“Apabila ana sampai ke Jordan, terasa kosong. Sampai hilang kemampuan bercakap,” Ustaz Ridzuan meluahkan isi hatinya.
Kami duduk bersimpuh mengadap pemanas untuk melawan cuaca sejuk di perkampungan Mu’tah.
Setelah enam bulan tidak ketemu, saya berasa sangat berbesar hati dapat bertamu di rumah beliau. Teman seperjuangan di dalam dunia kerjaya sekembalinya saya ke tanah air, Ustaz Ridzuan yang tidak pernah lemah semangat untuk menyambung pengajian akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke bumi Mu’tah.
“Ustaz pun tahu betapa berserabutnya fikiran ana semasa di Malaysia memikirkan tentang fitnah khilaf antara umat Islam. Tetapi baru selesai madah (subjek) al-Madkhal pun, ia sudah cukup memberikan rasa lega yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Hingga timbul rasa hairan bagaimana boleh umat bersengketa atas khilaf seperti itu!” katanya lagi.
“Semuanya berbalik kepada isu SIKAP ya akhi. Benda yang kita ulang-ulang tanpa jemu selama menjalankan latihan dan kursus di Malaysia. Mengaji sampai PhD sekali pun, belum terjamin lulus subjek Akhlaq 101!” saya mengusik.
“Tapi, macam yang ana cakap tadilah. Terasa kosong benar diri ini apabila mula mengaji” ujar beliau.
“Insya Allah anta dah dapat sikapnya. Sekarang giliran mendapatkan ilmunya pula” jawab saya.
KOSONG YANG BERULANG
Saya berkongsi perasaan yang sama dengan Ustaz Ridzuan.
Selepas kejayaan demi kejayaan diraih semasa di peringkat sekolah menengah membawa ke SPM, saya dilanda rasa kosong yang amat sangat semasa memulakan pengajian di Universiti Mu’tah hampir 17 tahun yang lalu. Bagai tak punya apa, saya lumpuh di dewan kuliah.
Masalah bahasa.
Bukan tidak pernah mengaji Bahasa Arab. Bukan tidak masyi dengan nahu dan saraf. Tetapi bahasa sekadar bahasa, tidak sama dengan bahasa untuk mengungkapkan pemikiran dan memahami budaya. Itu dilemanya.
Tidak cukup dengan bahasa, apa yang dipelajari menyebabkan kita terasa bingung. Mempersoalkan kembali apa yang kita pernah tahu, dan dalam kekosongan itu, timbul rasa syukur kerana rasa kosong itu mendesak diri mencari isi.
“Anta tahu ustaz, apabila selesai pengajian dan ana memulakan kerja sebagai Imam di Belfast, rasa kosong itu datang semula. Seolah-olah apa yang dipelajari di Mu’tah dan Jordan selama ini bagai tidak punya apa-apa makna. Realiti yang menuntut Islam sebagai penyelesaian, memaksa kita menyemak kembali segala ilmu ‘mentah’ tanpa pengalaman itu, diolah agar boleh dipakai sebagai penyelesaian. Ana bertatih semula!” saya berkongsi pandangan.
Memang benar.
Kitab-kitab tentang muqaranah al-adyaan (perbandingan agama) sudah saya pelajari. Tetapi ia seperti langsung tidak mempersiapkan diri mendepani realiti kehidupan. Lelaki Muslim menikahi wanita Irish Katholik, kemudian Muslim itu menyimpang, dan wanita yang Katholik itu pula bersungguh membesarkan anak dengan Islam, saya terpaksa mendepani kes-kes sebegini seperti tanpa pernah mempelajari apa-apa mengenainya.
Mengaji Fiqh, sudah pun mengaji. Kitab al-Ikhtiar dan Kifayatul Akhyar sudah pun dibedah kaji. Bidayatul Mujtahid juga pernah ditalaqqi. Tetapi mendepani realiti jemaah yang berdiri di dalam saf di belakang saya dalam solat berjemaah di Masjid Belfast, menyebabkan saya turut berasa kosong. Bersusah payah mencari jalan untuk merumuskan penyelesaian terhadap pelbagai kecenderungan anggota masyarakat yang saya pimpin, ia kembali memaksa diri mengahwinkan ilmu dengan pengalaman.
Demikian juga dengan dakwah.
Ia bukan lagi subjek di universiti. Ia adalah tanggungjawab dan wasilah sinergi kehidupan. Dakwah bukan lagi mencanai teks, tetapi mencanai manusia berpandukan teks. Praktikal, praktikal dan praktikal.
Segala cabaran itu menjadikan saya berasa kosong.
Selepas bertahun-tahun mencari pengisian dengan pengalaman bermastautin di bumi Eropah, saya pulang ke tanah air pada tahun 2004.
