
Lima belas tahun yang lalu, saya naif.
Naif tatkala membayangkan sistem pendidikan negara kita akan bertambah baik.
Bukan sahaja bertambah baik, malah boleh diperbaiki dan dikemaskini.
Semasa itu masalah pendidikan belum dirasa sistemik. Pemikiran saya masih berkisar bagaimana hendak menambah baik.
Seawal 2006, saya sudah menangkap hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk merombak sistem pendidikan negara yang terlalu berorientasikan peperiksaan.
Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein pernah membuat kenyataan betapa sistem pendidikan semasa yang berorientasikan peperiksaan menjadi satu bebanan ke atas guru dan murid. Beliau selaku Menteri Pelajaran mengatakan bahawa satu bentuk pendekatan baharu di dalam sistem pendidikan mahu diperkenalkan.
Saya mengalu-alukan saranan itu.
Sambil mengalu-alukan angin perubahan, negara digemparkan dengan tragedi terburuk sepanjang 2007 apabila anakanda S. Subashini, 12 tahun, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah ditemui mati, membunuh diri kerana gagal mendapat A dalam kesemua peperiksaan UPSR yang lalu.
Dua belas tahun!
Sejauh mana isu ini dipandang serius? Sejauh mana kematian S. Subashini dibedah siasat puncanya? Atau ia hanya sekadar satu isu yang datang dan pergi? Tidakkah gila masyarakat kita ketika itu boleh melupakan kematian seorang anak muda semuda 12 tahun yang mati kerana kurang cemerlang dalam UPSR?
Seperti ramai ibu bapa lain, saya mula berfikir dengan lebih serius mengenai pendidikan apabila anak sendiri mula bersekolah. Baru belajar melihat bagaimana didikan selama ini yang kita usahakan di rumah, begitu mudah tercabar tatkala dunia anakanda membesar tatkala menjadi murid sekolah.
Saya ketika itu sedang panas hati melihat anak sulung yang baru memulakan persekolahan, termenung di rumah ketika mengadap homework. Pada usia tujuh tahun dia kena faham mengapa Allah itu Wujud dan lawan Wujud ialah ‘Adam. Tidak cukupkah akidah kanak-kanak berkisar soal Allah Pencipta Alam, Maha Pengasih, Masa Penyayang, dan suka kalau kita berbuat baik kepada ibu bapa, guru, kawan-kawan, haiwan, jiran dan masyarakat.
Sebab itu saya berangan.
Zaman itu andaikata orang yang kukuh ilmu Islamnya, tinggi akhlak budi pekertinya, kuat semangat perjuangan Islamnya, masuk ke pejabat daerah, jabatan negeri, dan kementerian negara yang berkaitan dengan pendidikan, pasti barakah.
Selesailah nanti masalah pendidikan, apabila alim ulama, intelektual Muslim, dan ahli usrah, golongan tamrin, tajdid dan islah, memegang tampuk pendidikan negara.
Mereka ini bukan sebarang orang.
Mereka percaya pendidikan adalah amanah Allah, al-Quran dan Sunnah bukan sekadar tempelan, tetapi rujukan dan dasar Islam sebagai satu sistem serta cara hidup.
Golongan ini berulangkali mengatakan Islam adalah agama yang mementingkan ilmu dan pendidikan sebab wahyu pertama adalah IQRA.
Kelompok ini menjadi sinar di hujung terowong saya kerana mereka mengatakan sebaik-baik suri teladan adalah Rasulullah SAW. Maka sudah tentu akhlak Nabi SAW pada menyantuni dan mendidik ahli keluarga baginda, para sahabat, malah non Muslim, akan merubah pendidikan apabila ia dibawa ke dalam sistem. Apatah lagi dengan kanak-kanak seperti Anas, Hasan dan Husain, serta sighar al-sahabah yang maklum.
Bertuahnya anak-anak zaman akan datang sedikit masa lagi, apabila golongan Islamik semakin meningkat usia matang dan bakal menjawat jawatan-jawatan besar di dalam urus tadbir serta operasi pendidikan negara. Bakal menjadi penggubal dasar, polisi, perancang kurikulum, dan pelatih yang menyokong guru-guru berjuang di medan tarbiah.
Mungkin saya terlalu optimistik dan membesar-besarkan pendidikan melebihi apa yang sepatutnya. Saya tidak tahu mengapa ketika itu tatkala saya melangkah masuk ke Ibu Pejabat KPM di Putrajaya selaku penceramah kuliah zohor, badan saya seram sejuk. Ada rasa gementar dan panik yang sukar diungkap dengan kata-kata. Walhal, saya berceramah setiap hari di pelbagai lokasi, di hadapan pelbagai khalayak, dalam dan luar negara.
Di hadapan pembesar negara pun okay sahaja.
Mengapa tatkala melangkah ke bangunan KPM dada saya berdegup kencang?
6 Januari 2011 adalah antara tarikh yang saya ingat dengan jelas. Saya bentangkan topik Sejarah Uthmaniyyah, bagaimana ibrahnya, pentingnya kerangka tauhidik untuk ilmu yang saya ungkap sebagai Syariatullah dan Sunnatullah.
Seram, berdebar, tetapi hati tetap berbunga-bunga.
Bagaimanakah pendidikan negara nanti, kalau ibu pejabat urus tadbir pendidikan negara mengajak saya bercakap tentang Sultan Muhammad al-Fatih, jatuh bangun Daulah Uthmaniyyah bersama the Young Ottoman dan Young Turk, bagaimana interaksi Islam, Muslim dan pengaruh Eropah bersama gelombang Enlightenment zaman itu.
