Erti hidup pada memberi…
Saya mencari erti hidup pada apa yang saya beri dan saya tidak berhenti memohon kepada Allah agar saya kekal menjiwai erti diri sebagai hamba, agar hidup terus memberi, mencari erti hidup pada memberi.
Namun dalam pemberian itu, saya menerima suntikan inspirasi daripada seorang insan yang luar biasa. Luar biasa kerana kesungguhannya pada hidup memberi, menambahkan horizan makna pada prinsip hidup saya. Insan ini bukanlah insan yang asing bagi saya, kerana tangan saya pernah menjabat tangannya semasa beliau melangkah masuk ke alam remaja.

Di tingkatan satu, insan ini menjejakkan kakinya ke bumi al-Ghayah al-Qaswa di Sekolah Izzuddin Shah. Murid baru ini pekat dengan loghat Jawa Bagan Datohnya mendaftarkan diri ke Tingkatan Satu pada tahun 1990. Perwatakan santainya, cerianya, sering ketawa dan tersenyum, beliau menjadi anak usrah saya di dalam kumpulan Ali bin Abi Thalib r.a. di sepanjang tahun itu.
Kami membawa haluan kehidupan masing-masing pada tahun 1991 apabila saya menyambung persekolahan di SMA Persekutuan Labu, Negeri Sembilan. Saya tidak lama di SMAP Labu, pulang semula ke Sekolah Izzuddin Shah selepas kira-kira 4 bulan meninggalkannya. Anak buah saya ini juga rupanya tidak panjang jodoh dengan Sekolah Izzuddin Shah. Beliau bersekolah di Bagan Datoh dan saya terputus kisah berkenaan perkembangan dirinya dan hanya mendapat khabar dari teman sekampung beliau dari semasa ke semasa.
Namanya muncul kembali dalam ingatan saya, selepas hampir 18 tahun tidak bertemu. Namanya terpampang di dada akhbar, dan saya amat tersentuh membacanya.
AHMAD KHARIRI AL-HADI… SI PENDERMA HATI!
Ya, saya tidak salah. Hanya seorang sahaja insan yang saya kenal dengan nama ini. Dan tidak syak lagi, beliaulah Ahmad Khariri al-Hadi yang saya kenal lama dulu. Beliau sedang menempuh hidup yang penuh cabaran, selepas dijulang nama sebagai penderma hati.
Di Google.Com, saya mencari maklumat. Kisahnya sungguh ajaib. Banyak yang pelik, banyak yang menimbulkan tanda tanya. Tidak mahu tenggelam dalam laporan akhbar yang pelbagai, saya terus menghantar email kepadanya. Alhamdulillah Khariri masih ingatkan saya. Dengan bantuan seorang dua lagi teman, kami mengatur pertemuan.
Syukur Alhamdulillah, selepas 18 tahun tidak berjumpa, kami direzekikan Allah untuk bertemu kembali.
Bersalaman.
Berpelukan.
Panas ukhuwwah masih terasa.

Pertemuan di malam itu, singkat tetapi mempunyai makna yang besar buat saya. Sempat juga saya hadiahkan senaskhah buku Aku Terima Nikahnya
Segalanya bermula dengan pengalaman sendiri.
Ketika anaknya Noranis Balqis al-Huda, 6 bulan, mengalami masalah kesihatan yang memerlukan rawatan segera, Khariri menerima bantuan dan sokongan majikannya, orang Jepun. Bantuan itu amat menyentuh hati, Allah menggerakkan naluri manusia yang dipilih-Nya sebagai saluran untuk menyampaikan kebaikan. Khariri amat bersyukur dengan kejadian itu.
Perasaan yang masih subur di dalam jiwa, tiba-tiba disentuh oleh berita di akhbar tentang seorang anak kecil yang sedang menderita dengan penyakit hati. Adik Mohd Yohit Mohd Farhan yang baru berusia setahun ketika itu, mengalami biliary atresia yang amat kritikal dan memerlukan kepada pembedahan untuk pemindahan hati sesegera mungkin.
