Friday, March 14th, 2025

Drama Adolescence di Netflix: Memahami ‘The Boy Crisis’

Baru-baru ini, saya menonton mini siri terbaru di Netflix bertajuk Adolescence, sebuah drama empat episod dari UK yang mengisahkan seorang remaja berusia 13 tahun, Jamie Miller, yang ditangkap atas tuduhan membunuh rakan sekolahnya, Katie. Walaupun genre sebegini sudah ada dipersembahkan, drama ini menonjol kerana beberapa faktor utama.

Pertama, lakonan Owen Cooper sebagai Jamie Miller sangat luar biasa. Wataknya begitu kompleks dan emosi yang disampaikannya begitu kuat, setanding atau lebih baik daripada pelakon dewasa berpengalaman. Kedua, teknik penceritaannya unik. Dialog-dialog panjang tanpa gangguan membolehkan penonton benar-benar menyelami emosi dan konflik watak. Kamera yang mengikuti pergerakan mereka menambah intensiti pengalaman menonton.

Toksik Maskuliniti dan Krisis Remaja

Tema utama drama ini ialah toxic masculinity dan naratif patriarki yang dipopularkan oleh Andrew Tate. Di negara berbahasa Inggeris seperti United Kingdom, Republik Ireland, Kanada, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand, pengaruh Tate terhadap remaja lelaki sangat besar. Ini berkait rapat dengan budaya dan sejarah sosial masyarakat berbahasa Inggeris, yang mencerminkan ketidakseimbangan gender sejak dahulu lagi.

Sebagai contoh, dalam bahasa Inggeris, perkataan man merujuk kepada lelaki, manakala woman berasal daripada man, seolah-olah menjadikan wanita sebagai subset lelaki. Perspektif ini telah lama tertanam dalam budaya Barat, menyumbang kepada diskriminasi yang berpanjangan. Akibatnya, usaha memperkasakan wanita secara agresif telah membawa kesan sampingan: remaja lelaki mula merasa terpinggir dan terabai.

Di Republik Ireland, peralihan drastik daripada masyarakat Katolik yang berpegang teguh pada ajaran gereja kepada masyarakat sekular telah memperkuatkan feminisme. Namun, dalam keadaan wanita semakin dibela, remaja lelaki semakin tertinggal, tertekan, dan kurang diberi perhatian. Adolescence menggambarkan isu ini dengan jelas.

Mini siri ini juga menunjukkan bagaimana remaja lelaki yang berasa terpinggir mudah terpengaruh dengan tokoh seperti Andrew Tate, yang menawarkan naratif patriarki ekstrem sebagai jalan keluar kepada kekecewaan mereka. Dalam masa yang sama, remaja perempuan yang dibesarkan dalam budaya pemerkasaan berlebihan menjadi lebih lantang, kadangkala agresif dan toksik.

Watak Jade, lakonan Fatima Bojang, sahabat baik Katie, menunjukkan bagaimana remaja perempuan yang kehilangan tempat bergantung boleh bertindak secara agresif dan tidak rasional. Pergolakan emosinya, kemarahannya yang tiba-tiba meledak, dan kecenderungannya untuk menyalahkan orang lain tanpa asas kukuh mencerminkan cabaran sebenar dalam memahami psikologi remaja hari ini.

Drama ini juga menekankan bagaimana generasi muda kini hidup dalam tekanan luar biasa akibat media sosial dan obsesi terhadap imej diri. Dr. Jonathan Haidt dalam bukunya The Anxious Generation membincangkan bagaimana budaya self-image yang berlebihan telah mencipta generasi yang semakin cemas dan tidak stabil. Warren Farrell dalam The Boy Crisis pula menegaskan bahawa remaja lelaki yang terlalu menumpukan pada penampilan fizikal akhirnya kecewa apabila realiti tidak memenuhi jangkaan mereka.

Adegan paling signifikan dalam Adolescence ialah perbualan antara Adam dan bapanya, Detektif Inspektor Bascombe. Adam cuba menjelaskan bahawa dunia remaja hari ini jauh berbeza, penuh dengan simbol dan bahasa yang sukar difahami oleh generasi terdahulu. Jika bapanya memahami konotasi di sebalik dialog dan emoji dalam perbualan Katie dan Jamie di Instagram, motif sebenar pembunuhan itu mungkin dapat dikesan lebih awal.

Isu yang dibangkitkan dalam drama ini relevan dan perlu diberi perhatian, terutama oleh ibu bapa dan pendidik. Kita tidak boleh menormalisasikan tingkah laku remaja dengan alasan ia sebahagian daripada fasa membesar. Kenakalan remaja hari ini lebih kompleks kerana dipengaruhi oleh ideologi dan media sosial yang agresif.

Kesimpulan

Adolescence bukan sekadar drama, tetapi refleksi mendalam terhadap realiti sosial hari ini. Saya menggalakkan penonton untuk menontonnya dengan minda terbuka dan kesedaran tentang isu-isu yang diketengahkan. Drama ini memberi peringatan bahawa cabaran remaja hari ini tidak boleh dipandang ringan. Jika kita gagal memahami mereka, akibatnya boleh menjadi lebih serius daripada yang kita sangka.

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Kontroversi Ramadan 1960an di Tunisia: Muhasabah Bersama

Tunisian President Habib Bourguiba addresses a crowd in 1961. (Ron Case/Getty Images) HasrizalAn educator, author, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.