
Mati syahid, tetapi ahli Neraka.
Orang alim, tetapi ahli Neraka.
Qari dan ahli al-Quran, tetapi ahli Neraka.
Berharta lagi dermawan, tetapi ahli Neraka.
Ia bukan kisah khayalan, bukan provokasi, bukan menakut-nakutkan. Ia amaran Allah ﷻ . Ia peringatan Nabi ﷺ . Ada garis halus antara menjadi Muslim isi, dan menjadi muslim kulit.
Menjadi seorang Muslim bermaksud kita percaya dan mengamalkan ajaran Islam, ikhlas kerana Allah.
Dasar ini mesti sentiasa jelas dalam hati. Mesti sentiasa dijaga. Apabila dasar ini menjadi kabur, kita boleh tergelincir menjadi Muslim yang mempertahankan Islam bukan kerana Islam itu agama Allah, tetapi kerana Islam itu identiti kita, maruah kita, hak kita, kelompok kita, atau aset kita.
Pada saat itu, Islam tidak lagi berdiri di tempat yang sebenar.
Islam bukan lagi mengenai Allah.
Islam mula berputar di sekeliling kita.
Tentang ego kita.
Tentang marah kita.
Tentang nafsu kita.
Tentang keperluan kita untuk menang.
Tentang rasa kita mahu dilihat benar.
Tentang keinginan kita untuk dipuji sebagai pembela agama.
Lalu kita menyebut nama Islam, tetapi yang bergerak sebenarnya bukan ubudiyyah kepada Allah. Yang bergerak ialah diri kita sendiri.
Sebab itu ayat ini sangat besar maknanya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَىٰ رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنزَلَ مِن قَبْلُ ۚ وَمَن يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا
“Wahai orang-orang yang beriman, berimanlah kamu dengan Allah, dengan Rasul-Nya, dengan Kitab yang telah Dia turunkan ke atas Rasul-Nya, dan Kitab yang telah Dia turunkan sebelum-sebelum ini. Barangsiapa mengkufuri Allah, Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, dan Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dan kesesatan yang sejauh-jauhnya.”
(Surah al-Nisāʾ 4:136)
Perhatikan bagaimana orang yang sudah pun dipanggil sebagai orang beriman, masih diperintahkan lagi: berimanlah.
Seolah-olah Allah mengingatkan bahawa iman itu bukan label yang sekali dipilih dan diperoleh, lalu selesai.
Iman perlu sentiasa diperbetulkan.
Sentiasa dibersihkan.
Sentiasa dipulangkan kepada Allah.
Seorang manusia boleh sahaja berada di dalam saf orang beriman, bercakap dengan bahasa orang beriman, membawa isu Islam, memperjuangkan sesuatu atas nama Islam, tetapi hatinya sudah berganjak daripada Allah.
Di lidah, dia menyebut Islam.
Pada semangatnya, dia kelihatan membela Islam.
Tetapi dalam batinnya, yang dipertahankan mungkin dirinya sendiri.
Di sinilah datangnya peringatan yang amat menggerunkan daripada hadis Nabi ﷺ. Hadis ini membongkar satu hakikat yang sangat halus, bahawa amalan yang paling besar pada pandangan manusia pun boleh menjadi sebab kebinasaan jika rosak niatnya.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: ” إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ قَاتَلْتُ فِيكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ، قَالَ: كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لِأَنْ يُقَالَ: جَرِيءٌ، فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ. وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ، فَأُتِيَ بِهِ، فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ، وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ، قَالَ: كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ: عَالِمٌ، وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ: هُوَ قَارِئٌ، فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ، فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ. وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ، وَأَعْطَاهُ مِنْ أَصْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ، فَأُتِيَ بِهِ، فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيهَا إِلَّا أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ، قَالَ: كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ: هُوَ جَوَادٌ، فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ، ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّارِ”.
رواه مسلم (وكذلك الترمذي والنسائي)
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya orang yang pertama kali diadili pada hari Kiamat adalah seorang laki-laki yang mati syahid. Dia dibawa menghadap, lalu Allah mengingatkannya akan nikmat-nikmat-Nya kepadanya, maka dia pun mengakuinya. Allah bertanya: ‘Apa yang telah engkau perbuat dengan nikmat-nikmat itu?’ Dia menjawab: ‘Aku berperang di jalan-Mu sehingga aku mati syahid.’ Allah berfirman: ‘Engkau berdusta! Bahkan engkau berperang agar dikatakan pemberani, dan sungguh telah dikatakan demikian.’ Kemudian diperintahkan (kepada malaikat) untuk menyeret beliau di atas mukanya hingga dilemparkan ke dalam neraka.
Dan (orang kedua adalah) seorang laki-laki yang mempelajari ilmu dan mengajarkannya serta membaca Al-Quran. Dia dibawa menghadap, lalu Allah mengingatkannya akan nikmat-nikmat-Nya kepadanya, maka dia pun mengakuinya. Allah bertanya: ‘Apa yang telah engkau perbuat dengan nikmat-nikmat itu?’ Dia menjawab: ‘Aku mempelajari ilmu dan mengajarkannya, dan aku membaca Al-Quran demi Engkau.’ Allah berfirman: ‘Engkau berdusta! Bahkan engkau mempelajari ilmu agar dikatakan seorang alim (berilmu), dan engkau membaca Al-Quran agar dikatakan seorang qari’ (pembaca), dan sungguh telah dikatakan demikian.’ Kemudian diperintahkan (kepada malaikat) untuk menyeret beliau di atas mukanya hingga dilemparkan ke dalam neraka.
