman masyarakat Amerika, khususnya kelompongan dari sudut kerohanian dan nilai kemanusiaan.
Walau bagaimanapun, Sayyid Qutb sendiri tidak pernah mengumpulkan artikel-artikel ini menjadi sebuah buku yang tunggal. Ia kekal berserakan di halaman-halaman majalah yang semakin dilupakan orang. Menyedari hakikat itu, Sheikh Solah al-Khalidi mengambil inisiatif untuk menghimpunkan kesemuanya dan menerbitkannya dalam bentuk buku yang tersusun.
I. Gergasi Material, Kanak-kanak Spiritual: Primitivisme di Sebalik Teknologi
Qutb membentangkan sebuah pemerhatian yang terasa seperti bedah tanpa bius. Beliau menyifatkan Amerika sebagai sebuah tamadun yang memiliki pertumbuhan gergasi dalam aspek kebendaan, namun bantut pertumbuhan moral dan spiritual. Baginya, Amerika adalah gergasi yang mampu menjangkau bintang di langit dengan teknologinya, tetapi gagal mengawal amarah dan naluri kasarnya, persis seorang kanak-kanak yang diberikan senjata canggih, atau makhluk primitif yang berpakaian jas konglomerat.
Gambaran ini bukan hiperbola semata-mata. Ia adalah diagnosis intelektual yang lahir daripada pemerhatian langsung seorang sarjana yang tinggal di tengah-tengah masyarakat itu. Qutb bukan berucap dari menara gading; beliau berjalan di jalannya, duduk di kafeterianya, dan mendengar perbualan di jalanannya.
Inilah yang kita saksikan dalam Trumpisme. Kemajuan materialistik dan kekuatan ekonomi dijadikan segala-galanya sehingga diplomasi yang halus dan nilai kemanusiaan dianggap sebagai beban yang mengganggu. Retorik DJT yang liar dan tidak berlapik bukanlah satu kejanggalan yang terlepas daripada skrip. Sebaliknya, ia adalah penzahiran paling jujur bagi jahiliyyah moden yang dikesan Qutb tujuh dekad lalu: sebuah kuasa besar yang hebat pada perkakasnya, tetapi “primitif” pada jiwanya.

Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani menzahirkan kesedarannya bagaimana kerajaan pusat di Washington berkelakuan seperti kanak-kanak. Demi mendapat kerjasama Trump untuk kepentingan penduduk New York, Mamdani melayan presiden negara itu dengan sogokan pujian dan ilusi, agar tantrum kebudak-budakan DJT boleh ditukar menjadi sebuah usahasama. Lihat sahaja riak muka Mamdani berbanding Presiden Amerika Syarikat di sebelahnya.
Amerika adalah sebuah bengkel yang luar biasa bagi kemajuan dunia, namun pada masa yang sama, ia adalah tanah perkuburan bagi kehalusan roh manusia. Kecenderungan materialistiknya yang mentah telah membunuh makna insani, meninggalkan manusia dalam kekosongan yang tidak mampu diisi oleh mesin.
II. Perut, Syahwat, dan Sukan: Apabila Jiwa Tidak Lagi Diperlukan
Qutb pernah merakamkan rasa mualnya melihat bagaimana kehidupan di Amerika berputar hanya pada paksi kepuasan naluri asas. Beliau memerhatikan obsesi masyarakatnya terhadap estetika tubuh, sukan yang ganas, dan kepuasan seksual, sehingga ke tahap “tarian di gereja” yang mencampuradukkan spiritualiti dengan hiburan murahan, seolah-olah jiwa pun perlu dihiburkan sebelum ia sudi mendengar tentang Tuhan.
Bagi Qutb, masyarakat Amerika adalah masyarakat yang “lapar rohani” meskipun perut mereka kenyang dengan segala kemewahan. Kelaparan itu bukan kelaparan yang kelihatan. Ia tersembunyi di sebalik senyuman lebar dan tawa kuat, namun terasa jelas dalam kegelisahan mata yang tidak tahu di mana hendak berhenti.
Apabila kita melihat cara DJT memobilisasi penyokongnya, kita melihat corak yang sama berulang dengan tepukan yang lebih kuat. Beliau tidak berbicara tentang falsafah moral atau wacana intelektual yang memerlukan minda untuk duduk diam. Beliau menyentuh “suis” emosi yang paling asas: rasa takut, kemarahan, dan keinginan untuk menang (winning) dalam bentuk yang paling liar: fizikal, material, dan tribalistik.
Ini adalah cerminan kepada kekosongan jiwa yang dikesan Qutb tujuh dekad lalu. Apabila nakhoda kehidupan bukan lagi rasional dan jauh sekali wahyu, maka naluri kasarlah yang akan mengambil alih kemudi tamadun, dan folla akan bertepuk tangan meraikannya.
III. Keangkuhan dan Berhala Moden: Di Sebalik “America First”
Qutb sangat terkesan dengan keangkuhan bangsa Amerika yang berasa cara hidup mereka adalah satu-satunya kebenaran mutlak. Prejudis kaum dan diskriminasi terhadap kulit hitam serta warga asing yang disaksikannya bukanlah sekadar isu polisi yang boleh dipinda dan diubah. Ia berakar tunjang dalam rasa “ketuanan” yang sistemik, sebuah kesombongan kolektif yang bersembunyi di sebalik tabir demokrasi.
