Apabila Ada Jawapan Untuk Semua Soalan

10001522_702029656484625_54168550_n

Dalam program di Masjid Tengku Kelana Petra semalam, saya menyampaikan rumusan buku Tsaqafah al-Da’iyah karya Sheikh Yusuf al-Qaradhawi. Di dalam sesi soal jawab ada beberapa isu menarik yang timbul. Antaranya ialah:

  1. Keluhan tentang kuliah-kuliah maghrib yang kosong, penceramah bercakap kosong dan tiada ‘learning outcome‘ yang jelas daripadanya.
  2. Artis-artis berhijrah bercakap tanpa asas ilmu.

Saya cuba berkongsi beberapa pendapat berkenaan persoalan yang ditimbulkan itu.

KULIAH MAGHRIB BUANG MASA

Cuba patuhi peraturan supply and demand. Jemaah gunakan kuasa demand untuk memberi tekanan kepada penceramah agar bercakap secara lebih berhemah dan berisi. Jawatankuasa masjid, spesifikkan skop. Ada surau yang untuk tazkirah Ramadan, mereka menetapkan tajuk yang diminta agar ustaz mengupasnya. Jika tidak dispesifikkan, 20 malam, 20 penceramah menghuraikan ayat 183 Surah al-Baqarah secara sama isinya, atau sama-sama tidak berisi.

Di Singapura ada masjid yang dikelas-kelaskan theme dengan fokus kepada  subjek tertentu sebagai . Justeru kebanyakan ceramah dan aktiviti di masjid berkenaan akan mengikut theme yang telah ditetapkan. Masyarakat pun tahu, jika mereka mahu mencari pengisian tentang subjek tertentu, masjid manakah yang mereka hendak tuju.

Pada masa yang sama, para penceramah perlu lebih ada akauntabiliti di hadapan Allah agar tidak mensesiakan masa dan komitmen masyarakat. Buat homework, jangan mereka-reka pengisian hanya semasa dalam perjalanan menuju ke surau. Kalaulah penceramah tahu, apa yang diumpatkan oleh masyarakat tentang merepeknya pengisian mereka, tentu masing-masing akan berusaha mengelakkan diri daripada menjadi maksud hadith Nabi sallallahu alayhi wa sallam, “jika sudah tiada malu, buat sahajalah apa yang kamu mahu”!

BERCAKAP TIDAK BERASASKAN ILMU

Hakikatnya bukan artis sahaja yang bercakap begitu.

Kita semua begitu.

Ia adalah perangai yang rata-rata wujud dalam masyarakat.

Semua benda nak cakap, semua benda nak komen.

Jika semua orang membataskan diri, bercakap hanya berkenaan perkara yang ia ada ilmu mengenainya, tentu lebih aman, lebih senyap dan lebih mendekatkan kita kepada Syurga Allah. Cuma artis lebih kelihatan sebab mereka public figure.

Untuk memanfaatkan pengalaman hijrah artis, tanpa terbabas dalam keterbatasan, Kerajaan Kelantan semasa menganjurkan Bicara Selebriti, mensyaratkan sekurang-kurangnya seorang panelis mesti agamawan.

Saya juga sedang melatih diri dalam konteks ini. Jemputan-jemputan media, atau badan korporat yang meminta saya berbicara tentang satu topik yang saya tiada ilmu mengenainya, saya tolak secara baik dan memaklumkan apakah skop topik yang boleh saya usahakan.

Ada beberapa tajuk lain yang keluar tetapi saya tidak ingat.

KISAH TOK GURU DENGAN BUDAK MUDA

Pengerusi Masjid, semasa mempengerusikan sesi telah berkongsi cerita menarik.

Katanya ada seorang budak muda mahu mengaji dengan seorang Tok Guru. Tok Guru itu mengajak budak  berkenaan berjalan-jalan dengannya.

Semasa lalu di ladang anggur, Tok Guru itu bertanya, “buah apa tu?”

Kata budak muda, “buah anggur.”

Tok Guru berkenaan bertanya lagi, “tuan dia bolehkah makan buah anggur tersebut?”

Budak muda menjawab, “tentulah boleh. Jika tidak, masakan dia tanam pokok anggur tiu”

Kemudian mereka melintasi keramaian yang sedang menguruskan kematian. Tok Guru bertanya, “ada apa itu?”

Budak muda itu menjawab, “ada kematian”.

Tok Guru berkenaan menyoal, “mayat tu hidup atau mati?”

