Tuesday, December 9th, 2025

Pendidikan Yang Mengabaikan Sebuah ‘Abasa

“Aduhai, seorang lagi!” keluh seorang guru.

Muridnya ramai. Tanggungjawabnya banyak.

Hari ini, kelasnya menerima seorang murid berkeperluan khas.

Maknanya, kelas akan kacau. Beban kerja bertambah.

Mujurlah keluh guru tadi sekadar rengus di dalam hati. Tidak terluah dek lidah, kerana beliau tahu akan tanggungjawabnya. Mudah-mudahan murid tadi dan ibubapanya yang kelihatan cemas itu tidak ternampak dahinya yang berkerut.

“Bukankah senang, kalau ajar budak pandai-pandai sahaja!” kata hati guru tadi.

Namun Allah ﷻ takdirkan di kelas itu, murid sedia ada sedang mengaji. Ada yang membaca Surah ‘Abasa. Surah menegur. Teguran dari langit menggegar bumi. Menggegar hatinya. Hati seorang guru yang seharusnya tidak lupa kepada teguran Allah kepada mahagurunya, Nabi Muhammad ﷺ.

SURAH ‘ABASA

Surah Abasa sering kita dengar, tetapi jarang kita tekuni dengan penuh kesedaran terhadap konteksnya. Ia bukan sekadar kisah seorang sahabat yang buta. Ia peringatan santun tetapi tegas tentang bagaimana manusia, termasuk seorang pendidik, boleh tersilap memposisikan keutamaan.

Teguran ini ditujukan kepada insan paling mulia, Nabi Muhammad ﷺ.

Bukan kerana Baginda mengasari Abdullah ibn Umm Maktum RA. Baginda ﷺ tidak mengangkat suara, tidak menghina, dan tidak sekali-kali meremehkan beliau. Namun teguran turun, kerana pada saat itu terdapat satu detik kecil – kerutan kening, gangguan hati – yang dalam timbang tara langit dianggap besar.

Allah merekodkan peristiwa itu:

عَبَسَ وَتَوَلَّىٰ

Dia memasamkan muka dan berpaling.

أَن جَاءَهُ ٱلۡأَعۡمَىٰ

Tatkala dia didatangi oleh si buta.

Mengapa teguran setegas itu, sedangkan Baginda ﷺ tidak pun menyakiti Abdullah ibn Umm Maktum RA?

Kerana peristiwa itu melibatkan keutamaan, keperluan, dan siapa yang perlu didahulukan.

Ketika Yang Memerlukan Tidak Didahulukan

Allah SWT kemudian membuka lapisan demi lapisan kemungkinan. Baginda ﷺ tidak nampak apa yang Allah nampak, lalu Allah mengajar Baginda – dan kita – supaya tidak tersalah menilai orang yang hadir dalam keadaan rapuh.

‘Vulnerable’.

وَمَا يُدۡرِيكَ لَعَلَّهُۥ يَزَّكَّىٰ

Entah-entah dia sudah sedia mengharapkan penyucian diri.

أَوۡ يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ ٱلذِّكۡرَىٰ

Atau harapkan peringatan dan ia bermanfaat buatnya.

Orang seperti inilah yang paling perlu diberi keutamaan. Datang dengan kesungguhan, membawa harapan untuk berubah, dan mungkin sedang berada di ambang kebangkitan diri. Betapa besar nilainya di sisi Allah.

Namun Baginda ﷺ ketika itu sedang memberi perhatian kepada pemimpin Quraysh, yang dalam pandangan manusia nampak lebih berprospek.

Allah menegur:

أَمَّا مَنِ ٱسۡتَغۡنَىٰ

Walhal mereka yang tidak berhajatkan engkau.

فَأَنتَ لَهُۥ تَصَدَّىٰ

Engkau bersungguh-sungguh memberi perhatian kepadanya.

وَمَا عَلَيۡكَ أَلَّا يَزَّكَّىٰ

Walaupun bukan tanggungjawab engkau andai dia menolak.

Golongan berstatus tinggi ini tidak menjadikan Baginda berdosa jika mereka enggan menerima hidayah. Mereka punya banyak sokongan, banyak peluang, banyak kemudahan lain.

Tetapi yang benar-benar perlu ialah:

وَأَمَّا مَن جَآءَكَ يَسۡعَىٰ

Sedangkan dia yang hadir kepadamu dalam keadaan mendesak.