Hari ini, naratif America First dan polisi imigrasi yang keras di bawah Trump hanyalah sebuah cermin yang memantulkan kembali wajah lama Amerika; wajah yang cuba disembunyikan di bawah lapisan nipis liberalisme selama beberapa dekad. Trump bukanlah pencipta diskriminasi ini. Beliau cuma memberikan keberanian dan pentas yang lebih besar untuk keangkuhan ini dizahirkan semula secara terang-terangan, tanpa rasa malu, malah dengan tepukan sorak. Wajah sebenar Amerika Syarikat yang Sayyid Qutb catat tujuh dekad lalu kini terpampang secara full display untuk menghilangkan keraguan dan dolak-dalih dunia selama ini.
Dalam perspektif Qutb, ini adalah bentuk “syirik moden” yang paling berbahaya: apabila sesebuah bangsa memuja diri sendiri dan meletakkan kepentingan nasional di atas nilai keadilan Ilahi yang universal. Ia bukan lagi sekadar politik luar negeri; ia adalah akidah yang menggantikan Tuhan dengan bendera.
IV. “The American Dream” dan Penghambaan Transaksional
Slogan “The American Dream” sering dipasarkan sebagai simbol kebebasan mutlak. Sebuah janji bahawa sesiapa yang bekerja keras secukupnya akan memiliki segala yang dicita-citakan. Namun, analisis Qutb mendedahkan kontradiksi yang memeritkan di sebalik janji itu: impian tersebut sebenarnya adalah jerat yang menghambakan manusia kepada sistem produksi tanpa henti.
Manusia menjadi “alat,” bukan lagi “hamba Allah.” Kebebasan yang dilaungkan hanyalah kebebasan untuk bekerja lebih kuat demi memiliki lebih banyak harta, sehingga ketenangan hakiki hilang, dikorbankan atas nama kecekapan dan produktiviti. Jiwa tidak punya cuti. Ia hanya berhenti apabila badan pun tidak lagi mampu bergerak.
Dalam era Trump, segalanya menjadi transaksional dengan vulgar yang baru. Hubungan diplomatik diukur dengan angka perdagangan. Nilai persahabatan antara negara ditimbang dengan perjanjian ekonomi. Malah nilai seorang manusia dinilai bukan dengan kemuliaan fitrahnya, tetapi dengan sumbangan ekonominya kepada mesin negara. Janji kemakmuran yang dibawa sering kali menuntut bayaran harga moral yang sangat tinggi. Dan bayaran itu lazimnya dibayar oleh mereka yang paling tidak berkuasa.
Termasuk berbilion Dollar yang diberi kepada regim Zionis di wilayah terjajah Palestin.
Serta curahan wang dalam serangan bersama AS-Israel ke atas Iran semasa artikel ini ditulis (Mac 2026).
Manusia tidak lagi dilihat sebagai makhluk yang memiliki karamah (kemuliaan) yang dianugerahkan oleh Pencipta. Mereka adalah komponen dalam mesin ekonomi yang tidak pernah kenyang.
Penutup: Membaca Amerika dengan Mata Hati
Melalui lensa Sayyid Qutb, kita memahami bahawa Donald J. Trump bukanlah sebuah anomali atau “kesilapan sejarah” yang berlaku kerana satu kesilapan pengiraan dalam sistem demokrasi. Beliau adalah penzahiran paling jujur bagi sebuah tamadun yang kehilangan kompas wahyu. Tamadun yang sudah lama tersesat, tetapi baru kini hilang rasa malu untuk menunjukkan arah sesatnya kepada dunia.
Tugas kita sebagai umat Islam dan pemerhati kontemporari bukanlah untuk membenci secara membuta tuli, atau meraikan kejatuhan musuh dengan nafsu yang tidak jauh berbeza. Sebaliknya, ia adalah untuk melakukan muhasabah yang jujur terhadap tasawwur kita sendiri. Ia kerangka pemikiran yang menentukan ke mana kita sedang berjalan dan siapa sebenarnya yang kita jadikan kiblat.
Apabila wahyu tidak lagi menjadi panduan, tamadun yang paling maju sekalipun akan tetap meraba-raba dalam kegelapan materialisme, diskriminasi, dan pemujaan nafsu. Bukan kerana Tuhan meninggalkan mereka. Tetapi mereka yang memilih meninggalkan Tuhan. Ironinya, sering juga ‘dengan nama Tuhan’.
Jika sebuah tamadun yang memiliki segala-galanya di tangan merangkumi teknologi yang merentas angkasa, kekayaan yang melimpah-ruah, dan institusi yang tersusun rapi, masih gagal memberi ketenangan pada jiwa manusia, di manakah sebenarnya jawapannya?
Berhentilah memandang ke Barat sebagai kiblat tamadun.
Lawan kepada Barat pula bukanlah Timur, atau kesemasaan kita.
Kisah Amerika Syarikat di era DJT bukan kisah yang jauh daripada realiti semasa kita sendiri. Ramuan-ramuan yang menjadikan Amerika Syarikat sedemikian rupa, kita tanpa segan silu menjamahnya satu persatu.
“Kita ada cara kita sendiri” kedengaran lunak dan enak. Apatah lagi ramuannya ‘halal’ dan bungkusannya juga ‘halal. Kita perlu jujur mengkritik diri sendiri, pada kecuaian kita mengabaikan amanah pendidikan merentas generasi. Wahyu Allah SWT memerlukan pancaindera sihat untuk menangkap dan memahaminya. Kita dilanda musibah tatkala kegagalan pendidikan menyebabkan kita beragama dengan akal yang sakit.
Ia merumitkan proses membina masa hadapan yang berpaksikan wahyu.
Pendidikan memerlukan islah.
Sebagaimana komponen-komponen yang lain juga.
Hasrizal Abdul Jamil
www.saifulislam.com