Saya pernah bekerjasama dengan unit pemindahan organ semasa bertugas di IJN. Saya mengetahui banyak kisah ajaib di sebalik pendermaan-pendermaan organ yang berjaya dan tidak berjaya. Kisah itu disambung dengan kisah Khariri dengan adik Mohd Yohit.
Dalam manusia yang ramai, Khariri adalah manusia yang tampil menawarkan diri. Setelah keinginan awalnya untuk menderma hati kepada adik Nur Atika Najwa tidak kesampaian kerana beliau meninggal dunia, Khariri mahu niat itu diteruskan untuk membantu adik Mohd Yohit. Segalanya didorong oleh rasa syukur yang mendalam ketika anaknya sendiri dibantu suatu ketika dahulu. Kini tiba masanya untuk beliau membantu, namun bantuan yang bakal diberi bukan sebarang bantuan. Bantuan berupa secebis hati.
CABARAN
Niat yang baik dan luhur bukanlah jaminan kepada mudahnya lorong untuk merealisasikannya. Khariri dan Mohd Yohit, biar pun telah dibuktikan secara perubatan sesuai untuk berkongsi hati, mereka berdepan dengan masalah birokrasi dan protokol yang rumit. Khariri yang tidak mempunyai sebarang pertalian keluarga dengan Mohd Yohid, menjadi salah satu faktor penghalang besar kepada hasratnya untuk membantu.
Hasratnya untuk menderma hati tidak direstui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia malah konfrontasi secara bersemuka telah berlaku di antara Khariri dengan Menteri Kesihatan ketika itu iaitu Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.
Saya sukar untuk mengulas tentang hal ini kerana susur galurnya amat berliku.
Akhirnya Subang Jaya Medical Centre menawarkan kepakaran untuk melakukan pembedahan tersebut dengan kos pembiayaan sebanyak RM245,000. Tetapi pembedahan itu tetap merupakan pembedahan yang tidak mendapat restu KKM. Khairiri harus mengambil risiko yang besar, menderma hati tanpa sokongan undang-undang.
Pelbagai kempen dibuat dan mungkin kita masih ingat kepada kereta Kenari Kembara Secebis Hati berplet BFW 1069 yang menjelajah tanah air untuk kempen mengumpul derma. Bukan sahaja untuk adik Mohd Yohit yang sedang menghitung hari, tetapi juga untuk menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat agar lebih ‘memberi’.
Syukur, derma yang dihulur mencapai sasaran. Pembedahan diteruskan. 18 Disember 2004 mencatat sejarah di dalam rekod perubatan negara. Pembedahan pemindahan hati daripada Ahmad Khariri al-Hadi kepada adik Mohd Yohit Mohd Farhan berjaya dilakukan dengan iringan doa rakyat seluruh Malaysia.
Beberapa hari selepas pembedahan, adik Mohd Yohit menunjukkan tindak balas yang positif.
Namun selepas itu, kulitnya melecur dan mengalami beberapa komplikasi yang membimbangkan. Adik Mohd Yohit telah dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Singapura untuk rawatan.
Janji Allah mengatasi segalanya, adik Mohd Yohit menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat komplikasi jangkitan dan masalah buah pinggang. Pemergian adik Mohd Yohit tidak menjejaskan perasaan Khariri. Segala itu adalah ketentuan Allah. Apa yang penting, segala yang patut dilakukan telah dilakukan. Khariri mahu segala yang berlaku, dihitung penuh ibrah oleh dirinya, isteri dan anak-anak beliau, serta kita semua.
PASCA PEMBEDAHAN

“Tetapi kesihatan saya sangat terjejas selepas pembedahan tersebut. Ia sungguh sulit buat saya sekeluarga!” kata Khariri kepada saya.
“Bagaimana dengan rawatan susulan?” saya ingin tahu.
