‘Adam-adam’ Sebelum Adam?

evolutionhumans

“Tapi saya rasa lecturer saya dapat yakinkan saya bahawa Teori Evolusi itu ada benarnya. Rasa resah betul masa dalam kelas”, kata Nazri, salah seorang pelajar yang mengikuti kursus bersama saya.

“Soalnya sekarang, apakah Teori Evolusi itu memang bertentangan dengan Islam? Apakah pendirian Islam terhadap Teori Darwin? 100% bertentangan atau bagaimana?” saya bertanya kembali kepada beliau.

”Hmm, bab ni susah nak jawab” katanya.

”Ustaz rasa, cabaran sekarang ialah, kita tidak boleh pukul rata. Kita kena bezakan di antara Charles Darwin, Darwinism, Neo-Darwinism, Social-Darwinism dan Teori Evolusi itu sendiri” saya sekadar memberi cadangan.

Nazri mengangguk.

”Memang banyak bezanya. Tapi bila diterjemah kepada bahasa Melayu, semuanya dibakulkan jadi ’Teori Darwin’. Itu sahaja” sambungnya.

”Itu masalahnya. Pada pandangan ustaz, sikap pukul rata penceramah-penceramah mencela Teori Darwin, akan mendatangkan masalah, khususnya kepada orang macam anta, yang ambil Biologi untuk peperiksaan A-Level. Ramai yang sangka Teori Darwin dan evolusinya…. 100% bertentangan dengan Islam” saya meneruskan cerita.

”Hujah mereka mudah. Kalau percaya tentang Teori Darwin, maknanya kita percaya yang atuk nenek kita dulu ialah beruk! Itu sahaja” Nazri menyokong.

Kami sama-sama termenung. Ia bukan isu yang mudah.

TEORI EVOLUSI ITU LUAS

Kefahaman kita tentang teori evolusi bukanlah terhad kepada mahu menjawab soalan siapa / apa bapa kita. Ia juga bukan sekadar untuk mencela penjajahan Barat yang disandarkan kepada kepercayaan struggle of the fittest golongan Social Darwinist.

Kebetulan di dalam kelas Muslim Historiography saya bersama Assoc. Prof. Dr. Ahmed Elyas Hussein, kami telah berbincang tentang persoalan yang lebih mendasar terhadap perlunya kepada pendirian yang betul terhadap Teori Evolusi ini, iaitu persoalan ”Permulaan Sejarah”.

Ia membabitkan pengujian kita terhadap teori evolusi biologi dalam menjawab persoalan penciptaan Adam dan kehidupan di bumi sebelum Adam.

Hal ini penting, untuk mengungkaikan keresahan kita apabila kemajuan kajian DNA, telah membantu saintis untuk menghitung kadar mutasi struktur hidupan. Kebolehan ini mengukuhkan lagi usia fosil yang ditemui dan ini mencabar kesimpulan simplistik kita terhadap ”Persoalan Sejarah” yang saya maksudkan tadi.

Setakat ini, saintis telah mengesan kira-kira 15 spesis awal manusia. Tetapi sulit untuk dikategori dan ditentukan bagaimanakah hubungan di antara spesis ini dan bagaimanakah setiap satu spesis itu berakhir. Spesis seawal Australopithecine yang dianggarkan berusia 5 ke 2 juta tahun dahulu, membawa kepada spesis Neanderthal yang dianggarkan berusia 200,000 ke 24,000 tahun yang lalu, kesemuanya ini menimbulkan persoalan berkaitan penciptaan Adam, dan pendirian Islam terhadap evolusi itu sendiri. Apakah Adam itu hidup seawal era Australopithecine atau bagaimana?

Saya tidak berkeahlian dalam membicarakan tentang hal ini, jika melalui saluran Biologi, namun saya ingin berkongsi dengan pembaca beberapa perkara yang boleh membantu pembaca membuat penilaian awal tentang hal ini, khususnya dari perspektif kajian sejarah.

PANDANGAN ISLAM TERHADAP PENCIPTAAN MANUSIA

Saya datangkan beberapa ayat al-Quran berkenaan dengan asal usul manusia:

Firman Allah SWT di dalam al-Quran:

Dia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar (Al-Rahmaan 55: 14)

Lihat juga ayat-ayat di 22:5, 23:12, 30:20, 32:7, 37:11

Allah SWT juga menyebut:

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (Al-Tin 95: 4)

Mohamed Asad dalam menafsirkan ayat ini mengatakan bahawa: Allah SWT telah menciptakan manusia di dalam bentuk yang paling sempurna dan dikurniakan kualiti-kualiti yang positif pada fizikal dan mentalnya sesuai dengan tujuan yang perlu dilaksanakan oleh makhluk yang diciptakan ini.

