Tuesday, March 25th, 2025

Program Pendidikan Guru Sekolah Rendah dan Menengah di Finland

Kelayakan minimum untuk menjadi seorang guru sekolah di Finland adalah ijazah sarjana (master’s degree), dengan tempoh pengajian sekitar lima tahun merangkumi tiga tahun di peringkat sarjana muda dan dua tahun di peringkat sarjana. Keperluan ini mencerminkan transformasi besar dalam bidang pendidikan keguruan di Finland sejak tahun 1967, susulan laporan Jawatankuasa Pendidikan Keguruan Finland yang merombak struktur dan falsafah pendidikan guru.

Transformasi ini menyaksikan peralihan definisi guru daripada seorang “tukang serba boleh yang berpendidikan” (well-educated handyman) kepada seorang “pakar berlegitimasikan sains” (science-legitimated expert). Konsep guru sebagai ideolog, pembina jati diri bangsa yang bersandarkan ilmu falsafah, sains kemasyarakatan dan kenegaraan telah digantikan dengan pendekatan berasaskan sains pembelajaran. Matlamat utama perubahan ini adalah untuk mengangkat profesion keguruan ke tahap saintifik, menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran sebagai aktiviti rasional dan berdasarkan bukti. Guru kini dilihat sebagai pemikir didaktik dan penyelidik dalam kerjanya sendiri, yang mampu mengaplikasikan dapatan saintifik dalam mengajar dan menyelia pembelajaran murid.

Sehubungan itu, institusi ‘Maktab Perguruan’ dimansuhkan dan semua program pendidikan keguruan dipindahkan ke universiti bermula tahun 1975. Untuk mengajar di sekolah rendah, bakal guru mengambil pengkhususan dalam bidang pendidikan sekolah rendah, melayakkan mereka mengajar kesemua 13 subjek di sekolah rendah. Sementara itu, guru sekolah menengah perlu mempunyai ijazah dalam bidang pengkhususan mereka (satu major dan satu minor), diikuti dengan latihan pedagogi yang membolehkan mereka mengajar subjek major dan minor tersebut di mana-mana sekolah menengah.

Perubahan struktur ini membawa kesan mendalam terhadap amalan profesional guru. Guru era pra-1975 menumpukan perhatian kepada pelajar bermasalah untuk didisiplinkan, manakala guru pasca-1975 dilatih untuk memberi perhatian individu kepada setiap murid. Guru bertanggungjawab mengenal pasti keperluan pembelajaran, maklumat pentaksiran terdahulu, kebolehan, sikap, harapan dan kesihatan setiap murid, sama ada mengajar 20 murid di dalam kelas atau 200 murid secara keseluruhan.

Tanggungjawab ini mungkin dilihat membebankan dari sudut pandang guru era lama, namun ia merupakan sebahagian daripada tugas profesional biasa bagi guru moden Finland yang menerima latihan akademik bertaraf tinggi. Sistem ini juga memastikan bilangan guru sepadan dengan jumlah murid, mengelakkan pembaziran sumber akibat opsyen pengajaran yang tidak berstruktur. Finland, dengan populasi sekitar 5 juta orang, mempunyai kira-kira 55,000 guru sekolah. Tiada guru yang bertukar menjadi pentadbir untuk memantau rakan sekerja kerana sistem penaziran telah dimansuhkan sejak akhir 1970-an. Sekiranya seseorang guru ingin menjadi pengetua, mereka perlu menyambung pengajian dalam bidang kepimpinan sekolah dan lazimnya dipilih berdasarkan rekomendasi daripada rakan guru di sekolah.

Tonton di sini nasihat Lee Kwan Yew kepada Deng Xiaoping agar China boleh belajar daripada Singapura. Bukan mengada-adakan alasan untuk tidak membuat perubahan:

Rujukan lanjut: Heikkinen, S. & Silvonen, J. The Birth of the Modern Finnish Teacher: A Foucauldian Exercise.

Bacaan lanjut, lihat artikel 2019 bertajuk: Melangkah ke Sekolah Finnish Sebagai Guru dan Peninjau Sistem

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Berpuasa Panjang di Kawasan Ekstrim: Kemudahan atau Memudah-mudahkan?

HasrizalAn educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.