“Dengan kos mencecah RM500 setiap kali rawatan, saya sedikit hilang arah. Bantuan daripada hospital kerajaan gagal saya dapatkan,” kata beliau.
Walaupun cakapnya berlapik, saya dapat mengesan banyak perkara yang tidak kena dengan cara pihak hospital termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia menguruskan kes Khariri. Beliau yang pernah menempuh saat-saat yang kritikal terhadap kesihatan dirinya hingga pernah dimasukkan ke ICU telah dinafikan haknya untuk mendapatkan rawatan.
Beliau diarahkan supaya meninggalkan hospital dan pulang sendiri ke rumah!
Sedangkan protokol standard menetapkan, kalau ada pesakit yang self discharged sekali pun, perkhidmatan penghantaran pulang dengan ambulans mesti dibekalkan.
Saya fikir, jika seorang perompak ditembak, beliau akan dibawa ke hospital untuk dirawat, sebelum ditahan, didakwa dan dihukum. Mengapa Khariri dinafikan hak asasi ini? Apakah perompak lebih dijamin kehidupannya berbanding dengan seorang penderma hati hanya kerana beliau pernah berdegil membantah polisi?
Saya mencari-cari tenaga pakar yang mahir di dalam persoalan perundangan perubatan, untuk membantu merungkai misteri yang membelenggu kehidupan Ahmad Khariri.
‘SUNEO’ TERUS CERIA
Khariri masih Khariri yang sama.
Suka ketawa, sentiasa optimis dan ceria.
Sifatnya yang suka berkongsi gembira dan bahagia dengan orang lain, dilimpahkan melalui suaranya yang digunapakai di sebalik watak Suneo di dalam animasi DORAEMON versi Bahasa Malaysia. Jika hati anda pernah disentuh oleh kelucuan Suneo, maka anda telah sebenarnya disentuh oleh Khariri.
“Ohoho, selama ini antalah yang selalu menyokong Giant membuli Nobita!” saya ketawa semasa mendengar pengakuan Khariri.
KEHIDUPAN SEMASA
Kini, biar pun kisah Mohd Yohit semakin dilupakan masyarakat bersama-sama dengan perginya nama Ahmad Khariri al-Hadi sebagai wira di sisi, semangat untuk terus hidup memberi, masih menebal di jiwa Khariri. Penerima anugerah Ahli Mangku Negara (AMN) daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ini, terus berusaha memperjuangkan hidupnya biar pun dibebani dengan kesihatan diri yang tidak menentu serta birokrasi sistem perkhidmatan kesihatan negara yang masih dibelenggu misteri.

Ahmad Khariri sangat terbeban dengan masalah kesihatannya, hilang pekerjaan, malah di suatu ketika, membancuh susu pekat manis untuk anak kecilnya yang laparkan susu. Apabila isunya keluar di media, maka bertaburanlah janji yang dinyatakan untuk membantu, tetapi kemudiannya sepi dan beliau bagai digantung tidak bertali.
“Paling sulit untuk saya jelaskan ialah apabila anak saya bertanya mengapa ayah tolong orang tetapi orang tak tolong ayah! Saya takut anak saya membesar dengan perasaan yang sangsi dan putus asa terhadap masyarakat,” keluh Khariri.
Bukan keluhan peribadi, tetapi suara kebimbangan seorang bapa terhadap anak-anaknya.
Khariri tidak mahu KEMBARA SECEBIS HATI yang dilaluinya pergi begitu sahaja. Beliau rumuskan segalanya agar kisah pahit manis itu menghasilkan ibrah teladan penyuntik semangat buat masyarakat. Dalam suasana semangat memberi dan berkongsi yang semakin merosot, serta krisis nilai yang membelenggu kehidupan kita, saya kira mutiara-mutiara bicara Ahmad Khariri al-Hadi mesti kita dengar, hayati, dan manfaatkan sebagai pembakar semangat untuk kita terus berbakti dan memberi.
Ahmad Khariri al-Hadi bersedia untuk menerima jemputan anda untuk menyampaikan ceramah motivasi, perkongsian kisah benar yang sangat berinspirasi. Ia adalah agenda ‘hidup memberi‘nya yang tidak pernah berhenti.
Saya secara peribadi, mencadangkan kepada para pembaca sama ada dari kalangan pelajar, penjawat awam mahu pun warga korporat, ambillah peluang dengan menjemput Ahmad Khariri al-Hadi ke organisasi anda. Dengarkan kisah luar biasanya yang penuh ibrah. Ia sesuai untuk anak-anak di peringkat sekolah, malah boleh juga membakar semangat warga korporat untuk lebih berperanan di dalam tanggungjawab sosial kita semua.

Ahmad Khariri al-Hadi boleh dihubungi di talian 017-6351057 atau email ![]()
Setiap sumbangan tanda penghargaan anda kepada beliau, memberikan makna yang besar buat survival hidup kita juga hidupnya. Kisah lanjut mengenai beliau boleh dibaca di halaman fotopages miliknya [http://pendermahati.fotopages.com/]. Jika anda masih kabur dengan slogan ERTI HIDUP PADA MEMBERI, dengarlah cerita Ahmad Khariri al-Hadi, si penderma hati.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang
BACA JUGA: Hidup Memberi… Derma Organ!
Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010) Related posts:
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor















“segalanya didorong oleh rasa syukur yang mendalam…”
Salam, pemberian yang hadir dari dalam(inside-out), in’Allah sentiasa akan membuahkan istiqamah.
Bersyukur dengan Islam dan iman yang Dia kurniakan pada kita, sepatutnya mendorong kita untuk memperjuangkan Islam, supaya orang lain juga dapat merasa apa yang kita rasa, pada manisnya iman & Islam.
Erti Hidup Pada Memberi,
Sekarang baru saya benar2 faham maksudnya.
Terima kasih ustaz.
Kemusykilannya,kenapa Ahmad Hariri dilupakan begitu saja sedang kan Datuk Sheikh Muzaffar dia agung-agungkan.Memang kedua-duanya hebat malahan saya rasa sama hebat atau Ahmad Hariri lebih hebat.Tapi kenapa?
Kerajaaan Malaysia sekarang tidak memahami slogan Ustaz tu.Jadi KKM tolonglah Ahmad Hariri agar beliau dapat menjalani kehidupan nya seperti insan bernama Datuk Syeikh Muzaffar -manusia pertama….saya ulang pertama di Malaysia.
KU TAK BISA MAMPU MEMBERI
@Hot Zoom,
Kisah lanjut mengenai beliau boleh dibaca di http://pendermahati.fotopages.com/
@Abu Saif, sekadar memberi apa yang Allah kurniakan..
salam..sek izzudin shah vs sek raja p taayah…:)..saya sayang sekolah saya..
Wah tak sangka yg jadi suara Suneo tu dak Izzuddin ustaz.huhu bangga saya ada alma meta mcm brother ni.Ustaz mintak tolong turun Izzuddin ustaz.saya sedih denga cerita sekolah skang ni.Akedemik merosot.suasana dlm sekolah pon tak mcm dulu.Saya jeles sebenarnya dgn Old boys STAR,MCCK dan sekolah2 elit yg lain.Dieorng concern sgt dgn sekolah dieorang.tp PBSISTA ada mcm takde je.ada sorang kwn saya cuba nak buat program dengan kejesame PBSISTA.yg paling pelik ustaz,database x-izzuddin pun dieorg takde.mcm mane boleh jd ALUMNI ni ustaz.saya juga harap semua x-Izzuddin same2 lah kite kongsi n bantu mana yg boleh.salam
@Psychedelicmundo,
Ustaz baru sahaja berbual dengan Cikgu Noraini dua hari lepas. Kebetulannya Cikgu Noraini sudah berpindah ke Taayah. Tapi baru berura-ura nak plan program. Ustaz dah nyatakan kepada ALUMNI PBPSISTA tentang kesediaan ustaz untuk berprogram di SIS dan Taayah pada bila-bila masa semenjak awal-awal balik Malaysia lagi.