Dengan perasaan jengkel terhadap soalan mengarut ‘orang tua’ ini, budak muda tersebut menjawab, “tentulah dia sudah mati!”

Kata Tok Guru berkenaan, “baliklah. Pergilah belajar dengan orang lain. Aku tidak boleh mengajar kamu. Kamu tidak boleh belajar dengan aku!”

Budak muda itu terkejut.

Mengapakah reaksi Tok Guru berkenaan begitu?

Kata Tok Guru, “apakah engkau ingat aku bodoh bertanyakan engkau tentang anggur itu? Yang aku maksudkan, adakah peladang anggur itu pernah meminjam wang untuk membuka ladang, adakah dia sudah membayar hutang, membayar zakat? Jika dia belum menyelesaikan semua itu, dia tidak boleh makan anggur tersebut”

Katanya lagi, “apakah engkau ingat aku ini bodoh, bertanyakan mayat itu hidup atau mati? Maksudku, jika mayat itu ada anak soleh, mayat itu akan hidup kerana amal yang ditinggalkannya, melalui anaknya yang soleh itu”

Sesungguhnya…

Apabila engkau hai anak muda, ada jawapan untuk semua soalan, engkau tidak cukup syarat untuk menjadi penuntut ilmu. Engkau tidak cukup telinga, untuk mendengar sebelum berkata. Tanda dunia ini dibelenggu kebodohan, apabila hidup kita dibingitkan oleh pendapat dan komen semua orang dalam semua perkara.

Bawa-bawalah diam.

Banyak-banyakkan berfikir, berzikir, membaca dan memahami.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

thestar

Sembang Kerjaya: Bidang Syariah Bukan Pilihan Terakhir

Petikan akhbar The Star 2010 “Kenapalah kamu ambil Syariah? Nanti habis belajar nak kerja apa?” …

11 comments

  1. Assalammualaikum ustaz,

    Saya amat bersetuju dengan kenyataan ustaz… Iya, berdiam dalam masa yang sama berfikir adalah lebih baik dari pada terus terusan bercakap tanpa tahu batas setiap percakapan (merapu).

  2. sekadar diam memberatkan jiwa. selalu saya cuba sekadar mampu meneroka tajuk-tajuk yg dibincangkan. semakin saya mencari semakin saya merasa terkelu lidah untuk terus berbicara. lagilah kelu lidah membaca komen-komen pahlawan papan kekunci.

  3. beruanglegend

    assalamualaikum, buah anggur ustaz, bukan buang. twitter tak ada dah, cakap sini sajalah haha

  4. ustaz, ade x rakaman pembentangan ustaz tentang buku Tsaqafah al-Da’iyah tu?

  5. Salam, ustaz. Saya ada mengikuti kuliah ustaz ketika membincangkan kitab Tsaqafah al-Da’iyah, tetapi saya tidak dapat mencari di mana boleh membeli kitab itu dalam bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris. Bolehkah ustaz dapat memberitahu di mana saya boleh membeli kitab tersebut? Terima kasih

  6. Kebanyakan manusia jarang untuk benar-benar mencari tahu dan memahami sesuatu isu dan perkara. Ini kerana mereka tidak peduli pun apa yang berlaku dan apa yang akan berlaku. Keinginan mereka hanyalah ingin mengekspresikan diri semata. Apalagi ruang kebebasan era ini terbuka luas dengan bantuan teknologi maklumat yang kian maju. Media sosial semakin terbuka luas. Semakin galaklah manusia ingin menonjolkan dirinya dan menunjukkan jaguh dalam berbicara. Dengan kuasa kebebasan, ‘kebisingan’ ini tak mampu dikawal lagi. Kuasa inilah yang menjadikan jiwa manusiawi kita rosak. Kerana kuasa ini kita gunakan dengan cara yang tidak layak dan tidak bijak.

    Sesungguh sesiapa yang memegang sesuatu kuasa, mereka mudah korup. Dan kuasa kebebasan ini juga telah menjadikan akhlak manusia menjadi korup. Wallahualam

  7. Alhamdulillah. Kisah yg mnyedarkan kita smua. Syukran

  8. Mohd Hafizuddin

    Assalamualaikum ustaz, pada perenggan kedua seksyen KULIAH MAGHRIB BUANG MASA ustaz menulis “Di Singapura ada masjid yang dikelas-kelaskan theme dengan fokus kepada subjek tertentu sebagai ….”. Saya rasa ada typo di sini. Saya ingin faham ayat di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *