Saya menonton hampir keseluruhan episod Air Crash Investigation atau Mayday, jika di Amerika Syarikat, semenjak lebih sedekad lalu. Sehingga akhir 2024, keseluruhannya berjumlah melebihi 230 episod. Ada beberapa episod yang sangat menarik hingga saya berulang-ulang menonton melebih sepuluh kali. Antaranya adalah episod tragedi letupan pesawat Pan Am 103 pada 21 Disember 1988 di Lockerbie, Scotland. Episod berkenaan adalah episod ke-50, disiarkan pada 4 November 2009.
Episod berkenaan menjadi salah satu episod utama mengapa saya berminat dengan siri ini. Tragedi Lockerbie lekat di memori melalui berita di televisyen dan akhbar ketika saya remaja, dan episod Air Crash Investigation mengenainya memperincikan cara kes berkenaan disiasat. Ia amat mengujakan saya kerana siasatan forensik tragedi ini sungguh luar biasa.
Bahan bukti utama pada menyabitkan jenayah meletupkan kapal terbang Jumbo Jet Boeing 747-100 ini adalah secebis circuit board yang dikenalpasti sebagai komponen Toshiba ‘Bombeat’ RT-SF1. Ia hanya sebesar duit syiling! Bagaimanakah daripada sebuah pesawat yang begitu besar itu, meletup puluhan ribu kaki di udara, dan impak yang bertebaran di radius yang begitu luas meliputi Lockerbie dan sekitarnya, kepingan kecil circuit board itu ditemui? Saya kagum dengan telitinya penyiasat menyemak kes berkenaan, sebagaimana kes-kes yang lain juga.
Apa yang saya tahu selama ini, satu-satunya individu yang disabitkan bersalah dan bertanggungjawab ke atas letupan pesawat Pan Am ini adalah Abdelbaset al-Megrahi, seorang warga Libya. Bahan bukti paling utama pada menghubungkan beliau dengan tragedi berkenaan adalah kepingan circuit board tersebut. Beliau dijatuhkan penjara seumur hidup dengan kemungkinan parol selepas 27 tahun. Hukuman dijalankan di Barlinnie Prison, Glasgow, dan kemudian dipindahkan ke HM Prison Greenock, yang saya juga pernah menghuninya pada tahun 2001.
Impak kes ini sangat besar.
Selain Pan Am sendiri didapati bersalah kerana tidak melaksanakan kawalan keselamatan secukupnya, Libya sendiri menjadi negara yang dikenakan sekatan ekonomi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Sekatan yang menyeksa Libya ini berlangsung begitu lama dan hanya bermula dilonggarkan apabila pada tahun 2002, Libya menawarkan US$10 juta bagi setiap keluarga mangsa letupan Lockerbie. Libya secara rasmi mengaku bertanggungjawab ke atas letupan Lockerbie pada 15 Ogos 2003, mula membayar pampasan kepada keluarga mangsa dan PBB mengangkat sekatan. Amerika Syarikat menyambung semula hubungan diplomatik penuh dengan Libya setelah mengeluarkannya daripada senarai negara penyokong keganasan pada 15 Mei 2006.
TETAPI…
Kes Lockerbie tidak pernah selesai.
IRAN
Setelah menonton banyak episod Air Crash Investigation, saya baru sedar, beberapa bulan sebelum tragedi berkenaan, pesawat Airbus A300B2-200 Iran Air Flight 655 yang sedang terbang ke Dubai, telah ditembak jatuh oleh kapal tentera laut Amerika Syarikat Vincennes kerana salah faham. Kejadian pada 3 Julai 1988 itu telah mengorbankan 290 nyawa. Sentimen kebimbangan ketika itu adalah tindakan membalas dendam Iran ke atas Amerika Syarikat. Mengapa Libya yang terjebak ke dalam tragedi Pan Am 103?
BUKTI
Semasa perbicaraan dijalankan, defendan bergantung pada tiga perkara utama:
- ‘Timer’ bom yang digunakan, berasal daripada kumpulan produk yang dijual oleh sebuah syarikat Swiss, Mebo AG, kepada Libya.
- Seorang bekas rakan sekerja tertuduh di pejabat Libya Airlines di Malta, Abdulmajid Gialka, dijadualkan untuk memberi keterangan bahawa dia telah menyaksikan pembinaan bom atau pemuatannya ke dalam pesawat di Frankfurt.
- Pakaian yang dikenal pasti sebagai isi beg yang sama berisi bom berkenaan telah dibeli oleh defendan Megrahi di sebuah kedai di Malta.
Ketiga-tiga asas pertuduhan ini dilawan oleh peguam bela dengan hujah:
- Edwin Bollier, pengasas bersama syarikat pengeluar ‘timer’ Swiss tersebut, memberi keterangan bahawa dia telah menjual timer serupa kepada Jerman Timur, dan mengakui mempunyai hubungan dengan beberapa agensi perisikan, termasuk Libya dan CIA.
- Gialka, pada masa perbicaraan mendapat manfaatl di bawah Program Perlindungan Saksi di AS, mempunyai hubungan dengan CIA sebelum tahun 1988, dan berpeluang mengutip hingga $4 juta dalam bentuk wang hadiah selepas sabitan. Kredibiliti kesaksiannya dipertikai.
- Tony Gauci, pemilik kedai dari Malta, gagal mengenal pasti Megrahi dengan pasti dalam 19 kenyataan sebelum perbicaraan kepada polis. Di mahkamah, Gauci ditanya lima kali jika dia mengenali sesiapa dalam bilik mahkamah, tanpa menjawab. Hanya apabila pendakwa menunjuk ke arah Megrahi, Gauci berkata “dia menyerupainya”. Sedangkan sebelum itu, Gauci pernah membuat dakwaan ke atas Muhammad Abu Talb, seorang warga Mesir yang merupakan aktivis PLO . Gauci juga mengenal pasti pelanggan yang membeli pakaian di kedainya itu sebagai lebih daripada 6 kaki tinggi serta berumur lebih 50 tahun. Sedangkan Megrahi adalah 5 kaki 8 inci, dan pada akhir 1988 hanya berumur 36 tahun.