Tapi tak kesampaian lagi.
Carilah satu weekend di bulan Mei atau Jun, ustaz sedia berprogram sehari suntuk untuk adik-adik di SIS Insya Allah….
salam
sepatuutnya dapat dato’ dah sahabat kita nie…bukan calang2 perjuangan, shah ruk khan yg jauh pun dapat, pa tah lagi ni dapat sakit plak 2 … ya erti hidup pada memberi
Semoga Allah memberkati hidup akhi kita nie.amen
Salam. Bagi saya, gelaran sebenarnya tak memberi apa2 makna kalau hidup tetap dihimpit pelbagai masalah yang tiada siapa mampu menghulurkan bantuan…
@Abu Saif, saya ingat ustaz. ade penah sekali ustaz dtg ceramah kt sekolah.mase tu xsilap saye saye form 2(2000).ustaz ceramah kt musolla.oo ustaz bru sembang ngan cikgu Noraini ke.hemm okeh ustaz.saya bincang2 jugaklah nnti dengan kwn2 kt Jordan ni.saya kt Yarmouk skang Ustaz.skang ada dlm 3 org x-Izzuddin n 2 org x-Taayah kt sini termasuk sorg adik pompuan saye.
@Psychedelicmundo,
Selepas ustaz membalas komen di atas, baru perasan yang anta bukan lagi berada di Izzuddin. Selamat maju jaya. Ana rindukan syawarma arabi dan cocktail fawakih di Irbid tu
kenapa di malaysia, masalah birokrasi begitu meruncing sehingga hak asasi yang memang sangat wajar diperoleh pun terhalang. malah kes2 seumpama ni dah banyak kali kita dengar berlaku di pelbagai institusi milik kerajaan.
pernah terbaca dalam beberapa entri ustaz sebelum ni tentang perhatian selayaknya yang diberikan oleh institusi milik non muslim di luar negara, kurang birokrasi, fasiliti dan bantuan yang dihulurkan, etc.
@mujahidhisyam,
kalaulah saya ada jawapan untuk semua itu…..
@Abu Saif
. kerana kurangnya penerapan nilai terpenting dalam Islam; akhlak mahmudah, melalui proses pembelajaran formal dan informal.
masalah sikap
sedangkan tujuan pengutusan baginda Nabi; “Hanyasanya aku diutuskan utk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (HR Malik)
Assalamualaikum wrt
Tersentuh,sedih,empati dan seribu satu perasaan apabila baca artikel ni..Sedih dengan nasib yang menimpa sdr khariri,marah dan geram juga kepada pihak yang kurang bertanggungjawab dalam kes yang berlaku.
Hanya tuhan yang membelas segala jasa bakti sdr khariri demi satu perjuangan penerusan hidup..
Assalamualaikum Ustaz,
Terima kasih atas pemberian Al-Quran pada Mei 1993 (dah 16 tahun). Masa tu saya baru masuk Form 1 di SIS. Saya tak pasti samada ustaz masih ingat saya. Tapi yang pasti saya takkan lupa ustaz. Sampai sekarang Al-quran tersebut saya baca dan akan bawa ke mana saya pergi. Walaupun saya tak lama dengan ustaz, tapi Al-Quran dan kata-kata nasihat dari ustaz di dalamnya akan buat saya kenang ustaz sampai bila2. Semoga ustaz dan keluarga sentiasa dirahmati Allah dan InsyaAllah, kalau saya datang Ampang boleh kita berjumpa.