Lihat juga ayat-ayat di 8:2 dan 7:8

Allah SWT turut menjelaskan di dalam al-Quran bahawa seluruh manusia adalah dari keturunan Adam. Firman-Nya:

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. (Al-Nisaa’ 4: 1)

Dan manusia itu diciptakan Allah dengan maksud menjadikan mereka Khalifah di muka bumi:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya” (Al-Baqarah 2: 30)

PANDANGAN ULAMA ISLAM YANG AWAL

Di dalam sejarah Islam, tumpuan kita adalah pada melihat sejauh mana umat melaksanakan peraturan Allah, sebagai mekanisma jatuh dan bangunnya tamadun. Oleh kerana tumpuannya begitu, maka kadang-kadang kita terlepas pandang kepada pandangan para ulama’ terhadap persoalan-persoalan ‘pra-sejarah’ ini.

Sebagaimana teori evolusi mempunyai akar falsafah yang melunjur hingga ke era Ancient Greek dan Roman serta agama, maka ia turut menjadi bahan ulama Islam mencari jawapan kepada persoalan pra-sejarah ini. Namun terasnya adalah bersandarkan kepada ayat-ayat al-Quran yang telah memiliki pendirian yang tersendiri mengenainya. Walaupun ulama Islam memanfaatkan sumber yang ada di sekitar mereka, tetapi prinsip-prinsip al-Quran tetap menjadi teras utama kepada mereka.

Lihat sahaja buku Akhbar al-Zaman oleh al-Mas’oudi, sebelum memperkatakan tentang Adam dan generasi selepasnya, Al-Mas’oudi meletakkan bab “Penjelasan Tentang Umur Dunia, “Penjelasan Tentang Umat-umat Sebelum Adam”, Penjelasan Tentang “Jin dan Jenis-jenis dan Qabilah Mereka”, “Penjelasan Tentang Bumi Dan Apa Yang Ada Padanya”, “Penjelasan Tentang Laut Yang Meliputi (Al-Bahr al-Muhi?) dan Perkara-perkara Ajaib yang Ada di Dalamnya” dan sebagainya.

Al-Mas’oudi menjelaskan bahawa terdapat 28 umat yang telah dicipta di muka bumi sebelum Adam. Mereka terdiri daripada flora dan fauna serta Ummah yang agak menyerupai Bani Adam. Umat ini bercampur dan berinteraksi hingga membawa kepada berkembangnya mereka kepada 120 umat.

Al-Tabari juga menyatakan di dalam Tafsirnya bahawa kesemua hidupan diciptakan sebelum penciptaan Adam.

Al-Maqdisi menjelaskan bahawa terdapat 3 Umat yang utama di dunia sebelum Adam iaitu dua daripadanya terdiri daripada kaum Jin. Manakala kaum yang ketiga adalah golongan yang berbeza dari Jin kerana mereka ini berdaging dan berdarah. Golongan ketiga ini adalah mereka yang dimaksudkan sebagai ‘man yufsidu feehaa wa yasfiku al-dimaa’: golongan yang membuat kerosakan dan menumpahkan darah” seperti yang diulas oleh Malaikat di dalam ayat al-Quran 2: 30.

Ulasan-ulasan al-Mas’oudi ini memperlihatkan bahawa persoalan tentang hal ehwal pra-sejarah telah pun dibahaskan oleh para Ulama’ jauh sebelum munculnya di Eropah, debat evolusi pada kurun mutakhir ini. Ulama Islam sudah menyentuh bidang ini 10 kurun sebelum ia diperkatakan di Eropah.

Persoalan ini penting di sisi ilmuan Islam, untuk membina dan menstrukturkan World History pada perspektif Islam. Mereka melihat persoalan Tuhan, manusia dan alam, sebagai subjek yang tidak boleh dipisahkan. Di atas prinsip itu, persoalan sejarah tidak sewenang-wenangnya bermula hanya dengan penciptaan Adam, tetapi era Pra-Adam turut diambil kira.

Inilah yang mengagumkan saya. Sekian lama saya terlepas pandang terhadap perhatian yang diberikan oleh Ulama’ seawal kurun ke-10M terhadap isu ini. Keprihatinan mereka menunjukkan bahawa subjek ini berharga untuk diberikan perhatian.