- Pembelian pakaian berlaku sama ada pada 23 November atau 7 Disember 1988. Megrahi hanya berada di Malta pada 7 Disember. Gauci mendakwa pelanggan tersebut juga ada membeli payung kerana hujan. Tetapi pihak pembelaan berhujah, menggunakan rekod meteorologi, bahawa hujan sepanjang hari berlaku pada 23 November, tetapi terlalu sedikit atau langsung tidak hujan pada 7 Disember.
Hujah-hujah ini turut saya tinjau di dalam buku Adequately Explained by Stupidity?: Lockerbie, Luggage and Lies Paperback tulisan Morag G. Kerr, selepas penulisnya ditemubual oleh Al-Jazeera pada tahun 2013.
DR JIM SWIRE
Sudah tentu, individu paling penting di sebalik siasatan berdekad mengenai tragedi Lockerbie ini adalah Dr. Jim Swire, yang kehilangan anak perempuannya, Flora dalam tragedi berkenaan. Beliau terus menerus berjuang menuntut keadilan agar pembunuh sebenar anaknya, dan sekalian yang terkorban di dalam tragedi itu, dikenalpasti dan dihukum. Mengikut rapat perbicaraan tersebut, Swire percaya bahawa Megrahi tidak bersalah, menjadi kambing hitam. Kredibiliti bukti-bukti pendakwaan banyak yang cacat, terutamanya cebisan circuit board berkenaan. Kemuncaknya, Swire bersemuka dengan Muammar Gaddafi di Libya, atas dasar bapa dengan bapa, kerana Gaddafi juga berdendam dengan Amerika Syarikat selepas anak angkat perempuannya mati terbunuh oleh serangan bom Amerika Syarikat ke atas kediamannya sebelum itu.
Abdelbaset al-Megrahi semasa di dalam tahanan telah dikenalpasti mengidap kanser prostat. Beliau akhirnya dibenarkan meninggalkan penjara di Glasgow dan pulang ke rumahnya di Libya oleh Kenny MacAskill, Menteri Keadilan Scotland, pada 20 Ogos 2009. Kebenaran itu adalah dengan syarat Megrahi kekal mengaku bersalah. Beliau menerimanya kerana mahu menghabiskan sisa hayatnya bersama keluarga di rumahnya sendiri di Libya. Dr. Swire sempat melawat Megrahi di rumahnya ketika beliau nazak menanggung kanser berkenaan. Tidak lama selepas itu, Megrahi menghembuskan nafas yang terakhir pada tahunn 2012. Usaha diteruskan oleh ramai pihak untuk membersihkan nama Megrahi daripada pertuduhan berkenaan.
Abdelbaset al-Megrahi telah meninggal dunia.
Muammar Gaddafi juga telah pergi buat selamanya.
TERKINI
Saya sudah agak lama tidak terfikir mengenai tragedi Lockerbie. Sehinggalah di awal 2025, sebuah drama dokumentari bersiri disiarkan oleh saluran SKY. Drama ini menceritakan kembali tragedi Lockerbie berdasarkan perjalanan perjuangan Dr. Jim Swire mencari jawapan siapakah penjenayah sebenar yang bertanggungjawab di sebalik kematian anak perempuannya, Flora. Dokumentari ini unik kerana ia secara jelas menzahirkan sisi lompong pihak pendakwa, menjadikan keraguan kita selama ini terhadap bersalahnya Megrahi serta Libya sendiri, bukan lagi teori konspirasi. Ia amat berasas.
Apakah yang telah dilakukan oleh FBI, CIA, Amerika Syarikat, United Kingdom, Libya, Iran, Israel dan nasib Palestin yang masih sama, malah lebih binasa berbanding era tragedi Lockerbie berkenaan.
Paling menyedihkan hati semasa menonton drama ini ialah apabila seorang juruwang muda di sebuah restoran melihat lencana tragedi Lockerbie di baju Dr. Swire bertulis, “Lockerbie: The Truth Must be Known”. Ia lencana yang sama Swire sematkan sendiri di baju Muammar Gaddafi semasa pertemuan mereka di Libya lama dahulu.
Juruwang muda berkenaan bertanya, “apa itu?”
Dr. Swire menjawab, “bencana Lockerbie!”
Juruwang tersebut kebingungan dan bertanya lagi, “apa bendanya tu?”
Politik dunia amat keji malah semakin keji.
Ramai yang sudah lupa kepada sejarah.
Ramai yang terus jahil terhadap realiti sebenar di sebalik pelbagai bencana hari ini.
Dr. Swire masih berusaha di usia tuanya mencari kebenaran.
Minat saya kepada Air Crash Investigation hilang momentum apabila berlakunya misteri kehilangan MH370. Apa lagi maknanya kekaguman saya terhadap kualiti siasatan forensik tragedi-tragedi pesawat, jika sebuah kapal terbang sebesar Boeing 777 boleh hilang tanpa dapat dikesan?
Saya juga mungkin tidak sempat tahu, apakah sebenarnya yang terjadi kepada pesawat malang kita.
Tetapi saya tahu, dunia ini amat lemah pada menegakkan sebuah keadilan.
Moga jiwaku dapat lebih kuat dengan berlapang mengenang mahkamah Tuhan di Sana nanti. Pada meneruskan perjuangan di saki baki usia, mendukung pendidikan sebagai jalan islah.
Hasrizal
Naas, Ireland