@Mohd Naim,
Waalaikum al-Salaam wbt…
Kalau Form 1 tahun 1993, maknanya batch Ahmad Riyad le ye. Kalau tak silap ana, form 1 masa tu ada dua Naim. Naim and Naem… yang mana satu agaknya.
Sungguh ustaz tak ingat tentang hadiah al-Quran tu, tetapi kalau Naim Masrion dan Naem Dawam… Insya Allah.
Terima kasih kerana sudi ziarah ke blog ana. Senang-senang jemputlah bertandang ke Ampang ya akhi… Salam ukhuwwah
tak tahu nak tulis ape, betol² layak digelar hero, ditolong tidak, disanjung lagilah tidak, padahal klu diulang cerita ust kairiri berulang kali lagi bagus dari tunjuk DSAI masa dalam umno berulang kali tu…
malaysia…malaysia…
utk ust kairiri, saya kagum dengan ust,moga allah jadikan hati saya seperti ust…allahuakbar….
Habis madu sepah dibuang,,,
Habis air tebu sempahnya bertaburan…
Manusia mudah melupakan janjinya…
Tetapi,
Adakah janji manusia yang kita pinta?
Melebihi janji Allah yang telah tersedia…
Tersentuh dgn kata-kata abg khariri tu…
Semoga pengorbananmu disanjung tinggi di sisi Allah…
Allaahu…
semalam ana baru jengok2 balik slide show yg ust buat pasal paradigma menderma organ. saja nak refresh sebenarnya.
tup2..arini ust ‘topup’ lagi topik ini. hihi. kebetulan2…
ust sediakan info dalam powerpoint tu peratus penderma organ sampai 2005 je. Tapi amat sedih peratus melayu paling sedikit.
Adakah peratus penderma dikalangan Melayu sehingga kini telah meningkat? ana tak sempat check lagi,mungkin kalau tanya pak haji google ade kot ye.
saya sokong dgn isu kkm ni… sebab tu saya keluar drpd kkm.. tak tahu sampai bila kkm akan berubah… NHS bagus (National Health Service), kebajikan doktor2 terjaga, kebajikan pesakit apatah lagi tanpa mengira pangkat.. bila kkm nak berubah seperti di uk
@salam dari uk, semua tu berpunca dari akar umbinya.
Dimana akar umbinya ye????
@Hot Zoom,
akar umbinya, big bos msia la..
Memang saya batch Riyadh. Saya Mohd Naim Masrion. Skg ni saya di Ipoh. Kalau datang KL memang saya akan ke Taman Dagang, Ampang. InsyaAllah, kalau diizainkan blh juga jumpa..
Assalamualaikum,oh rupanya ustaz kenal dengan saudara AHMAD KHARIRI AL-HADI…pernah sampai di sekolah saya dulu.:D
tersentuh membaca entry ini. apakah alasan pihak KKM melarang penderma hati ini? mungkin mereka ada alasan ilmiah tersendiri. mungkin apa yang berlaku kepada si penderma hati selepas itu sebabnya?
mudah-mudahan kita mendapat tunjuk ajar daripada mereka yang ahli apabila hendak melakukan sesuatu.
salam shbt yg dirahmati Allah SWT,
Menitis air mata apabila membaca karangan abg hasrizal (panggilan ketika jd anak buah usrah di SIS).. kadangkala karangan dr teman amat baik berbanding air tgn sndiri.. Hanya Allah yg tahu tatkala jari ini menyentuh butang2 di komputer utk memberikan sedikit ulasan namun segalanya cukup lengkap dr abg hasrizal.. semoga segala kebaikan ini dpt memberikan seribu makna dan sejuta impian kpd semua insan..
