Friday, December 5th, 2025

Tadabbur Surah al-Quraish dan Politik Ketakutan: Dari Retorik ke Empati

Muka hadapan buku The Age of Insecurity oleh Astra Taylor

Tiga puluh tahun lalu, saya menghadiri program Biro Tatanegara (BTN) semasa di universiti. Dalam salah satu sesi, seorang tokoh agama yang ketika itu memegang jawatan Ketua Pengarah JAKIM menyampaikan hujah bahawa menyokong UMNO adalah satu bentuk sokongan terhadap Islam. Sebagai sandaran, beliau memetik Surah al-Quraish, khususnya dua ayat terakhir, dan menyatakan bahawa agenda UMNO selaras dengan apa yang Allah sebutkan:

Memberi makan ketika lapar, dan memberi rasa aman ketika takut.

Ketika itu, saya masih muda dan sedang dalam proses membina kefahaman sendiri. Saya akui, saya berasa janggal mendengar petikan ayat al-Quran digunakan untuk menyokong agenda politik secara langsung. Namun hari ini, setelah menjalani pelbagai pengalaman, termasuk menetap di luar negara dan menyaksikan cabaran sosial serta keresahan masyarakat yang lebih luas, saya lawat semula kenangan itu dan melihat dimensi yang lebih dalam pada ayat-ayat tersebut.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Quraish (106:1–4):

لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ

إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ

فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَٰذَا الْبَيْتِ

ٱلَّذِىٓ أَطْعَمَهُم مِّن جُوعٍۢ وَءَامَنَهُم مِّنْ خَوْفٍۭ

Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy, [iaitu] kebiasaan mereka mengadakan perjalanan pada musim sejuk dan musim panas, maka hendaklah mereka menyembah Tuhan pemilik rumah ini (Kaabah), yang telah memberi mereka makan untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.

Surah pendek ini mengandungi asas kepada dua keperluan asasi masyarakat, makanan dan rasa aman. Kedua-duanya adalah kurnia besar daripada Allah yang menjadi prasyarat kepada peribadatan dan kestabilan sosial. Tanpa keperluan ini, manusia akan mudah dipengaruhi oleh ketakutan dan ketidaktentuan yang mendorong mereka mencari perlindungan, kadangkala dalam bentuk politik yang menjanjikan keselamatan palsu.

Saya teringat perbualan lama bersama almarhum ayah saya. Beliau pernah mengulas reaksi segelintir kawan-kawan di masjid yang menyokong kerajaan dengan alasan “pembangunan sudah ada.” Dengan tenang tetapi tegas, ayah berkata:

“Kalau lampu jalan jadi ukuran, jalan raya di Soviet Union lagi bagus daripada kampung kita.”

Ayah tidak memperlekeh pembangunan, tetapi beliau mahu saya memahami bahawa tanggungjawab pemimpin bukan hanya menyediakan infrastruktur. Ia juga merangkumi amanah terhadap keadilan, kesejahteraan, dan ketelusan. Dan dalam masa yang sama, beliau mengingatkan agar perjuangan Islam tidak hanya menjadi lambang, memberikan ‘Islam’ dalam bentuk slogan, tanpa menyelesaikan kelaparan dan ketakutan sebenar yang sedang dialami masyarakat.

Keresahan ini kembali saya rasai hari ini semasa mengikuti diskusi The Left Bank Summer School di Ireland berkaitan krisis ekonomi, kebangkitan populisme dan ekstremisme kanan. Buku The Age of Insecurity oleh Astra Taylor mengingatkan kita hakikat penting; apabila manusia kehilangan jaminan terhadap masa depan, mereka akan mencari keselamatan di masa lalu.

Dalam keadaan rakyat berasa tidak didengari, hidup dalam tekanan ekonomi, dan hilang rasa memiliki dalam masyarakat, mereka mudah dipengaruhi oleh ideologi yang menjanjikan penyelesaian segera, walaupun berbahaya dan penuh manipulasi. Maka, kerajaan atau mana-mana pihak yang ingin membina masa depan rakyat, tidak boleh sekadar memberi naratif kejayaan atau mempertahan slogan. Ia perlu memberi makan ketika lapar, dan memberi aman ketika takut.

Golongan ekstrim politik kanan memanipulasi situasi ini.

Mereka ‘mendengar’.

Kenangan silam akan digembar gembur sebagai era yang didamba. Negara tanpa imigran’ adalah imej paling mudah dan dekat untuk digarap. Kita pula mungkin terawang-awang mengenang era Umar bin Abdul Aziz rahimahullah sebagai era keemasan silam.

Dari Tadabbur ke Tindakan: Dakwah Berasaskan Design Thinking

Surah al-Quraish tidak dimulakan dengan seruan ideologi.

Ia dimulakan dengan realiti hidup Quraisy, kitaran musim sejuk dan panas, rutin perdagangan, dan pergantungan asasi kepada keamanan sebagai nikmat dan keperluan merentas kemanusiaan. Lalu, barulah Allah menyeru mereka menyembah Tuhan Kaabah; subjek yang disepakati bersama dalam soladiriti sosial penduduk Mekah. Tuhan Kaabah itulah Tuhan yang sama memberi kamu makan, mengamankan kamu daripada ketakutan, dan selayaknya disembah, tiada selain-Nya.

Inilah pendekatan yang wajar kita teladani dalam kerja dakwah dan advokasi hari ini.

Kita perlu belajar bergerak menggunakan prinsip ini. Prinsip yang ada tersedia diformulasikan di dalam kerangka design thinking. Mulakan dengan empathy, bukan sekadar memahami, tetapi mendampingi masyarakat dan mengenal pasti masalah sebenar yang mereka alami. Kenali pain points masyarakat. Ketika orang ramai lapar dan takut, bukan tempatnya kita datang dengan slogan dan idealisme kosong. Kita harus mendengar dahulu, bertanya, menjiwai. Barulah penyelesaian yang ditawarkan benar-benar berakar dari kehidupan sebenar mereka.

Apabila kita hanya mengangkat retorik agama tanpa mengubati luka masyarakat, kita bukan sahaja gagal menyampaikan Islam secara bermakna, tetapi kita turut menyuburkan ketidakpercayaan terhadap agama itu sendiri.

Surah al-Quraish mengajar kita bahawa tanggungjawab besar dalam mengajak manusia menyembah Tuhan bermula dengan menunaikan keperluan asasi mereka terlebih dahulu. Inilah yang harus menjadi semangat baru dalam setiap usaha membina masyarakat, sama ada melalui dasar, dakwah, mahupun kepimpinan.

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Pendidikan Yang Mengabaikan Sebuah ‘Abasa

HasrizalAn educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and …

3 comments

  1. Salam

    Satu surah yang saya suka baca dalam solat, sebahagian sebabnya kerana 2 ayat di hujung itu sesuatu yang dekat dengan kita, insan biasa. Cuma menarik bila ustaz kaitkan antara pain points dalam 2 ayat terakhir dengan pelan tindakan yang patut kita ambil.

  2. Jadi kiranya hierarki keperluan Maslow boleh diguna pakai di sini

  3. Saya kira Maslow’s Hierarchy of Needs boleh diguna pakai di sini, kalau keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal tak dipenuhi, jangan harap manusia ada masa nak fikir sampai ke tahap self actualization

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.