Dan (orang ketiga adalah) seorang laki-laki yang dilapangkan rezekinya oleh Allah dan diberikan kepadanya seluruh jenis harta. Dia dibawa menghadap, lalu Allah mengingatkannya akan nikmat-nikmat-Nya kepadanya, maka dia pun mengakuinya. Allah bertanya: ‘Apa yang telah engkau perbuat dengan nikmat-nikmat itu?’ Dia menjawab: ‘Tidaklah aku meninggalkan satu pun jalan yang Engkau cintai untuk diinfakkan melainkan aku berinfak padanya demi Engkau.’ Allah berfirman: ‘Engkau berdusta! Bahkan engkau berbuat demikian agar dikatakan dia seorang dermawan, dan sungguh telah dikatakan demikian.’ Kemudian diperintahkan (kepada malaikat) untuk menyeret beliau di atas mukanya hingga dilemparkan ke dalam neraka.”
Hadis Riwayat Muslim (Riyad al-Salihin)
Lihat betapa beratnya hadis ini.
Bukan orang biasa yang disebut. Golongan ini adalah sebaik-baik Muslim.
Yang pertama, orang yang kelihatan mati syahid.
Yang kedua, orang yang belajar, mengajar, dan membaca al-Quran.
Yang ketiga, orang yang berinfak pada jalan-jalan kebaikan.
Semuanya nampak mulia. Semuanya nampak besar. Semuanya pada zahirnya adalah kerja-kerja Islam.
Tetapi semuanya binasa kerana satu hal yang sangat halus, namun sangat menentukan.
Bukan kerana amal itu tidak hebat.
Tetapi kerana amal itu tidak benar-benar untuk Allah.
Itulah perangkap yang sedang kita renungkan.
Seseorang boleh berjuang untuk Islam, tetapi sebenarnya mahu dipanggil berani.
Seseorang boleh bercakap tentang ilmu, mengajar, menulis, membaca, berhujah, tetapi sebenarnya mahu dikenali sebagai orang alim, orang faqih, orang yang petah, orang yang hebat.
Seseorang boleh memberi, berkorban, membelanjakan harta pada jalan-jalan yang baik, tetapi sebenarnya mahu dikenang sebagai dermawan, pemurah, penyokong agama.
Amalan yang besar itu tidak lagi berdiri sebagai ibadah. Bukan lagi ubudiah.
Ia bertukar menjadi bahan bakar kepada nama diri.
Apabila kita terlupa dasar ikhlas kerana Allah, kita boleh terus melakukan perkara yang zahirnya untuk Islam, tetapi batinnya sudah lari jauh daripada Allah.
Bagaimana hendak mengenal perangkap ini?
Iaitu semasa kita melakukan sesuatu “untuk” Islam, “demi” Islam, “kerana” Islam, tetapi dalam bentuk yang Allah SWT benci lagi murka.
Kita bercakap atas nama agama, tetapi dengan kesombongan.
Kita menegur atas nama agama, tetapi dengan penghinaan.
Kita membela Islam, tetapi dengan kebencian yang menelan adab.
Kita mengajar agama, tetapi diam-diam menikmati kedudukan.
Kita berkhidmat, tetapi hati terlalu sibuk memerhati bagaimana manusia memandang kita.
Pada saat itu, kita mungkin masih menyangka kita sedang berjuang kerana Allah.
Sedangkan yang sedang kita pelihara sebenarnya ialah imej diri.
Kita bukan hanya perlu menyoal diri: “Adakah aku melakukan ini untuk Islam?”
Tetapi, “Adakah aku melakukan ini kerana Allah?”
“Adakah cara aku ini Allah reda?”
“Adakah Allah suka kepada bentuk pembelaan ini?”
“Adakah aku sedang meninggikan agama Allah, atau sebenarnya sedang meninggikan kedudukan dan kepuasa diriku sendiri?”
Hadis ini mengajar kita bahawa kerosakan niat bukan sekadar menjejaskan pahala.
Rosak niat dan rosak ikhlas boleh menukar amalan paling agung menjadi sebab pertama seseorang dihumban ke dalam neraka.
Ini sangat menakutkan.
Manusia melihat tindakan.
Tetapi Allah melihat tujuan.
Manusia memuji amal.
Tetapi Allah memantau hati.
Sebab itu ayat “يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا” menjadi sangat dalam maknanya apabila dibaca bersama hadis ini.
Wahai orang-orang yang beriman, berimanlah.
Kembalilah membetulkan asas.
Pulangkan semuanya kepada Allah.
Bersihkan niat.
Periksa hati.
Jangan biarkan Islam itu bertukar daripada jalan mengagungkan Allah, kepada alat untuk membesarkan diri.
Dan itulah antara fitnah paling halus, paling tersembunyi, paling membinasakan.
Hasrizal Abdul Jamil
www.saifulislam.com