‘ADAM’ SEBELUM ADAM

Berkenaan dengan penciptaan Adam, majoriti ulama Islam percaya bahawa Adam dan Hawa telah dicipta dengan lengkap di Syurga. Mereka kemudiannya dihantar ke bumi selepas memakan buah yang terlarang. Keturunan mereka mengisi populasi bumi dan memulakan sejarah manusia.

Akan tetapi Allah SWT tidak menjelaskan di dalam al-Quran bagaimanakah Adam itu dicipta. Adakah dia dicipta secara berperingkat atau dengan satu proses sahaja? Sebahagian ahli Tafsir mendatangkan pandangan bahawa ketika Allah SWT mencipta Adam, tubuh Adam itu dibiarkan selama 40 tahun sebelum ditiupkan ke dalamnya roh. Di sini kita boleh melihat dengan jelas pengaruh tradisi Ancient Persian terhadap tafsiran berkenaan.

Terdapat juga sebahagian daripada ulama Islam yang menjelaskan bahawa Adam bukanlah manusia pertama yang dicipta di muka bumi. Mereka berpandangan bahawa ratusan ribu ‘Adam’ telah wujud sebelum Adam bapa kita. Setiap satu ‘Adam’ itu telah mempunyai keturunan dan kehidupannya, mereka telah musnah sepenuhnya dan digantikan dengan ‘Adam’ yang berikutnya sehinggalah tiba kepada Adam, bapa kita. Adam bapa kita, dianggap sebagai pusingan terakhir siri ‘Adam’ di muka bumi.

Ada juga ulama yang berpendapat bahawa Adam dan Hawa dicipta bukan di Syurga tetapi di muka bumi dan daripada bumi.

(Lihat al-Maqdisi: Al-Bad’ wa al-Tarikh dan Ibn al-‘Arabi: al-Futuhat al-Makkiyyah)

Ikhwan al-Safa juga ada menghuraikan tentang hal ini. Mereka menyatakan bahawa semua haiwan dicipta dari tanah liat kering dan membiak di kawasan Khatulistiwa yang tidak terganggu oleh perubahan cuaca yang ektrim. Hal ini memberi ruang kepada pembiakan. Di dalam suasana inilah Adam tercipta (takawwana). Ikhwan al-Safa juga berpendapat bahawa Adam dan Hawa hidup di peringkat pertama kehidupan mereka di bumi (Rasaa’il Ikhwan al-Safa, jilid muka surat 181, 229. Ada kemungkinan konsep ini diambil dari Bible kerana di dalam Bible, Syurga itu adalah Garden of Eden di mana Adam dan Hawa hidup dalam keadaan yang suci)

mankind

ISU LEKEH?

Mungkin isu-isu di atas dipandang remeh oleh sesetengah kita. Ia mungkin dengan mudah dilabel sebagai khurafat, mangsa Israiliyyat, dongengan dan sebagainya. Namun, perlu diingatkan bahawa bukanlah kesahihan fakta itu yang menjadi keutamaan. Saya tegaskan begini kerana sama ada ia dilihat dari tafsiran kepada teks agama, atau pun kepada pencapaian sains itu sendiri, persoalan-persoalan ini masih dibanjiri oleh hipotesis. Malah jangan lupa kepada ingatan Allah bahawa “AKU MENGETAHUI APA YANG TIDAK KAMU KETAHUI”.

Pengetahuan kita ada batas-batasnya.

Namun apa yang menjadi keutamaan kita ialah, persoalan idea berkaitan dengan evolusi biologi, dan adanya idea tentang berkemungkinan wujudnya kehidupan dan ‘adam’ lain sebelum penciptaan Adam, mempunyai ruang untuk ia dikaji oleh Muslim. Ini akan menghindarkan pelajar Sains daripada dibelenggu rasa bersalah yang tidak perlu. Semata-mata kerana menyangkakan bahawa evolusi menyalahi Islam.

Walhal, prinsip-prinsip evolusi sudah pun ada di fikiran ahli sejarah Muslim seawal kurun ke-10M. Jika ia diterima sebagai subjek yang berharga untuk dikaji oleh umat Islam, mengapa pula hari ini kita mengambil pendirian mudah bahawa ruang perbincangan mengenai hal ini sudah terkunci. Evolusi bertentangan dengan Islam, 100%!