Sekali lagi, dengan 1oo1 pengalaman itu, saya kembali berasa kosong.
Merenung orang ramai di Suria KLCC pada Februari 2005, dan mengukur jarak mereka dengan kuliah Maghrib saya, kuliah Subuh saya, Khutbah Jumaat saya, serta usrah dan tamrin saya, menjadikan saya terkasima. Bingung memikirkan jarak 100 malah 1000 tahun antara saya dan mereka, menjadikan saya terpaksa kembali berasa kosong.
Belajar semula.
Lagi dan lagi.
Setelah begitu panjang pengalaman dan proses belajar, saya sekali lagi berasa kosong yang amat sangat apabila memulakan pengajian di dalam bidang sejarah di peringkat sarjana. Mendekati Muqaddimah Ibn Khaldun, meneroka pemikiran Kant dan Locke, serta membaca Qissatul Iman oleh Sheikh Nadim al-Jisr sebagai pengenalan kepada falsafah dan agama, saya rasa seperti sebuah cawan yang terbalik dan tumpah, untuk berdikit-dikit kembali mencari isi.
“Kesimpulannya ustaz, setiap kali ustaz berasa kosong, ambillah ia sebagai hidayah Allah untuk kita mencari isi. Ketika rasa kosong itu terhenti dan kita gagal mengosongkan diri, bermulalah rentetan kejahilan yang membinasakan diri, walaupun sudah bergelar ilmuan!” saya menamatkan perbualan.
Ibn Mubarak pernah berkata:
“Seseorang itu sentiasa alim selama mana dia menuntut ilmu. Tatkala datang persepsi diri bahawa beliau sudah menjadi alim, maka jahillah dia”
Pertemuan singkat bersama Ustaz Ridzuan Khalin bersama isteri dan anaknya, amat bermakna.
Apa yang mampu saya pesankan kepada beliau sekeluarga dan adik-adik Perak yang gemar bertandang di rumahnya, agar tidak patah semangat, tidak jemu dan lesu oleh perjalanan kehidupan menuntut ilmu yang terasa amat perlahan dan panjang diawalnya, tetapi cemas lagi pantas berlalu ketika menghampiri tempoh peralihannya.
Rasa kosong itu zero. Tetapi zero untuk menjadi hero!
Teruskan perjuangan buat ustaz dan sekalian anak Malaysia di Bumi Isra’.
Kita diajar cintakan kematian
Bagai musuh kita cinta kehidupan
Maka di Bumi Isra’ ini tempatnya
Kau mengenal Jihad dan Perjuangan
Tetamu Dataran Syam engkaulah harapan
Untuk ummah melihat masa depan
Sebagai ulama’ sebagai pejuang
Islam pasti akan kaumerdekakan
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Mu’tah, The Hashemite Kingdom of Jordan
P/S: Ustaz Mohd. Ridzuan Khalin merupakan pelajar Tahun 1 di Universiti Mu’tah, Jordan. Beliau yang telah beristeri dan mempunyai seorang anak, masih belajar atas pembiayaan sendiri dan terus berusaha mencari penajaan atau pinjaman. Kepada pembaca yang mempunyai maklumat untuk membantu, saya memohon jasa baik tuan dan puan untuk menghubungi saya atau Ustaz Ridzuan di email: ![]()
Jazakumullahu khair al-jazaa’!
Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010) No related posts.
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor






Salam ustaz, terima kasih atas kunjungan ilmu dan dakwah ustaz ke Jordan. Kami berlima bertuah kerana dapat pulang bersama dengan ustaz ke bumi Malaysia.
” kisah cicak pekak”
Nasihat yang pertama digunapakai..
Wsalam wbt Ustaz @Ifwat,
Ana juga bertuah kerana ‘tidak pulang tangan kosong’. Teruskan perjuangan antum.
Jangan tergesa-gesa, jangan bertangguh-tangguh
Bak kata Socrates,
Atau pepatah-pepatah lain yang bersangkutan:
“Rasa kosong itu zero. Tetapi zero untuk menjadi hero!”
ameen~
Ustaz Ridzuan, salah satu pencetus semangat ana untuk tegar di Mu’tah..beruntung benar bumi Mu’tah kerana didiami beliau..ana akan ambil sebanyak mungkin mutiara hikmah dari susuk tubuh itu..i.allah..
ustaz ridzuan juga diibaratkan seperti permata di celahan beribu kaca yg menyinari,dengan sikapnya yang disenangi ramai dan toleransinya.inshaAllah,ada rezeki yg menanti beliau dan kita semua di dataran ini..^^,
Rasa kosong itulah bukti kerendahan hati dan ketinggian jiwa seseorang. Rasa kosong yang mencari isi bukannya membungkam diri. Ya, rasa kosong itu perlu.
umpama menyiram air ke pokok.. jika selalu difikirkan airnya penuh tidak mungkin pokok dapat merasai air secukupnya
“Cipta sejarah antum sendiri.”