وَهُوَ يَخۡشَىٰ

Malah sudah sedia bimbang.

فَأَنتَ عَنۡهُ تَلَهَّىٰ

Engkau berlengah-lengah membantunya.

Di sinilah letaknya inti teguran:

orang yang paling sedikit peluang ialah orang yang paling besar haknya untuk didahulukan.

Cermin Untuk Seorang Pendidik

Ayat-ayat ini bukan sejarah perjuangan dakwah semata-mata. Ia cermin bagi sesiapa yang terlibat dalam pendidikan dan bimbingan manusia. Surah ini menyentuh secara langsung bagaimana kita menilai pelajar.

Semua guru pernah merasai detik ini:

Pelajar yang lambat faham, yang kerap bertanya, yang datang dengan kegusaran, yang muncul dengan wajah kebingungan, sesekali terasa membebankan.

Kita tidak mengherdik mereka. Kita tidak marah. Kita cuma… terganggu.

Dan terganggu itu, rupanya, sudah cukup untuk menjadi teguran di sisi Allah.

Surah Abasa mendidik kita bahawa:

  • Pelajar paling lemah perlu mendapat perhatian paling tinggi.
  • Pelajar paling cerdas bukan ukuran standard.
  • Standard pendidikan harus bersandarkan apa yang 20% paling bawah mampu capai, bukan 20% paling atas.
  • Jika pelajar pandai gagal, kita tidak dipersalahkan.
  • Tetapi jika pelajar yang tiada peluang lain gagal kerana kita melengah-lengahkan bantuan, kita yang akan dipersoalkan.

Inilah neraca Ilahi.

Tatkala kita membelakangkan acuan ini, mereka yang ingin belajar itu mungkin bukan lagi perlahan malah berhenti. Tidak lagi kerap bertanya, malah mendiam dan membatukan diri. Sebahagiannya hilang sabar dengan pendidikan yang tidak dapat dirasakan ikhlas menyantuni mereka untuk menolong. Slogan social mobility bahawa pendidikan bertujuan mengeluarkan murid daripada kemiskinan, tinggal slogan kosong. Nampaknya kemiskinan yang memporak perandakan hidup dengan segala masalah sosial, menjadikan pelajar ini dianggap bukan sekadar bermasalah, malah satu masalah.

Menyemak.

Mengganggu agenda lebih penting, demi negara.

Hingga terlupa kepada kemurkaan Allah ﷻ di sebalik polisi eksklusif dan elit berkenaan.

Bagaimana Nabi ﷺ Menerima Teguran

Riwayat menyebut bahawa selepas teguran turun, Nabi ﷺ mengambil ridak selempangnya, meletakkannya di tanah, lalu mempersilakan Abdullah ibn Umm Maktum RA duduk di atasnya sambil berkata:

«مَرْحَبًا بِمَنْ عَاتَبَنِي فِيهِ رَبِّي»

“Selamat datang kepada dia yang kerananya Tuhanku menegurku.”

Lalu Baginda bertanya:

هل لك من حاجة؟

“Apakah keperluanmu yang boleh aku santuni?”

Beginilah pendekatan sebenar seorang pendidik.

Digambarkan oleh kerendahan hati seorang Rasul.

Beginilah seharusnya kita, guru, ibu bapa, pensyarah, murabbi, malah pegawai, pengarah dan menteri, memandang tugas kita.

Soalan Yang Mesti Kita Tanya

Kepada pelajar yang hilang motivasi, yang hilang arah, yang datang dengan wajah kepenatan, yang sukar memberi perhatian, yang masa depannya kelam tanpa bantuan sekolah… tanya mereka:

هل لك من حاجة؟

“Apakah keperluanmu?”

“Apa yang membebankanmu?”

“Bagaimana kami boleh membantumu?”

Kerana Surah Abasa mengingatkan:

Yang datang ‘yas’aa’, yang datang ‘wahua yakhshaa’, itulah insan yang Allah dahulukan.

Dan sesiapa yang Allah dahulukan, kita juga mesti mendahulukannya.

Hasrizal Abdul Jamil
“Pendidikan Jalan Islam | Pendidikan Untuk Semua”

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Solidariti Yang Hakikatnya Seruan Jahiliah

HasrizalAn educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.