Apa yang membimbangkan saya ialah, sikap orang agama terhadap isu-isu seperti ini akan menimbulkan masalah sebagaimana pemuka agama Kristian yang sombong, telah membiakkan manusia sains yang menjauhi agama. Soal agama mereka betul atau salah, tidak sempat untuk dibicarakan kerana sikap sombong dan simplistic minded mereka telah menyebabkan agama tidak lagi dilihat sebagai sumber kebenaran.

Manusia beralih kepada sains kerana muak dengan kelakuan orang agama yang jumud.

THE DIVINE EVOLUTION

Di Barat sendiri, sebahagian pengkaji cuba untuk mengharmonikan evolusi dengan ajaran agama. Walaupun ahli teologi dan gereja teguh dalam menolak evolusi, namun tetap ada sebahagian mereka yang menerima undang-undang dan proses alam semulajadi, tanpa menafikan proses penciptaan oleh Tuhan. Mereka mempercayai bahawa Tuhan berada ‘di sebalik’ proses evolusi di dalam kehidupan alam ini dan manusia berada di hujung proses evolusi ini.

Penjelasan sebegini disebut sebagai ‘the Divine Evolution’.

Ada juga sebahagian pemimpin di gereja yang mengiktiraf ketidak sempurnaan teks Holy Book dan menganggap teori evolusi biologi sebagai bersesuaian dengan aqidah agama Kristian.(Lihat Maurice Bucaille, What is the Origin of Man? The Answers of Science and the Holy Scripture)

Semakan dari semasa ke semasa perlu dibuat juga oleh kita umat Islam.

Muhammad Iqbal dan beberapa tokoh yang lain, menerima idea evolusi Biologi. Namun, Iqbal menjelaskan bahawa evolusi hanya membabitkan perkembangan fizikal manusia. Ia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan dimensi non fizikal atau spiritual manusia. (Lihat Muhammad Iqbal, The Reconstruction of Religious Thought in Islam).

Isu ini akan membabitkan pendirian Islam terhadap penemuan fosil, hal-hal yang berkaitan dengan kesahihan persepsi bahawa kehidupan manusia bermula dalam keadaan yang primitif, isu banjir besar serta hal Ya’juj dan Ma’juj.

Di Amerika Syarikat, saintis genetik dan paleontologis di akhir kurun ke 20, selepas mengkaji ribuan fosil purba, menyokong teori mtEve yang mencadangkan bahawa keturunan manusia ini bermula dari satu lelaki dan satu perempuan. Penerimaan ini membuka laluan kepada mereka untuk berpihak kepada agama dan seterusnya mula mengemukakan hipotesis tentang Kapal Nuh dan Garden of Eden.

Jika umat Islam mengambil jalan mudah dengan mengatakan semua ini mengarut, maka lebih mudahlah Islam akan dianggap mengarut, apabila gagal berinteraksi dengan pencapaian sains dan teknologi genetik hari ini.

Saya bimbang dengan jumlah anggota masyarakat kita yang menarik diri dari masyarakat dan memencilkan diri kerana tertekan dengan trend perdana yang selesa dengan anggapan bahawa sains dan agama itu saling bertentangan.

Mudah-mudahan dengan perkongsian maklumat ini akan dapat membuktikan kepada pembaca, betapa ulama, ahli sains dan ahli sejarah saling memerlukan di antara satu sama lain untuk lebih memahami agama, Allah SWT, manusia dan alam sejagat.

Jangan kita mangsakan Islam dan Muslim oleh sembang simplistik yang merugikan itu.

=============================

ARTIKEL INI SAYA TULIS UNTUK MEREKA YANG SUDAH BIASA DENGAN SUBJEK-SUBJEK YANG DIBINCANGKAN. PERSPEKTIF SEJARAH DARWINISM, ILMU SAINS BIOLOGI DAN KEJURUTERAAN GENETIK DAN SERBA SEDIKIT PENDEDAHAN KEPADA ILMU SEJARAH DI KALANGAN ILMUAN ISLAM YANG AWAL. JIKA ANDA KELIRU DENGAN MANA-MANA ISTILAH, MANFAATKAN WIKIPEDIA. TERIMA KASIH.

=============================

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BPS

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

image

Andalus Yang Pernah Kupelajari

  Al-Andalus sering digambarkan dengan seribu keindahan. Pancuran air, tamadun yang dimegah-megahkan, lagu dan syair …

6 comments

  1. Assalamualaikum wbt

    Alhamdulillah, dan terima kasih ust Hasrizal atas kupasan ini. Saya sedang melakukan penyelidikan mengenai NeuroQuran, correlate with brain, Quran, Physics…

    Masih lagi perlukan banyak bimbingan daripada orang lain speerti Ust Hasrizal

  2. جزك الله خيرا
    Barulah terbuka minda saya dah dapat saya simpulkan dan kaitkan tentang penemuan fosil serta penerangan zaman paleolitik, mesolitik etc.