Kata-kata yang takkan ana lupakan, insyaAllah. =)
salah satu cara untuk elak herorism dari berlaku
masing-masing jadi hero
walaupun zero ilmu
usaha berterusan mencari
akan mengubah ‘z’ kepada ‘h’
syukran perkongsian yang hebat lagi
Hero yang Ust maksudkan adakah apabila sudah tahu?
Selama ini yg ana bayangkan heronya apabila berjaya mencapai, cth senarai dekan, pekerja atau pelajar terbaik…
@Yuana,
senarai dekan atau pelajar terbaik itu bagus, tetapi belum pernah menjadi jaminan seseorang itu menjadi hero. apa yang menjadikan seseorang itu hero ialah apabila dia memberikan yang terbaik dan manusia mendapat yang terbaik daripada pemberiannya itu, lalu diganjari kebaikan dunia dan kebaikan akhirat, biar pun dia hanya seorang supir!
@Abu Saif,
selama ini merasakan begitu, sebab masyarakat kebanyakan pandang begitu, ibu bapa pun mendoktrin fikiran ana begitu…
selalunya yang famous, yang terbijak, itulah yg dianggap hero, namun itu hanyalah pandangan manusia..
ana fahamlah sekarang, hero ni juga bermaksud subjektif, bergantung pada mata yang memandang. adalah lbh bagus jika kita sendiri mengiktiraf diri kita hero, seperti kata Ust di atas, apabila dia memberikan yg terbaik, dan manusia mendpt yg terbaik drpd pemberiannya itu, walaupun hanya untuk perkara yang kecil…
benar ye Ust?
@Abu Saif, Ustaz.. saya sampai mengalirkan air mata bila ustaz kata macam tuh.. saya tengah berada di final year medic.. kadang-kadang saya rasa ilmu terlalu sedikit.. mana lagi nak fikir tentang dakwah.. nak fikir tentang family.. orang kampung.. orang-orang negeri.. saya bukanlah pelajar yang cemerlang di universiti.. saya termasuk dalam golongan yang biasa-biasa sahaja.. kadang-kadang perasaan ini menyebabkan semangat saya luntur.. “bolehkan saya bekerja untuk masyarakat nanti?? bolehkan saya menyumbangkan sesuatu untuk islam satu hari nanti pada masyarakat di tempat saya.. atau semua ini hanyalah sebuah angan-angan semata… “
salam ya ust…terima kasih utk segalanya. semangat ana semakin menebal untuk meneruskan perjuangan disini. Keyakinan ana semakin kukuh insya Allah. Mu’tah sedang dilanda percikkan semangat nasyid selamat datang tetamu dataran syam. Mudah-mudahan ia menjadi bekal yang berguna untuk setiap jiwa yang menghuni bumi syam ini….kekosongan itu akan terus diisi….insya Allah. syukran jazila ya ust…’hadiah’ yang ditinggalkan membuat hati kami disapa emosi dan cukup terharu….Allah jualah yang membalasnya…! selamat istirehat pada safar yang panjang…
Hero adalah mereka yang paling banyak memberi kepada yang lain …
Wakaf diri antum semua agar dapat di manfaatkan bukan di gunakan…
tunjukan jalan lurus kepada manusia yang tersasar..antara pemberian yang menjadikan diri anda hero di bumi dan di akhirat..
Ana belum kenal us Ridzuan kecuali melalui blog ini…jika dia sahabat saifulislam..maka dia juga adalah sahabat ana dan anda semua..
selamat kembali bertugas di Malaysia ya akhi kareem..
nice theory, but not practical. this is a practical world.
@nina, This is a practical world.. and that’s also a practical theory… depend on how we see and analyze it ..
When we achieved being a hero, remember that we start from zero ….
and we (at least I am) own zero, accept that we uesd the potential of a hero.
jauh perjalanan, luas pengalaman. sy begitu teruja dgn cerita ustaz tntg pengalaman ustaz di negara orang. sy punya cita-cita melanjutkan pelajaran ke jordan dlm bidang bahasa arab. apa pandangan ustaz? sy perempuan, serasa ustaz wajarkah sy terbang jauh merentas benua meninggalkan bumi kelahiran untuk menuntut ilmu sedangkan di malaysia pon boleh? thanks ustaz, cerita ustaz selalu buat sy berfikir. peluang msih terbuka luas untuk sy. tinggal pilih yg terbaik. tp itu bukan sesuatu yg mudah. masih sy ingat nasihat abg sy semasa hari kelahiran sy beberapa hr yg lalu, waktu remaja adalah waktu mencari identiti. ada org bertemu identiti yg salah. sy jd risau memikirkan diri sy…apakah sy akan bertemu dgn identiti yang betul..?