Pemergian Almarhum Prof Diraja Syed Muhammad Naquib al-Attas Rahimahullah

Hari ini, umat Islam telah kehilangan salah seorang pelopor intelektualnya yang ulung.

Al-Allamah Prof. Diraja Syed Muhammad Naquib al-Attas, seorang ahli falsafah, ahli kalam (teologi), pendidik, dan pengasas Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), telah kembali menghadap Allah ﷻ pada 20 Ramadan 1447H, 9 Mac 2026.

Sumbangan sepanjang hayat beliau bukanlah sekadar satu pencapaian akademik semata-mata. Ia merupakan satu misi penyelamatan, bertujuan untuk memulihkan dan mengembalikan pandangan alam Islam (Islamic worldview) daripada kekeliruan berabad-abad lamanya serta bayangan penjajahan. Gagasan konsep ta’dīb beliau, kerangka kerjanya untuk Islamisasi Ilmu, serta penulisan beliau yang mendalam mengenai hakikat manusia dan kosmos, kekal sebagai antara anugerah terpenting yang pernah disumbangkan kepada tradisi intelektual Islam.

Bagi kita yang berkhidmat dalam bidang pendidikan Islam, beliau bukan sekadar seorang ilmuwan. Beliau merupakan sebuah kompas penunjuk arah.

Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya, mencucuri rahmat ke atasnya, dan memuliakan tempat peristirahatannya. Semoga setiap pelajar yang pernah mendapat manfaat daripada hasil karya beliau menjadi sedekah jariah yang pahalanya terus mengalir kepadanya.

Amin.

Pemergian almarhum Prof Diraja Syed Naquib al-Attas rahimahullah, mengingatkan saya kepada sebuah artikel lama yang saya tulis pada tahun 1996. Ia menjadi kenangan unik berkaitan pengalaman mencari maklumat sejarah secara manual di era pra internet. Bermula dengan terbaca sesuatu di sebuah buku yang saya jumpa di perpustakaan Universiti Mu’tah, saya jejak nota-nota kakinya hingga membawa kepada sesi berkubang di Perpustakaan IRCICA di Istana Yıldız, Istanbul.

Salah satu ‘penemuan’ yang mengujakan saya ketika itu ialah apabila membaca kajian Prof Mehmet Ozay mengenai lady-in-waiting Daulah Uthmaniyyah bernama Rugayyah Hanum, yang daripada wanita mulia ini, lahirnya keluarga Prof Diraja Ungku Aziz, keluarga Dato Onn Jaafar, dan keluarga Prof Diraja Naquib al-Attas.

Hari ini, maklumat berkenaan sudah menjadi pengetahuan umum. Malah hubungan Daulah Uthmaniyyah dan Alam Melayu juga sudah agak meluas dikaji. Prof Madya Dr Ermy Azziaty Rozali di UKM merupakan salah seorang pakar dalam topik berkenaan dan saya berpeluang menimba ilmu dengan beliau semasa belajar di UKM kemudiannya.

Awal pagi, saya datang ke Perpustakaan IRCICA, memberanikan diri berbincang dengan pegawai bertugas. Beratus-ratus USD juga habis untuk fotostat buku dan dokumen yang ditemui.

Sekali sekala naik ke tingkat atas berbincang dengan pakar-pakar in house, dan memanaskan badan hingga lewat petang dengan cangkir demi cangkir çay bersama biskut Ülker, sebelum ‘kena halau’ balik sebab perpustakaan tutup. Naik feri dari Beşiktaş ke Üsküdar, kemudian dolmuş menuju Yeni Sahra. Fatih dan kawan-kawan lain setia menunggu dan mendesak saya cerita apa yang saya baca hari itu.

Terima kasih SUKEJ di Kaherah kerana sudi menerbitkan artikel amatur ini. Kualiti penulisannya lemah, tetap cukuplah sebagai catatan kenangan tulisan seorang pelajar Syariah yang tersesat ke daerah Sejarah bersama undiagnosed ADHDnya.

About Hasrizal

Check Also

Kontroversi Ramadan 1960an di Tunisia: Muhasabah Bersama

Tunisian President Habib Bourguiba addresses a crowd in 1961. (Ron Case/Getty Images) Hasrizal Pada awal …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.