    Boleh saya tahu anggaran umur nabi adam sehingga sekarang?

    • Sila ke youtube dan search kupasan melayu . Ada video dari ustaz hasrizal sendiri dan didalamnya, ustaz ada terangkan tentang umur yang saudara persoalkan .

  3. Asslamualaikum.
    1. Islam ajar manusia beraqidah yg betul. Kalau tidak manusia akan ikut otak dan otak kemampuannya terbatas kerana ilmu dan pengalaman mrk amat terbatas.
    2. Bila berlaku pertembungan antara sains dan islam, kita boleh pilih (i) islam (ii) sians (iii) campur adukkan ikut otak.

    Kalau nak selamat ikutlah islam sbb Allah tak terima selain ISlam. Akalau nak campaur, islam itu ugama yg sgt rasional yg tak suka umatnya ikut membuta tuli. Islam suka umatnya ikut dgn faham dan tahu. Kalau campur aduk dgn suruh islam ikut otak, maka sesat. Kalau campur dgn suruh otak ikut islam, maka itu bukan campur, itu memang perintah ALlah. Sila rujuk dlmmal qur’an banyak sebut ayat افﻻ تعقلون dan banyak ayat2 suruh berfikir. Dalam surah Yasinpun ada. Rajin2lah Baca dan kaji.

    Kalaumnak rujuk sumber ugama, rujuklah Al quran sbb terpel7hara drp penyelewengan. Kitab lain daah banyak diseleweng.

    Bila al quran kata manusia dr Adam, makamotak kajilah sendirinutk mengesahkan, bukan komen org ugama. Orgnugama hanya menyampaikan apa yg mrkmtahu dr Al quran. Kerja nak mengesahkantu org sainslah pula kena buat kerja. Org sins bukan islam tsk dapat diharap sgt, tambahan pula teori evolusi itu sendiri memang dicipta utk memutuskan hubungan manusia dengan Tuhan pencipta.

    Tajuknya sekarang; betulkah manusia berasal dari adam, buka dari beruk? Siaps mengaku darinberuk, maka datuk nenek dia memang beruk asli. Saya tak mengaku.

    Kalau kita tengok semua ugama langit mengakui manusia berasal dari Adam dan nabi2 sesudahnya, nuh, hud, salleh, ibrahim…. kalau kita kaji secara sintifik, tempoh antara Adam kepada zaman naik kebulan harini baru sekitar 10 ribu tahun.

    Masalahnya fosil2 yg ditemui ada yg 30 ribu thn (perak men) dan ada yg dan beratus ribu tahun. Banyak pulaktu. Fosil2tu ada yg sebijik macam manusia dan ada yg menyerupai manusia.

    Madalahnya fosiltu ada kaitan dgn manusia internet harinike atau di manusia lain?

    Di sinilah letaknya aqidah. Kalau ikut otak, maka mustahil kita tiba2 ada tampa proses asal kejadian. Kalaumtengok juga sejarah, kehidupan zaman dinasor dulu tak sempurna dan tak cantik. Tapi perubahan tlh berlaku hingga semuanya sekarang tlh berubah rupa hingga dinasour dah jadi kecil dan cantik2 belaka pd hari ini.

    Masalahnya sekarang adakah proses evolusi itu telah terhenti. Kalau belum, maka kejadian makhluk selepas ini akan jadi rupa macam mana pula?
    KALAU MACAMTU TUHAN TAK PERLU, SEMUATU MENGARUT SBB KITA TERJADI DGN SENDIRI, BUKA TUHAN JADIKAN. BUMI HANCUR DGN SENDIRI, BUKAN KIAMAT YG MERUPAKANNHARIMPEMBALASAN. wan’iazubillah
    Sekarangni Tuhan kata kita manusiani dari adam. Nak percayake taknak. Kalau taknak percayapun jgn slahkan ulamak. Buktikanlah sendiri. Ulamak hanya menyampaikan. Apa yg dtg dari Tuhan itu pasti yang TERBENAR dan terbetul sekali. Yg dari otak pasti ada kekuramgan yg banyak. Buktimkekurangan otak terlalu bnyk. Yg dulumkata lain sekarang kata lain berlambak2 sbb dulu tak tau, sekarang baru tau.