@ahmad khariri al-hadi bin md yusop,
ust,kuat kan iman,teruskan amal yerk,allah bersama-sama dengan ust,saya begitu kagumdengan ust,dengan timbulnya kisah ust ni,baru saya sedar betapa sy ini terlalu riak,terlalu dahagakan pujian,xikhlas,jarang buat kerana allah,tlg doakan saya ye ust,moga² saya menjadi lebih tulus di hari mendatang,tahniah ust,tentu mak ayah ust bangga dapat ank seperti ust…
@kyoro1987,
ya..semoga Allah sentiasa merahmati saudara Khariri.doa kami agar saudara dapat menempuhi segalanya dengan tabah..
fakhruddin bersekolah d mane? mungkin saya terlupe
huhu, cayalah… saya kagum ngan ustaz, tapi ustaz kagum ngan dier plak… nampaknya si Hadi nie memang sifu kepada sifu memberilaa… hehe… memang inspiring rrr cite nie.. hihihi
Allah…sedih tul baca kisah ni..bergenang air mata…
salam..
ustaz, ana nk minta keizinan menggunakan slogan ustaz “erti hidup pada memberi” buat post ana yang terbaru.
insyaAllah, moga-moga apa yang hendak diulaskan pada post ana tidak menyeleweng dari apa yang ustaz hendak sampaikan dengan slogan tu….
Assalamualaikumwarahmatullah..
SubhanaAllah..ana sangat-sangat tersentuh dengan kisah nie..ana baru je katakan pada sahabat ana..ana sangat suka derma darah..kalau sekali seminggu derma pun ana sanggup..tapi takpelah ana sanggup tunggu 3 bulan sekali..dan ana jugak katakan padanya ana berharap sangat nak daftar sebagai penderma organ..nak sangat..tapi ana tak tahu camne..dan ana bimbang parent ana menghalang memandangkan ana perlu mintak izin parent untuk mendaftar..walaupun sahabat-sahabat ana menentang dengan mengatakan agama tak menggalakkanlah bla bla bla..tapi ana tetap bertegas mengatakan ana tetap nak menderma, lagipun ana tahu Islam tak melarang!
Sedikit sebanyak ana goyah bila tak mendapat sokongan dari sahabat-sahabat tapi bila ana baca kisah nie..ana bertambah yakin..ana yakin!
Ana cuma berharap ana dapat membantu..selagimana ana dapat membantu,ana nak bantu..selagimana ana ada daya,ana nak tolong..semuanya Allah yg kurniakan..dan bila-bila masa kitakan kembali padaNya..tiada seinci pun tubuh badan kita adalah milik kita!
Ana cuma harap..dengan apa yang ana dermakan..mereka akan memanfaatkannya..membantu untuk perjuangan Islam!walaupun nonmuslim yg terima..ana harap mereka kan mendapat hidayah dan berjuang untuk Islam!
Ana sekadar hambaNya..tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah..ana sekadar ingin membantu..membantu untuk Islam!
saya suka menonton filem omputih berorientasikan kisah benar kat tv2 lewat malam satu masa dulu, alangkah moleknya kalau ada versi melayu.
Salam alaykum,
Banyak perkara pelik berlaku di mana2.
Sungguhpun ada Hippocrates oath moden yang konon2 digunapakai oleh doktor2 seluruh dunia, masih lagi berlaku hal ini.
Alangkah indahnya kalau aturan Tuhan yang dipeluk kejap.
Insya Allah, kerenah birokrasi dan undang-undang pelik akan sirna.
Masya Allah, pengorbanan akh KHariri sangat besar bagi saya. Menjelmakan erti hidup pada memberi.
Semoga segala urusan beliau dan keluarga dipermudah, diberi kesihatan yang unggul dan sentiasa di bawah rahmat ILahi.
tahniah syabas saya doakan anda sihat. Pb sista dan alumni sista perlu ujud tabung membantu warga sista dan murid tua yang dalam kesusuhan dan ditimpa kemalangan.
[...] ERTI HIDUP PADA MEMBERI… HATI! [...]
buat sahabat semua…moh kita pergi ke bank..bank -in ape yg patut..moga dengan sedkit pemberian mampu membantu meringankan kesulitan sahabat kita..