Pakar Motivasi di Dalam Rumah Sendiri

20121021-093132.jpg

“Siapa yang baru balik daripada kem motivasi lain?” saya bertanya.

Seorang pelajar mengangkat tangan.

Mukanya masam mencuka.

“Khair. Jangan sedih ya. Dalam kem ini, kamu akan berehat daripada keletihan kem sebelumnya, Insha Allah” saya memujuk.

“Siapa yang selepas kem ini, akan pergi ke kem lain pula?” saya menyambung pertanyaan.

Pelajar yang sama mengangkat tangan!

“Haha!” saya ‘terketawa’.

Menumpang simpati.

Maknanya pelajar ini ibu bapanya menghantar anak mereka untuk dibesarkan di hutan sepanjang cuti persekolahan. Antara drama yang saya temui dalam kem cuti sekolah yang pernah kami adakan.

Cuti persekolahan tahun ini berbeza sedikit daripada sebelumnya.

Saya tidak menganjurkan Kem Hijrah Remaja Islam (HIJRI) seperti tahun-tahun sebelumnya. Program tahunan yang sinonim dengan Synergy Training & Consulting (STC). Saya amat sukakan program ini biar pun proses menyiapkannya amat memeningkan kepala. Setiap kali bertemu anak remaja, banyak yang saya belajar daripada mereka, tentang mereka dan kehidupan semasa.

Saya perlu memberikan sepenuh komitmen kepada pengajian di UKM. Sebagai universiti penyelidikan, semester ini sahaja saya menerima 10 tugasan penghasilan makalah antara 20 ke40 mukasurat yang mesti ditulis dalam standard penyiaran makalah jurnal. Tiga daripadanya perlu dibentangkan di dalam seminar dalam dan luar.

Tambahan pula pada bulan Disember ini, Insha Allah saya akan ke Republic of Ireland untuk program PUISI 2012 di Glendalough selama dua minggu.

Synergy Training & Consulting (STC) juga tinggal saya seorang. Seorang rakan berhijrah ke United Kingdom dan seorang lagi menyambung pengajian, juga di UKM. Saya kembali ke ‘asal’, tinggal seorang.

ALTERNATIF YANG HAKIKATNYA ASAL

Namun apa kata cuti persekolahan ini kita buat sesuatu yang berbeza?

Ibu bapa boleh merancang daripada sekarang untuk bercuti bersama anak-anak, secara bersistem, berpengisian dan bermodul. Hakikatnya, ibu bapa adalah pakar motivasi terbaik untuk anak masing-masing, asalkan mereka TAHU dan lebih pentingnya, MAHU melakukan ia. Soal MAMPU, tiada PhD yang boleh mengatasi upaya seorang ibu dan seorang bapa.

Pergilah bercuti ke kem paling baik, paling selamat, paling berfasiliti, mengikut standard masing-masing. Hanya ibu bapa perlu menginsafi, agar tugas menggembirakan anak-anak tidak diserahkan kepada taman tema, permainan berkomputer dan kemudahan-kemudahan lain. Sebaliknya mereka menguji diri mereka sendiri, sejauh manakah mereka boleh terus berperanan sebagai sumber kebahagiaan dan kebaikan anak-anak. Bukan sumber tekanan, kebosanan dan masalah mereka.

Pakar-pakar motivasi boleh memakmurkan November dengan kempen dan kursus kemahiran berkomunikasi untuk ibu bapa, menyuntik kreativiti buat mereka, serta menimbulkan kemahuan untuk melakukannya.

Jika ibu bapa meYahudikan anak yang asalnya fitrah…

Jika ibu bapa meNasranikan anak yang asalnya fitrah…

Jika ibu bapa meMajusiikan anak yang asalnya fitrah…

Ibu bapa itu jugalah pakar paling berpengaruh meMUSLIMkan anak yang sedia fitrah itu…

Sungguh!

HASRIZAL
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

bondaku

Selamat Hari Guru, Ibu!

“Siapkan latihan ini dan jangan bising” kata cikgu di hadapan. Soalan-soalan di papan hitam, perlu …

3 comments

  1. Salam ustaz.satu idea yang bagus, tapi bln 12 ni mungkin PRU 13

  2. Assalamualaikum Ustaz…kem motivasi untuk kaum bapa dalam menangani anak-anak lelaki mungkin lebih urgently needed kut.Banyak masalah sosial yang melibatkan anak2 lelaki tidak sesuai dikendalikan kaum ibu…Hanya bapa-bapa boleh empati dengan anak-anak lelaki rasa saya.Saya pun bermasalah nak tackle anak2 lelaki…besar harapan kaum ibu rasanya kalau kaum bapa boleh belajar daripada ustaz.Suka cara ustaz ngan Yeop…

  3. Nor hayati Ismail

    Assalamualaikum ustaz..

    Saya ingin menyahut cabaran ustaz untuk menjadi motivator bagi anak2 kami sempena salah satu program dlm cuti skolah kali ini. Sblm ni saya pernah mghtr anak saya ke kem hijri di ulu yam.

    Jadi Saya meminta jasa baik ustaz utk berkongsi modul mengenai 7 habits in islamic way utk saya present pd anak2 saya krn saya skluarga akan bercuti selama seminggu dlm program jelajah utara seawal minggu pertama cuti skolah. Saya ingin memanfaatkan sepenuhnya percutian utk mentarbiah anak2 dlm suasana santai Insya Allah. Harap ustz dpt berkongsi ilmu, input, mgkin cadangan yg lebih baik. Hanya Allah shj yg mampu membalas segala kebaikan ustaz.

    Syukran jazilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *