
Hipotesis yang Bonda Ainon Mohd kemukakan di dalam hantaran Facebook beliau bertarikh Jumaat 14 Mac 2025 bercanggah dengan wacana yang dikemukakan oleh Almarhum Al-Sheikh Abu al-Hasan Ali al-Hasani al-Nadwi di dalam karyanya, صورتان متضادتان عند السنة والشيعة الإمامية.
Ujar beliau:
Al-Nadwi menegaskan bahawa salah satu ciri penting kebenaran ajaran Islam yang juga menolak dakwaan Syiah terhadap keutamaan Ali r.a. sebagai khalifah ialah penolakan Islam terhadap amalan nepotisme dan kronisme itu sendiri.
Baginda sentiasa mendahulukan keluarganya sendiri jika urusan berkenaan mengandungi beban, tanggungjawab, malah risiko kecederaan dan kematian. Pada masa yang sama, baginda akan mengemudiankan malah mengecualikan keluarganya apabila urusan berkenaan mengandungi kelebihan, keutamaan serta kesenangan hidup.
Dakwaan Syiah bahawa Ali lebih layak dan utama menjadi khalifah berasaskan premis bahawa Ali adalah ahli keluarga Nabi Muhammad ﷺ, adalah tidak konsisten malah bercanggah dengan amalan Nabi ﷺ sendiri.
Berikut adalah 10 isi utama kupasan al-Nadwi mengenainya:
- Nabi Muhammad ﷺ menolak pemerintahan berasaskan warisan dan keluarga – Baginda tidak menubuhkan pemerintahan berbentuk dinasti seperti raja-raja terdahulu. Maharaja Byzantine, Heraclius, ketika menyiasat latar belakang Nabi, mendapati bahawa tiada raja dalam keturunan Baginda, membuktikan bahawa Muhammad ﷺ itu tidak berusaha menubuhkan atau menghidupkan semula pemerintahan yang diwarisinya.
- Keikhlasan Nabi ﷺ dalam dakwah tanpa meminta ganjaran material – Nabi ﷺ menegaskan bahawa dakwahnya bukan untuk keuntungan duniawi, seperti firman Allah: “Aku tidak meminta upah kepada kamu, kerana ganjaranku hanyalah daripada Tuhan sekalian alam.” (Q. 26:109).
- Islam bukan gerakan politik untuk merebut kuasa tetapi gerakan membebaskan manusia – Nabi ﷺ dan para sahabat berjuang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada penyembahan Tuhan Yang Esa. Jawapan sahabat Rabi‘ bin ‘Amir kepada Rustam, jeneral Parsi, menegaskan hal ini: “Allah telah mengutus kami untuk membebaskan manusia daripada perhambaan kepada sesama makhluk kepada penyembahan Tuhan Yang Esa.”
- Keluarga Nabi ﷺ didahulukan dalam menghadapi risiko peperangan – Dalam Perang Badar, tiga pahlawan Quraisy mencabar tentera Islam untuk berlaga. Baginda ﷺ mengarahkan bapa saudaranya Hamzah, sepupunya ‘Ali, dan Ubaydah bin Harith untuk berhadapan dengan mereka, menunjukkan bahawa kaum keluarga Baginda tidak dikecualikan daripada bahaya dan pengorbanan.
- Nabi ﷺ melarang keluarganya menerima keistimewaan kewangan – Baginda menegaskan bahawa zakat tidak boleh diberikan kepada ahli keluarganya. Manakala dalam urusan pengharaman riba, Baginda ﷺ melaksanakannya bermula dengan bapa saudaranya sendiri, ‘Abbas bin ‘Abdul Muttalib. Dalam Khutbah Wida‘, Baginda bersabda: “Riba zaman jahiliah dihapuskan, dan yang pertama aku hapuskan ialah riba bapa saudaraku, ‘Abbas.”
- Nabi ﷺ dan keluarganya mengamalkan kehidupan yang sederhana – Fatimah mengalami kesusahan bekerja mengisar gandum dan meminta seorang pembantu. Namun, Nabi Muhammad ﷺ tidak memenuhi permintaannya, sebaliknya menasihatinya untuk berzikir: Subhanallah (33 kali), Alhamdulillah (33 kali), dan Allahu Akbar (34 kali), sebagai sumber kekuatan spiritual.
- Nabi ﷺ menolak kemewahan dalam keluarganya – Ketika Fatimah menghias rumahnya dengan langsir berwarna saffron, Nabi berpatah balik tanpa masuk. Fatimah memahami isyarat tersebut dan segera menanggalkan hiasan itu.
- Tiada keistimewaan dalam harta warisan bagi keluarga Nabi ﷺ – Nabi menegaskan bahawa harta yang ditinggalkan oleh para nabi bukan untuk diwarisi. Ketika cucunya Hasan dan Husain memakai gelang perak, Baginda tidak masuk ke rumah Fatimah kerana tidak menyukai perhiasan tersebut. Fatimah segera menanggalkannya, dan Baginda meminta Thauban menyerahkan gelang itu kepada golongan miskin.
- Setiap individu bertanggungjawab atas amalnya sendiri, bukan hubungan keluarga dengan Nabi ﷺ – Nabi bersabda kepada kaum keluarganya: “Wahai Bani ‘Abd Manaf, aku tidak dapat menolong kamu dalam urusan Allah. Wahai Safiyyah, ibu saudara Rasulullah, aku tidak dapat menolongmu di sisi Allah. Wahai Fatimah binti Muhammad, mintalah daripadaku apa yang engkau mahu dalam harta bendaku, tetapi aku tidak dapat menolongmu dalam urusan Allah.”
- Kepimpinan dalam Islam berdasarkan kelayakan dan khidmat, bukan keturunan – Pemilihan Abu Bakar sebagai khalifah pertama membuktikan bahawa Islam tidak mengamalkan pemerintahan berasaskan warisan keluarga. Al-Nadwi menegaskan bahawa pemilihan Abu Bakar bukan hasil tipu muslihat tetapi berdasarkan kebolehan, pengorbanan, dan sokongan umat Islam.
Kesimpulan: Dakwaan bahawa Ali r.a. lebih berhak menjadi khalifah hanya kerana hubungan kekeluargaannya dengan Nabi ﷺ adalah tidak konsisten dengan amalan Baginda sendiri. Islam menolak kronisme dan nepotisme, dan Nabi sendiri telah menunjukkan teladan dalam hal ini dengan sentiasa membebankan keluarganya dengan tanggungjawab serta risiko, tetapi mengecualikan mereka daripada keistimewaan dan kelebihan.
Wallahu A’lam.
TAMBAHAN UNTUK PEMBACA: membela dan mempertahankan Rasulullah ﷺ dengan menggunakan bahasa kesat, mengejek, memperlekeh, adalah amalan jahiliah. Komen dengan akhlak mulia. Jika sedang marah, diam dahulu, tulis kemudian.