Saya hanya boleh cerita. Tetapi cerita saya bakal disambut oleh kumpulan yang pendidikan negara berada di tangan mereka! Bolehlah mereka serlahkan cerita saya kepada sesuatu yang lebih besar. Mereka ada kuncinya.
Insya-Allah, cerahlah harapan untuk melihat sistem pendidikan menjadi lebih baik.
Akan tetapi, dari setahun ke setahun, keadaan makin membimbangkan. Perjuangan paling sukar dalam pendidikan adalah berjuang untuk kekal positif lagi optimistik. Macam-macam masalah datang.
Masa tidak berhenti. Anak-anak tidak ada umur untuk berjeda menunggu reformasi pendidikan.
Saya tinggalkan pendidikan arus perdana, dan bergerak dalam pendidikan swasta, yang non-profit. Saya menjadi kakitangan sepenuh masa di Yayasan Pendidikan Khalifah. Selepas tiga tahun berhempas pulas merombak konsep sekolah, menggantikan SPM dengan IGCSE, dan mencari keseimbangan antara pendekatan teacher-centred dengan student-centred, 2016 saya tinggalkan tanah air terbang ke Finland.
2018, jiwa saya jatuh ke titik rendah apabila kehilangan bonda tersayang. Namun ia menjadi asbab saya pulang ke tanah air. Kepulangan itu menghubungkan saya dengan perubahan politik negara. Melihat sahabat karib sendiri menjadi Menteri Pendidikan, harapan yang pudar bersinar semula. Saya petik semangat itu untuk dijadikan batu azimat. Biar pun jauh di Kutub Utara, saya bersedia untuk menyumbang. Saya terima jemputan YBM melantik saya menyertai Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN). Teknologi memungkinkan jarak disanggah agar boleh berbakti, jauh mahu pun dekat.
Di Finland, psikologi saya sentiasa menganggap saya duduk jauh dan Malaysia amat sayup dari pandangan orang negara salji itu. Tetapi ramai cikgu Finnish mengucapkan tahniah kepada saya atas perubahan kerajaan semasa itu. Malaysia berubah!
Konsultan pendidikan dan pegawai pendidikan yang mengenali saya, menyampaikan kata-kata penuh harapan untuk Malaysia. Malah ada yang menawarkan kepakaran untuk membantu.
Nikmat berperasaan optimis selama beberapa bulan itu menjadi kenangan manis.
Sayangnya, laporan lengkap itu menghuni bakul sampah apabila politik negara berubah.
Pendidikan semakin tenat, dari sehari ke sehari. Apatah lagi whole-system reform sudah tidak kelihatan bayang-bayangnya. Menampal sistem pendidikan dengan plaster di sana sini adalah pendekatan yang sulit. Ia memakan belanja, ia memenatkan, hasilnya tidak meyakinkan.
Pada tahun 2026 ini, saya ziarah kembali angan-angan saya pada tahun 2011 dahulu.
Ternyata, ekosistem birokrat itu tsunami.
Ia taufan.
Ia bah.
Aura budaya urus tadbir, polisi, dasar, pekeliling, dan punca-punca kuasa ciptaan kita sendiri sangat kuat. Malah begitu kuat berbanding pengaruh al-Quran, al-Sunnah, semangat islah dan tajdid, nostalgia usrah, tamrin dan mukhayyam ke atas kerja tangan kita. Menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai punca kuasa hakiki kepada segala sudut hidup dan mati kita tidak semudah yang disangka.
Semasa kita pakai ketayap, berjubah, berkain pelekat, dan duduk di pentas forum agama, lidah kita mudah untuk fasih menutur agama sebagai sistem kehidupan.
Tetapi apabila kita melangkah masuk ke pejabat, bilik mesyuarat dan dunia kerjaya, dengan blazer, baju batik, dan formaliti luar dan dalam, al-Quran dan al-Sunnah di dalam kepala dan dada sukar mempengaruhi kerja tangan kita.
Patutlah saya menggeletar melangkah ke ibu pejabat KPM dahulu. Saya memang penakut. Saya lemah. Amanah pendidikan terlalu besar. Saya tidak terdaya menanggungnya. Mungkin jika saya menukar pakaian dan potfolio, saya tumpas sama. Syukur Allah lorongkan saya berada di tempat yang saya boleh kekal berpendirian, walaupun mungkin di paras lemah iman.
Siapa lagi yang hendak diharap menyelamatkan pendidikan anak-anak kita?
Mengenang cabaran demi cabaran pendidikan semasa, saya terkenang sajak Pak Nora di awal nasyid Engkau Akan Tiba, mukadimah album Yang Dirindu:
“Imamul Mahdi, sahaja yang layak!”
Barangkali.
Barangkali juga soalan kita salah. Kita tidak patut menyoal SIAPA.
Pendidikan bukan kerja seorang. Ia tidak bersandar kepada tokoh. Ia juga bukan medan sesiapa mahu meraih laba menjadi seseorang.
Ia amanah kita bersama.
Pendidikan tanggungjawab setiap kita. Setiap kita perlu berbuat sesuatu mengenainya.
Semua akan berdiri menjawab di hadapan Tuhan.
Jangan buang masa.
Saki baki usia yang ada.
Hasrizal Abdul Jamil
www.saifulislam.com