    SEBENARNYA dalm quran dah sebut secara sepintas lalu tentang kewujudan adam2 sebelum Adam kitani. Sila rujuk surah al baqarah ayat 30 hingga 39. Tapi ayat 39 tu lain sikit, tuju kat org tak percaya.

    Secara ringkasnya maksud ayat tu cerita Allah beritahu malaikat bhw Dia akan ciptakan khalifah atas muka bumi (pengurus muka bumi sbg wakil kpd Allah). Makhluktu mestilah istimewa. Maslahnya malaikat bertanya, mengapa perlu jadikan makhluktu? Sbb sikap mrkmsuka buat jahat dan menumpah darah?

    Maslahnya malaikat bertanyakah atau membantah? Jwbn: bertanya
    Masalah lagi, mana malaikat tahu sifat makhluk tu? Sedangkan Allah belum cipta lagi. Jwbn: mesti dah ada pengalaman. Buktinya malaikat mengaku takt ahu apa2 kecuali apa yg tlh Allah ajar shj. Malaikat tak mungkit membantah kerana malaikat sgt takut kpd Allah (bukan macam manusia yg sombong dan jahilni, baru ada ilmu tak sampai sekuman, dah nak pertikaikan Allah).
    Ayat tersebut menunjukan keharusan bertanya sesuatu yg tidak kita fahami maksud atau hikmah suatu perkara. Tapi berkaitan dgn ilmu Allah dan masa depan ada yg boleh dijelaskan dgn perkataan dan ada yg sukar difahami jika dijelaskan, kecuali setelah dilihat dan dilalui sendiri.
    Allah telah menciptakan Adam yg SIFATNYA SAMA SPT ADAMW TERDAHULU. mana tahu? Sbb Allah dan malaikat dah bagi klu, iaitu cirinya ialah khalifah dan perangai dia suka buat kerosakan dan menumpah darah. Oelh itu makhluk itu mestilah bersifat sempurna. Kalau tidak macam mana dia nak rosakkan muka bumi. Kalau dinasour dia berbunuh sesama dia utk makan sesama sendiri shj, takdalah sampai nak rosakkan muka bumi macam manusia sombong harini.
    Maka Allah jadikan Adam macam rupa kita harini, bukan rupa beruk. Lagipun mana sempat 10 ribu tahun nak bertukar dari beruk kpd manusia, kecuali beruk jadian. Kalau manusia bertukar jadi beruk dan haiwan lain ada banyak kisah terutama pada zaman bani israil dahulu spt yg disebut dlm hadith yg banyak. Sila belajar dan kaji.
    Masalahnya mana pergi umat2 terdahulu? Jwbn: mana pergi dinasour dulu? Takkan pupus terus sampai sekorpun tak tinggal? Atau takkannsampai semuanya habis bertukar? Kalau kita kata ada yg masih tinggal spt ikan2 purba, haiwN purba dan tumbuhannpurba yg masih wujud hingga harini. Jwbn: mengapa kita tak kata ada batu purba, bukit purba dsbg.
    Jwb: semua adam terdahulu telah dihapuskan oleh Allah kerana dosa mrk dan semua hidupan yg berbahaya kpd manusia anak Adam terakhir telah dihapuskan Allah utk persediaan kemunculan Adam terakhir sbg penghormatan kpd mrk dan kita semua. Tak bersyukur lagi?
    Oleh itu tak hairan jima ada perasamaan rupa dan genatik antara perak man dan manusia zaman ini. Allah sengaja tinggalkan fosil mrk sbg bukti kewujudan umat terdahulu dan pengajRan kpd kita.
    Jika berlaku pertentangan fakta antara sains dan ugama, maka berfikiran positiflah dgn ugama kalau nak selamat, jgn nak bosan dgn ugama spt dlm salah satu komentar di atas dari anak org islamtu, tapi tak berapa nak belajar tentang islam, tiba2 berpandangan negatif kpd islam.
    Penjelasan ini mungkin tak lengkap sbb ruangan terhad, tapi moga ia berfaedah utk memperbetulkan aqidah kita agar selamat. Tq

  4. Salam semua…bagi pendapat saya teori darwin amat jauh dan tidak dapat diterima kerana teori itu mengkhususkan asal kejadian manusia.dengan jelas nas al quran mengatakan manusia berasal dr tanah..jika teori darwin mengulas makhluk lain mungkin dpt di terima akal.bagi saya jika ada masalah tentang islam balik kepada alquran dan assunnah….full stop

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *